Saturday, May 23, 2009

MAHKAMAH RAYUAN KETEPIKAN DOKTRIN RAJA BERPERLEMBAGAAN

Jam menunjukkan pukul 2.30 pagi awal Januari 2010, Najib Tun Razak yang baru pulang ke rumah rasminya di Putrajaya tiba-tiba dikejutkan dengan satu surat dari Duli Yang Mulia Yang DiPertuan Agung ( YDPA ) bahawa beliau dan Rosmah hendaklah mengosongkan rumah rasminya kerana YDPA telah melantik orang lain sebagai Perdana Menteri menggantikan beliau.

Alasan YDPA di dalam surat tersebut adalah ahli-ahli Dewan Rakyat khususnya dari Pakatan Rakyat ( PR ) dan beberapa ahli BN yang mula menyokong PR telah berjumpa YDPA di Istana dan menyatakan bahawa mereka tidak lagi yakin dengan Najib dan mahu orang lain sama ada Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang atau Dato Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Surat YDPA juga menyatakan bahawa jika Najib tidak meletak jawatan beliau hendaklah dipecat dari jawatannya sebagai Perdana Menteri.

Najib merengus marah manakala Rosmah berteriak macam orang yang kena histeria. Najib yang masih marah dan berang berkata : “ Macam mana Tuanku dengan sewenang-wenangnya memecat patik sedangkan Parlimen tidak mengadakan apa-apa sidang atau membawa apa-apa usul atau undi tidak percaya kepada patik. Patik tidak nampak mana –mana peruntukkan di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa kepada Tuanku untuk memecat patik sebagai Perdana Menteri. Macam mana patik boleh dengan mudah dipecat dan sebagai ganti dilantik orang lain sebagai Perdana Menteri sedangkan tidak ada sebarang undi tidak percaya diluluskan di Parlimen ke atas patik”.

Keluhan Najib didengar dengan tenang oleh YDPA . YDPA dengan senyum berkata kepada Najib : “ Adakah tuan hamba sudah lupa bahawa pada 22 hb Mei 2009 iaitu pada hari Jumaat jam 3.30 petang di tingkat bawah Palace of Justice, Putrajaya tiga orang Hakim Mahkamah Rayuan iaitu Yang Arif ( Y.A ) Dato Raus Sharif, Y.A Dato Ahmad Maarof dan Y.A Dato’ Zainon Ali telah sebulat suara memutuskan antara lain bahawa

a. Seorang Menteri Besar ( di peringkat Negeri ) atau Perdana Menteri ( PM ) di peringkat Pusat secara tersirat boleh dipecat atau diminta letak jawatan jika Sultan atau YDPA memutuskan bahawa MB atau PM tidak lagi mendapat sokongan majoriti ADUN atau Ahli-Ahli Parlimen.

b. Perkara 16 ( 6 ) Perlembagaan Perak atau Perkara 43 ( 4 ) Perlembagaan Persekutuan tidak menyebut bahawa kaedah bagi menentukan bahawa seorang MB atau PM hilang keyakinan majoriti ADUN atau ahli-ahli Parlimen adalah melalui undi tidak percaya ( votes of no confidence ).

c. Kes Stephen Kalong Ningkan ( 1966 ) iaitu kes yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi di Sarawak yang memutuskan bahawa Governor atau Sultan tidak ada kuasa memecat Ketua Menteri atau MB dan satu-satunya cara menentukan seorang MB atau PM hilang keyakinan ahli-ahli Dewan adalah melalui undi tidak percaya tidak boleh lagi dipakai.

YDPA seterusnya menambah : “ Bukankah keputusan Mahkamah Rayuan tersebut yang tuan hamba inginkan bagi meraih keuntungan politik jangka pendek tuan hamba dan parti tuan hamba. Bukankah tuan hamba yang berkeras tidak mahu mendengar keluhan rakyat dan pemimpin partai komponen tuan hamba sendiri supaya krisis di Perak diselesaikan secara aman dan melalui amalan demokratik iaitu dengan kembali kepada rakyat melalui Pilihanraya semula di Perak. Maaf tuan hamba, Beta terikat dengan keputusan tersebut dan tidak boleh buat apa-apa . Maka Beta dengan ini memerintahkan tuan hamba dan sekeluarga keluar dari rumah rasmi Perdana Menteri kerana tuan hamba bukan lagi Perdana Menteri Malaysia."

Najib tersentak dan lemah segala sendi manakala Rosmah pula terkaku dan jatuh pengsan. Tiba-tiba mereka sedar keputusan Mahkamah Rayuan hari ini kini telah makan diri. Jika keputusan yang paling wajar dan munasabah oleh Y.A Hakim Mahkamah Tinggi iaitu Y.A Dato’ Aziz Abdul Rahim yang memutuskan bahawa satu-satunya cara menentukan seorang MB atau PM hilang keyakinan ahli-ahli Dewan adalah melalui undi tidak percaya sekaligus mengekalkan doktrin Raja Berperlembagaan ( Constitutional Monarchy ) keputusan Mahkamah Rayuan pula ditafsirkan oleh ramai cendikiawan undang-undang telah melahirkan doktrin baru iaitu Raja Mutlak ( Absolute Monarchy ). Jika Raja Berperlembagaan melahirkan kesejahteraan sudah tentu doktrin Raja Mutlak akan melahirkan suasana yang tidak menyenangkan.

