Friday, January 1, 2010

2010-Tahun untuk menyerang Umno-BN bukan PAS

InsyaAllah, jika masih ada nyawa dan matahari esok pagi bermakna kita diizinkan Allah untuk menikmati perjuangan untuk kesekian kalinya. Dan sinar 2010 sewajarnya dimanfaatkan oleh rakan-rakan semua khususnya jentera dan pengerak PAS diseluruh dunia.Sedikit harapan dari saya. Semoga tahun 2010 dijadikan medan untuk menyerang Umno, membongkar segala kedurjanaan yang mereka lakukan dan berdakwah kepada saki baki ahli Umno yang mahu bersama Islam.

Diharapkan tahun 2010 tidak dijadikan medan untuk ahli dan rakan-rakan blogger menyerang kepimpinan hingga memberikan ruang luas kepada musuh menyerang dan memasuki kota kepercayaan kita.

PAS tidak pernah menutup pintu teguran dari ahli dan juga para penyokong. Tapi diharapkan semua teguran itu dibuat secara beradab dan melalui saluran yang betul.

Kita tidak boleh berpuashati dengan apa yang ada, maka kita tetap berharap agar ahli dan penyokong memberikan ransangan dan teguran yang membina bukan mencipta persepsi yang akhirnya merugikan parti.

Membongkar kelemahan parti adalah sesuatu yang dituntut dalam membina kekuatan dalaman. Tetapi kalau pembongkaran itu dibuat dihadapan musuh, itu bermakna bunuh diri.

Sesama pimpinan juga harus bijak memainkan peranan politik mereka dan tidak menjadikan media dan kenyataan-kenyataan terbuka untuk memerangkap pimpinan lainnya.

Acap kali ahli menjadi bingung bila melihat kepimpinan saling berbeza pandangan dan membuat kenyataan-kenyataan yang memberikan beban kepada kepimpinan lain menyelesaikannya.

Kebijakkan politik menuntut PAS mempamerkan budaya kerja politik yang lebih profesional yang bukan sekadar mengulas tetapi menganalisis serta menyelesaikan permasalahan yang ada.

Seterusnya, PAS harus memperkukuhan sumbangan dalam Pakatan rakyat dan menjadi pemimpin kepada kebangkitan rakyat dalam membenamkan Barisan Nasional.

Jadikan tempat-tempat yang sudah dimenangi PAS sebagai kubu-kubu kuat dan pastikan asakkan berterusan dikubu-kubu BN diteruskan tanpa henti.

Akhirnya, kita harus memahami matlamat dan dasar parti sebenar-benarnya agar ia menjadi panduan kekal untuk kita terus mara ke hadapan. Kenali musuh kita yang sebenarnya. Serang dan kerjakan mereka dengan penuh keimanan bukan kerana nafsu atau dendam kesumat.

Kerana akhir tujuan dan matlamat kita adalah keredhaan Allah, bukannya keredhaan manusia

Ahli Parlimen BN didakwa 'curang'

Beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) didakwa berlaku 'curang' dengan tindakan menyebabkan BN hampir tewas dalam undi untuk meluluskan Bajet 2010 di Parlimen 14 Disember lalu.

Tindakan 'duri dalam daging' itu didedahkan oleh bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan menyifatkannya sebagai 'malapetaka' bagi BN.

Menurutnya, Ahli-ahli Parlimen BN juga memberi maklumat yang menjadi panduan dan kekuatan kepada PR dalam membahaskan peruntukan untuk rakyat itu. Beliau, bagaimanapun, tidak memberitahu dengan jelas apa jenis maklumat yang mereka disalurkan atau siapa yang terlibat.

“Saya tidak boleh sebut siapa antara mereka yang menyalurkannya. Ia berlaku di Parlimen,” katanya di sesi dialog dengan wakil-wakil Sinar Harian ketika mengunjungi ibu pejabat Karangkraf di Seksyen 15 di sini bersama kira-kira 10 pemimpin Pas Perak.

Nizar, yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat berkata, Ahli-ahli Parlimen terbabit juga terpaksa 'mengangguk' sahaja di Dewan Rakyat, walaupun mereka tidak setuju dengan cara pimpinan mereka.

“Itu sebabnya ada di kalangan mereka tidak hadir semasa undian dijalankan (di Dewan Rakyat), walhal setengah daripada mereka berada di sekitar Lembah Klang sahaja,” katanya.

Ditanya sama ada insiden di Dewan Rakyat itu dirancang atau tidak oleh mana-mana pihak, Nizar berkata, ia melibatkan kedua-dua elemen itu, tetapi tidak memberi keterangan lanjut berhubung perkara itu.

“Kita pun cukup berhati-hati...bukan tujuan untuk melakukannya di luar jangkaan...sekadar menguji kekuatan BN (untuk) menggambarkan (apakah) belanjawan terhebat ini mendapat sokongan Ahli-ahli Parlimen BN sendiri (atau tidak).

“Oleh itu kami PR telah berbisik antara satu sama lain untuk sampaikan pesanan kepada setiap Ahli Parlimen PR dan hasilnya terbukti, walaupun kami hanya ada 63 orang,” katanya.

Dalam insiden mencemaskan itu, BN menang tipis, dengan mendapat 66 undi, iaitu lebih tiga undi berbanding pembangkang.

Di waktu itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang sedang menjalankan tugas rasmi, terpaksa bergegas ke Dewan Rakyat untuk menambahkan bila- ngan Ahli Parlimen BN.

Nizar, yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang berkata, ketidakhadiran setengah Ahli Parlimen BN pada masa itu adalah bukti jelas setengah daripada mereka tidak menyokong perbahasan Bajet 2010 tersebut.

“Sebagai contoh, (bagi Ahli Parlimen BN) tindakan Kerajaan memperuntukkan RM1 bilion bagi mempromosikan sukan F1 tidak munasabah kerana mereka boleh melihat rakyat di tempat mereka sendiri ada yang 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang'.

"Begitu juga dengan peruntukan RM100 juta untuk projek Permata (Pusat Anak Permata Negara) yang dikendalikan oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan ini menunjukkan malapetaka kepada BN,” katanya.

Najib mengumumkan peruntukan RM100 juta itu ketika membentangkan Bajet 2010.

Rosmah menyifatkan peruntukan itu sebagai penghargaan kepada pentingnya penjagaan awal anak-anak dan pendidikan di Malaysia.

Thursday, December 31, 2009

Bekas Presiden Indonesia Gus Dur Meninggal Dunia


Bekas Presiden Indonesia Abdurrahman Wahid, 69,yang lebih dikenali sebagai Gus Dur meninggal dunia di Rumah Sakit CiptoMangunkusumo (RSCM) di Jakarta pada kira-kira pukul 6.45 petang waktu IndonesiaBarat, ahli politik Partai Kebangkitan Bangsa (PKB) Ali Masykur Musa mengesahkankepada Bernama hari ini.

