Thursday, February 25, 2010

Tunggu Keputusan Mahkamah Rakyat

Penampilan Tengku Razaleigh Hamzah menjelaskan isu royalti minyak Kelantan memang menggerunkan kepimpinan Umno. Fakta dan data yang dikemukakannya tidak berupaya ditangkis. Hasrat Ku Li hanya satu, agar perjanjian dipatuhi dan rakyat dapat bersama-sama menikmati khazanah kekayaan negara.

Berdepan , AHMAD LUTFI OTHMAN, MOHD RASHIDI HASSAN dan WAN NORDIN WAN YAACOB, beliau nampak bebas mengutarakan idea dan pandangan kritisnya. Wajahnya ceria dan sering disulami ketawa kecil. Tanpa apa-apa jawatan penting, Ku Li tetap menjadi perhatian, dalam dan luar negara. Ditanya sumbangannya kepada negara dan rakyat, selain menjelaskan isu royalti minyak, tanpa ragu-ragu bekas Menteri Kewangan ini menjawab pantas: Mahu bersama-sama membanteras rasuah.

Ikuti wawancara bersama Tengku Razaleigh, yang dirakamkan di kediamannya, di Langgak Golf, pada 18 Februari lalu.

HARAKAH: Negara berhadapan dengan pelbagai masalah, misalnya krisis kepimpinan, kemelut politik, problem ekonomi, isu sosial yang agak meuncing dewasa ini. Tengku juga banyak menimbulkan hal ini, khususnya pada era Tun Dr Mahathir Mohamad. Meskipun perdana menteri bersilih ganti namun segala masalah berkenaan tidak juga ada jalan keluarnya ...
TENGKU RAZALEGIH: Saya rasa tak boleh kita lupakan sejarah pemerintahan tiga perdana menteri terdahulu. Dimulakan dengan Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj. Mereka membangunkan sebuah negara yang kukuh dan baik yang membolehkan pelabur datang.


Tiga PM terdahulu semuanya peguam yang diasuh dalam bidang undang-undang dan mereka berpegang teguh kepada prinsip 'rule of law' (keluhuran undang-undang) yang termaktub dalam Perlembagaan.

Oleh kerana latar belakang dan pendidikanitu, secara umumnya mereka barang kali bukanlah jenis orang yang mengambil kesempatan dari apa yang terdedah kepadanya, walaupun peluang ada di hadapan mata mereka.

Mereka ini semuanya anak-anak bangsawan yang tak akan jahanamkan negara, apatah lagi mereka diasuh dengan baik oleh keluarga. Walaupun diakui ada kelemahan tertentu, mereka telah berbudi kepada negara. Sebab itu kita tak tengok masa mereka memerintah timbul soal rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan secara berleluasa.

Apa yang saya tahu, sama ada Tunku, Tun Abdul Razak Hussein atau Tun Hussein Onn - apatah lagi Tun Hussein ini orang yang begitu serius dari segi sikap antirasuah - semuanya ada prinsip dan tak akan izin penyelewengan berlaku di zamannya.

Mereka berusaha keras menjamin kestabilan dalam negara. Sebab itu rakyat, tak kira kaum mana sekalipun akan menghormati dan mengasihi pemimpin, baik Tunku dan Tun Razak atau Tun Hussein. Walaupun Tunku dianggap agak pro-Cina dan pro-Barat kalau dibanding dengan Tun Razak yang dilihat pro-Melayu dan memberi perhatian kepada luar bandar, yakni bukan urban sangat dan mendapat didikan orang Pekan, tetapi rakyat percaya bahawa tidak akan berlaku sesuatu yang buruk di bawah pimpinan Tun Razak. Atas dasar inilah kehamornian itu terpelihara.

Tetapi Tengku, peristiwa berdarah akibat pertelagahan kaum berlaku pada 13 Mei 1969 ...

Walaupun tragedi Mei 13 1969 berlaku, ini kerana cetusan suasana pilihan raya tahun 1969 dan kerana perarakan yang dijolok oleh komunis dua hari sebelum tarikh pembuangan undi. Kempen pilihan raya berjalan begitu hangat, ada lemparan tuduhan berbaur perkauman dan sebagainya yang dicampur aduk. Itu pun hanya berlaku di Kuala Lumpur sahaja. Dan iktibarnya ia menjadi sejarah yang mengajar kita, namun ia tidak menggugat kestabilan negara seluruhnya.

Kalau kita tengok selepas 13 Mei, dalam masa dua tahun MAGERAN ambil alih kuasa penuh negara dengan penggantungan Parlimen misalnya, dan dapat dipulihkan keadaan, dan wujud serta merta keinginan semangat untuk berkerjasama antara kaum dan parti-parti politik. Tun Razak berjaya, selepas sahaja Parlimen dipulihkan, untuk menubuhkan BN, dengan dipelopori oleh PAS, Gerakan, SUPP dan beberapa parti besar yang berada di luar kerajaan ketika itu.

Ini menunjukkan kepercayaan orang kepada kepimpinan yang ada ketika itu. Memang ada perbezaan, misalnya dari segi idealogi politik, tetapi nampaknya ada platform yang sama yang boleh hubungkan mereka ini untuk bangunkan negara.

Sebab itu kedudukan ekonomi terjamin walaupun pada tahun 1969 tidak begitu rancak pertumbuhan ekonomi kerana kekacauan dan gangguan komunis. Tetapi ekonomi kita tetap kuat dan kukuh, yang bagi saya disebabkan kepimpinan yang ada.

Tunku Abdul Rahman secara tegas membantah dasar aparteid, mahu orang yang tertindas dibela. Ini memeranjatkan dunia apabila Malaysia kemukakan pandangan di Komanwel kerana cadangan Tunku itu tak terfikir oleh mana-mana pihak. Tunku cadang bukan sahaja gantung keaanggotaan Afrika tetapi buang terus Afrika daripada Komanwel dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akhirnya.

Sama juga dengan peranan Tun Razak dalam Afro-Asean Solidarity walaupun pernah penubuhan Malaysia pada 1963 cuba dilobi penentangannya oleh Beijing dan Pakistan, yang didalangi Sukarno dan Marcos. Tetapi akhirnya menerusi Tun Razak, Malaysia mempunyai suara dalam Afro-Asean dan NAM. Suara kita sudah didengari ketika itu.


Penghormatan dunia kepada suara pemimpin kumpulan negara-negara sedang membangun, termasuk kita agak ketara, apalagi pengiktirafah terhadap barisan pimpinan yang handal-hal handal belaka seperti Nehru, Chao En Lai, Sukarno, Mandela, Tito dan pimpinan yang hebat berjuang untuk negara yang ditindas kolonialis ketika itu.

Kita sebagai sebuah negara yang kecil yang sedang membangun tidak terkecuali. Dalam hal ini di mana-mana forum yang saya dapat ikuti dan hadiri, Malaysia selalu diajak jadi rappoteur dan drafter. Ini kerana ayat-ayat yang diselit oleh wakil Malaysia ini biasanya mengandungi unsur kesederhanaan, tidak terlampau ekstrem dalam membentuk keputusan di sidang-sidang yang diadakan.

Sama juga dengan Tun Hussein, walaupun dia tidak menonjol sebagai pimpinan tetapi dia boleh diterima dan dipercayai ketika menjadi PM. Jadi kerana itu ekonomi kita diyakini kerana kepercayaan rakyat dalam negara dan negara-negara sekeliling dengan Malaysia. Justeru, wujudnya kestabilan rantau ini, serta tidak menimbulkan risiko yang bukan-bukan.

Sebab itulah industri mulai masuk apabila pelaburan datang ke Petaling Jaya, Pulau Pinang dan Johor Bahru. Misalnya, kereta Volvo dan Mercedes dipasang di sini sejak dahulu lagi.

Memang tidak mudah untuk menghadapi zaman awal untuk membangunkan negara ini. Keadaannya juga agak meruncing tetapi orang percaya kepada pimpinan ketika itu. Rakyat bulat kepada kepimpinan kerajaan.

Tapi pembangkang juga hebat ketika itu?

Saya biasa bercakap dengan Allahyarham Dato' Asri Muda ketika itu, beliau berkata kita bersatu dalam soal menjaga keselamatan dan memajukan negara, cuma dasar perjuangan sahaja yang berbeza.

Maknanya ada titik persamaan yang dibawa oleh semua pihak kerana titik pertemuan mengenai penerimaan kepimpinan ketika itu. Kestabilan pun wujud dan kepercayaan dalam dan luar negara kuat. Nama Tunku misalnya cukup terkenal di Timur Tengah, apatah lagi selepas dia anjurkan penubuhan OIC untuk himpunkan negara-negara Islam dalam suatu pakatan supaya dapat kita kumpulkan kekuatan kita dari segi kekayaan dan banyak lagilah.

Saya terfikir ... jika kita gunakan kekayaan negara-negara Islam ini, misalnya melalui institusi Baitulmal, ini kita kumpul untuk seluruh umat dunia, ia boleh membawa manfaat yang amat besar.


Semua perdana menteri yang saya sebut tadi mati dengan tidak meninggalkan harta. Saya sendiri boleh buktikan sebab saya yang jaga akaun Tunku. Memang tak ada duit.

Apa yang Tengku sebutkan tadi tentunya berbeza benar dengan kepimpinan tiga perdana menteri selepas itu, kan? Ya, baru-baru dikeluarkan senarai orang terkaya yang mana anak menantu mereka pun turut masuk senarai itu ...


Terkaya... ya terkaya ... (ketawa)

Dan ini cukup tidak sihat kepada persepsi rakyat jika hendak dibandingkan dengan pemimpin terdahulu?

Memanglah, yang pimpinan dahulu mereka tidak meninggalkan kekayaaan buat anak-anak dan keluarga kerana bukan hasrat mereka berjuang nak kumpulkan harta. Ini memang betul.


Berbeza sungguh dengan kepimpinan hari ini, integriti mereka dipersoal secara terbuka. Mereka hanya berjuang untuk kepentingan diri dan kelompok. Orang berlumba-lumba masuk politik untuk mengejar kekayaaan dan kemewahan.

Ya ... tapi kalau saya bercakap dan membandingkan dengan dahulu, orang kata saya sengaja nak kritiklah. Tapi semua nampak dan sedar hakikat ini, perjuangan terdahulu untuk kemerdekaan, membela bangsa dan membangunkan negara serta memajukan Islam.


Dengan itu, kita bukan sahaja bebas dari segala aspek ancaman bersenjata komunis, tetapi yang lebih penting ialah kehidupan kesihatan kita begitu meningkat. Sekarang tiada lagi merebaknya penyakit berjangkit seperti kolera, batuk kering dan sebagainya, dan WHO mengiktiraf kehebatan kita dari sudut kualiti kesihatan ini.


Perjuangan dalam bidang sosial kita berjaya, namun dari segi perbezaan jurang pendapatan kita jauh tertinggal. Kita negara terkaya dikurniakan Tuhan dengan pelbagai sumber yang boleh membaiki negara kita berbanding negara jiran Singapura.

Tetapi pendapatan perkapita kita dengan Singapura, kita terkebelakang, kita mundur. Pendapatan perkapita Singapura, rakyat mereka berkali ganda tinggi berbanding negara kita. Saya rasa malu. Saya dijemput berucap di Singapura, nak bercakap mengenai ekonomi pun saya tidak tahu nak cakap apa.

