Monday, February 8, 2010

HATI-HATI PAS JANGAN SAMPAI RAKYAT MELUAT KEPADA KITA

OLEH : MOHAMED HANIPA MAIDIN

Tidak cukup dengan keputusan jawatankuasa disiplin yang memeningkan kita dan menjadi bahan ketawa abad ini, kini timbul semula isu muzakarah PAS dengan Umno.

Sekejap ada sekejap timbul. Sekejap ada sekejap timbul. Apa lagi kalau bukan muzakarah PAS dan Umno ? Sekejap UG, sekejap muzakarah. Sekejap muqabalah. lepas ini apa pula, kita pun tidak tahu. Saya yakin rakyat dah muak dengan isu ini. Jika saya tidak bersama PAS, sudah tentu saya orang pertama yang paling muak dan meluat dengan isu ini dan muak kepada kedua-dua parti politik yang membangkitkan isu ini.

Saya tidak boleh tegur Umno sebab dia bukan parti saya. Tapi saya ingin tegur pemimpin PAS. Kenapakah mereka tidak serik-serik membangkitkan isu ini sedangkan tiada angin tiada ribut. Bukankah lebih baik kalau kita gunakan pemikiran kita untuk perkuatkan Pakatan.

Saya rasa terpanggil ingin menegur pemimpin PAS tidak kira setinggi mana pun jawatan mereka dalam parti. Biarlah orang PAS marah saya daripada rakyat marah kepada PAS dan menghukum PAS selepas ini.

Cukuplah bangkitkan apa sahaja isu yang rakyat boleh hidu bahawa PAS dan Umno cuba nak berbaik. Takkan kita masih tidak kenal UMNO ! UG ke atau muzakarah ke bagi rakyat yang dah meluat dengan Umno , PAS dilihat sentiasa memberi nafas kepada Umno jika isu UG atau muqabalah atau muzakarah dibangkitkan.

Meluat rakyat ada hadnya. Jangan sampai PAS berani-berani menghampiri had itu. Jika rakyat meluat kepada kita, jangan marah mereka marahlah kepada diri kita sendiri !!!

ZAMBRY & UMNO BN GUNA JENTERA DAN PEGAWAI KERAJAAN PERTAHAN KEPENTINGAN POLITIK MEREKA

Zambry dan UMNO BN sangat terdesak, resah dan gelisah sekarang menanti keputusan Mahkamah Federal 9 Februari ini. Mereka tidak yakin dengan penghakiman yang akan dibuat oleh para hakim dalam menentukan siapa MB yang sah di Perak. Malam tadi dan sebelum ini mereka menganjurkan solat hajat yang pastinya bertujuan mempertahankan kuasa haramnya itu.


PAS tidak dengki dengan cara sedemikian yang dibuat oleh Zambry. PAS sejak dahulu lagi menggunakan pendekatan sedemikian bagi memohon pertolongan dari Allah swt selain melalui proses undang-undang dan politik, walaupun ada mulut-mulut celupar UMNO BN mempertikai dan memperlekeh usaha sedemikian.

Persoalannya mengapa Zambry dan UMNO BN mengheret pegawai dan kakitangan kerajaan bagi mempertahankan kerajaan haramnya itu. Nampak sangat UMNO memperkuda pegawai kerajaan untuk kepentingan politik mereka. Mesej yang dihantar oleh Dato' SUK yang mengarahkan pegawai kerajaan membawa pasangan masing-masing ke majlis solat hajat di kediaman MB malam tadi menjelaskan lagi bahawa Dato' SUK diperkuda oleh UMNO BN. Jabatan Agama melalui penyelaras masjid seluruh daerah juga turut diperkuda oleh UMNO BN, mereka diminta mengarahkan Pengerusi dan beberapa Jawatankuasa Qaryah/Masjid hadir ke program solat hajat rakyat anjuran UMNO BN.

Berbeza dengan PR sewaktu setahun memerintah Perak. Beberapa program solat hajat sering diadakan bagi mempertahankan kerajaan PR akibat tekanan dan usaha jahat BN untuk merampas kerajaan PR melalui cubaan merasuah beberapa Adun PR. Bermula dengan solat hajat perdana di Stadium Ipoh dan beberapa solat hajat di kediaman MB, PR tidak pernah menggunakan jentera kerajaan untuk memanggil orang ramai menyertai program tersebut, Dato' SUK tidak pernah diarahkan untuk menjemput dan mengarahkan pegawai kerajaan menghadiri solat hajat, Jabatan Agama Perak juga tidak pernah diguna bagi menghebahkan program tersebut, PR berpendirian untuk mempertahankan kerajaan PR, jentera dan ahli partilah yang berperanan mempertankan kerajaan yang dipilih oleh rakyat bukan jentera kerajaan.

