Wednesday, January 14, 2009

Jangan Fokus Undi Hantu, Undi Pos Terabai


 Pihak SPR telah pun mengedarkan karung-karung undi Pos kepada pihak-pihak yang berkenaan bagi Pilihanraya Kecil Parlimen Kuala Terengganu. Bilangan pengundi-pengundi pos bukan sedikit iaitu melebihi 1,000 dan kebanyakannya adalah terdiri daripada pengundi-pengundi dari PDRM. Kita berharap jentera Pakatan Rakyat memandang serius proses pengundian undi pos ini.

Mereka mesti mengetahui dengan tepat bilakah masa pengundi-pengundi pos ini akan mengundi dan tempat mereka mengundi. Tentukan setiap lokasi yang disediakan untuk semua pengundi-pengundi pos mestilah diletakkan wakil calon sebagai pemerhati sebilang masa.

Sebelum ini terdapat jentera kita leka dan cuai dengan perlaksanaan undi pos ini. Kita tidak peka betapa undi pos semenjak dahulu banyak berjasa kepada UMNO/BN, contohnya seperti yang berlaku di Wilayah Persekutuan di mana satu Parlimen yang UMNO menangi adalah kerana undi pos. Apakah kita mahu ia berlaku di Kuala Terengganu ? Jangan kita terlalu fokus kepada pengundi hantu sehingga melupakan proses pemilihan undi pos ini. Sekiranya kita serius untuk memenangi Pilihanraya kali ini, tentukan kita mempunyai wakil pada setiap tempat undian pos dijalankan samada di mana-mana Balai Polis, Kem Tentera mahupun di mana-mana jabatan. Wakil kita mesti berada di sana sebilang masa iaitu dari mula proses pengundian sehinggalah karung undi pos yang telah siap dipangkah itu dibawa keluar.

Pastikan karung-karung berisi kertas undi tersebut disimpan di mana, dan siapakah yang mengawalnya sepanjang ia disimpan sebelum dikumpulkan untuk perjumlahan pada 17 Jan nanti. Penting sekali, kita tetapkan wakil-wakil calon berada di tempat simpanan karung undi tersebut sebilang masa untuk mempastikan tiada penipuan berlaku.

Kita boleh memilih wakil-wakil calon untuk membuat tugas tersebut secara bergilir-gilir sehingga karung kertas undi pos tersebut selamat dibawa ke tempat perjumlahan undi.

Pakatan Rakyat terutamanya PAS jangan memandang remeh undi pos yang berjumlah melebihi 1,000 ini kerana PAS tewas sebelum ini hanya sekitar 600 lebih sahaja. Daripada kajian ramai teman-teman yang berkhidmat di dalam PDRM, tentera dan kakitangan kerajaan majoriti mereka sebenarnya berpihak kepada kita.

Tetapi, akibat kecuaian kita undi mereka mungkin boleh dimanupulasikan. Justeru itu, Pakatan Rakyat mestilah lebih peka dalam soal ini dan kita berharap pihak SPR tiada masalah untuk memberikan kerjasama kepada mana-mana parti yang bertanding untuk memantau proses pengundian pos ketika waktu pengundian. selepas waktu pengundian sehinggalah kertas-kertas ini dibuka untuk perjumlahan. Bertindaklah mulai sekarang kerana tarikh pengundian pos akan berlangsung beberapa hari lagi.

No comments:

Search This Blog