Sketsa di atas adalah , bagi saya, cara terbaik untuk memahamkan para pembaca tentang kesan keputusan Mahkamah Rayuan pada hari ini.

Sebagai seorang anggota pasukan peguam Nizar, saya menghormati keputusan Mahkamah Rayuan tersebut. Tapi saya tidak pasti keputusan tersebut akan diterima dengan baik oleh rakyat khususnya rakyat di Perak.

Dalam keadaan keyakinan rakyat kepada institusi kehakiman masih belum pulih sepenuhnya sudah tentu keputusan Mahkamah Rayuan tersebut tidak dapat lari dari cemuhan rakyat. Inilah masalahnya apabila sesebuah institusi dalam sebuah negara sudah hilang keabsahan ( legitimacy ). Di negara ini apabila BN memerintah terlalu lama dan keabsahan parti tersebut dipertikaikan turut sama terpalit adalah institusi keadilan seperti Mahkamah , Peguam Negara dan polis. Apabila rakyat hilang keyakinan kepada sistem keadilan , maka sebarang keputusan Mahkamah apatah lagi keputusan seperti keputusan Mahkamah Rayuan pada hari ini sudah tentu tidak akan mudah diterima sebagai satu keputusan yang adil dan telus.

Sejak dari awal rakyat sudah nampak macam ada sesuatu yang tidak kena kepada cara kes rayuan Zambry dikendalikan. Zambry kalah di Mahkamah Tinggi pada 11/5/2009. Mahkamah Tinggi menolak permohonan Zambry bagi menggantungkan perlaksanaan penghakiman.

Pada 12/5/2009 di sebelah pagi Zambry membuat permohonan bagi menggantungkan perlaksanaan penghakiman. Mahkamah Rayuan menetapkan tarikh pendengaran permohonan Zambry pada pagi hari yang sama . Tarikh pendengaran yang diberikan dengan tergesa-gesa sudah tentu memprejudiskan Nizar dan pasukan peguamnya bagi membuat persiapan yang teliti dan mendalam.

Pada tengah hari 12 hb Mei itu juga Y.A Hakim Dato Ramly membenarkan permohonan Zambry dan perintah diberikan tanpa sebarang syarat.

Nizar membuat permohonan bagi membatalkan perintah penggantungan yang diberikan kepada Zambry. Mulanya permohonan Nizar ditetapkan pada 18/5/2009 tetapi kemudiannya ditangguhkan pada 21/5/2009 iaitu pada hari yang sama rayuan Zambry didengar. Sudah tentu permohonan Nizar tidak lagi relevan untuk didengar atau seperti yang sering dikatakan ianya menjadi akademik.

21 hb Mei rayuan Zambry didengar dengan hujah lisan dan bertulis dikemukakan oleh pihak –pihak secara mendalam . Mahkamah hanya ambil masa satu hari sahaja untuk putuskan. Memang hebat Mahkamah boleh buat keputusan dalam masa satu hari .Tetapi cuba kita bayangkan jika kita menghantar baju untuk dijahit dan tukang jahit siapkan baju kita dalam satu hari- saudara boleh bayangkanlah tahap kualiti baju tersebut .

Suatu yang amat mengharukan kami ( pasukan peguam Nizar ) adalah meskipun Nizar kalah namun sambutan rakyat kepada kami di Mahkamah Rayuan hari ini seolah-olah menunjukkan Nizar yang menang dan bukannnya Zambry.

Untuk rakan pasukan peguam Nizar iaitu Tuan Haji Sulaiman Abdullah, Philip Khoo, Ranjit Singh, Razlan Hadri, Nga Hock Cheh, Chan Kok Keong, Mr .Leong, Edmond Bon, Amir Arshad dan Zulkarnain Lokman ingatlah keputusan hari ini tidak akan mematahkan semangat kita sebaliknya ia memberi semangat baru kepada kita untuk terus berjuang menentang kezaliman dan menegakkan keadilan . Kita jumpa lagi di Mahkamah Persekutuan insya’Allah.

Peguam Hanipa Maidin

DUN Penanti: Hanya 4 layak tanding, satu pencalonan ditolak

BUKIT MERTAJAM: Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti di Pulau Pinang hanya melibatkan persaingan empat penjuru ekoran satu pencalonan ditolak.

Pencalonan Mohd. Saberi Othman, 49, ditolak, demikian diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebentar tadi.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Roslan Yahya mengumumkan status pencalonan pada pukul 11.50 pagi tadi.

Roslan berkata, pencalonan Saberi ditolak kerana tidak cukup syarat.

Beliau tidak mengulas lanjut manakala Saberi pula terus beredar dari kawasan penamaan calon tanpa memberikan sebarang komen.

Setakat pukul 10 pagi tadi, lima orang ada menyerahkan kertas pencalonan masing-masing untuk bertanding kali ini - pilihan raya kecil keenam selepas Mac 2008.