Mereka juga menggunakan kesempatan ini bagi membangkitkan sentimen perkauman, kononnya kerajaan sekarang wajib dipertahankan bagi mengelakkan Cina dan DAP menguasai kerajaan Perak. PAS didakwa oleh mereka hanya sebagai boneka DAP dan Cina semata-mata. Mereka merayu-rayu oran Melayu supaya mempertahankan kerajaan BN sekarang yang dikuasai oleh Melayu dan Islam, jatuhnya kerajaan BN, akan hilanglah kerajaan Melayu di Perak. Itulah jahatnya UMNO BN memainkan sentimen perkauman sempit mereka bagi menagih simpati rakyat. Kita harap rakyat tidak terpedaya dengan diayah jahat yang dimaiankan oleh UMNO BN.

9 februari 2010

"Rakyat negara ini amnya dan negeri Perak khususnya menanti keputusan Mahkamah Persekutuan yang akan mengumumkan keputusannya pada 9 Februari ini sama ada Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir kekal dalam jawatan itu atau Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mendapat kembali jawatannya. Keputusan itu amat ditunggu-tunggu kerana ia akan menentukan sama ada Barisan Nasional (BN) akan terus mentadbir negeri itu atau kembali kepada pemerintahan Pakatan Rakyat. Panel lima hakim yang bersidang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff.

Setahun sudah isu rampasan kuasa di Perak berlalu maka selasa ini akan diketahui siapa yang akan menerajui Perak. Rata rata seluruh rakyat Malaysia sudah menjangkakan Zambry akan memenangi pertelingkahan jawatan Menteri Besar Perak, walaupun hakikatnya semua sedia maklum rakyat telah memilih Pakatan Rakyat memerintah Perak namun dengan sepantas kilat Umno menafikan kehendak rakyat Perak.

Walaupun Ir Nizar dinafikan oleh Umno tapi rakyat harus ingat sokongan padu pada Ir Nizar berterusan pabila beliau memenangi Pilihanraya Kecil Bukit Gantang. Lagi hebat ditekan lagi hebat sokongan rakyat diberikan pada perjuangan Pakatan Rakyat.
Seandainya selasa ini mahkamah mengadili dan menentukan Zambry sebagai Menteri Besar Perak adakah rakyat juga akan mengadili Umno akan terus memerintah Perak bila tibanya pilihanraya umum ke 13 nanti.
Aku percaya begitu banyak isu semasa politik yang menimbulkan kebencian rakyat pada umno seperti isu royalti minyak Kelantan, kes liwat Dato Seri anwar Ibrahim, isu MB Perak dan lain lain lagi isu semasa yang membuak hati perasaan rakyat membenci Umno walaupun menteri menteri umno mengatakan rakyat masih sokong BN di saluran berita nasional.
Dimedia massa Umno boleh berbohong tapi dilaman-laman di internet umno hanya mampu menangkis tapi tidak mampu menyekat.
Bercakap benar dicantas, berbohong dijulang.Dalam Umno menipu dapat lebih, bercakap benar makan ala kadar.

Saturday, February 6, 2010

Guan Eng tidak tergugat

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, beliau akan tetap meneruskan usaha mentadbir dan membangunkan Pulau Pinang walaupun dibebani dengan pelbagai tekanan dan tuduhan.

“Tekanan yang saya terima ini tidak mendatangkan kesan, sebaliknya saya akan mentadbir negeri ini dan membawanya ke puncak kejayaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan kakitangan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) di sini, semalam.

Menjawab soalan sama ada beliau akan meletak jawatan akibat tekanan yang diterima, Guan Eng berkata: “Sesiapa sahaja boleh suruh atau minta saya letak jawatan.”

Guan Eng bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenainya dan beberapa tuduhan lain yang dikaitkan dengannya.

“Saya tidak layak untuk menjawab semua persoalan itu, rakyat tahu menilai,” katanya.

Menurutnya, usaha untuk menjatuhkan Kerajaan Negeri tidak akan berjaya kerana pakatan pembangkang yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas tetap berdiri teguh.

"Hanya segelintir individu yang ada dalam pakatan pembangkang sahaja yang mungkin tidak berpuas hati, mereka ini hanya berada dalam parti tetapi jiwanya berada di luar parti," katanya.

Kepimpinan Guan Eng dikritik oleh Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim yang juga bekas Pengerusi PKR Pulau Pinang apabila melabelkan beliau sebagai diktator, chauvinis dan berfikiran bahaya kerana sikapnya tidak suka dikritik.

Turut menyokong kenyataan Zahrain ialah seorang lagi pemimpin PKR, Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng yang mendakwa Guan seorang yang angkuh dan harus disingkirkan daripada jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang.

Luka Parah,Rakyat Perak

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) bersama seluruh rakyat Negeri Perak yang cintakan demokrasi tidak dapat melupakan sejarah hitam rampasan kuasa yang telah di lakukan oleh UMNO / Barisan Nasional (BN) Negeri Perak yang sepatutnya mendahulukan rakyat di dalam memastikan keharmonian dan kesejahteraan rakyat yang telah di cabuli iniYang lagi parah ialah kedudukan ekonomi yang terjejas teruk dan juga usaha untuk menarik pelabur tidak berjaya sama sekali. Walaupun telah di umumkan pelbagai pelaburan yang telah masuk, tetapi sebenarnya rakyat telah di tipu keadaan tersebut kerana jelas bahawa tahap ekonomi Negeri Perak masih rendah sekali.