Negara kita dari segi perniagaan nombor 19 dari segi volume dan pendapatan, tetapi Singapura nombor 26, namun mengapa taraf hidup mereka tinggi, gaji mereka tinggi? Kenapa tidak kita perbaiki tahap kehidupan rakyat kita? Sedangkan kita boleh samakan kedudukan kita dengan negara jiran. Malah sebenarnya kitau boleh melangkau kedudukan mereka ... bagi saya boleh jika kena caranya.

Kenapa saya kata boleh peperangan kita kena holistik dan total? Rasuah, pembaziran, salahguna kuasa mesti diperangi habis-habisan. Dalam masa sama kita tingkatkan kualiti pendidikan kita.

Ada orang kata pada saya, apa yang perlu kita buat untuk capai semua ini? Saya rasa untuk kita mahu 'perang', kita kena ada pakatan sesama kita. Sebab saya tengok orang Melayu, kalau kita lihat budak-budak kampung yang dibawa masuk ke dalam pasukan tentera, kerana rejimentasi dan disiplin yang kuat, mereka boleh ikut segala perintah dan arahan yang dikehendaki oleh komanden mereka.

Saya rasa untuk tingkatkan status ekonomi negara kita, kita kena serius berfikir untuk melakukannya, supaya rakyat kita tidak membuang masa dan tidak akan membazir kepada perkara yang tidak sepatutnya dibazirkan.

Saya rasa kalau mereka itu dididik dengan disiplin dan rejimentasi, mereka pasti boleh lalukan apa yang orang lain buat. Ini pandangan yang boleh kita kaji.

Soalnya, jika kita tengok realitinya sekarang, mereka yang kita bagi lesen, jual lesen itu balik. Kita bagi bukan untuk jual lesen, tetapi mereka ini buat jalan mudah.


Tadi Tengku seolah-olah memisahkan tiga PM terawal dengan tiga PM terkemudian ...

Saya tak kata begitu.

Tapi, nampak macam itu, 'kan?

Sekarang Umno baru, Umno yang saya dahulu dah tak ada ... (ketawa)


Pertembungan Tengku dengan Tun Dr Mahathir sudah menjadi rakaman sejarah. Perdana Menteri sudah bertukar. Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah bersama Tengku dalam Team B ketika menentang Dr Mahathir pada 1987. Dato' Seri Najib pula tidak mempunyai rekod pertembungan peribadi dengan Tengku. Tengku sendiri memilih untuk bersama Umno sehingga sanggup membubarkan Parti Melayu Semangat 46. Tetapi nampaknya kepimpinan Umno, walaupun selepas era Dr Mahathir, tidak memanfaatkan Tengku, dengan segala pengalaman dan kemahiran Tengku, untuk bersama-sama memajukan negara, mengapa ya? (b)


Saya rasa soalan ini patut ditujukan kepada mereka (Abdullah dan Najib), mereka sahaja yang layak jawab. Mereka tentu ada jawapan mengapa tidak mahu seseorang itu dalam perkhidmatan mereka. Kalau nak sembang soal latar belakangnya, memanglah panjang ...(ketawa)

Jelas Dr Mahathir tidak menyenangi pemerintahan Abdullah, tetapi tidak dengan Najib. Pada pandangan Tengku, sejauh manakah pengaruh Dr Mahathir dalam pentadbiran Najib?


Kita tidak nafi bahawa manusia ini memang mudah dipengaruhi orang lain kecuali kita cukup yakin kepada kemampuan dan kebolehan kita sendiri, barulah orang tidak boleh pengaruhi dalam apa yang kita nak buat.

Jadi saya rasa, barangkali ada orang yang bimbang-bimbang atau takut-takut, kerana kurang yakin dengan kemampuan untuk memimpin. Namun bagi saya, jika diberi tugas, keyakinan saya berdasarkan kepentingan kepada negara, tidak kepada sesiapa. Dan kebolehan itu saya akan manfaatkan untuk semua pihak.

Saya akan gunakannya untuk kebaikan negara, saya akan lakukan asalkan tidak bertentangan dengan kehendak Allah.

Jadi saya rasa tiada sebab mengapa seseorang itu tidak boleh digunakan untuk sesebuah kebaikan, bukan maksud saya sehinggakan dipergunakan. Katakanlah, Najib ini seperti tidak mahu memanfaatkan seseorang kerana dipengaruhi Mahathir, itu kesilapan dia. Bagaimanapun, ia bergantung kepada perhitungan mereka sendiri.


Adakah pembabitkan Tengku dalam isu tuntutan royalti minyak Kelantan berdasarkan kepada sikap itu, yakni mahu menyumbangkan untuk kepentingan rakyat, walaupun dilihat bertentangan dengan parti sendiri?

Tiada perbezaan ... apa yang saya ucapkan di Kota Bharu itu hanyalah kenyataan saya tentang sejarah, bagaimana Petronas ditubuhkan, dan apakah makna di sebalik Akta Kemajuan Petroleum yangv digubal kerajaan. Saya tidak kritik kerajaan atau menyebelahi mana-mana pihak. Saya hanya berpendapat Kelantan wajib dibayar lima peratus 'cash payment'.

Sama juga dengan Terengganu. Yang mana ada minyak di luar pantai Terengganu, maka di bawah Akta Kemajuan Petroleum, walaupun kawasan itu di luar kawasan tiga batu nautika, tetapi kerana akta ini berkata kalau minyak ditemui di luar pantai negeri berkenaan, maka lima peratus tetap akan diberi kepada negeri itu sekiranya negeri berkenaan menyerahkan seluruh kawasan itu kepada Petronas. Ini terang termaktub dalam undang-undang.

Berdasarkan statistik dan maklumat Petronas sendiri, jelas Kelantan ada hak minyak.


Saya tak kata saya sebelahi Kelantan atau sesiapa sahaja. Saya sebelahi rakyat kerana akta itu dirangka atas arahan Tun Razak. Tun Raxak yang kata kepada saya, "buatlah Tengku, asalkan negeri-negeri di Pantai Timur terutamanya, dapat hasilnya dan faedah daripadanya".

Saya memang dah tahu dalam 3 batu nautika itu, berdasarkan kepada kajian saintifik sebelumPetronas ditubuhkan, memang tiada minyak pada masa itu. Tetapi Tun Razak ada cakap, carilah jalan supaya negeri-negeri dapat manfaat dengan hasil minyak. Tun Salleh Abbaslah 'tauke' yang buat undang-undang ini, saya bagi idea sahaja macam mana nak buat supaya Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dapat faedah.

Berbeza dengan Sabah dan Sarawak. Ini kerana memang mereka ada hak, sebab tiada sempadan antara kerajaan pusat dan negeri kerana kita tubuh Malaysia dengan cepat. Tunku kata pada masa itu, kita lukis sempadan ini kemudian, tetapi sebenarnya kita sudah tentukan garis sempadan tiap-tiap negeri apabila bergabung dalam Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan terlebih dahulu sebelum itu lagi.

Jadi berdasarkan kepada jurisdiction dan penemuan saintifik ini, memang semua negeri tiada minyak, tetapi saya runding juga dengan negeri-negeri. Saya jumpa semua MB dan Exco. Saya terang dengan jelas, mereka tiada minyak ketika itu tetapi jika ditemui minyak saya minta mereka serah segala-galanya kepada Petronas. Biar Petronas jadi agensi utama yang menguruskannya nanti. Dan jika minyak ditemui di luar kawasan negeri berkenaan, 5 peratus negeri tersebut tetap dapat.

Dalam perjanjian yang saya tandatangani ketika itu, perkataan 'balasan' kepada negeri berkenaan, itu ayat yang saya cadangkan.

Apakah 'balasan' itu disebut sebagai royalti?

Kita tidak pakai perkataan royalti, tetapi 'cash payment'. Pembayaran tunai ini terus kepada kerajaan negeri. Tidak boleh dibayar kepada orang lain. Ia mesti kepada kerajaan negeri. Jikadibayar melalui orang lain atau kepada orang lain, ini 'illegal payment'.

Duit minyak hanya boleh buat dua bayaran. Saya yang buat undang-undang itu dahulu. Dari segi ini, saya rasa saya lebih tahu daripada orang lain. Saya belum nyanyuk lagi. Satunya 'cash payment' tadi, 5 peratus kepada kerajaan negeri berkenaan dan 5 peratus lagi kepada kerajaan pusat, dan selebihnya dimiliki oleh Petronas.

Petronas ini, kerana dimiliki 100 peratus oleh kerajaan pusat, boleh bayar dividen. Dividenitulah yang boleh digunakan untuk apa sahaja. Dan selebihnya Petronas kena simpan untuk carigali minyak, dalam atau luar negara. Itu hak Petronas.

Tetapi jika nak bagi kepada sesiapa yang bukan hak, itu tidak boleh, tetapi untuk derma itu bolehlah ...

Jika diserahkan kepada pihak lain, walaupun untuk kepentingan rakyat Kelantan, bagaimana?

Mesti berbalik kepada perjanjian dan undang-undang. Apa undang-undang kata? Undang-undang katadibayar terus kepada kerajaan negeri. Satu dividen kepada kerajaan pusat dan satu lagi 'cashpayment' kepada kerajaan negeri 5 peratus, dan pusat 5 peratus. Itu sahaja.

Tolak dividen, tolak bayaran ini, maka selebihnya terpulanglah kepada Petronas untuk belanja, dalam urusan dialah, nak carigali minyak atau nak beli kawasan minyak luar negara, ini atas kebijaksanaan Petronaslah.

Kenapa pihak berkenaan berkeras juga mahu berikan wang ihsan, bukan 'cash payment'?

Itu kerajaan pusat kata. Ini Petronas, perjanjian dibuat oleh Petronas dengan kerajaan negeri,tiada perjanjian antara negeri dan pusat. Rundingan kita pada masa itu ialah, saya selaku Pengerusi Petronas dengan kerajaan negeri. Itu sahaja. Apabila setuju hak minyak dalam negeri, dalam kawasan 3 batu nautika, itu okay, tetapi jika jumpa di luar pantai negeri tersebut, kita tetap bagi 5 peratus sebab negeri sudah beri segala haknya.


Nampak jelas bahawa perjuangan kepimpinan terdahulu ialah untuk kepentingan semua rakyatnya, berbeza dengan sekarang.

Tun Razak ketika itu cakap dekat saya, carilah jalan, buatlah undang-undang supaya negeri-negeri ini dapat juga. Saya kata okay.
Kempen sudah dibuat, penjelasan sudah diberikan, Tengku sendiri turun padang, tetapi kerajaan pusat tidak menghiraukannya. Jika ia dimasuk ke mahkamah, seperti yang berlaku kepada Kerajaan Negeri Terengganu, sampai kini tidak selesai, dan tidak boleh pula diperjuangkan di luar mahkamah. Jadi, apa pilihan yang ada? (bold)

Tengok sajalah kes Nizar (Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin), bawa ke mahkamah 10 kali pun dia tidak mahu bagi kepada Nizar untuk jadi Menteri Besar (Perak), maka dia (kerajaan) tidak akan bagi juga. Sebab, alasannya dia tidak mahu bagi, bukan Perlembagaan yang kata, mereka yang suruh kata ...

begitu juga sewaktu Semangat 46 dahulu, saya banyak bawa kes ke mahkamah, sampai ke Mahkamah Persekutuan sekalipun. Semuanya tidak berjaya. Sebabnya, mahkamah boneka.