Gus Dur, yang merupakan Presiden Indonesia keempat, ialah pengasas partiPKB, sebuah parti politik yang berasaskan Islam.

Wednesday, December 30, 2009

Sindrom ‘3L’ jejaskan UMNO, BN

UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu melupakan hasrat mengambil alih Selangor daripada Pakatan Rakyat (PR) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) sekiranya pemimpin mereka masih dibelenggu sindrom ‘3L’ iaitu Lagak, Laga dan Leka.

Penganalisis Politik, Profesor Datuk Zainal Kling (gambar) berkata, wabak yang menyelubungi parti itu dilihat faktor utama UMNO sukar mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap parti itu.

Katanya, sikap ‘lagak’ dalam kalangan pemimpin UMNO/BN membuatkan parti itu tidak lagi dapat menyelami hati nurani rakyat apatah lagi memahami denyutan hati mereka.

“Mereka ini dilihat kurang mendampingi serta mendekati masalah-masalah yang dihadapi oleh pengundi di kawasan mereka. Malah, mereka dilihat ‘kurang cerdik’ dan tidak unggul untuk menghadapi cabaran dalam pemimpin PR,” katanya.

Zainal berkata, sikap pemimpin UMNO Selangor yang sering bertelagah dan menuding jari antara satu sama lain membolehkan pemimpin PR mengeksploitasi keadaan tersebut dengan sebaik mungkin.

“Perasaan leka yang menyatakan mereka tidak pernah kalah dan tidak akan kalah boleh menyebabkan mereka ini seolah-olah tidak sedar situasi sebenar yang berlaku sekarang,” katanya.

Menurutnya, UMNO diingatkan supaya menangani sindrom segera.

Ditanya sama ada bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo masih relevan untuk menerajui kepimpinan UMNO Selangor jika parti itu berjaya menawan semula Selangor, Zainal berkata, Dr Khir perlu ‘membersihkan’ dirinya daripada pandangan negatif sebelum berbuat demikian.

“Malah Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Noh Omar belum tentu dapat kerana beliau tidak mempunyai sokongan akar umbi yang kuat di Selangor,” katanya.

Persempadankan Semula Kawasan DUN & Parlimen Perak?

Perak tidak akan berpilihanraya selagi Suruhanjaya Pilihanraya belum habis menyiapkan kerja-kerja persempadanan semula kawasan Parlimen dan DUN di Perak.Ia adalah untuk mempastikan Barisan Nasioal tidak diaibkan dengan kekalahan lagi seandainya pilihanraya diadakan di negeri itu, demikian tegas seorang pemerhati politik

“Pilihanraya yang lepas menunjukkan bahawa negeri Perak telah jatuh ke tangan pembangkang dengan kebanyakan kerusi di bandar telah dirampas oleh Pakatan Rakyat. SPR dipercayai menjadi kuda tunggangan BN untuk mempersempadankan semula Perak supaya kawasan Parlimen dan DUN yang dimenangi oleh BN akan dapat ditambah dengan mengecilkan kawasan luarbandar dan melebarkan kawasan sebelah bandar,” tegasnya.

“Hal yang serupa mereka telah dan akan lakukan di Wilayah Persekutuan dan Selangor, dan juga di negeri-negeri lain seperti Kedah dan Pulau Pinang,” tambahnya.

Dalam satu perkembangan berkaitan, Menteri Besar Kerajaan Haram BN Perak, Zambry Abdul Kader menyatakan beliau tidak menolak kemungkinan langkah persempadanan semula dilaksanakan.

“Jika perlu diadakan, kita tidak ada masalah,” katanya.

Beliau menolak dakwaan gerakan mesra rakyat anjuran Sekretariat Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Perak yang dilancarkan hari ini adalah persiapan BN bagi menghadapi pilihan raya negeri seperti yang dicetuskan oleh pembangkang sebelum ini bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibubarkan.

Zambry yang juga Pengerusi BN Perak berkata gerakan itu dilaksanakan secara agresif mulai Januari ini dengan tujuan mendekatkan pemimpin dengan rakyat di samping mengukuhkan semangat antara parti komponen BN.

“Ia juga adalah antara satu strategi kita untuk memastikan setiap rakyat (yang layak) mendaftar sebagai pengundi dan dengan cara ini kita berharap BN dapat menambah bilangan pengundi,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program itu bagi peringkat Parlimen Bagan Serai di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak menolak bahawa program tersebut adalah sebahagian daripada persediaan awal BN Perak bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang

Tuesday, December 29, 2009

Utamakan keluarga atau kerajaan?


Malaysia mungkin dikenakan sanction (sekatan) atas penjualan enjin pesawat Tentera Udara Dirajaya Malaysia (TUDM) secara gelap. Kesan kepada ekonomi dan negara kita secara keseluruhan tentu amat besar.

Kenyataan penyiasat persendirian P Balasubraniam yang tersebar menerusi internet mengenai isu perdana menteri-Altantuya Shaariibuu, amat menjejaskan dan belum nampak formula mengatasinya. Imej kerajaan kita terjejas teruk.

Zon Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ) dan lubang hitam terbesar yang ditinggalkannya tidak mungkin dapat ditutup dalam tempoh dekat.

Hampir tumbangnya kerajaan pimpinan Najib Razak gara-gara ahli-ahli parlimen BN tuang (ponteng) sidang Parlimen semasa undian untuk meluluskan Bajet 2010, tentulah mengerikan penyokong BN.

Lebih menakutkan kekurangan undian padu (solid vote) untuk Najib itu memang direstui oleh ahli-ahli parlimen BN itu sendiri kerana sudah berasa malas. Di peringkat antarabangsa, kita nampaknya belum mencapai kedudukan (standing) terhormat seperti dulu.

Kerajaan seakan nampak tidak padu (solid). Isu Biro Tatanegara (BTN) sahaja, pimpinan utama berbelah bagi. Enjin jet TUDM, seakan -akan kerajaan terbahagi dua antara ingin mendedahkan dan ingin mendiamkan.

Perdana menteri mungkin mengikuti jejak Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) - lebih banyak berdiam daripada memberikan respons segera. Perdana menteri seakan-akan terpisah daripada realiti.

Beliau lebih memberi fokus terhadap agenda yang hendak ditonjolkan yang dirangka oleh penasihat strategik beliau dan pasif terhadap isu sebenar yang berbangkit saban hari.

Beliau petah ketika membincangkan agenda utopia rangkaan kumpulan penasihat dan seakan-akan membiarkan isu sebenar bergerak sendiri.