Terdahulu laporan Bernama menyebut, bekas Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Aminah Abdullah, 56, merupakan calon pertama menyerahkan kertas pencalonannya sejurus selepas pusat penamaan calon dibuka pada pukul 9 pagi.

Berbaju kurung putih dan bertudung merah jambu, pencalonan Aminah sebagai calon Bebas itu dicadangkan oleh Yaacob Ali dan disokong Jamaliah Hashim.

Selepas Aminah, Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Mansor Othman, 56, menyerahkan kertas pencalonannya diikuti tiga lagi calon Bebas iaitu ahli perniagaan, Saberi; pengurus syarikat NaiKhan Ari Nai Keow, 41, dan pakar motivasi Kamarul Ramizu Idris, 42.

Pencalonan Mansor dicadangkan oleh Ibrahim Ahmad dan disokong Hasan Othman manakala Mohd Saberi dicadangkan oleh Talib Hamid dan disokong Rohayati Akop.

NaiKhan Ari dan Kamarul Ramizu pula masing-masing dicadang oleh Boon Sisawang Nai Choy dan Norizan Abdul Razak manakala pencalonan mereka disokong oleh masing-masing Nah Lee Boon Yoo dan Nor Halimah Ahmad.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan peletakan jawatan wakil rakyat kawasan berkenaan, Mohammad Fairus Khairuddin pada 16 April lalu.

Barisan Nasional (BN) tidak bertanding pada pilihan raya kecil ini kerana menganggap pilihan raya itu hanyalah satu permainan politik pembangkang dan bukan disebabkan keperluan mengikut kehendak perlembagaan.

Di kalangan empat layak yang bertanding ini, Mansor merupakan calon yang sudah tiga kali bertanding iaitu pada pilihan raya umum 1999, 2004 dan 2008 di Pulau Pinang tetapi kesemua usahanya gagal.

Dalam pada itu, Kamarul Ramizu pernah bertanding atas tiket Bebas pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang bulan lalu.

Bagi Aminah, Saberi dan Nai Khan Ari, pilihan raya kecil DUN Penanti ini merupakan percubaan pertama mereka bertanding pada pilihan raya di negara ini.

Keputusan Tiga Hakim Mahkamah Rayuan dianggap luar biasa

Tiga hakim Mahkamah Rayuan hanya mengambil lima minit untuk mengumumkan Zambry Kadir dari UMNO adalah Menteri Besar Perak yang sah, dan bukannya Nizar Jamaluddin dari Pakatan Rakyat.

Lebih mengejutkan ketiga-tiga hakim berkenaan mengambil pendirian senada bahawa Sultan Perak mempunyai kuasa penuh untuk melantik Zambry tanpa mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri untuk mengambil undi tidak percaya terhadap Nizar.

Hakim Md Raus Sharif, Zainun Ali dan Ahmad Maarop tidak memberikan hujah bertulis bagi menyokong keputusan mereka yang mempunyai implikasi mendalam terhadap sistem demokrasi berparlimen di negara ini dan kuasa-kuasa istana sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan.

Mengulas keputusan mahkamah itu, peguam Nizar, Sulaiman Abdullah berkata, “negara kita mempunyai hakim-hakim luar biasa dengan kebolehan luar biasa.”

Kini Nizar hanya boleh merayu kepada Mahkamah Persekutuan sebagai ruang perundangan terakhir untuk menegakkan mandat rakyat dan perlembagaan negeri Perak.

Keputusan Mahkamah Rayuan hari ini tentunya sukar ditelan oleh bukan sahaja penyokong Pakatan Rakyat tetapi juga pendokong demokrasi malah di kalangan peguam sendiri.

Presiden Majlis Peguam Malaysia K.Ragunath berkata keputusan mahkamah hari ini seolah-olah meletakkan kuasa-kuasa Sultan sebagai menjangkau parlimen atau dewan undangan negeri.

Ragunath berkata Mahkamah Rayuan seolah-olah memberikan Sultan kuasa-kuasa yang menjangkaui daripada apa yang diperuntukan oleh perlembagaan. .

Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata keputusan mahkamah tanpa penghujahan bernas adalah mengejutkan dan satu penganiayaan proses keadilan.

Namun beliau menjangka keputusan itu akan menjejaskan lagi kredibiliti Perdana Menteri Najib Tun Razak.

“Keputusan hari ini hanya membuatkan rakyat lebih marah dan mempercepatkan kejatuhan BN,” kata Kit Siang.

Ketua Pemuda Angkatan Keadilan Pemuda Samsul Iskandar menyifatkan keputusan itu “memualkan” dan dipengaruhi oleh tekanan politik.

Beliau berkata keputusan tiga hakim itu jelas begitu cetek, tanpa disokong oleh fakta bernas, bukan sebagaimana penghujahan lengkap yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengisytiharkan Nizar sebagai Menteri Besar sah sebelum ini.

Pemerhati politik berpandangan bahawa keputusan ini memang sudah dijangka kerana bibit-bibit campurtangan politik ini telah diwar-warkan oleh Perdana Menteri sendiri apabila beliau berkata BN hanya akan menimbang mengadakan pertemuan dengan Pakatan Rakyat bagi mencari penyelesaian krisis politik Perak setelah selesai proses mahkamah.