Di Kelantan, apa yang boleh dibuat sekarang?

Saya rasa mahkamah yang ada adalah mahkamah rakyat ...(ketawa). Bukan sahaja di Kelantan tetapi di seluruh negara.

Umno-BN sudah dihukum oleh mahkamah rakyat pada pilihan raya 2008 lalu, tetapi mereka nampaknya terus angkuh, tidak mahu terima dan hormati suara rakyat serta ambil iktibar daripada ...

Pendapat saya begitu juga ... saya hadir beri penerangan bukan atas kapasiti sebagai ahli politik tetapi seorang yang penuh minat mahu melihat Kelantan ini maju, tidak kira PAS atau Umno yang perintah.

Dalam kes minyak ini, sepatutnya mereka bayar sebab inilah peluang untuk kita majukan Kelantan bersama. Faedahnya ialah rakyat akan rasai bersama, seterusnya biarlah rakyat akan nilai. Dia nak pilih siapa, itu pandailah kempen ... betul tak?

Siapa Kata Prof Senang ?

SIAPA kata hidup seorang pesara bergelar Profesor, bekas Pensyarah Universiti mampu hidup senang? Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itulah yang terjadi kepada seorang pesara bekas Pensyarah Universiti Sains Malaysia di Kepala Batas, P.Pinang iaitu Prof. Zainal Abidin Abdul Aziz. Seperti dilaporkan oleh akhbar Utusan Malaysia di sini, beliau kini menanggung hutang hampir RM 100, 000. Kegagalan beliau membayar sewa bulanan tanah kepada Lembaga Kemajuan Wilayah P.Pinang (PERDA) mengakibatkan jumlah tunggakan sebanyak itu.
Nasib yang menimpa Prof berkenaan menyebabkan beliau merayu agar `tuan tanah' membenarkannya terus mengusahakan tanah tersebut biarpun mahkamah telah mengarahkan beliau untuk mengosongkan tanah perladangan tersebut. Saya tidak pasti apakah MP Kepala Batas yang juga merupakan mantan Perdana Menteri tahu akan hal ini, dan sekiranya beliau tahu apakah tiada terasa dihatinya untuk membantu bekas Pensyarah tersebut? Tiadakah NGO atau Pemuda Umno `pembela Melayu' yang selama ini berdegar-degar dan menyalak-nyalak di P.Pinang datang untuk membantu?

Apa pun kita berharap masalah yang dihadapi oleh Prof ini akan disampaikan kepada KM Melaka, Ali Rustam. Bukankah Ali Rustam sering prihatin untuk membayar `hutang-hutang' sesiapa sahaja asalkan berlaku di negeri yang dikuasai oleh PR. Sebelum ini Kerajaan Melaka sanggup hendak membayar sebahagian dari tunggakan hutang cukai tanah berjumlah jutaan ringgit kepunyaan YBK di Selangor. Masakan tunggakan sebanyak RM 100, 000 ini Kerajaan Melaka tidak boleh bantu?

Sekiranya Prof ini masih gagal mendapatkan bantuan dari sesiapa dan beliau terpaksa keluar dari ladang tersebut, tidak hairanlah nanti Umno P.Pinang serta NGO-NGO yang sering menjerit `Ketuanan Melayu' ini akan mendapat modal baru dengan mengatakan Kerajaan P.Pinang di bawah Lim Guan Eng menzalimi orang Melayu. Kita kena ingat, di P.Pinang orang-orang Melayu jangan di usik sedikit pun walaupun tidak membayar lesen, cukai atau pun sewa. Orang Melayu di P.Pinang mesti dijadikan `anak emas' Lim Guan Eng. Jika tidak, terbakar lagi patung Lim Guan Eng.

Di P.Pinang Lim Guan Eng kena buat perarakan Maulidur Rasul kerana di seluruh Malaysia ini di P.Pinang sahaja yang ada orang-orang Melayu Islam. Sebab itulah banyak negeri-negeri lain seperti Pahang dan Perlis tidak membuat perarakan Maulidir Rasul. Sebab itu jugalah Perkasa ke, Pewaris ke, Pemuda Umno ke tidak berdemontrasi di negeri-negeri lain yang tidak membuat perarakan Maulidur Rasul. Ibrahim Ali sanggup menyeberang jambatan P.Pinang kerana hendak mendaulatkan Islam untuk berarak.

Walau bagaimanapun, kita berharap masalah yang dihadapi oleh Prof ini dapat diselesaikan dengan baik. Kita tumpang simpati juga dengan beliau apatah lagi mengenangkan jasa-jasanya mendidik anak bangsa kita sewaktu beliau menjadi Pensyarah. Kita nantikan apakah kesudahan nasib Prof ini

Wednesday, February 24, 2010

Pemimpin Pakatan perlu bersih rasuah

Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan kepada jentera pemimpin Pakatan Rakyat Selangor mempunyai prinsip bertanggungjawab, mengekalkan kepimpinan yang bersih dari rasuah dan memperjuangkan masalah rakyat.

Menurutnya, kepimpinan yang bersih akan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap Pakatan Rakyat.
“Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) merupakan bukti Kerajaan Pakatan Rakyat tidak pernah meminggirkan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

“Penduduk miskin dan daif tidak pernah dipinggirkan dan jika mereka dipinggirkan, ia menunjukkan ekonomi tidak adil,” katanya ketika berucap dalam Majlis Semarak MES, di Dewan Bola Tampar Majlis Bandar raya Shah Alam (MBSA), di sini, semalam.

Majlis dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Xavier Jayakumar.

Anwar berkata, adalah menjadi tugas pemimpin negeri ini untuk memastikan tidak ada rakyat yang layak dan memenuhi kriteria menerima bantuan tercicir.

“Pemimpin Pakatan Rakyat juga perlu bersedia membangunkan diri, moral dan mengamalkan sikap baik.

“Ketika ini pembangunan Negeri Selangor sedang menuju ke tahap pertumbuhan lebih baik dan ekonominya juga sudah meningkat,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar juga berpuas hati terhadap kerjasama yang ditunjukkan oleh barisan Exco, pegawai kerajaan dan semua yang terlibat dalam memastikan MES mencapai matlamat.

Sementara itu, dalam majlis berkenaan Anwar berkesempatan mengadakan pertemuan dengan 800 penerima sumbangan Kerajaan Negeri di bawah program MES bagi menegaskan komitmen berterusan terhadap pembangunan ekonomi Selangor berlandaskan konsep kebajikan.

Selain meraikan ulang tahun kedua pentadbiran Pakatan Rakyat (PR) di negeri ini, penganjuran program itu juga bertujuan menerangkan kejayaan program MES dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat Selangor.

Pada majlis yang sama, Kerajaan Negeri akan turut menyampaikan sumbangan kepada 300 kanak-kanak yang berdaftar dengan program Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS), 200 ahli keluarga yang layak menerima Skim Mesra Usia Emas (SMUE), serta 300 mahasiswa yang layak menerima Hadiah anak masuk universiti.

Sementara itu, MES untuk fasa pertama turut melancarkan beberapa program termasuklah bekalan air percuma bagi 20 meter padu pertama, Pusat Khidmat Krisis Sehenti, Tabung Pendidikan Anak-anak Pekerja Ladang, dan Program peningkatan hasil daripada bahan batuan dan mineral.

Manakala, program MES bagi fasa kedua pula ialah Cuti Bersalin 90 Hari, Cuti Untuk Suami yang isterinya bersalin selama 14 hari dan Cuti Kematian Suami Selama 30 Hari bagi kakitangan awam.

"Kalau saya pun hendak dibuang juga, tidak tinggal apalah Umno ini ..."

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah bersedia menerima hukuman daripada Umno jika pemimpin-pemimpin parti itu tidak sanggup mendengar kritikan beliau, terutama berkaitan kepentingan rakyat dan negara.

"Saya serahkan kepada mereka, kalau hendak hukum saya, hukumlah," katanya merujuk kenyataan beberapa pemimpin Umno, termasuk Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempertikaikan pendirian beliau, khususnya dalam isu tuntutan Kerajaan Negeri Kelantan terhadap royalti petroleum .
Menurut Ketua Umno Bahagian Gua Musang itu, Umno kini sudah ketandusan pemimpin, akibat kekalahan ramai pemimpin berwibawa dalam Pilihan Raya Umum 8 Mac 2008 yang lalu.

"Kalau saya pun hendak dibuang juga, tidak tinggal apalah Umno ini," katanya, sambil ketawa dalam wawancara eksklusif bersama sidang pengarah Harakah di kediaman beliau 18 Februari lalu.


Bekas Menteri Kewangan yang hampir mengalahkan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam pemilihan jawatan Presiden Umno pada April 1987 itu, baru-baru ini dikritik hebat media milik Umno kerana kesediaannya untuk memberi penjelasan terhadap isu royalti petroleum dalam satu perhimpunan besar-besaran di Kota Bharu, Kelantan.

Bagaimanapun ramai pemerhati politik merasakan Umno tidak berani untuk mengambil tindakan disiplin terhadap Ku Li, tokoh karismatik yang dilihat masih besar pengaruhnya meskipun tidak memegang jawatang penting dalam parti berkenaan, selain tidak mempunyai apa-apa jawatan dalam kerajaan.

Wengulas lanjut, beliau berkata, sehingga kini walaupun beberapa usaha dibuat untuk mengubah imej kepimpinan Umno dari zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi kepada Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, namun persepsi rakyat terhadap kerajaan masih lagi negatif.

Keyakinan rakyat terhadap beberapa institusi penting kerajaan terus merosot, dan bagi Ku Li, hal ini merupakan satu perkembangan buruk bagi sesebuah negara. Beliau juga menyentuh soal penghijrahan besar-besaran golongan profesional, termasuk orang Melayu, ke luar negara.

Menurutnya, jika keadaan ini berterusan, ditambah dengan ketirisan dalam banyak aspek politik, ekonomi dan sosial, beliau bimbang Umno-BN bukan saja gagal menguasai semula negeri-negeri yang dimenangi Pakatan Rakyat tetapi juga tidak dapat mengekalkan kuasa dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.

Dalam wawancara tersebut juga Ku Li menegaskan bahawa tiada seorang pun pemimpin Umno yang boleh memesongkan fakta dengan menukar royalti petroleum kepada wang ihsan.

"Mereka tidak boleh tipu saya, tangan inilah yang merangka draf akta petroleum, yang secara jelas memperuntukkan cash payment (bayaran tunai) sebanyak 5 peratus hendaklah dibayar kepada kerajaan negeri, di mana minyak itu digali," tegas bekas Pengerusi Petronas yang pertama itu.

"Saya memegang amanah Allahyarham Tun Abdul Razak yang mahukan negeri-negeri di Pantai Timur turut mendapat nikmat daripada limpahan kekayaan minyak," ujarnya.