Dalam sesetengah hal, kita mengulangi keadaan seakan-akan kerajaan dipandu secara autopilot dalam urusan seharian kerana pimpinan sibuk menyiapkan gagasan utopia untuk dijadikan gula-gula.

Banyak keadaan terkunci pada mode lama, termasuk tatacara piawai operasi (SOP) urusan diplomatik dan luar negara.

Belum dibincangkan susunan parti-parti komponen. Keadaan nampaknya kritikal. Peluang untuk rencana perubahan mengambil tempat lebih kukuh terbuka luas.

Asal pemain-pemain agenda perubahan tidak pula terperangkap dengan isu dalaman yang tidak mustahak. Kemuncup-kemuncup sekalipun, jika tidak diurus, boleh menghilangkan fokus dan menjadi kulit pisang yang licin dan membahayakan.

Konsep berkerajaan yang baik ialah pengasingan antara hal-hal keluarga (family matters) dan hal-ehwal berkerajaan (state matters). Bukan sahaja dari segi perundangan (legally), tetapi juga dari segi moral (morally).

PAS - satu masa dulu pernah digelar 'Parti Asri Sekeluarga' - kerana pemegang beberapa jawatan tinggi ada kaitan keluarga dengan presiden PAS waktu itu Datuk Asri Muda.

Serangan sedemikian, ketika PAS berdepan dengan krisis politik pada waktu itu, merugikan PAS dan menjadi modal lawan yang berkesan sekali.

Antara isu yang sukar ditepis oleh Dr Mahathir Mohamad ialah penglibatan anak-anaknya dalam perniagaan. Isu menyelamatkan (bail out) syarikat kapal Mirzan oleh Petronas kekal dibangkitkan sampai ke hari ini.

Anaknya yang lain Mokhzani akhirnya membuat pengumuman berundur daripada dunia korporat apabila menjadi sasaran serangan dan digunakan sebagai bukti amalan kronisme Dr Mahathir sekitar awal 1990-an.

Abdullah Badawi sangat popular sebelum isu anak dan menantunya muncul dalam kehidupan politiknya. Beliau berjaya membawa Umno/BN menang paling besar dalam sejarah politik negara pada tahun 2004.

Selepas riak dan alpa dengan kemenangan besar itulah, isu penglibatan perniagaan syarikat anaknya Scomi mula menikam politik beliau. Ditambah dengan penglibatan ekonomi dan politik Khairy Jamaluddin (KJ), Abdullah akhirnya kecundang dalam masa yang sangat singkat.

Anak dan menantu, atau keluarganya, gagal mempertahankan beliau. KJ telah berkhidmat secara langsung dengan Pak Lah melalui jawatan di Tingkat Empat, yang tidak lama kemudian ditentang hebat termasuk oleh ahli Umno sendiri.

KJ kemudian memperolehi saham ECM Libra, yang menjadi isu hangat.

Sekalipun KJ melepaskan jawatannya di Tingkat Empat dan menjual sahamnya dalam ECM Libra, namun Pak Lah terus dikaitkan dengan KJ dan anaknya Kamaludin dalam banyak perkara.

KJ berada di belakang semua keputusan Pak Lah - dalam minda hampir semua orang.

Namun, politik Malaysia memandang serong politik keluarga seperti ini. Kemenangan besar tahun 2004 tidak berulang. Isu-isu keluarga antara penyumbang kepada tumbangnya Pak Lah selepas pilihan raya 2008.

Dihimpit antara kritikalnya kedudukan negara dan sedikit sebanyak gangguan dalaman yang wujud, peliharalah integriti pemimpin-pemimpin kita dengan anggota keluarga tidak merasa diri mereka adalah pemegang kepentingan (stake holder) yang lebih penting daripada pihak yang dipilih oleh rakyat secara yang sah.

Dilihat daripada sirah Rasulullah, ada keadaan-keadaan di mana anggota keluarga memberikan pandangan atau diminta pandangan dalam pelbagai isu.

Namun, keputusan akhir di tangan Rasulullah SAW dan isu-isu itu pula bukan berbentuk habuan kewangan (monetary gain) atau percaturan politik keluarga tetapi lebih kepada kepentingan awam (public interest).

A'isyah memberi pendapat kepada suami baginda bahawa ayahandanya Abu Bakar seorang yang penghiba dan tidak perlu dilantik menggantikan Rasulullah sebagai imam solat yang dikira penting. Rasulullah SAW meneruskan hasrat baginda.

A'isyah memberikan pandangan itu atas kepentingan awam dan bukan untuk kepentingan dirinya sendiri.

Salah seorang isteri Rasulullah memberikan idea Rasulullah mesti memulakan tahalullul sebagai penyelesaian terhadap keengganan sesetengah sahabat menerima terma perjanjian Hudaibiyyah dan idea ini diterima dan berjaya.

Namun, sampai kepada isu habuan kewangan, kedaulatan undang-undang dan isu pentadbiran yang lain, Rasulullah mengambil sikap menjunjung prinsip pemisahan itu mengatasi hubungan kekeluargaan.

Baginda sampai berkata, kalau anaknya sendiri didapati melakukan jenayah, hukuman sepatutnya akan dikenakan dan ia akan dilakukan oleh baginda sendiri.

Batas inilah yang perlu dipelihara ketika masyarakat sedang tertunggu-tunggukan kebangkitan yang padu (solid) tanpa kecelaruan sedangkan kecelaruan tersebut boleh dielakkan.

Sebuah lagi rekod dunia tercipta sebelum 2009 berakhir

Belum sempat tirai 2009 berlabuh, kita dikejutkan dengan berita besar yang sukar untuk dipercayai apatah lagi Malaysia seringkali berbangga dengan kehandalan pasukan keselamatan negara.Tanpa angin bertiup, tanpa ribut kencang, tanpa banjir besar, tiba-tiba sebuah akhbar arus perdana yang dekat dengan pemerintahan negara “membocorkan” berita mengenai kehilangan enjin jet pejuang F-5E yang dikatakan berharga RM50 juta sebuah dari Gudang Matra 1 di Pengkalan Udara Sungai Besi.

Berita kehilangan enjin jet ini telah mengundang reaksi daripada pelbagai pihak. Berita ini sudah pasti akan menggemparkan negara apatah lagi yang hilang bukanlah enjin “mesin potong rumput” milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bernilai RM200, akan tetapi yang hilang adalah dua enjin jet pejuang F-5E bernilai RM 100 juta.