Umumnya penyelesaian politik tidak ada kena-mengenai dengan keputusan mahkamah dan kenyataan Najib itu menimbulkan persepsi beliau sudah tahu hala keputusan Mahkamah Rayuan sebelum membuat kenyataan itu awal minggu ini.

Friday, May 22, 2009

Adakah wujud unsur diatur dalam keputusan mahkamah?

Dengan mengemukakan maklumat yang diterimanya sebelum ini, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa mempersoalkan adakah wujud unsur 'pre-arranged' dalam keputusan Mahkamah Rayuan hari ini.

Mahkamah rayuan petang ini mengumumkan Datuk Seri Zambry Abd Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Keputusan itu membatalkan penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lalu yang mengesahkan kedudukan asal Haji Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar.

Menurut Husam, posting beliau dalam blognya tiga hari lalu telah 'meramalkan' Mahkamah Rayuan akan memihak kepada Zambry dan ia menjadi kenyataan hari ini.

"Ia sebenarnya bukan ramalan tetapi maklumat. Maklumat selanjutnya ialah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dalam masa terdekat, selepas Mesyuarat Majlis Barisan Nasional (BN) sekali lagi Isnin atau Selasa ini.

"Isu di sini ialah, jika maklumat ini terbukti tepat, adakah ujud unsur 'pre-arranged' dalam keputusan ini?

"Ia bukan tugas kita semua untuk membuktikannya tetapi ia tugas pihak berkuasa. Sudah tentu kita tidak dapat mengharapkan apa-apa pada hari ini," katanya.

Kepada Husam, keputusan mahkamah rayuan hari ini memberi kesan besar.

"Baik di Parlimen mahu pun di DUN yang lain, Agong atau Sultan boleh melantik Perdana Menteri atau Menteri Besar yang baru tanpa Perdana Menteri atau Menteri Besar berkenaan terlebih dahulu dilucutkan jawatan mereka melalui usul undi tidak percaya.

"Adakah negara kita sudah bersedia menerima hakikat kemungkinan perubahan teraju kepimpinan melalui proses tabung uji di luar rahim iatu Dewan Rakyat atau DUN seperti yang difahami sebelum ini?

"Khususnya (Datuk Seri) Najib (Tun Razak), sudahkah bersedia untuk Ahli Dewan Rakyat mengumpulkan senarai bahawa mereka sudah hilang kepercayaan kepada beliau dan Agung boleh dengan itu melantik Perdana Menteri yang baru tanpa proses Dewan Rakyat?"

Ahli Exco Kerajaan Kelantan itu seterusnya menyatakan,tiga atau lima atau tujuh hakim yang bersidang, bukan lagi ukuran untuk rakyat yakin dengan integriti dan kebebasan kehakiman kita, melainkan keputusan mereka dilihat wajar.

"Apa lagi keputusan Mahkamah ke atas krisis politik, memerlukan lebih ketelitian dan kebebasan".

Husam seterusnya "meramalkan" Majlis BN akan bersidang dan kemudian Zambry kononnya bersetuju menyerahkan mandat kepada rakyat dengan mengadap Sultan Perak untuk pembubaran.

Memang itu yang dihasratkan oleh Pakatan Rakyat (PR), katanya, "tetapi proses mahkamah yang dianggap tidak selari dengan prinsip keadilan tetap menjadi satu medan yang tidak akan berakhir dengan pembubaran itu kelak

Zambry MB sah Perak

kemaskini 3.52pm Mahkamah Rayuan hari ini mengumumkan Datuk Seri Zambry Abd Kadir sebagai menteri besar Perak yang sah.

Keputusan itu membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lalu yang mengesahkan kedudukan asal Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Panel tiga hakim itu - yang telah mendengar hujah kedua-dua pihak di Putrajaya seharian semalam - sebulat suara menerima rayuan Zambry.

Pada 11 Mei lalu, mahkamah tinggi mengumumkan Mohamad Nizar sebagai menteri besar sah setelah digugurkan jawatan tersebut, awal Februari lalu.

Hakim Datuk Abdul Aziz Abd Rahim memutuskan bahawa wakil rakyat PAS itu tidak pernah mengosongkan jawatannya itu kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota DUN Perak.

Dalam kes ini, Abdul Aziz berkata tiada undi tidak percaya telah diusulkan terhadap Nizar.

Tetapi kegembiraan menteri besar Pakatan Rakyat itu tidak kekal apabila Mahkamah Rayuan keesokannya membenarkan permohonan Zambry untuk menangguhkan keputusan mahkamah tersebut.

Penangguhan keputusan mahkamah itu diberikan sementara menunggu selesai rayuan berhubung perkara tersebut hari ini.

MENANTI PENUH DEBAR

Beberapa minit lagi, satu dunia akan tahu siapa MB Perak yang sah. Nizar atau Zambry. Kita sama-sama tunggu dengan penuh sabar dan berdoalah mudah-mudahan kemenangan di pihak yang benar iaitu Hj Nizar.