Selain menekankan hak Kerajaan Negeri Kelantan untuk mendapat bayaran tunai daripada Petronas, dalam wawancara itu, Ku Li yang juga bekas Presiden Parti Melayu Semangat, 46 menyebut dengan panjang lebar soal integriti tiga Perdana Menteri Malaysia yang awal, persoalan kehakiman yang belum dapat dipulihkan, wabak rasuah yang makin berleluasa, masa depan Ummno yang tidak menentu dan sebagainya.

Perbezaan 8 sen

Bagi kebanyakan rakyat biasa, sistem tender terbuka seolah-olah tidak ada kaitan dengan kehidupan seharian mereka. Tetapi ia telah menimbulkan kemarahan UMNO dan penyokong-penyokong parti itu.

Mereka marah apabila saya membuat pengumuman bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan melaksanakan sistem tender terbuka bagi semua pemerolehan dan kontrak kerajaan selepas saya mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang pada tahun 2008. Mereka menuduh saya cuba menidakkan hak-hak orang Melayu, mendakwa ia satu dasar pro-Cina untuk meminggirkan orang Melayu di Pulau Pinang.

Walaubagaimanapun, menyedari pentingnya satu dasar yang adil dan telus, sistem tender terbuka terus dilaksanakan. Sepanjang tempoh pelaksanaannya hampir dua tahun ini, bilangan syarikat yang berjaya mendapatkan tender dengan harga tawaran terendah agak banyak juga dan persaingannya begitu sengit sekali, malah melangkaui batas imaginasi saya.

Tujuan pelaksanaan sistem tender terbuka ialah untuk mengamalkan meritokrasi supaya kerajaan dapat menguruskan kewangan secara berhemah dan menghentikan budaya kronisme. Persaingan secara terbuka membolehkan kerajaan membuat lebih banyak pilihan yang mana pada akhirnya rakyat juga yang mendapat keuntungan. Amalan ini sememangnya tidak menyenangkan kroni-kroni pihak tertentu.

Persaingan hebat tender terbuka Program Perlindungan Insurans Komprehensif untuk Bangunan dan Harta Tetap Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) baru-baru ini sememangnya menakjubkan saya dan ahli-ahli Lembaga PDC. Terbukti persaingan sihat dalam pasaran akan dapat membantu meningkatkan daya saing sektor swasta.

PDC mengadakan Program Perlindungan Insurans Komprehensif untuk Bangunan dan Harta Tetap PDC setiap tahun. Sebelum ini, Program Perlindungan Insurans Komprehensif PDC tersebut adalah dikendalikan oleh satu Konsortium di bawah Syarikat Takaful Berhad dengan jumlah premium RM821,550.88.

Memandangkan tempoh perlindungan insurans komprehensif yang sedia ada akan tamat pada 31 Januari 2010, tawaran telah dibuka kepada syarikat-syarikat insurans dan broker insurans yang mempunyai Lesen Bank Negara dan berdaftar dengan Kementerian Kewangan untuk mengemukakan tawaran.

Sebanyak 5 syarikat insurans dan broker insurans telah membeli dokumen tender melalui sistem e-perolehan. Pada tarikh tutup tawaran iaitu pada 11 Disember 2009, tiga syarikat telah mengemukakan tawaran dengan jumlah premium masing-masing, iaitu Syarikat Takaful Malaysia Berhad sebanyak RM777,351.40, Sterling Insurance Brokers Sdn Bhd RM777,351.48 dan Sime Darby Lockton Insurance Brokers Sdn Bhd RM816,738.96.

Tawaran yang tertinggi pun 20% lebih rendah daripada peruntukan RM1,020,000.00 yang telah disediakan oleh PDC untuk tujuan tersebut.

Apa yang lebih menakjubkan ialah perbezaan tawaran terendah dan tawaran kedua terendah hanya sebanyak 8 sen sahaja.

Selepas pertimbangan, ahli-ahli Lembaga Tawaran memutuskan Program Perlindungan Insurans Komprehensif untuk Bangunan dan Harta PDC ditawarkan kepada Syarikat Takaful Malaysia Berhad yang mengemukakan tawaran terendah. Dengan kata lain, Syarikat Takaful Malaysia Berhad telah mengalahkan pesaingnya dengan perbezaan tawaran 8 sen sahaja.

Ini amat memberangsangkan kerana ia telah mencatat sejarah sistem tender terbuka. Lebih-lebih lagi syarikat yang mendapat tawaran itu merupakan sebuah syarikat yang dimiliki seratus peratus (100%) oleh orang Melayu.

Siapa kata orang Melayu akan hilang daya saing kerana sistem tender tebuka?

Asyik manjakan orang Melayu, memberi “tongkat” dan meletakkan mereka di bawah payung naungan tidak akan dapat membantu dalam meningkatkan daya saing orang Melayu. Sebaliknya, membuka pasaran, menggalakkan persaingan yang adil akan membolehkan lebih banyak syarikat Melayu berpeluang untuk menonjolkan kebolehan mereka dan membuktikan kejayaan mereka dengan mengalahkan pesaing-pesaing yang lain.

Persaingan inilah akhirnya akan menghasilkan orang Melayu yang lebih kental, lebih berdikari dan lebih berkeyakinan diri. Inilah legasi yang terunggul untuk orang Melayu.

Negara China pernah digelar “Orang Sakit Asia” (The Sick Man of Asia) kerana kelemahan ekonomi sistem komunis. Tetapi kini ia telah menjadi kuasa ekonomi kedua terbesar di dunia. Dasar pasaran terbukalah yang menyumbang kepada kejayaan negera China.

Faktor penting untuk meningkatkan daya saing rakyat sesebuah negara sebenarnya terletak pada satu sistem yang tidak mengira warna kulit, bukannya payung naungan kerajaan.

Sekiranya negara China boleh berjaya, saya yakin Pulau Pinang dan Malaysia juga akan berjaya. Saya optimistik setelah melihat keputusan tender terbuka PDC tersebut.

Nilai 8 sen sahaja sudah mampu menentukan kejayaan atau kegagalan sesuatu tender. Ini menjelaskan betapa kuatnya kuasa pasaran.

Namun tidak perlu mana-mana pihak risau kerana pihak kerajaan akan tetap memantau untuk memastikan pihak swasta tidak mengabaikan tugas dan tanggungjawab mereka untuk rakyat.

Lim Guan Eng,
Ketua Menteri Pulau Pinang.

Pemuda Umno sekadar berkokok saja, takut debat

Tindakan Pemuda Umno Pulau Pinang mengoyak surat jemputan debat oleh Pemuda Pakatan Rakyat kelmarin jelas menggambarkan sayap parti itu sekadar berkokok sahaja tetapi takut berdepan dengan fakta yang sebenar.

Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Ustaz Yusni Mat Piah berkata, tindakan itu juga menunjukkan Pemuda Umno itu tidak sanggup berhadapan dengan sayap Pakatan Rakyat yang dilihat lebih relevan menangani isu yang berbangkit.

Menurutnya, mereka hanya berkokok tetapi ekor bergelumang tahi kerana sepanjang berada di arena politik mereka gagal meningkatkan tahap ekonomi, sosiobudaya serta gagal membawa hala tuju perjuangan Melayu.

"Selama berada di arena politik, apa yang mereka perjuangkan untuk rakyat, tiba-tiba apabila kalah merekalah orang yang paling tinggi bersuara kononnya mahu membantu Melayu," tambah beliau.

Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Amir Ghazali sewaktu dihubungi menyifatkan tindakan itu membuktikan tahap pemikiran pemuda Umno yang amat rendah dan tidak bertamadun.

Katanya, mereka langsung tidak menghormati usaha yang dibuat untuk membuktikan siapakah sebenarnya petualang yang sengaja mencari kesalahan tanpa fakta.

"Tindakan mereka itu tidak langsung nampak sikap beradab dan bertamadun malahan rakyat sendiri boleh mengukur betapa angkuhnya parti itu yang dikatakan membela nasib Melayu Pulau Pinang," katanya.

Setiausaha Pemuda Sosialis DAP negeri, Ng Wei Aik pula berkata, Pemuda Umno hanya mahu berdebat dengan Ketua Menteri, Lim Guan Eng hanyalah alasan kerana sebenarnya mereka bimbang hujah yang diberikan terkena batang hidung mereka sendiri.

Ini, katanya kerana apa yang Kerajaan Pakatan Rakyat laksanakan sesuai dengan kehendak semasa iaitu melalui tender terbuka tidak lagi berkonsepkan kroni semacam dulu.

"Kedudukan Umno makin parah bila mengoyak kertas jemputan debat. Maruah mereka jatuh teruk kerana takut berhadapan dengan Pemuda Pakatan Rakyat bukan Ketua Menteri kerana Lim mempunyai bukti kukuh untuk tolak tohmohan mereka," ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Komtar.

Tuesday, February 23, 2010

Kes Perak :Apabila Perlembagaan DITafsir Seperti Surat Wasiat

Oleh : Mohamed Hanipa Maidin
Sarjana Perlembagaan menyatakan apabila Mahkamah menafsirkan Perlembagaan seperti menafsirkan surat wasiat ( a will ) , Perlembagaan akan mati. Pada 5/2/2010 yang lalu Perlembagaan Perak boleh dikatakan telah disytiharkan mati apabila 5 orang Hakim Mahkamah Persekutuan menafsirkan Perlembagaan Perak seperti menafsirkan surat wasiat.

Sebagai peguam kepada Nizar yang ada di Mahkamah pada hari itu dan mendengar Hakim membaca keputusan kes Nizar v Zambry ianya sama seperti mana Abdul Wahub mendengar peguam Abdul Wahab dan Abdul Wahib membaca wasiat bapa mereka Ismet Ulam Raja di dalam filem Tiga Abdul arahan Tan Sri P.Ramlee. Abdul Wahib dan Abdul Wahib tanpa segan silu menipu dan membuli Abdul Wahub dengan berselindung di atas kalimah demokrasi terpimpin.
Di dalam penghakimannya Mahkamah Persekutuan menolak hujah peguam Nzar tentang keperluan undi tidak percaya dibuat di dalam sidang DUN Perak bagi menentukan sama ada Nizar benar-benar kehilangan kepercayaan ahli-ahli DUN. Alasan Mahkamah menolak hujah itu amat lucu sekali. Alasannya adalah tiada dinyatakan di dalam Artikel 16 ( 6 ) Perlembagaan Perak bahawa kehilangan kepercayaan ke atas MB mesti dibuat melalui undi tidak percaya.

Jawapan mudah kepada alasan itu adalah jika perkataan undi tidak percaya ada di dalam Artikel 16 ( 6 ) itu tidak perlulah Nizar pergi ke Mahkamah untuk meminta Mahkamah menafsirkan Perkara 16 ( 6 ) itu ?

Ya, benar memang tiada di dalam Perkara 16 ( 6 ) Perlembagaan Perak frasa yang menyatakan bahawa kehilangan kepercayaan ke atas MB dibuat mesti dibuat melalui undi tidak percaya di dalam sidang DUN. Tapi bukankah dalam Perlembagaan banyak perkara lain yang juga tidak dinyatakan secara spesifik. Sebagai contoh wujudkah di dalam Perlembagaan Persekutuan mana-mana peruntukkan mengenai jawatan Timbalan Perdana Menteri ( TPM ) ? Jawabnya tidak ada .