Seperti kes “kematian” Teoh Beng Hock di bangunan MACC Selangor, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berjanji bahawa “no cover up” dalam kes kehilangan enjin jet ini. Tetapi tahukah beliau, jika benar-benar “no cover up”, beliau sendirilah yang harus disiasat oleh kerana beliaulah Menteri Pertahanan Malaysia, ketika enjin tersebut hilang!

Walaupun “boleh jadi” beliau tidak tahu menahu mengenai kehilangan kedua-dua enjin jet pejuang tersebut, sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap Kementerian Pertahanan pada ketika itu, beliau harus dipertanggungjawabkan diatas kehilangan enjin jet pejuang tersebut.

Apatah lagi kini Najib telah menjadi perdana menteri Malaysia, kan “tak manis” dipandang orang apabila perdana menteri Malaysia adalah bekas menteri pertahanan yang sewaktu menjaga Kementerian Pertahanan, dua enjin jet pejuang F-5E hilang dijual kepada syarikat asing.

Bukan enjin sahaja hilang, banyak lagi yang hilang

Belumpun heboh mengenai berita kehilangan enjin reda, menteri pertahanan kini, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan bahawa selain enjin jet, banyak lagi peralatan milik ATM hilang.

Zahid tidak memberitahu pula peralatan apa yang hilang dan berapa jumlah kerugian, akan tetapi terus memberikan amaran kepada penulis-penulis blog agar tidak mensensasikan dan membuat spekulasi mengenai perkara ini.

Ini satu lagi yang saya tidak faham. Tak ada angin dan tak ada ribut, tiba-tiba Zahid memberikan amaran kepada penulis-penulis blog walaupun yang mendedahkan berita mengenai kes kehilangan dua enjin jet pejuang tersebut adalah sebuah akhbar arus perdana yang dekat dengan kekuasaan dan beliau sendiri yang mendedahkan mengenai kehilangan peralatan lain ATM. Apakah “ada udang disebalik batu”?

Jika Zahid memberikan amaran kepada penulis-penulis blog agar tidak mensensasikan atau membuat spekulasi mengenai kehilangan “enjin keretanya” tidak mengapalah kerana itu adalah milik peribadinya.

Enjin jet pejuang dan peralatan-peralatan ATM yang hilang adalah milik negara dan secara langsung berkaitan dengan rakyat Malaysia. Kerajaan yang memerintah hanya diamanahkan untuk menjaga harta milik negara dan bukannya memilik peribadikan harta milik negara.

Oleh itu spekulasi mengenai kes kehilangan enjin jet pejuang ini tidak akan terhenti begitu saja. Tambah lagi apabila Zahid memberikan amaran, maka akan bertambah ramailah penulis-penulis blog yang akan mengulas isu ini. Sudah menjadi lumrah manusia, lagi dilarang lagi suka dibuatnya.

Enjin jet kini di Argentina?

Dikhabarkan, enjin jet pejuang tersebut disedari hilang pada bulan Mei 2008 pada ketika Jeneral Azizan Ariffin yang kini merupakan Ketua ATM masih lagi ketua Tentera Udara. Kehilangan disedari apabila Azizan mengarahkan akan audit dibuat terhadap aset Tentera Udara. Pada ketika audit dibuat, barulah disedari dua enjin yang bernilai RM100 juta hilang. Laporan polis telah dibuat pada bulan Ogos 2008 diatas kehilangan enjin jet tersebut.

Akhbar arus perdana yang membocorkan berita mengenai kehilangan enjin jet pejuang milik ATM turut melaporkan bahawa seorang brigadier-jeneral dan 40 lagi anggota ATM telah dipecat dan enjin jet tersebut dipercayai telah dijual kepada sebuah syarikat antarabangsa yang berpengkalan di Amerika Selatan.

Terbaru Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mendakwa bahawa hasil daripada siasatan polis, kedua-dua enjin jet tersebut dipercayai berada di Argentina dan polis masih lagi menyiasat sama ada kedua-dua enjin tersebut masih lagi berada di negara tersebut.

Akan tetapi pada 22 Disember 2009, akhbar arus perdana yang membocorkan kes kehilangan enjin jet pejuang tersebut melaporkan bahawa terdapat laporan perisikan negara yang mengatakan bahawa kedua enjin jet tersebut kemudiannya dihantar ke sebuah negara di Timur Tengah yang mengalami sekatan daripada Amerika Syarikat. Negara Timur Tengah tersebut turut dikatakan sedang bercita-cita untuk membangunkan jet pejuang mereka sendiri.

Sekarang kita masih tertanya-tanya apakah enjin jet tersebut berada di Argentina atau berada di negara Timur Tengah yang tidak disukai oleh Amerika Syarikat itu? Jika berada di Argentina, masalah tidak begitu besar. Jika berada di negara Timur Tengah yang tidak disukai oleh Amerika Syarikat itu, apakah impak dan kesannya kepada negara dikala Amerika Syarikat merupakan rakan dagangan Malaysia yang sangat penting?

Banyak persoalan misteri yang bermain di fikiran saya dalam kes kehilangan enjin jet pejuang ini. Diantaranya ialah, mengapa setelah sekian lama, baru sekarang kes kehilangan enjin jet ini dibocorkan?

Kedua, mengapa secara tiba-tiba kes ini ditimbulkan kepada umum?

Ketiga, dimanakah sebenarnya enjin jet tersebut berada?

Rakyat Malaysia mudah lupa?

Apa-apa pun rakyat seharusnya berbangga kerana sekali lagi Malaysia berjaya mencipta rekod dunia. Enjin jet pejuang yang begitu besar saiznya boleh hilang dengan mudah di Malaysia. Jika enjin “mesin rumput” boleh juga disorokkan dalam “bonet” kereta, tidak boleh terbayang pula bagaimana hendak menyorokkan enjin jet yang sangat besar saiznya.

Seperti biasa, akan ada beberapa orang yang akan didakwa dalam kes ini. Yang pastinya hanyalah “ikan-ikan bilis” dan bukannya “ikan-ikan jerung” besar!

Sudah pasti seronok menjadi pemimpin negara Malaysia. Walaupun enjin jet yang berharga RM100 juta hilang, tidak akan ada tindakan yang akan diambil oleh rakyat. Lama kelamaan rakyat pasti akan lupa.

Kalau ada yang bising pun, hanya sekadar di blog dan ruangan komen blog. Sebab itu Zahid memberikan amaran kepada penulis-penulis blog agar tidak mensensasikan dan membuat spekulasi mengenai isu ini.

Tidak hairanlah begitu ramai orang berebut-rebut untuk menjadi pemimpin negara Malaysia sehinggakan Malaysia kini berada di ambang sistem dua parti.