Kawalan keselamatan ketat, menanti keputusan Mahkamah Rayuan

Mahkamah Rayuan hari ini bakal memberi keputusan berhubung rayuan Dato' Seri Dr Zambry Abdul Kadir terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan bahawa Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Ketika ini, kawalan keselamatan mula diperketatkan bilamana, orang ramai dan penyokong dilarang untuk menghampiri sekitar ruang depan kamar 3 Mahkamah Rayuan, tempat berlangsungnya perbicaraan.

Berlaku kekecohan apabila beberapa media daripada daripada dalam dan luar negara dilarang masuk. Malah Adun Titi Serong Drs Khalil Idham Lim dan Adun BN, Dato' Ahmad Pakeh yang hadir tidak dapat memasuki mahkamah.

Kelihatan orang ramai dan penyokong kedua-dua pihak Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional (BN) hampir 200 orang mula memenuhi ruang mahkamah manakala dua buah stesen televisyen Malaysia sedang dalam persiapan membuat lintas langsung, berhubung keputusan yang bakal didengar jam 3.30 petang ini.

Keputusan itu bakal dibacakan oleh Hakim Dato' Md Raus Shariff, yang bersidang bersama Hakim Dato' Zainun Ali dan Hakim Dato' Ahmad Maarop berhubung keputusan perintah Mahkamah Tinggi bahawa Mohammad Nizar Jamaluddin daripada PAS adalah Menteri Besar yang sah.

Semalam, panel tiga hakim itu mendengar selama tujuh jam penghujahan oleh tiga pihak yang terlibat terdiri Zambry, Mohammad Nizar dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail selaku pencelah.

Permohonan Mohammad Nizar agar rayuan itu didengar oleh panel lima hakim telah ditolak.

Malu kalah PRK, BN dinasihat tidak letak calon

Bagi mengelakkan Barisan Nasional (BN) dari terus malu dengan siri kekalahan pilihan raya kecil, Pengarah Pilihan raya PAS Pusat, Dato' Mustafa Ali mencadangkan parti itu tidak meletakkan calon dalam pilihan raya kecil di Dewan Undangan Negeri (Dun) Manik Urai nanti.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Pejabat Agung tengah hari tadi berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Manik Urai, Ismail Yaacob pagi tadi.

Mustafa juga berkata, sekalipun BN menyertai pilihan raya kecil itu dan ditakdirkan menang ianya tidak boleh mengubah kerajaan PAS Kelantan.

" Oleh kerana senario BN yang kini berfikir soal duit yang tidak ada dan membazir (jika buat pilihan raya). Saya cadangkan Umno tak payah masuk dalam pilihan raya kecil. Saya yakin BN akan kalah. Duit habis, malu lagi," katanya.

Jelasnya, PAS akan mengikut perlembagaan yang ditetapkan, dengan meletakkan calon dalam pilihan raya Dun Manik Urai nanti.

Allahyarham yang lebih dikenali dengan panggilan Paksu Mail menghembuskan nafas terakhir di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II selepas dirawat sejak 26 April.

Seminggu selepas dimasukkan ke wad beliau dipotong sebelah kakinya memandangkan keadaan penyakitnya semakin menular.

Beliau menderita penyakit gaot sejak kembali dari Makkah setahun lalu

ADUN PAS meninggal dunia


ADUN Manik Urai, Ismail Yaacob meninggal dunia kira-kira subuh hari ini di hospital Kota Bharu dan PAS memanggil satu sidang media di Kuala Lumpur berhubung perkara tersebut.

Difahamkan Ismail, 60, dimasukkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II pada 26 April lalu kerana menghadapi masalah di bahagian kakinya sehingga menyebabkan kesihatannya sering kali terganggu.

Allahyarham antara ADUN yang paling lama berkhidmat di Kelantan sejak memenanginya pada pilihanraya umum 1986.

Kecuali pada 2004, allahyarham sudah lima penggal dipilih mewakili kawasan tersebut.

Pengarah pilihanraya PAS Datuk Mustafa Ali dijadual mengadakan satu sidang media di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur jam 11 pagi ini.


Keputusan pilihanraya umum 2008 bagi N41 Manik Urai

Jumlah pengundi: 12,292 prang
Peratusan kaum: Melayu 99.25%, Cina 0.44%, India 26%, Lain-lain 0.02%

1. Ismail Yaacob (PAS) 5,746
2. Mohamed Zulkifli Omar (BN) 4,394

Majoriti: 1,352
Jumlah undi: 10,332
Peratus mengundi: 84.05%
Undi rosak: 192

Keadilan Islam: Melayu Umno tolak, kaum lain terima

Ketika orang Melayu dalam Umno memperlekehkan keadilan Islam, sebaliknya orang bukan Melayu pula kini semakin terpesona dengan kesyumulan Islam.

Tidakkah ia sesuatu yang ganjil. Namun ia menjadi tidak pelik apabila perjuangan berteras kebendaan berada di hadapan pemimpin Umno sekarang.

Pengerusi Kelab Penyokong PAS, Hu Pang Chaw berkata, mungkin sesuatu yang agak jangal apabila orang Melayu dalam Umno kurang berminat bercakap tentang politik Islam.