Kalau menggunakan logik Mahkamah Persekutuan jawatan yang disandang oleh Muhyiddin sekarang adalah tidak menepati Perlembagaan Persekutuan. Tetapi mengapakah Najib masih melantik Muhyiddin sebagai TPM –jawatan yang tidak wujud dalam Perlembagaan.

Mari kita lihat perkara lain yang juga tidak dinyatakan di dalam Perlembagaan tetapi diamalkan selama ini di negara ini. Kewujudan pelbagai jawatankuasa di dalam Parlimen dan Kabinet juga tidak dinyatakan di dalam Perlembagaan. Peruntukkan masa di dalam sidang Parlimen bagi ahli-ahli Parlimen khususnya pembangkang untuk bertanya soalan kepada Perdana Menteri dan Menteri-Menteri juga tidak ada di dalam Perlembagaan.

Persoalannya mengapakah dalam keadaan ketiadaan peruntukan khusus tentang perkara –perkara yang saya nyatakan tersebut , negara ini masih mengamalkan dan melaksanakan perkara-perkara tersebut ?

Jawapannya adalah “constitutional convention” ( amalan Perlembagaan ). Amalan Perlembagaan, menurut Sir Ivor Jennings adalah satu daripada sumber Perlembagaan. Amalan Perlembagaan , kata Ivor Jennings adalah “ the flesh which clothe the dry bones of the law” ( adalah daging yang menutupi tulang-tulang kering undang-undang ). Ia adalah sepertimana kata sarjana Perlembagaan “ peraturan yang bukan legal ( sah ) bagi menjadikan peraturan yang sah berfungsi.” ( “ the non legal rules which make the legal rules work.” ). Secara mudahnya amalan Perlembagan adalah menambah apa yang kurang di dalam Perlembagaan.

Jika Mahkamah Persekutuan menolak hujah Nizar bahawa tidak perlu ada undi tidak percaya di dalam sidang DUN bagi menentukan sama ada Nizar masih mendapat kepercayaan di atas alasan peruntukkan mengenai undi tidak percaya tidak ada di dalam Perkara 16 ( 6 ) Perlembagaan Perak maka hujah yang sama juga kita boleh gunakan bahawa tidak ada juga dinyatakan di dalam Perkara 16 ( 6 ) bahawa cara menentukan Nizar hilang kepercayaan perlu dibuat di dalam Istana dengan kehadiran Najib ( yang bukan ADUN Perak ) tanpa kehadiran Nizar sebagai MB yang masih sah ketika itu. Bukankah Perlembagaan Perak menyatakan segala tindakan Sultan adalah atas nasihat seorang MB iaitu pada ketika itu nasihat Nizar wajar diambil terlebih dahulu.kerana beliau masih MB yang sah.

Dalam keadaan kedua-dua cara tidak dinyatakan di dalam Perlembagaan ( sama ada undi tidak percaya dalam DUN atau dibuat di luar DUN seperti di Istana ) Mahkamah seharusnya melihat kepada amalan Perlembagaan. Sudah tentu amalan Perlembagaan yang boleh dikatakan diterima pakai di dalam semua negara di dunia ini adalah kaedah untuk menentukan seorang MB sudah hilang kepercayaan adalah dengan melalui undi tidak percaya di dalam DUN. Cara tersebut lebih bertamadun dan demokratik.

Satu lagi perkara lucu yang Mahkamah Persekutuan lakukan adalah apabila ia menerima pakai apa yang dikatakan oleh Y.M Raja Azlan Shah J. ( pada masa itu ) di dalam kes Loh Koi Choon v Kerajaan Malaysia bahawa di dalam menafsirkan Perlembagaan Mahkamah tidak perlu melihat atau terikat kepada kes-kes di negara lain seperti kes di India .

Tapi dalam masa yang sama Mahkamah Persekutuan telah merujuk dan menerima pakai satu kes di India iaitu kes Mahabir Chandra Prasad Sharma, petitioner v Prafulla Chandra Ghose and others, Respondents AIR 1960 Cal. 198 bagi menyokong penghakimannya bahawa seorang Gabenor ada kuasa memecat Ketua Menteri.

Yang lucunya bagaimanakah Mahkamah Persekutuan boleh dengan secara cuai mengguna pakai kes India tersebut untuk menyokong hujah bahawa Sultan juga boleh memecat Nizar jika Nizar enggan meletakkan jawatan

Tidakkah Mahkamah sedar bahawa di dalam Perlembagaan India ada peruntukkan yang jelas dan terang bahawa jika seorang Ketua Menteri enggan letak jawatan setelah diarahkan oleh Gabenor, Gabenor mempunyai kuasa untuk memecat Ketua Menteri. Wahai para hakim yang digelar orang bijaksana tunjukkan di dalam Artikel 16 ( 6 ) Perlembagaan Perak peruntukkan yang menyatakan bahawa Sultan ada kuasa memecat Nizar jika Nizar enggan letak jawatan ?

Kalau tidak ada bagaimanakah kamu boleh menggunakan analogi dengan kes di India yang secara jelas mempunyai peruntukkan yang berbeza.

Kalau inilah standard Mahkamah Persekutuan bagaimanakah rakyat boleh menghormati keputusan tersebut ? Masa akan menentukan bagaimana generasi akan datang akan pasti memandang jijik keputusan Mahkamah Persekutuan sepertimana generasi sekarang sedang mula melakukannya

Kes Perak menunjukkan bahawa betapa mudahnya sebuah Kerajaan boleh jatuh tanpa melalui proses yang berlaku di dalam sidang DUN. Di mana Kerajaan itu jatuh bergantung di mana ahli poltik itu bertemu Sultan. Jika dia bertemu Sultan di Istana, Kerajaan itu boleh jatuh di Istana. Jika ia bertemu Sultan di wad hospital di wad hospital itulah kerajaan itu akan jatuh. Begitulah kesan keputusan Mahkamah Persekutuan .

Hari ini Kerajaan Nizar jatuh di istana apabila Najib berjumpa Sultan di Istana . Siapa tahu akan datang Kerajaan Najib pula akan jatuh di padang golf jika ditakdirkan Anwar Ibrahim atau Ustaz Abdul Hadi Awang berjumpa Yang DiPertuan Agung di atas padang golf. Ketika itu Najib hanya boleh perhatikan kerajaannya bergolek sepertimana bergoleknya bola golf masuk ke dalam lubang !!!

Monday, February 22, 2010

Pilihan raya ke 13 sudah hampir

Selepas Kelantan dan Pulau Pinang diserang bertubi-tubi, kini giliran pimpinan PAS pula yang diserang. Serangan ini pula betul-betul permainan media kerana lain yang dikatakan oleh pimpinan PAS, lain pula yang disiarkan oleh media.

Yang menjadi sasaran nampaknya adalah Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan terbaru Naib Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Kalau selama ini Bernama agak dilihat profesional dalam membuat laporan manakala akhbar Sinar Harian nampak sedikit adil dalam menyiarkan laporan untuk Pakatan Rakyat. Namun, kedua-duanya ada agenda tersendiri dan datang dengan nada yang sama, pecahkan PAS dan Pakatan Rakyat.

Berita Bernama yang melaporkan kononnya Presiden PAS, Abdul Hadi membantah campurtangan Australia dalam isu perbicaraan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, nampak sangat cuba untuk melagakan Presiden PAS itu dengan para penyokong Anwar.

Ini kerana, kalau diperhatikan, jelas Abdul Hadi ketika ditanya oleh wartawan adakah beliau membantah campurtangan Australia, Abdul Hadi menjawab tidak.

Saya kutip balik transkrip perbualan antara wartawan dan Abdul Hadi pada 19 Februari lalu di Kuala Terengganu:-

Wartawan: "Datuk Seri, ekoran campur tangan Australia, ada kemungkinan atau tidak PAS mengambil langkah membuat bantahan?"

Abdul Hadi: "Itu kita belum lagi membuat keputusan dan kita kena kaji dahulu, kita lihatlah. Sebabnya, dalam masa yang sama kita rasa malu nak bantah orang campur tangan jika kita sendiri ada keaiban. Cara yang lebih berkesan ialah kita memperbaiki diri kelemahan kita sendiri. Itu cara yang tepat. Dan kita kena siasat secara adil terhadap diri kita sendiri. Sebabnya, Islam mengharamkan kita membela kezaliman walau pun dari kalangan puak kita sendiri, negara kita sendiri. Konsep keadilan Islam adalah sejagat."

Memang menjadi sikap PAS menolak sebarang campurtangan asing ke atas negara ini sebagai sebuah negara yang berdaulat. Tetapi dalam masa yang sama, adakah kenyataan dan memorandum anggota Parlimen Australia dan ucapan pemimpin mereka meminta Malaysia mengkaji balik dakwaan ke atas Anwar itu campurtangan atau tidak.

Namun, sebagaimana dikatakan Abdul Hadi, kalau sistem keadilan kita sendiri sudah lemah, sudah tentu ada campurtangan asing.

Selepas menyiarkan Abdul Hadi membantah campurtangan Australia, akhbar Sinar Harian hari ini menyiarkan pula kenyataan Nik Aziz menyokong kenyataan para MP Australia itu. Berita muka depan bertajuk "Agenda halang Anwar" itu kelihatan positif kepada Pakatan Rakyat namun ia mempunyai racun yang berbisa.

Kenapa? Bagi saya kerana akhbar berkenaan mahu menonjolkan perbezaan pendapat dua tokoh besar PAS iaitu Abdul Hadi dengan Nik Aziz. Sebelum ini, Abdul Hadi 'bantah' sekarang Nik Aziz 'sokong'. Padahal jelas, Abdul Hadi juga berkata dia tidak bantah. Yang mengatakan Abdul Hadi bantah adalah media.

Akhbar Sinar Harian mula diterbitkan di Kelantan. Apabila ia diterbitkan, para penyokong PAS di Kelantan bagaikan dituba dengannya apabila masing-masing berebut-rebut membeli dan memuji akhbar itu apabila berita-berita mereka disiarkan.

Namun, menjelang pilihan raya 2008, tiba-tiba meletup Nik Aziz membuat kenyataan "Saya haramkan akhbar ini masuk ke pejabat saya". Ia berlaku selepas akhbar berkenaan membuat serangan yang bukan-bukan terhadapnya termasuk menyiarkan laporan apa yang belum berlaku lagi dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan.

Hari ini, Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man membidas akhbar Sinar Harian, semalam (21 Februari) kerana menyiarkan berita yang tidak tepat terhadapnya.

Katanya, berita nasional di muka surat N7 dengan tajuk besar ‘Saya kini dalam dilema’ dan sub tajuk ‘kesal dianggap ‘tangan ghaib’ PAS, punya kuasa singkir pesaing; Tuan Ibrahim’ , sebagai tidak tepat dan tersasar.

Menurutnya, laporan akhbar berkenaan bukan sahaja tidak betul, malah memasukkan kenyataan palsu yang direka-reka.

“Saya tidak menyebut perkataan sebagaimana yang disiarkan, lebih-lebih lagi kenyataan kononnya saya berada di dalam dilema, saya tidak berada di dalam dilema pun,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyurat Badan Perhubungan PAS Pahang di pejabatnya, dekat sini, semalam.