Di Malaysia mudah, pemimpin boleh buat apa saja. Lama-kelamaan rakyat pasti lupa. Sebenarnya Tun Dr Mahathir Mohamad silap, bukan Melayu sahaja yang mudah lupa, seluruh rakyat Malaysia pun sama. Saya cadangkan agar Mahathir menulis buku baru yang bertajuk “Dilemma Malaysia” yang mengulas mengenai sikap rakyat Malaysia yang seringkali terlupa.

Jika menjadi pemimpin di negara Filipina susah. Silap sikit rakyat protes. Salah sikit rakyat protes. Tahun 1986, Presiden Marcos dijatuhkan melalui “people power”. 15 tahun kemudian Presiden Joseph Estrada pula dijatuhkan melalui “people power 2”.

Selamat tahun baru kepada Malaysia. Diharapkan agar tahun 2010 akan menyaksikan Malaysia mencipta rekod-rekod baru dunia yang lebih hebat dari rekod-rekod 2009

Tamatkan Perkhidmatan MiG-29 Untungkan Orang Tengah?

Benarkah tindakan kerajaan menamatkan perkhidmatan pesawat pejuang MiG-29 yang bernilai ratusan juta ringgit tahun depan dipengaruhi 'orang tengah' yang bakal mengaut keuntungan hasil jual beli pesawat berkenaan

Itu persoalan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang turut mempertikaikan pelupusan jet-jet yang berusia tidak sampai 20 tahun terbabit sedangkan India dan Rusia masih menggunakannya dalam tempoh lebih lama.

Bekas Perdana Menteri itu hairan bagaimana kerajaan mahu menggantikan pesawat pejuang pemintas itu dengan yang baru dalam keadaan ekonomi negara masih tidak menentu sekarang.

"Penjualan dan pembelian pesawat oleh kerajaan mampu memberi keuntungan besar (berjuta-juta ringgit) kepada orang tengah. Apakah ada kepentingan orang tengah yang mempengaruhi keputusan kondem MiG-29 untuk beli yang baru," tegas beliau dalam blog popularnya, Che Det di sini hari ini.

Beliau mengulas keputusan kerajaan yang diumumkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika menghadiri sidang Dewan Rakyat baru-baru ini yang berkata perkhidmatan MiG-29 akan diberhentikan pada tahun depan.

Ahmad Zahid memberitahu, penamatan perkhidmatan pesawat selama 10 tahun itu kerana peningkatan ketara kos penyelenggaraan dan operasi jet-jet MiG-29N sebanyak 16 pesawat itu.

Antara pesawat yang menjadi pertimbangan untuk menggantikan skuadron itu ialah SU-35, FA-18 E/F Super Hornet, JAS Gripen, Eurofighter Typhoon, Dassault Aviation Rafael, F-16 C/D Block 52 dan mungkin juga F-15 Eagle.

Dr. Mahathir berkata, kerajaan sepatutnya membaik pulih pesawat-pesawat berkenaan dengan menggunakan kepakaran Rusia dan India yang turut menggunakan pesawat pejuang yang sama jika tentera Udara Diaraja Malaysia (TUDM) tidak mempunyai kepakaran.

"Tak bolehkah kita baik pulih MiG-29 ini? Kalau kita tak boleh, orang Rusia mungkin boleh. Mungkin India juga boleh. Jika pesawat pejuang yang berharga ratusan juta hanya tahan 20 tahun, lebih baik kita tidak ada pesawat pejuang," tegasnya.

Kata beliau, banyak yang telah dibelanjakan untuk membeli dan menyelenggara jet-jet berkenaan, malah perbelanjaan akan bertambah jika kerajaan berhasrat membeli pesawat baru

"Walaupun pesawat tentera Rusia lebih murah daripada buatan Amerika, tetapi wang yang banyak terpaksa dibelanja juga. Kalau lupuskan ratusan juta ringgit akan hilang," jelas beliau.

Beliau berkata, walaupun pesawat pejuang buatan Amerika Syarikat (AS) kononnya tahan lebih lama seperti pembelian FA-18 tetapi sebaliknya pembelian dengan negara itu tidak menguntungkan pertahanan Malaysia.

AS, kata Dr. Mahathir, mengenakan syarat yang sangat ketat sehinggakan pesawat FA-18 itu hanya boleh digunakan untuk pameran semata-mata.

"Mereka tidak beri source code yang mana ini mengehadkan kegunaan FA-18 untuk pameran sahaja," ujar beliau.

PAS Kelantan Sedia Pinda Undang-Undang Bolehkan Bukan Melayu Jadi MB

Kerajaan Pas Kelantan sedia meminda Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri bagi membolehkan orang bukan Melayu beragama Islam menjadi Menteri Besar negeri itu

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata bukanlah menjadi persoalan untuk meminda peruntukan dalam undang-undang berkenaan asalkan ia selari dengan kehendakIslam seperti diperkenalkan Pas sejak memerintah Kelantan pada 1990.

"Undang-undang Kelantan itu lain kerana ia dibuat pada zaman itu. Benda itu boleh diubah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ijtimak Ulama Muda Negeri Kelantan di sini hari ini.

Nik Aziz berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataannya yang akan menyokong mana-mana calon bukan Melayu menjadi Menteri Besar selepas beliau asalkan orang itu beragama Islam.

Beliau berkata mengikut dasar Islam sendiri, asalkan calon berkenaan berakhlak baik dan mengamalkan ajaran Islam dengan sebenarnya, mereka layak untuk dijadikan pemimpin.

"Itu sebabnya kita jangan berpegang kepada bangsa sebaliknya berpegang kepada mereka yang mengamalkan ajaran Islam, barulah Islam itu dihormati.

"Langkah ini (melantik bukan Melayu) menjadi menteri besar sudah tentu Islamitu sendiri akan dihormati dan lebih ramai yang menjadikan Islam sebagai pegangan agama," katanya.

Ketika menyentuh perkara yang sama dalam ucapannya, Nik Aziz berkata beliau sendiri akan mencadangkan mana-mana pemimpin bukan Melayu beragama Islam yang layak untuk menjadi penggantinya

Monday, December 28, 2009

Jika Lembaga Disiplin PAS Menyiasat PKFZ

Oleh ramziredang

"Kau orang nak kata apa, itu kau orang punya pandangan. Tetapi pada pandangan aku lembaga disiplin PAS lembab. Siasat pasal satu hal macam Hasan Ali tu pun dah memakan masa berbulan, bayangkan jika kita memerintah negara dan menyiasat perkara seperti PKFZ, mungkin beratus tahun kut baru leh siap.

Mungkin inilah akibatnya bila kita selalu melihat dan komen keburukan pihak lawan tetapi pada masa yang sama kita tidak melihat kelemahan kita sendiri. Lupakah kita tiap tindakan kita akan menggambarkan kebolehan sebenar kita bila memerintah negara?

