"
Kemudian kelmarin Che Det kata nak bantu calon BN di Bukit Gantang dan Bukit Selambau berkempen pula. Ya, kempen membantu parti rasuah yang dikutuknya habis-habisan hampir setiap minggu dalam blognya.
Dan hari ini ada lagi cerita lawak dari mantan Perdana Menteri yang kini sedang berada di London itu.
Che Det yang entah dijemput ke tidak, melahirkan hasrat untuk menghadiri majlis angkat sumpah Datuk Seri Mohd Najib sebagai Perdana Menteri keenam yang bakal diadakan esok.
"Saya tak tahu sama ada dijemput atau tidak", kata Che Det dari London seperti yang dipetik oleh Star Online ,"Tapi jika dijemput saya akan hadir!"
Kalau dijemput tak apa, tapi kalau tak dijemput dia terhegeh-hegeh menawarkan diri untuk hadir...adooi...malu betul! Tapi kalau dijemput, pasti setiausahanya sudah maklumkan lebih awal kepada Che Det.
Ini mesti kes tak dijemput ni! Tapi percayalah, Najib selepas membaca 'rintihan' Che Det untuk hadir itu pasti serba salah dan akhirnya akan mencari jalan supaya orang tua itu hadir juga. Tak percaya? Tak percaya tunggulah esok, pasti wajah orang tua itu akan tersenyum ceria di hadapan Najib.
Nampaknya Che Det macam tidak sabar-sabar lagi hendak meraikan anak emasnya yang sarat dengan skandal itu menjadi Perdana Menteri. Dia juga nampak seperti tidak sabar-sabar lagi hendak melihat musuh nombor satunya Pak Lah melepaskan jawatannya. Dia mungkin hendak lihat sendiri wajah Pak Lah yang berpura-pura ceria di balik kesugulan kerana terpaksa melepaskan jawatannya. "Padan muka hang!" itu barangkali cemuhan Che Det dalam hati apabila melihat Pak Lah menandatangani watikah pelepasan jawatan kepada Najib.
Satu lagi yang seronoknya ialah melihat betapa terujanya mantan Perdana Menteri itu untuk menentukan dasar baru kerajaan. Belum pun Najib memegang tampuk kuasa beliau sudah menasihatkan bagaimana sepatutnya bentuk rupa barisan Kabinet baru Najib yang katanya hendaklah lebih kecil dari sekarang.
"Kita ada pertambahan jawatan Kabinet di bawah pimpinan Abdullah Ahmad Badawi yang saya fikir tidak perlu," kata Che Det. Beliau juga berkata cadangan untuk menggabungkan beberapa kementerian juga adalah satu usaha yang baik.
Nampaknya belum lagi Najib mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Keenam, Che Det sudah menentukan bagaimana seharusnya bentuk jentera pentadbiran Najib. Belum lagi Najib melantik Che Det sebagai penasihat rasmi, orang tua itu sudah pandai-pandai memberi nasihat begitu begini bagaimana bentuk pemerintahan negara.
Nampak sangat Che Det tidak sabar-sabar lagi menjadi penasihat kepada Najib dan memastikan pemerintahan Perdana Menteri keenam itu kelak sesuai dengan seleranya. Kesian Najib, 'King Control' sudah kembali!!!
No comments:
Post a Comment