"Tidakkah mereka merasa malu dengan perkembangan yang berlaku sekarang, sedangkan orang bukan Melayu semakin ramai yang berminat mendekati Islam.

"Hairan sungguh. Orang Cina, India dan kaum-kaum lain boleh sokong perjuangan Islam tetapi kenapa pemimpin Melayu dari Umno menolak pula," katanya pada satu program di sini, baru-baru ini. Image

Menurutnya orang bukan Melayu tidak takut lagi untuk mendekati perjuangan Islam yang dibawa PAS kerana keadilan pentadbiran di bawah ulama dibuktikan di Kelantan.

Katanya, PAS merupakan sebuah parti yang mendokong keadilan kepada semua kaum dan tidak mengutamakan orang Melayu semata-mata.

"Islam tidak membeza-bezakan antara bangsa kerana apa yang dinilaikan ialah tahap ketakwaan dan kejujuran seseorang itu.

"Sebab itulah konsep sebenarnya yang dimahukan rakyat ialah Satu Islam dan bukannya Satu Malaysia seperti yang menjadi citra kepada Perdana Menteri baru sekarang," katanya.

Oleh itu beliau berkeyakinan mesej perjuangan yang dibawa PAS akan terus mendapat sokongan semua pihak kerana keadilan yang diperjuangkan.

Beliau yang juga bekas pendidik dan wartawan berkata, di antara perjuangan dibawa pemimpin PAS dan Umno amat jauh berbeza.

"Bukankah Islam melarang perbuatan mungkar. Saya menyeru kepada Umno, MIC, MCA kembalilah ke pangkal jalan dengan penuh keinsafan bersama-sama memartabatkan keadilan.

"Kemungkaran adalah satu dosa dan balasannya neraka. Jangan sampai terhumbang ke dalam neraka dengan sebab memetingkan periuk nasi semata-mata," katanya.

Sementara itu, di PASIR PUTEH, Timbalan Speaker Dun Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim berkata, Umno kini mengharapkan bantuan institusi kerajaan bagi meneruskan kelangsungan hidup parti tersebut.

Harapkan bantuan media

Katanya, sekarang mereka begitu mengharapkan bantuan media konvensional bagi menggelirukan rakyat terutamanya krisis politik yang berlaku di Perak sekarang.

"Umno juga menjadikan undang-undang alat tunggangan mereka. Krisis di Perak sudah cukup membuktikan kepada orang ramai wajah Umno di bawah presiden sekarang.

"Tapi peliknya biar pun mereka rempuh undang-undang, hari-hari dalam media, mereka menuduh Pakatan Rakyat tidak menghormati undang-undang. Saya tidak faham teori rimba mana yang dipakai.

"Malangnya mereka lupa rakyat tidak bodoh dengan tipu daya mereka," katanya pada majlis ceramah di padang Majlis Daerah Pasir Puteh malam tadi.

Hadir sama Adun Titi Serong, Khalil Idham Lim Abdullah, anggota Parlimen Pasir Puteh, Ustaz Mohamad Hussin dan pimpinan PAS kawasan terbabit.

Mohd Zaki yang juga Adun Kelaboran berkata, pemimpin Umno terpaksa mencipta pelbagai alasan bagi mengelakkan berdepan dengan hakim sebenar dalam sistem demokrasi iaitu rakyat pada pilihan raya kecil Dun Penanti, 31 Mei ini.

"Walaupun tidak bertanding namun proses pilihan raya tetap berjalan. Alasan membazir dan tidak menepati perlembagaan langsung tidak boleh diterima.

"Sedangkan penyelewengan wang rakyat yang berlaku di mana-mana oleh pemimpin Umno tidak pernah pula mereka mahu bercakap," katanya.

Khalil Idham berkata, krisis politik di Perak sekarang sudah menghampiri krisis perlembagaan yang hanya dapat diselesaikan melalui mahkamah rakyat.

KEPUTUSAN KES NIZAR VS ZAMBRY AKAN DIKETAHUI PETANG ESOK

Mahkamah Rayuan akan memutuskan esok berhubung rayuan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Md Raus Shariff yang bersidang bersama Hakim Datuk Zainun Ali dan Hakim Datuk Ahmad Maarop akan membacakan keputusan itu pukul 3.30 petang esok.

Mahkamah mula bersidang pukul 9.40 pagi tadi dengan mendengar hujah daripada peguam, Datuk Cecil Abraham yang mewakili Zambry.

Sebelum mahkamah berhenti rehat, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail turut mengemukakan hujahnya sebagai pencelah.

Peguam Sulaiman Abdullah yang mewakili Nizar mengakhiri sesi penghujahan sebelum mahkamah ditangguhkan pukul 5 petang tadi.

PAS jangka PRU Ke-13 awal, yakin 3 negeri lagi dikuasai Pakatan

Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata, beliau menjangka tiga lagi negeri iaitu Johor, Negeri Sembilan dan Melaka akan jatuh ke tangan Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata, jangkaan itu adalah berdasarkan kemenangan Pakatan pada siri pilihan raya kecil sebelum ini iaitu di Parlimen Permatang Pauh, Kuala Terengganu dan Bukit Gantang serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau.