Pada tindakan yang seperti inikah rakyat ingin meletakkan kepercayaan untuk kita menggalas beban rakyat? Itu baru satu kes, jika andai ada berpuluh puluh kes, maka akan bertimbun-timbunlah fail yang akan terlonggok di atas meja. Dengan alasan tidak mahu ada pihak yang teraniaya. Alangkah lemahnya gambaran keadilan dalam pandangan kita.

Pada aku makin cepat ianya diselesaikan maka makin cepatlah jawapan yang ditunggu oleh rakyat. Jika sendainya Hasan Ali tidak bersalah maka cepatlah namanya dapat dibersihkan. Lambat dan cepat akan memberi tanggapan negatif kepada banyak pihak. Jika kita berada di pihak Hasan Ali sendiripun, kita mengharap keputusan yang segera samada bersalah ataupun tidak.

Pada aku bersalah atau tidak adalah perkara kedua, tetapi menyelesaikan satu satu isu adalah lebih utama. Itu menggambarkan kecekapan kita dalam menyiasat dan menyelesaikan sesuatu. Bagi aku lembaga disiplin PAS telah gagal menggambarkan bahawa mereka dapat bekerja dengan cekap. Mereka telah gagal untuk memberi keyakinan kepada rakyat tentang kecekapan kita mentadbir negara jika di beri peluang.

Kekadang terfikir, siasatan lembaga disiplin kita dah jadi macam mahkamah negara kita, yang sengaja mengheret perbicaraan menjadi agak lama, supaya rakyat mula sejuk dan lupa akan isu yang berlaku. Kelambatan keputusan yang dicapai itu sendiri seolah olah membuat kita dapat meneka apa keputusan yang akan diumumkan oleh mahkamah.

Sama samalah kita nantikan.

Friday, December 25, 2009

Tiga Perkara Yang Merosakkan PAS

Konvensyen Pakatan Rakyat yang memperuntukkan secara jelas polisi negara termasuk kedudukan Islam dan bahasa Melayu sekiranya berkuasa, menjadika n Umno sawan. Tanpa segan silu, Umno bersedia menjadi ‘penasihat’ PAS supaya tidak menggadai prinsip perjuangan. Macamlah perjuangan Umno punya prinsip…!

PAS bukan parti kebangsaan songsang dan sempit macam Umno. Semenjak tahun 1990 sampai sekarang orang Melayu Kelantan terus dianaktirikan oleh Umno. Hanya kerana di sana PAS berkerajaan. Orang Melayu di negeri Umno berkerajaan juga tidak kemana pun.

Di Pulau Pinang, Umno sibuk untuk mengambil kerusi pengerusi BN negeri. Umno nak buat apa dengan jawatan itu? Nak bela Melayu Pulau Pinang? Melayu di Terengganu, negeri terkaya itu pun Umno tidak terbela, inikan pula Melayu Pulau Pinang.

Justeru, PAS tidak boleh mengikuti jejak Umno. Jejak yang memusnahkan, bukan sekadar masa depan PAS tetapi masa depan kepada harapan rakyat Malaysia.

Pertama, PAS tidak boleh menjadikan agenda Melayu sebagai asas perjuangannya, seperti Umno. Apabila PAS dapat tegak dengan prinsip keadilan dan kesaksamaan, pasti tiada yang terpinggir dan teraniaya, baik Melayu atau sesiapa sahaja.

Keadilan melangkaui batas bangsa. Teras kepada keadilan ialah memulangkan hak kepada yang berhak. Orang Melayu ada haknya, sama seperti orang lain. Bukan membela namanya, apabila pembelaan itu dilakukan atas nama bangsa dengan mengenepikan nilai-nilai keadilan sejagat.

Paksi PAS adalah keadilan dan keadilan juga adalah paksi Islam.

Kedua, PAS tidak boleh bekerjasama dengan Umno. Mana mungkin PAS bekerjasama dengan parti yang memijak mahkamah, memperkosa sistem demokrasi, melontar jauh-jauh kemanusiaan rakyat.

Institusi utama negara yang mana satu yang tidak pernah dinodai oleh Umno? Sebut sahaja; SPR, SPRM, polis, mahkamah, parlimen atau mufti?

Negara ini hanya mampu menjadi baik apabila dikendali oleh golongan yang menjulang keadilan.

Benar, parti-parti sekutu PAS dalam Pakatan Rakyat ada kelemahan dan kesilapan masing-masing. Namun kelemahan dan kesilapan mereka tetap ada batas sempadannya. Memang ada masanya mereka bercakap ‘lepas’, tetapi mereka tidak pernah menzalimi orang lain.

‘Say no to Umno’.

Ketiga, PAS tidak boleh curang terhadap Pakatan Rakyat. Dalam ungkapan lain, kesetiaan PAS terhadap Pakatan Rakyat tidak boleh berbelah bagi.

Belum pernah berlaku dalam sejarah PAS, satu persetiaan yang harmonis terjalin seperti persetiaan yang terhasil semasa konvensyen yang lalu. Akui Anwar, BN sendiri tidak mempunyai dokumen persetiaan dasar seperti yang dimiliki Pakatan Rakyat.

Persetiaan itu bukan sekadar helaian kertas, tetapi persetiaan yang tersimpul harapan rakyat. Mencabuli persetiaan itu sama seperti mencabuli harapan mereka.

Agenda Melayu, bekerjasama dengan Umno dan curang dalam persetiaan dalam Pakatan pasti meruntuhkan PAS. Kita yakin, itu tidak akan berlaku kini dan akan datang juga.

Enjin jet TUDM hilang mungkin empat?

Jumlah enjin jet pejuang milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang hilang setakat ini hanya dua ataupun lebih daripada itu?

Kekhuatiran ini ditimbulkan oleh Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan mengambil kira beberapa perkembangan semasa.

"Mula-mula kata satu, kemudian dua... jadi apakah benar apa yang saya dengar kemungkinan yang hilang sebenarnya empat enjin?" kata beliau.

Azan mendakwa maklumat awal yang diterima menunjukkan kemungkinan jumlah enjin yang hilang, yang bilangannya hanya dua setakat ini, kemungkinan sudah sampai empat.

"Saya difahamkan kemungkinan empat enjin yang hilang, bukannya dua. Tetapi saya belum menerima bukti yang kukuh... berdasarkan maklumt diterima oleh saya, mungkin empat enjin sudah hilang.