Akhbar berkenaan menyiarkan berita kononnya beliau berada di dalam dilema kerana ada pihak yang melabelkannya sebagai ‘tangan ghaib’ yang mempunyai kuasa menyingkir sesiapa sahaja termasuk pesaingnya pada pemilihan jawatan parti.

Sebelum ini, akhbar Umno, Utusan Malaysia juga membuat berita yang jauh sama sekali dari konteks sebenar apa yang dicakapkan Abdul Hadi. Berita itu berbunyi "Umno mula alami perubahan yang baik - Hadi"

Akhbar Umno jelas mengambil kenyataan itu dalam konteks yang salah ketika menyiarkan berita itu dalam keluarannya semalam, 18 Februari.

Jelas ia semacam bertujuan untuk melagakan Abdul Hadi dengan para pemimpin PAS yang lain kononnya Abdul Hadi bersedia untuk bekerjasama dengan Umno termasuk dalam isu perkongsian kuasa dan kerajaan perpaduan, iaitu tema yang selalu diperkenakan terhadap Abdul Hadi.

Di Pulau Pinang sebelum ini, Lim Guan Eng diserang bertubi-tubi. Sasarannya adalah memencilkan beliau dari orang Melayu yang sensitif dengan Islam khasnya pimpinan dan penyokong PAS. Ia juga bersifat 'double edge' atau gergaji mata dua...tarik makan, sorong pun makan.

Apabila pimpinan PAS membela Lim Guan Eng, mereka akan menyerang PAS sebagai kuda tunggangan DAP. Apabila PAS tidak membela, Lim Guang Eng akan terasing. Namun, sebagaimana biasa para pimpinan PAS tidak memikirkan hal itu sangat, bagi mereka yang benar perlu dibela dan semangat setiakawan sangat menebal di kalangan pimpinannya. Lalu mereka berbondong-bondong membela Lim Guang Eng dan kadang-kadang dilihat sebagai berlebihan. Lalu Umno pula berkata, memang sah PAS kuda tunggangan DAP sebagaimana fitnah yang dikenakan ke atas Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin di Perak.

Semua ini bagi saya hanya bunga-bunga atau tanda-tanda pilihan raya sudah dekat. Jadi bersedialah menghadapi pilihan raya yang akan penuh dengan permainan media kerana bunga-bunganya sudah jelas kelihatan.

Mampukah Najib Mendepani Tuntutan Era Politik?

Dr Dzulkefly Ahmad, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat
Telah penulis catatkan beberapa kali bahawa Umno gentar serta gusar dengan Politk Baru. Benar bahawa PRU ke-12 telah menyaksikan penghakisan sokongan Umno/BN paling parah dalam sejarah politik pilihanraya. Tetapi kesemua itu tidak sepenting satu hakikat yang sering menerjah mereka. Hakikat wujudnya satu lagi koalisi yang disifatkan sebagai ‘kerajaan dalam penantian’ atau ‘government-in-waiting’.
Kalau ada yang marah bahawa penulis bersekali Pakatan Rakyat terlalu ghirah untuk memerintah kerajaan Persekutuan, penulis sayugia perjelaskan. Penulis tidak kata perubahan besar pasti berlaku pada PRU ke-13 ini. Tetapi potensi untuk perubahan berlaku amat besar kedepan ini.
Nah, ini hakikat baru yang tidak pernah terjelma dalam telahan unjuran politik negara. Satu dekad lalu, sebutan ini hampir asing bahkan satu dongengan. Tidak ada parti dan kerajaan yang layak memerintah kecuali kerajaan Umno/BN mungkin sampai qiyamat. Kalau ada pun ‘kerajaan pembangkang’, satu istilah paradoks, ia hanya terbatas di negeri pantai Timur, Kelantan dan Terengganu sahaja.
Bagaimana ia menjadikan satu realiti adalah akibat perubahan yang berlaku selepas topografi atau landskap politik negara terus berubah setelah tsunami politik melanda ganas negeri-negeri Umno/BN di pantai barat Semenanjung Malaysia.
Politik Baru berkehendak untuk mendefinisi semula pelbagai tata-orde perhubungan politik; amalan federalisme dan gelagat cabang legislatif serta kualiti perbahasan di parlimen, kerancakan persaingan media mengolah lambakan isu dalam usaha mempengaruhi pemikiran awam di pasaran bebas pertarungn ide.

Anwar: BN akan ditolak rakyat dalam p'raya nanti

Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan kerajaan BN bahawa rakyat akan menolak BN dari Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang - tidak kira sama ada beliau merengkok di penjara atau tidak.

Katanya, rakyat sudah begitu bosan dengan BN dan mereka kini sudah bersedia untuk menumbangkan kerajaan pusat yang didukung oleh Umno dan menggantikannya dengan Pakatan Rakyat.

Bercakap kepada hadirin yang membanjiri rumah terbuka sempena Tahun Baru Cina di Machang Bubok, Pulau Pinang, Anwar berkata, BN, Umno, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, malah isterinya Datin Seri Rosman mansor "tidak seharusnya hidup dalam ilusi palsu'.

Katanya, mereka tidak seharusnya mempunyai persepsi salah yang para pengundi akan kembali menyokong BN jika beliau dipenjarakan.

Anwar merujuk kepada perbicaraan tuduhan kes liwat terhadapnya yang sedang berjalan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Sebaliknya, kata beliau, rakyat akan bangun menolak Umno dan BN dalam pilihan raya umum akan datang, tidak kira sama ada beliau di dalam penjara ataupun tidak.

Anwar berkata, di mana-mana sahaja, rakyat dilihat sudah bersedia untuk menolak Umno dan BN.

Beliau berkata, rakyat sudah lama hilang kepercayaan kepada Umno dan BN kerana "rasuah telah menjangkiti pentadbiran Putrajaya hingga ke akar umbinya".

Kerana rasuah, katanya, Malaysia telah jauh ketinggalan dalam bidang ekonominya, termasuk di rantau Asean.

Malaysia, katanya, kini ketinggalan di belakang Singapura, Thailand, Indonesia, malah Vietnam di segi pertumbuhan ekonomi dan daya saing.

"Kita hanya baik sedikit daripad Burma dan Zimbabwe," kata Anwar yang juga ahli parlimen Permatang Pauh.

Majlis rumah terbuka itu dihoskan oleh ADUN Machang Bubok yang juga timbalan speaker DUN Pulau Pinang, Tan Hock Leong.

Ia turut dihadiri ADUN tunggal PAS di negeri itu, Mohd Salleh Man (Permatang Pasir).

Kebenaran tidak semestinya menang, kemenangan tidak semestinya benar


SEDANG anda memandu menghampiri sebuah persimpangan berlampu isyarat, anda terdengar bunyi siren. Anda pun mengerakkan kereta anda ke tepi, memberi laluan kenderaan yang anda sangkakan sebuah ambulans.

Bagaimanapun andaian anda salah. Kenderaan yang melepasi anda itu sebenarnya membawa orang besar dan berkuasa. Pegawai pengiring mengarahkan anda ke tepi dan kemudian konvoinya berdesup sekalipun lampu isyarat berwarna merah.

Demikianlah contoh menunjukkan bahawa ada orang lebih hebat daripada undang-undang. Mereka mengatasi undang-undang. Kisah 'The Emperor's New Clothes' (Pakaian Baru Raja) menceritakan bagaimana seseorang yang berkuasa itu sentiasa dikatakan betul sekalipun dia tidak betul (raja berbogel tetapi dikatakan berpakaian paling cantik dan hebat).

Anda benar kerana anda berkuasa. Yang penting di sini bukannya lojik sesuatu perkara itu tetapi siapa yang mengutarakan pendapat atau kata-kata tersebut.

Kata-kata seorang pengemis atau tukang sapu sampah mengenai politik sudah tentu tidak akan dipandang dengan sebelah mata walaupun apa yang mereka katakan itu ada kebenaran dan lojiknya.

Keadaan sebaliknya akan berlaku jika seorang raja atau mengemukakan pandangan. Walaupun kadang-kadang hal itu tidak masuk akal, disebabkan begitu berpengaruhnya orang tersebut, maka hal itu diterima juga orang awam kerana masing-masing terpaksa atau dipaksa mengakuinya.

Situasi ini berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. Kita tidak lepas bebas kerana ada pihak yang mengikat diri kita. Dalam dunia hari ini, di mana terdapat aneka kemudahan dan penciptaan, dikatakan kehidupan kita semakin aman, hakikatnya mungkin tidak begitu.

Kita semakin takut, takut akan bayang-bayang kita sendiri dan juga takut kepada orang di atas kita kerana bagi mereka segala yang mereka utarakan kepada orang bawahan itu mereka anggap benar walaupun tidak benar.

Kisah pertarungan Hang Tuah dan Hang Jebat dalam dunia lama Melayu mungkin boleh dijadikan contoh mengenai apa yang didakwa betul dan tidak betul. Pada mulanya, Sultan mendapati Hang Tuah tidak betul dan perlu dihukum.

Hang Tuah disembunyikan Bendahara Tun Perak di Ulu Melaka. Selepas Hang Jebat mengamuk dan Hang Tuah diperlukan untuk menghapuskannya, Hang Tuah dikatakan tidak bersalah pula. Hari ini Hang Tuah bersalah, esok Hang Jebat pula bersalah yang yang sentiasa betul adalah Sultan.

Sultan akan sentiasa betul kerana baginda mempunyai kuasa. Kerana kuasa di tangan baginda, orang bawahan tiada hak untuk menyatakan sesuatu itu betul atau sebaliknya.

Dunia ini memang aneh. 'Kebenaran' dapat dibeli dengan wang ringgit. Dengan itu siapa yang banyak wang dan berkuasa, dialah yang 'benar'. Dan orang yang membenarkannya mempunyai kepentingan sendiri.

Bagaimanapun 'kebenaran' yang dibeli dengan wang ringgit ataupun yang ada udang di sebalik batu tidak bertahan lama.

Dalam kisah 'The Emperor's New Clothes' sendiri memperlihatkan kebijaksanaan seorang budak yang dapat mengalahkan raja; memang raja bersalah dan tidaklah payah untuk diselindungkan keaiban raja seperti dilakukan menteri-menterinya.

Mengenai kebenaran dan kemenangan, bijak pandai mengungkapkan "kebenaran itu tidak semestinya menang, dan kemenangan itu tidak semestinya benar."

Friday, February 19, 2010

EKSKLUSIF: PERTEMUAN PENUH DRAMA KJ, PEMUDA DENGAN PERDANA MENTERI!


Semalam Khairy Jamaluddin (KJ) melangkah kembali ke tingkat 4, Jabatan Perdana Menteri (JPM), iaitu tingkat yang sangat sinonim dengan dirinya di mana ia suatu masa dahulu meletakkan dirinya sebagai manusia yang paling berkuasa di negara ini.

Ia juga tingkat di mana KJ merancang pelbagai perkara yang bersifat merampas harta milik rakyat untuk diisi ke koceknya sendiri.

Namun, semalam, tingkat 4 bukan milik KJ atau bapa mertuanya.

KJ melangkah selaku Ketua Pergerakan Pemuda UMNO dengan membawa bersama hampir 40 exco dan ahli Pemuda untuk melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Hampir setahun terpilih baru buat kunjungan hormat. Entahlah apa nak kata.