"Ia menandakan lonjakan dan sokongan kepada kita dan ia akan menjalar pada pilihan raya umum ke-13.

"Saya dah nampak-nampak Johor mungkin jatuh, Negeri Sembilan mungkin jatuh dan Melaka akan jatuh. Ini adalah mimpi ngeri kepada Umno dan Barisan Nasional," katanya semasa sidang media berhubung Muktamar PAS ke-55 di sini.

Muktamar Tahunan PAS ke-55 yang bakal menyaksikan pemilihan bagi kepimpinan pusat dan sayap parti akan berlangsung dari 5 hingga 7 Jun di Stadium Malawati di sini.

Hasan berkata, beliau menjangka pilihan raya umum ke-13 akan diadakan lebih awal daripada tahun 2013 atas alasan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pasti mahukan mandat baru daripada rakyat selepas mengambil alih kepimpinan negara April lalu.

"Kita menjangka pilihan raya umum ke-13 akan diadakan lebih awal sebab saya rasa Perdana Menteri baru mahukan mandat baru kerana kalau beliau jadi Perdana Menteri dengan mandat Datuk Abdullah, saya rasa tidak mantap.

"Beliau perlu dapat mandat sendiri daripada rakyat tentang kepimpinannya," katanya.

Hasan berkata, isu pilihan raya umum ke-13 akan disentuh dalam perdebatan pada Muktamar bulan depan termasuk persediaan dan strategi yang akan dilakukan PAS sama ada dalam parti serta kerjasama dengan dua lagi parti sekutu dalam Pakatan iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Selain itu katanya, antara isu lain yang mungkin akan diperdebatkan adalah pencapaian ahli-ahli PAS yang diberi tanggungjawab dalam pentadbiran terutama di lima negeri yang dikuasai Pakatan iaitu Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, Selangor dan Perak.

Thursday, May 21, 2009

Rakyat tidak selera undi BN: Nik Aziz

KOTA BHARU – Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pemimpin Barisan Nasional (BN) boleh memberikan pelbagai dalih untuk tidak meletakkan calon pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti pada hujung bulan ini.

Namun hakikatnya, kata Mursyidul Am Pas itu, keputusan yang dibuat membuktikan parti itu tidak lagi menjadi pilihan rakyat.

“BN memberikan bermacam-macam dalih. Masyarakat sudah tidak berselera untuk memilih atau mengundi BN sekarang.

“Selera masyarakat sudah hilang untuk pilih BN. Tidak kira apa bangsa sekalipun Cina, India dan Melayu sendiri pun sudah banyak beralih pada parti lain,” kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco negeri di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan BN yang tidak meletakkan calon pada pilihan raya kecil DUN Penanti selepas penyandang kerusi itu, Mohamad Fairus Khairuddin yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang melepaskan jawatannya bulan lalu.

Pilihanraya lebih penting

Hari ini mahkamah akan menjadi tumpuan kepada seluruh masyarakat terutamanya di Negeri Perak. Rakyat Perak telah lama menderita akibat permainan politik kotor yang dirancang oleh konspirator politik yang bangsat. Samada mahkamah boleh dipercayai atau tidak, samada Nizar masih diakui sebagai MB Perak atau tidak, ianya tidak lagi penting buat rakyat Perak kini.

Rakyat Perak kini hanya mahukan satu perkara sahaja iaitu pilihanraya mesti diadakan semula di Negeri Perak. Lupakan mahkamah, lupakan Nizar dan persetankan makhluk-makhluk perosak demokrasi di Perak selama ini. Negeri Perak harus diselamatkan, rakyat harus diutamakan (meminjam kata-kata PMR - Perdana Menteri Rakyat).

Kita tidak tahu sampai bila rakyat di Negeri Perak sanggup bertahan lagi sekiranya Dun Perak tidak dibubarkan. Samada Nizar atau Zambry diiktiraf oleh mahkamah sebagai MB Perak yang sah, hakikatnya sistem demokrasi di Perak telah lumpuh dan rosak samasekali. Dewan Undangan Negeri yang merupakan lambang demokrasi serta tempat yang begitu mulia menjunjung demokrasi di Perak kini sudah musnah dan dewan tersebut kini ibarat kedai kopi di kampong-kampong sahaja. Kemuliaannya tercemar oleh `Musang Berjanggut' yang tamak dan rakus kuasa. Alangkah besarnya dosa mereka kepada rakyat jelata di Perak kerana perbuatan tangan-tangan kotor mereka sehinggakan dewan yang mulia tersebut tercemar sedemikian rupa. Betapa tergamaknya mereka mencemar nama baik institusi raja demi untuk menghalalkan perbuatan mereka. Perbuatan khianat mereka umpama `batu api' untuk memisahkan ketaatan rakyat kepada raja tidak boleh dimaafkan semudah itu.