"Saya berharap pihak berkuasa dapat memberikan laporan lengkap kepada umum mengenai isu ini... menjelaskan kepada umum keadaan sebenar," kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Selain pendirian Jabatan Peguam Negara yang meminta agar polis menjalankan siasatan rapi, kata Azan, beliau mengesyaki perkara itu kerana Laporan Audit 2008 tidak menyertakan bahagian yang membabitkan Kementerian Pertahanan.

"Jadi timbul persoalan, sama ada Jabatan Audit Negara adalah membuat audit berkaitan dengan pengurusan Kementerian Pertahanan buat tahun 2008 dan jika ada, apakah ia ada mengenal pasti masalah besar sehingga bahagian berkaitan Kementerian Pertahanan tidak dimasukkan.

"Ataupun sememangnya Jabatan Audit Negara tidak membuat audit langsung mengenai Kementerian Pertahanan. Laporan 2007 ada memasukan Kementerian Pertahanan, yang antara lain menyentuh soal program latihan khidmat negara tetapi tahun 2008 tiada," kata Azan yang juga Timbalan Pengerusi PKR Pahang.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata siasatan polis berhubung kes kehilangan dua enjin pesawat pemintas F-5E milik TUDM kini tertumpu kepada bagaimana ia dibawa keluar merentasi sempadan negara.

Kata beliau pihaknya dalam proses mengumpul dokumen-dokumen penting bagi menyiasat perkara tersebut.

"Peguam Negara (Tan Sri Abdul Gani Patail) yang minta kita membuat siasatan ini (bagaimana enjin itu boleh ke luar negara). Jadi kita dalam proses untuk mendapatkan dokumen-dokumen penting," katanya.

Salah sebuah enjin jet pesawat supersonik yang dicuri dua tahun lalu itu didakwa 'ditemui' di Argentina.

Menurut laporan akhbar, enjin turbo jet General Electric J85-21A tersebut untuk kegunaan pesawat F-5E Tiger 11 satu tempat duduk dan RF-5E Tigereye telah dibawa keluar menerusi Pelabuhan Klang ke sebuah negara ketiga sebelum ia tiba ke destinasi akhir iaitu di Argentina.

Awal minggu ini, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata selain dua buah enjin pesawat tempur F-5E yang dilaporkan hilang, peralatan lain yang berkaitan turut lesap.

Enjin jet hilang dosa kepada rakyat, kata Nik Aziz

Pihak-pihak terlibat dalam insiden kehilangan enjin jet pejuang milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) termasuk dipercayai didalangi warga kerjanya telah berdosa kepada setiap rakyat negara ini, kata Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Orang yang terlibat bukan saja berdosa dengan Tuhan, tapi berdosa juga dengan rakyat. Kalau rakyat Malaysia ini ada seramai 30 juta, maka orang itu berdosa dengan 30 juta rakyat.

“Sebab enjin itu adalah hak kerajaan dan bila sebut kerajaan ia termasuk lah semua rakyat,” kata Menteri Besar Kelantan ketika menyampaikan kuliah mingguannya di Dataran Ilmu di sini hari ini.

Dengan nada yang sinis Nik Aziz berkata mustahil enjin itu boleh hilang dengan begitu mudah jika tidak ada dalang atau pengatur skrip di sebalik tragedi itu memandangkan prosedur kawalan ketat di pangkalan TUDM.

Baru-baru ini insiden kehilangan dua enjin jet pejuang F-5E milik TUDM mengejutkan banyak pihak.

Sistem kawalan keselamatan negara dipandang rapuh apabila Menteri Pertahanan, Datuk Zahid Hamidi mendedahkan di samping enjin beberapa peralatan kelengkapan lain juga didapati hilang.

Ketua Pemuda PAS pusat, Nasrudin Hassan Tantawi menyifatkan insiden tersebut sebagai memalukan negara sekali gus mempersoalkan sistem kawalan keselamatan negara.

“Jelas sekali aspek keselamatan begitu rapuh sehingga harta yang begitu penting kepada pertahanan negara boleh lesap begitu sahaja,” katanya.

Thursday, December 24, 2009

Nizar akan kembali sebagai MB

Ada khabar yang mengatakan SUK Perak minta pindah KL

Apa maknanya ini??

Dulu... si SUK Perak ni, bukan main biadap lagi dengan Nizar Jamaluddin, MB Perak dari Pakatan Rakyat. Samdol ni berlagak, betul-betul macam barua UMNO/BN. Memang tak mengasi!! Eeeeiiii... tak pernah aku jumpa manusia yang tak semiak seperti SUK Perak yang sekor ni. Moo... mooo.. sebijik macam lembu udah kena cucuk hidung.

Sekarang, si samdol ni akan atau entah-entah udah pun ditukarkan ke KL. Apakah ini satu ini petanda yang Nizar akan kembali semula ke SUK Perak sebagai MB Perak yang sah. Tak tahan agaknya si SUK, nak bersemuka semula dengan BOSS lama dia, yang dulunya dia derhakai. Mungkin, sebab itu lari ke KL.

Walau pun kes Nizar telah selesai dibicarakan oleh Mahkamah Persekutuan pada 5 November yang lalu, namun hingga kini keputusan yang tertangguh masih tidak ada khabar dan berita yang rasmi. Siapa MB Perak?? Nizar ke MB rakyat yang sah atau si Zambry ke MB ciptaan Mahkamah??

Spekualsi bertiup kencang kononnya, keputusan sudah ada, tetapi sengaja ditangguhkan lama-lama bagi memberi cukup masa untuk Zambry bersedia menghadapi kemungkinannya DUN dibubarkan dan pilihan raya akan diadakan semula. Pandai komer ya?? Guna apa yang boleh diperkudakan untuk kepentingan komer!!

Tapi....wallahualam ler. Itu semua spekulasi belaka. Harap-harapnya, semuanya betul. Biar DUN Perak bubar dan serahkan semula kuasa kepada rakyat untuk menentukan semula kerajaan mana yang mereka suka. Kalau mereka pilih Pakatan Rakyat... alhamdulillah, tetapi sekiranya UBN menjadi pilihan, terserah ler. Kita hormati hak dan pilihan mereka.

Keputusan siapa MB Perak belum diisytiharkan lagi tetapi malaun SUK sudah melarikan diri. Entah-entah... lain-lain yang rasakan diri mereka 'haram' sudah panas bontot kot?? Ha ha ha.... Ganesan, Speaker DUN Perak yang haram, apa macam?? Tak mau lari ka??

Beranikah Najib lawan Sheikh Dr Yusuf Al-Qardhawi

 Najib sudah tentu menelan air liur sepahit hempedu apabila mengetahui tindakan yang difikirkan dapat membersihkan Kerajaan BN dengan membawa ulama tersohor Sheikh Dr Yusuf Al-Qardhawi ke Malaysia untuk dinobatkan tokoh Maal Hijrah 1431 kini menjadi peluru untuk menembak beliau kembali..