Pertemuan itu berlangsung dari jam 5.15 petang hingga 7 malam di JPM di Putrajaya.

Banyak pihak mendakwa pertemuan itu diatur untuk KJ memberikan penerangan dan gambaran bahawa tidak ada perpecahan dalam Pemuda.

KJ telah menafikan itu adalah tujuan pertemuan tersebut melalui media massa semalam.

Namun, apa yang pasti, ia satu pertemuan yang penuh drama, ironis dan memperlihatkan sifat bodoh sombong serta muka tak tahu malu KJ belum lagi berakhir.

Ironis seperti yang diterangkan di atas iaitu KJ melangkah ke tingkat 4 yang selama ini memang dikaitkan dengan diri dan rakan-rakannya ketika era Abdullah Ahmad Badawi.

Bagaimanapun, pertemuan yang sepatutnya bersifat kunjungan hormat cuba dimanipulasi KJ untuk memberikan tekanan kepada PM.

KJ telah berpakat dengan exco-exco machainya agar bertanya kepada PM supaya memberikan jawatan Menteri kepada dirinya!

Justeru, semasa pertemuan, adalah exco yang bertanya soalan itu.

Seperti biasa KJ ingat dia seorang sahaja yang bijak kat dunia ni. Namun, jawapan Datuk Seri Najib memang membuat KJ dan budak-budaknya terpaku.

Najib dengan nada yang lembut tetapi penuh mendalam dan tajam meminta agar Pemuda UMNO bersatu dahulu dan soal jawatan boleh diperbincangkan selepas Pemuda memperlihatkan ia tidak lagi berpecah-belah.

Hendak kata apa, memang Pemuda tidak bersatu. Nyata Najib memberikan sindiran bermakna kepada KJ dalam isu itu.

Namun, semuanya tidak berakhir setakat itu sahaja.

Bukankah tadi telah disebut bagaimana tingkat 4 JPM merupakan tingkat yang menjadikan KJ manusia paling berkuasa di Malaysia satu masa dahulu, semalam, dalam pertemuan itu, KJ masih 'terbawa-bawa' sikap yang sama.

Percaya atau tidak, ada sebahagian Exco Pemuda UMNO yang diberikan amaran oleh KJ sebelum pertemuan agar tidak bertanya sebarang soalan kepada Perdana Menteri.

Yop Putrajaya yang dahulu mendesak KJ meletak jawatan adalah di antara yang diberikan amaran.

Tidak cukup dengan itu, KJ mengawal siapa yang boleh bercakap dan bertanya soalan ketika pertemuan berlangsung.

Umpamanya, jika ada tiga microphone yang menyala lampu mereka serentak akibat ditekan butang bercakap oleh para exco Pemuda, KJ yang memberitahu siapa yang boleh terus bertanya.

Akhirnya budak-budak dan balacinya sahajalah yang bertanya kepada PM dalam kunjungan hormat itu semalam.

Yang mana bukan pro KJ tidak diberikan laluan langsung.

Dasar muka tidak tahu malu, apakah KJ ingat tingkat 4 itu masih milik bapa mertuanya dengan mengatur siapa yang boleh bercakap dan tidak boleh bercakap?

KJ sebenarnya bimbang jika ada exco Pemuda yang melontarkan cadangan supaya dirinya berundur selaku Ketua Pemuda UMNO di hadapan Presiden Parti.

Itulah sebab KJ bersifat kuku besi menghalang siapa yang boleh bercakap dan siapa yang tidak.

Apa pun, itu sebenarnya sesuatu yang memalukan.

Sudahlah berpakat denga exco yang pro dengan dirinya agar mengemis jawatan Menteri daripada PM, lepas itu ada unsur tahan menahan siapa yang boleh bertanya dan tidak boleh bertanya soalan kepada PM.

Itu bukan kunjungan hormat, itu kunjungan untuk kepentingan diri sendiri namanya. Buat malulah KJ ni!

Mungkin KJ meroyan tingkat 4 sekejap kot semalam.

Ini adalah petikan dari Malaysia-Instinct, cayalah PM! Saya bangga kerana mempunyai seorang PM yang begitu bijak dan pandai menilai manusia hipokrit seperti KJ ni!

Jerat Makan Tuan

Jerat makan tuan. Pada Pak Lah sebagai orang yang lurus mungkin tanggapannya perarakan memberi makna besar sambut Maulidur Rasul tetapi berlainan bagi Mahyuddin dan kalangan Umno yang reti Islam menjadikan isu perarakan sebagai bahan politik mereka untuk menimbulkan suasana yang sentiasa tegang kepada kerajaan negeri pakatan rakyat (PR) terutama di Pulau Pinang.

Bagaimanapun kali jerat mereka mengena diri sendiri. Ternyata banyak juga negeri pemerintahan Umno tidak mengadakan perarakan Maulidur Rasul. Jadi apa pasal Pulau Pinang yang menjadi sasaran sangat kepada Mahyuddin dan Pak Lah serta kuncunya.
Selepas ini kita dengar apa kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Mahyuddin Yassin dan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi serta pengikut taksud tanpa usul periksa.

Laporan Malaysiakini: Maulidur Rasul: Tiada perarakan di Johor, Pahang, Perlis
Salhan K Ahmad Feb 18, 10 5:14pm

Johor, Pahang dan Perlis tidak akan mengadakan perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul tahun ini, umumnya kerana ia tidak dituntut oleh Islam.

Di Pahang, negeri itu hanya akan mengadakan satu ceramah di auditorium RTM Kuantan, tanpa perarakan besar seperti yang diadakan beberapa tahun lalu, kata pengarah Jabatan Agama Islam Pahang, Datuk Abdul Manan Abdul Rahman.

"Kita tidak buat perarakan, tapi sambutan dalam bentuk ceramah sahaja. Seingat saya kita cuma pernah adakan perarakan sekali saja pada tahun 2008, yang lain lebih banyak kita adakan ceramah," kata Abdul Manan ketika dihubungi.

Jelasnya, keputusan untuk tidak mengadakan perarakan Maulidur Rasul tahun ini diambil setelah mengambil kira keselesaan orang ramai yang akan hadir dan tidak melibatkan hukum ke atas penganjuran perarakan.

"Kita tidak anjurkan perarakan tahun ini bukan sebab hukum tetapi kerana mengutamakan keselesaan orang ramai yang akan hadir kerana ia dibuat waktu malam.

"Kita takut nanti akan hujan, dan perlu juga ambil kira masalah kesesakan," katanya dan menjelaskan belum ada lagi fatwa yang dikeluarkan berhubung penganjuran perarakan seperti itu.

"(Pahang) belum ada lagi fatwa yang katakan tidak boleh (buat perarakan), pandangan ini juga belum diutarakan lagi. Kalau ada (ulama) yang kata tidak boleh, ia perlu dibawa ke dalam Majlis Fatwa Kebangsaan," tambahnya.

Di Johor pula, sambutan tahun ini dijangka tetap meriah walau diadakan tanpa perarakan, kata pengarah Jabatan Agama Islam Johor A Rahman Jaffar.

Katanya, sambutan kali ini akan berlangsung sepanjang bulan dengan aktiviti yang dijadualkan di Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru dan juga di masjid-masjid jamek di setiap daerah.

Program di masjid negeri yang akan dihadiri Sultan Johor itu antaranya akan meliputi titah sultan, ceramah dan majlis berzanji.

"Dahulu kita pernah buat perarakan tapi sekarang tidak ada lagi, lagipun acara perarakan ini tidak dituntut oleh Islam" katanya.

Tambahnya, beberapa kumpulan tetap memohon supaya diadakan perarakan tahun ini, namun cadangan itu ditolak oleh Majlis Agama Islam Johor.

Juga difahamkan, negeri itu tidak pernah mengeluarkan apa-apa fatwa berkaitan penganjuran perarakan bagi menyambut hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

"Kita fokuskan kepada aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong membersihkan masjid dan juga kawasan kubur. Kalau tidak, kita bersihkan kubur waktu hari raya sahaja.

"Kalau perarakan pun cuma sekali saja, lepas itu habis. Kalau kita buat aktiviti kemasyarakatan kita boleh buat secara berterusan," katanya lagi.

Sementara itu, Perlis juga tidak akan mengadakan perarakan bagi sambutan kali ini, seperti juga tahun-tahun sebelumnya.

Ini disahkan oleh exco agama Islam negeri Jefri Othman yang berkata, Perlis sememangnya tidak pernah menyambut Maulidur Rasul secara besar-besaran

"Kita memang dari dulu lagi tidak sambut Maulidur Rasul secara besar-besaran seperti negeri lain," katanya.

Thursday, February 18, 2010

Mengapa Kerajaan Lim Guan Eng digeruni UMNO

Sehari dua ini, Kerajaan pimpinan Lim Guan Eng begitu hebat diserang oleh UMNO. Bermula dengan tuduhan merobohkan gerai orang Melayu hinggalah kepada tuduhan oleh MP Bayan Baru Datuk Zahrin Hashim bahawa LGE seorang chauvanis, diktaktor dan komunis.

Seterusnya berbondong-bondong orang Melayu buat demostrasi hingga bakar patung LGE. Mengapa begitu marah dan geram UMNO Pulang Pinang terhadap LGE ?

Inilah yang perlu kita kaji.

Apabila DAP dapat tawan Pulau Pinang setelah puluhan tahun mengidam dan guna slogan keramat mereka "Tanjung 1" hinggalah "Tanjung 3" akhirnya Pulau Pinang dapat di tawan dalam PRU 12.

UMNO melihat tertawannya Pulau Pinang bermakna diayah dan propaganda mereka dengan motto perkauman sudah berkecai. Mengapa? Ini kerana berlaku perubahan pemikiran orang Melayu terhadap UMNO.

Mereka melihat UMNO sekadar boneka selama 50 tahun memerintah bersama GERAKAN.

Lebih "parah" lagi , apabila cara pemikiran Lim Guan Eng berbeza dengan cara pemikiran pimpinan DAP sebelum itu. Kita melihat pemikiran LGE berubah sejak keluar penjara Kajang akibat pembelaannya terhadap gadis Melayu yang dirogol pimpinan UMNO Melaka.

Semasa di penjara, LGE mendapat sokongan moral hasil lawatan pimpinan PAS seperti Mohammad Sabu. Begitu juga hasil bacaan tentang kisah ketelusan Khalifah Umar Abd Aziz. Difahamkan buku kisah Umar Abd Aziz adalah hadiah dari arwah Ustaz Fadhil Nor.

Di sinilah bermulanya titik tolak perubahan pemikiran Lim Eng Guan dan pimpinan DAP hatta Lim Kit Siang.

Sepertimana PAS yang sedar untuk memerintah Malaysia mereka perlukan undi bukan Islam, begitu juga DAP. Mereka menyedari perlunya dibuat anjakan paradigma pemikiran pimpinan mereka dan rakyat terhadap DAP. Jika dulunya orang Melayu melihat DAP umpama melihat komunis dan Singapura. Mereka melihat wajah Lim Kit Siang macamlah melihat wajah Lee Kuan Yew. Penuh kebencian atas dasar perkauman.