Rakyat Perak sudah bosan dengan teori perundangan dari pelbagai pakar undang-undang dan beribu-ribu peguam bagi menghuraikan konflik politik yang melanda Perak ketika ini. Telinga Rakyat Perak sudah kebas untuk mendengar berbagai hujah dan ulasan oleh beribu-ribu penganalisa politik tentang keadaan di Perak. Bukan rakyat Perak sudah tidak percayakan lagi kepada sistem perundangan dan kehakiman, tetapi rakyat Perak telah melihat sendiri betapa undang-undang dipermainkan dan diputarbelitkan serta diolah mengikut selera mereka yang rakus dan durjana itu. Rakyat menjadi pertaruhan mereka untuk duduk di kerusi kuasa yang mungkin pada mereka kuasa yang mereka idamkan itu akan kekal sehingga ke liang lahad.

Ingin saya menyelami hati nurani rakyat Perak seperti kata PMR (Perdana Menteri Rakyat) bahawa beliau mahu agar denyut nadi rakyat didengar. Kini, bukan denyut nadi rakyat yang telah kita dengar, bahkan degupan jantung mereka telah didengari di seintero dunia. Mereka mahu segala kerosakan demokrasi dipulihkan. Mereka bukan memuja Nizar, pasti juga tidak mahukan Zambry, tetapi mereka mahukan pilihanraya diadakan dan biarkan majoriti bakal menentukan pemimpin mereka. Hanya keberanian dan keikhlasan sahaja yang boleh memulihkan semula kestabilan di Perak. Persoalannya, adakah yang berani berkorban untuk rakyat?

Perbicaraan masih diteruskan, giliran Peguam Nizar berhujah

Setelah Mahkamah berehat kira-kira 15 minit, kini giliran peguam Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mengemukakan hujah setelah pihak peguam Dato' Dr Zambry Abdul Kadir melakukan yang sama pagi tadi sehingga tengah hari tadi.

Perbicaraan bermula jam 9.45 pagi, apabila peguam Zambry, Dato' Cecil Abraham memulakan hujah berhubung status Menteri Besar Perak.

Dijangkakan, tiada sebarang keputusan akan dibuat pada hari ini, memandangkan mahkamah perlu mendengar terlebih dahulu hujah kedua-dua belah pihak.

Setakat ini, kira-kira 150 penyokong Nizar dan Pakatan Rakyat sudah mula memenuhi luar pekarangan kamar Mahkamah Rayuan 3 berbanding pagi tadi.

Setakat ini, tiada sebarang kenyataan dibuat oleh peguam kedua-dua belah pihak biarpun diasak dan diaju soalan oleh puluhan wartawan yang mengikuti secara dekat perbicaraan ini.

Lebih menarik, para wartawan dan jurugambar mengekori sahaja mana-mana VVIP (orang kenamaan) yang keluar masuk ke kamar Mahkamah tersebut hatta menuju ke tandas sekalipun , menjadikan suasana begitu 'gamat' dengan aksi-aksi spontan mereka.

Baru-baru ini keputusan mahkamah tinggi itu ditangguhkan berikutan Mahkamah Rayuan melalui Hakim Dato' Ramly Ali membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan pengisytiharan itu oleh Dato' Dr Zambry Abdul Kadir.

Isnin lalu, Peguam Leong Cheok Keng, yang mewakili Mohammad Nizar telah menghantar surat melalui faks ke pejabat Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan memohon panel lima hakim untuk mendengar kes tersebut

Alasan permohonan itu ialah membabitkan kepentingan awam, selain melibatkan isu dan persoalan perlembagaan, katanya.

Sungguhpun kawalan keselamatan di pekarangan Mahkamah tidak terlalu ketat namun bagi oarang ramai yang ingin mengikuti perbicaraan ini akan dilakukan pemerikasaan yang rapi oleh anggota polis.

Kelihatan puluhan wartawan luar dan dalam negara memenuhi kawasan sekitar kamar Mahakmah Rayuan 3, sejak awal pagi tadi, bagi membuat laporan dan liputan mutakhir kes ini.

Jam 9.00 pagi tadi, Peguam Sulaiman Abdullah dan Hanipa Maidin yang mewakili Nizar memasuki kamar mahkamah dengan diikuti pula oleh Peguam Umno Dato' Hafarizam. Turut hadir, Peguam Negara Tan Sri Ghani Patail dan peguam Tun Majid

Jentera Pilihan Raya Pakatan Rakyat Perak Digerakkan Serta Merta

Jentera pilihan raya Pakatan Rakyat Perak telah diarahkan bersiap sedia dengan serta merta bagi menghadapi kemungkinan pembubaran Dewan Undangan Negeri pada bila-bila masa.

Menurut Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Pakatan Rakyat (BBC), Drs Khalil Idham Lim Abdullah mesyuarat pemimpin Pakatan Rakyat Perak yang diadakan semalam di Ipoh telah memutuskan supaya setiap parti komponen gagasan itu menggerakkan jentera pilihan raya masing-masing dengan segera.

"Kita telah membuat keputusan supaya jentera pilihan raya negeri digerakkan dengan segera. Kami telah pun memulakan siri ceramah dan sesi penerangan kepada petugas-petugas parti masing-masing untuk memastikan semuanya siap siaga untuk menghadapi pembubaran DUN bila-bila masa sahaja.

Search This Blog