Ini dapat dilihat dengan kenyataan Ulama Tersohor tersebut yang akan membela Anwar Ibrahim daripada tuduhan liwat..

Agaknya penasihat 25% yang berada disekeliling Najib sudah berpaling tadah untuk menjahanamkannya.

Masakan tidak para penasihat 25% itu tidak mengetahui hubungan baik Anwar dan Sheikh Dr Yusuf Al-Qardhawi..

Mari kita saksikan pertembungan "balaci"Puaka Tok Moh Rosmoh yang akan membela Saiful melawan Sheikh Dr Yusuf Al-Qardhawi yang membela Anwar..

Siapa yang wajib dipercayai..?...Lu pikir la sendiri..!!!

Yusuf Qardhawi Rujuk Penangguhan Kes Qazaf Anwar Ibrahim Ke Perhatian Dunia Islam

Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Sheikh Dr Yusuf Al-Qardhawi berjanji akan membawa isu fitnah liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim ke persada antarabangsa untuk diselesaikan secara syarie.

Justeru, tokoh Islam terkemuka itu akan menggunakan pengaruh beliau untuk bertemu dengan organisasi Islam antarabangsa dan pemimpin Islam terkenal diseluruh dunia dalam masa terdekat.

“Hingga ini kes itu kata syeikh qardawi hendaklah diangkat dengan lebih kuat dan luas seantero dunia supaya datuk seri anwar terbela.

“Dari segi syarak dan digerakkan wadah-wadah antarabangsa seperti kesatuan ulama islam sedunia, dan juga untuk di kemukakan dengan lebih luas untuk sama-sama bekerjasama menyelesaikan kes fitnah anwar,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi pertemuan khas Yusuf bersama Anwar Ibrahim di Putrajaya, semalam.

Pemimpin Sunnah Wal Jamaah Tegas Anwar Tidak Bersalah

Pengerusi Kesatuan Ulamak Sedunia Sheikh Dr Yusuf Abdullah Al-Qaradawi yakin Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bersalah dan menjadi mangsa fitnah berhubung pertuduhan liwat terhadap beliau.

Beliau turut mendesak agar kes qazaf yang difailkan terhadap Mohd Saiful Bukhari Azlan lebih setahun lalu dipercepatkan dan diselesaikan segera.
Tokoh Maaf Hijrah itu menegaskan Mahkamah Syariah tidak mempunyai alasan untuk melengah-lengahkan keadilan Islam kepada penuduh mahupun yang tertuduh.

Tambahan lagi dengan kesahihan daripada empat orang doktor yang membuktikan tiada kesan luka di bahagian sulit Saiful Bukhari Azlan.
“Dia yakin insyaallah anwar tidak bersalah dan isu ini akan dapat diselesaikan dengan tuntas,” katanya.

Ini dikatakan oleh Sheikh Al-Qardhawi dalam pertemuan dengan Anwar dan beberapa orang pemimpin Islam di Putrajaya Isnin lalu.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Dr Mohammad Nur Manuty yang turut hadir dalam perjumpaan itu memberitahu yusuf sangat yakin Anwar tidak bersalah.

“Syeikh Qardhawi amat menyokon penuh supaya kes ini jangan ditangguh-tangguhkan lagi dan segera diselesaikan mengikut pendekatan syariah, dan diserahkan kepada mahkamah tertinggi, kerana kata qardawi anwar dah mengalami kesengsaraan jiwa, keluarga, politik, beliau dlam keadaan yang diserang oleh pihak-pihak yang tidak bermoral,” katanya.

Sheikh Al-Qaradhawi yang dikurniakan Tokoh Maal Hijrah oleh kerajaan Malaysia berpendapat Anwar telah diserang daripada segi peribadi, keluarga dan politik oleh pihak yang tidak bermoral.

Hari muka semakin tenat buat mereka

Sehingga hari ini isu kehilangan injin pesawat tempur F5E milik TUDM yang bernilai RM50 juta terus diperkatakan. Yang paling menarik adalah reaksi bekas PM Dollah Badawi. Kata beliau kehilangan itu menjadikan kita sebagai bahan senda. Dollah ketika insiden itu berlaku adalah PM tetapi bukan Menteri Pertahanan
Mungkin Dollah tahu apa yang kita tak tahu.

Manakala di muka hadapan Sinar Harian hari ini, Menteri Pertahanan Zahid Hamidi berkata mereka yang terlibat dalam kehilangan ini adalah penderhaka. Kata beliau mereka bukan sekadar pencuri tetapi pengkhianat dan penderhaka kepada negara.

Rakan saya seorang jurutera awam swasta menghubungi saya bertanyakan mungkinkah Zahid menggunakan isu ini untuk menjatuhkan Menteri Pertahanan ketika itu? Saya tidak menafikan telahan beliau itu. Berbagai kemungkinan boleh dijangkakan. Apa pun krisis kepimpinan dalam Umno dan BN nampaknya tidak menampakkan hari redanya.

Dalam pada MCA, Gerakan,MIC dan PPP masing-masing bergelut untuk terus bernafas, Umno rakan kongsi terbesar BN nampaknya tidak terkecuali dari bala bencana.

Belum pun selesai kehangatan Bajet yang diluluskan dengan majoriti tipis tempoh hari di Dewan Rakyat, kini kita masing-masing sedang menunggu siapakah pengkhianat terbesar dalam kes injin pesawat yang hilang itu.

Saya sempat menasihatkan seorang rakan Umno diperingkat rendah baru-baru ini, henti-hentilah mahu melihat Umno bangkit merampas kuasa di Selangor. Jika bala bencana timpa-menimpa satu demi satu begini, kebencian rakyat akan semakin menebal, nanti jangankan mahu merampas semula kuasa, takut-takut yang ada dalam tangan pun akan terlolos begitu sahaja.

Saya percaya dengan rakan saya si jurutera tadi, banyak yang akan tertiarap apabila satu demi satu terselongkar dalam hari-hari mendatang. Tidak musathil ada yang mahu mengambil kesempatan menikam dari belankang untuk naik ke takhta tertinggi. Tidak mustahil sesama pimpinan tertinggi Umno akan berkuntau, bertikam-tikaman, berbomoh dan beracun untuk panjat ke atas. Tidak mustahil dalam pada terseret mereka yang terlibat ke tengah untuk menghadapi pengadilan, akan ada orang politik yang ditalkinkan.

Ringkasnya tidak mustahil dengan segala perkembangan ini jangka hayat BN yang telah sedia tenat itu bakal semakin nazak, mungkin juga terus kaku beku sedia untuk dimakamkan

Search This Blog