Lim Guan Eng menyedari realiti itu. Hasilnya kita lihat berlaku beberapa perubahan anjakan paradigma pimpinan DAP. Inilah yang amat menbimbangkan UMNO. Antaranya :

a) Kunjungan Kit Siang ke Rhusila.
b) Keazaman Eng Guan untuk contohi Khalifah Abd Aziz.
c) Ancaman DAP Perak untuk ingkar arahan DAP Pusat agar tidak sokong PAS jadi MB Perak.
d) DAP Pahang begitu akrab dengan PAS Pahang semasa DAP keluar dari Barisan Alternatif.
e) Pimpinan DAP begitu menghormati TG Nik Aziz.

Melihat kepada ini semualah, maka UMNO mula menghalakan "peluru pandunya" ke arah Pulau Pinang. Sasaran utamanya Lim Guan Eng.

UMNO akan mengorek-ngorek isu untuk ditimbulkan di Pulau Pinang. Modal perkauman antara yang utama. Tujuan utama agar orang Melayu balik semula kepada pemikiran dahulu iaitu, "DAP adalah untuk orang Cina, komunis dan Singapura".

Sebab itulah tuduhan MP Bayan Lepas terhadap LGE diulang-ulang oleh Utusan Malaysia dan media barua UMNO. Kini UMNO mendapat 3 "peluru pandu" baru iaitu MP Kulim, MP Bayan Lepas dan MP Pasir Mas untuk dilancarkan ke arah Pulau Pinang.

UMNO melihat rapatnya DAP dengan PAS dalam keadaan MCA masih "berperang "sesama sendri suatu yang membahayakan UMNO dan BN.

UMNO juga melihat rapatnya DAP dengan PAS bermakna DAP dan orang Cina akan mendapat gambaran sebenar Islam dan keadilannya.

Lebih membahayakan UMNO apabila Lim Guan Eng menguar-uarkan untuk ikuti contoh Khalifah Umar Abd Aziz dengan mengaplikasikan melalui CAT.

Bagi UMNO selagi LGE menguasai Pulau Pinang, harapan mendapat undi Cina semakin tipis sepertimana harapan mendapat Kelantan umpama mimpin di siang hari. Lebih-lebih lagi bila Ku Li bersama dalam perjuangan royalti minyak

Tuesday, February 16, 2010

"Umno menang di Perak, tetapi boleh hilang Malaysia"?

Umno/Barisan Nasional (BN) di Perak atau pusat tidak boleh gembira dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan Dato' Seri Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah mengikut tafsiran mahkamah.

Sebaliknya, kata pengamal undang-undang, Hanipa Maiden Umno berhadapan dengan risko yang besar memandangkan keputusan itu membuka jalan 'rampasan' kuasa seolah-olah dihalalkan oleh tafsiran undang-undang

"Awak (Umno) mungkin menang Perak, tetapi awak (Umno) juga jangan lupa mereka bboleh hilang Malaysia kerana implikasi kepada keputusan mahkamah tadi (9 Februari) itu lebih kepada membenarkan kuasa Sultan boleh memutuskan siapa sahaja untuk jadi menteri Besar atau Perdana Menteri.

"Jika suatu hari nanti, ada beberapa ahli Parlimen BN 'cross over' kepada PAS, atau KeADILan atau DAP, dan Pakatan Rakyat merasakan ada majoriti untuk membentuk kerajaan, mereka boleh mengadap Yang DiPertuan Agong untuk memohon membentuk kerajaan baru

"Ini boleh terjadi dan boleh dibenarkan dengan tafsiran keputusan Mahkamah Persekutuan tadi," katanya yang juga panel peguam Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dalam kes tersebut.

Sementara itu, Hanipa tidak menolak bahawa keputusan itu adalah keputusan yang telahpun disangkakan, namun mengaku adanya peruntukan dalam prosiding keputusan mahkamah membenarkan keputusan penghakiman dibaca oleh seorang daripada lima hakim yang mendengar kes itu.

"Kita sudah jangka kalah, saya tidak yakin hakim-hakim boleh berani membuat keputusan yang akan menyebelahi Pakatan Rakyat, namun apa yang lebih besar ialah implikasinya kepada kemungkinan kes-kes sedemikian berlaku dalam masa akan datang," tegasnya lagi.

Dalam pada itu, peguam yang mewakili Nizar, Leong Chit Keng pula memberi analogi yang mudah, dengan keputusan itu katanya kini samada rakyat boleh lagi mempercayai kehakiman di negara ini.

Ujarnya, jika di United Kingdom, rakyatnya boleh untuk tidak percaya kepada polis, tentera, mahupun pimpinan, namun rakyat ada pilihan untuk mempercayai ketelusan kehakimannya.

Di negara ini (Malaysia), ia menjadi persoalan samada keyakinan kepada sisitem kehakiman itu boleh diletakkan atau sebaliknya, ujar Leong.

Panel lima hakim pada 9 Februari lalu sebulat suara memutuskan bahawa Zambry Abd Kadir dari BN adalah Menteri Besar Perak yang sah.Keputusan ini dibuat setelah tertangguh sejak 5 November lalu.

Presiden Mahkmah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff, mengetuai panel lima orang hakim yang mendengar kes tersebut.

Yang lainnya ialah Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria dan Hakim Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin, Datuk Wira Mohd Ghazali Mohd Yusoff dan Datuk Abdull Hamid Embong dari Mahkamah Persekutuan.

Keputusan panel hakim tersebut diumumkan oleh Arifin pada jam 11 pagi.Sebelum perbicaraan bermula, perkarangan Istana Keadilan Putrajaya dibanjiri para wartawan dan penyokong BN serta Pakatan Rakyat.

Pada jam 8.00 pagi, penyokong BN yang memakai baju kuning dengan tertulis 'daulat tuanku' memenuhi perkarangan hadapan mahkamah.Mereka melaungkan 'daulat tuaku' dan 'satu Malaysia'.

Sementara dalam masa yang sama para penyokong Pakatan Rakyat sedikit demi sedikit menghampiri Istana Keadilan.

Sebaik Mohamad Nizar tiba bersama isterinya, Datin Seri Fatimah Taat, suasana gegak gempita dengan laungan 'hidup rakyat' dan 'reformasi'.Ketika itu juga, FRU dan polis ditugaskan untuk memisahkan kedudukan penyokong Pakatan Rakyat dan BN.

Suara-suara mengecam antara satu sama lain kedengaran, namun tiada kekecogan berlaku.Sebaik keputusan diumumkan, penyokong Pakatan Rakyat melaungkan 'hancur BN', "Zambry Penipu' dan 'Bubar Dun Perak'.

Namun kehadiran Nizar bertemu dengan penyokong membuatkan suasana kembali tenang, dan Nizar menyeru kepada penyokong agar tenteram dan tidak melayan provoksi, selain Nizar sendiri mengetuai bacaan doa diakhir himpunan.

ku li rela dihukum

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) menegaskan beliau tetap ahli UMNO dan sanggup menerima apa tindakan disiplin yang akan diambil ke atasnya sekiranya tindakan beliau menggunakan platform NGO untuk menerangkan kedudukan sebenar berhubung royalti minyak dianggap menyalahi undang-undang dan perlembagaan parti.

Pegawai Khasnya, Mohd Lokman Ghani berkata, tindakan Tengku Razaleigh itu adalah berasaskan pendiriannya yang ingin menyampaikan kebenaran kepada rakyat berhubung isu tuntutan royalti minyak yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Kelantan.

“Saya merasa kecewa dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang juga Timbalan Presiden Parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang seolah-olah tidak faham dan masih tidak faham tentang pendirian Ku Li.

“Sedangkan Ku Li sudah beberapa kali telah ditegaskan bahawa beliau berucap di pentas NGO.

“Saya hairan adakah TPM, Perdana Menteri dan ahli parti semua mendengar ucapan Ku Li. Saya harap dengar dari awal hingga akhir. Apakah kenyataannya itu melanggar perlembagaan dan disiplin parti,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, semalam.

Lokman berkata, Ku Li bersedia menerima apa sahaja tindakan yang akan diambil terhadap beliau memandangkan pendiriannya jelas dan tidak mahu diheret sama untuk berbohong kepada rakyat.

“Kalau kerajaan bohong takkan Ku Li nak ikut kerajaan berbohong. Terpulang kepada parti sama ada beliau bersalah atau tidak kerana apa hendak disampaikan beliau ialah undang-undang dan perjanjian yang telah ditandatangani memandangkan beliau sendiri yang telah menandatangani dan beliau lebih mengetahui soal ini.

“Apa yang hendak disampaikan adalah perkara yang benar. Beliau tidak mahu berbohong dan mahu bercakap benar. Apakah kenyataan benar dan tepat itu bercanggahan dengan kehendak parti. Apakah Ku Li perlu diseret sama untuk berbohong kepada rakyat semua,” katanya.

Mengulas mengenai wujud dakwaan yang kononnya Ku Li memberikan kenyataan yang berbeza dalam isu tuntutan royalti bagi Kelantan dan Terengganu, Lokman berkata, Ku Li tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang berbeza kerana masa kes di Terengganu beliau sanggup menjadi saksi (sewaktu kerajaan Pas tuntut royalti minyak dari Kerajaan Pusat) sekiranya dibawa ke mahkamah.

Katanya, perjanjian royalti minyak itu cukup mudah iaitu apabila dalam tiga batu nautika ia memang hak Kerajaan Negeri 100 peratus sepatutnya.

“Tidak sepatutnya dapat langsung (dalam tiga batu nautika) kepada Kerajaan Pusat. Tapi apabila Kerajaan Pusat bersama Kerajaan Negeri memikirkan bahawa tidak ada minyak di dalam tiga batu nautika ini maka ada perjanjian bahawa jika terdapat minyak di dalam tiga batu nautika atau lebih hasil minyak diserahkan kepada Petronas. Dan Petronas mesti membayar hasil sebanyak 5 peratus kepada Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri.

“Itu asas perjanjian. Dalam kedudukan tiga batu nautika ini Kerajaan Negeri sepatutnya tidak memberi satu sen pun kepada Kerajaan Pusat kerana itu memang hak Kerajaan Negeri.

“Tetapi berdasarkan kepada kajian besar kemungkinan minyak tidak ada di dalam kawasan tiga batu nautika, minyak semua berada di luar tiga batu nautika jadi Kerajaan Negeri pada masa itu bertimbang rasa dan Petronas pun sepatutnya bertimbang rasa,” katanya.

Sehubungan itu beliau menegaskan, adakah disebabkan kenyataan Ku Li berbeza dengan Kerajaan Pusat, maka beliau diheret sekali untuk berbohong.

“TPM sepatutnya dimaklumkan perkara yang betul apa yang telah disampaikan oleh Ku Li dan bukannya maklumat yang tidak tepat. Kerana Ku Li berceramah di atas platform NGO iaitu Gerakan Tuntut Royalti Rakyat Kelantan (Gegar),” katanya.

Lokman berkata, kenyataan Muhyiddin juga bertentangan dengan kenyataan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz..

“Sehari sebelum Ku Li menyampaikan ceramah tersebut Ahmad dan Nazri menyatakan ia bukan halangan, sekarang lain pula," katanya.

Search This Blog