DPPN Pk juga merasakan bahawa tahap demokrasi di Negeri Perak telah terkikis akibat rampasan kuasa tersebut. Ini jelas dapat di lihat dalam pelbagai keadaan sepanjang setahun ini. Musnahnya sistem Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak jelas berlaku terhadap Speaker DUN Perak, V. Sivakumar dan pelakuan yang telah seluruh dunia saksikan keadaan yang telah berlaku.

Badan beruniform yang sepatutnya menjaga keselamatan seperti Polis di lihat tidak bersikap profesional serta berintergeriti sepanjang berlakunya drama rampasan kuasa tersebut. Keyakinan rakyat sudah pasti tidak menyakini akan kemampuan Polis untuk memastikan keselamatan rakyat atau wakil rakyat terjamin.

Perkara terpenting di dalam menjaga kerukunan rakyat di kalangan orang Islam di tambahi luka dengan drama rampasan kuasa Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid yang telah di pelapori oleh UMNO. UMNO cuba menjadikan Masjid sebagai pentas politik mereka tanpa menghormati hak rakyat yang menjadi jamaah atau kariah di situ.

Oleh yang demikian, rakyat di seru berdoa dan bermunajat agar keadilan akan di tegakkan kembali di Negeri Perak ini. Rampasan kuasa jahat oleh UMNO / BN ini mesti di hapuskan. Rakyat perlu menolak UMNO / BN kerana mereka mengkhianati hak rakyat. UMNO / BN sebenarnya gilakan kuasa dan awal Februari tahun lepas jelas bahawa mereka tidak akan berjaya selagi tidak mempunyai kuasa.

9 Februari ini menjadi petanda aras yang perlu rakyat lihat sebagai peluang untuk mengembalikan demokrasi di Negeri Perak. Kejayaan kita bersama ialah mendaulatkan demokrasi yang sepatutnya di Negeri Perak.


DR RAJA AHMAD AL-HISS
Setiausaha,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak

Friday, February 5, 2010

PAS pertahan k'jaan Pakatan Pulau Pinang

Peruntukan untuk hal-ehwal Islam yang disediakan oleh kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang bagi tahun ini adalah yang tertinggi pernah dinikmati oleh institusi Islam di negeri itu selama ini, kata ketua penerangan PAS, Idris Ahmad.

Menurutnya, pada 2008, peruntukan untuk hal-ehwal Islam oleh Kerajaan BN hanya RM12.5 juta.

“Namun dalam pembentangan belanjawan tahun 2008 kerajaan Pakatan telah menambahnya kepada RM20.5 juta untuk peruntukan 2009.

“Pada pembentangan belanjawan 2009, peruntukan meningkat lagi kepada RM24.3 juta untuk 2010.

“Jumlah ini adalah peruntukan tertinggi yang pernah dinikmati oleh intistusi Islam di Pulau Pinang selama ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini yang bertajuk 'Pulau Pinang Maju, umat Islam dan Melayu terbela di bawah Pakatan'.

Di samping itu, katanya, kerajaan Pakatan juga memberi pengiktirafan kepada para huffaz dengan memberikan peruntukan RM1.5 juta setiap tahun kepada sekolah-sekolah agama rakyat.

Sehubungan itu, katanya, PAS mengucapkan tahniah kepada kerajaan Pakatan Pulau Pinang kerana berjaya menunjukan prestasi yang begitu membanggakan selepas mentadbir negeri pulau mutiara itu sejak dua tahun yang lalu.

Idris mendakwa, walaupun BN cuba menggambarkan bahawa Pakatan tidak mampu mentadbir negeri itu dengan baik, namun rakyat dapat melihat sendiri cekapnya pemerintahan di bawah Pakatan.

“Pada 2007, kerajaan BN mensasarkan belanjawan 2008 mengalami defisit RM35 juta tetapi sebaik sahaja kerajaan bertukar kepada Pakatan, belanjawan itu mengalami lebihan RM88 juta, iaitu lebihan paling tinggi dalam sejarah Pulau Pinang.

“Bagi belanjawan 2009 pula, anggaran defisit dibuat sebanyak RM40 juta tetapi pemerintahan Pakatan sekali lagi memberikan hasil dengan lebihan RM77 juta,” tambahnya.

Kontraktor Melayu tak diabaikan

Menurut Idris lagi, sepanjang pemerintahan kerajaan negeri Pakatan Rakyat, kontraktor Melayu juga tidak diabaikan

“Dakwaan Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang yang dikuasai Umno bahawa Melayu dipinggirkan dalam agihan projek dinegeri itu adalah tidak benar.

“Pada 2008, (seramai) 78 Kontraktor Melayu, berbanding 35 kontraktor bukan Melayu, telah menerima projek melalui sebut harga.

“Satu kontraktor Melayu dan satu kontraktor bukan Melayu masing-masing telah menerima projek melalui tender terbuka.

“Pada 2009, 89 kontraktor Melayu diterima untuk projek melalui sebut harga dan bilangan kontraktor bukan Melayu yang diterima berkurangan kepada 19 syarikat sahaja,” kata Idris.

Pada tahun yang sama, tambahnya, projek yang diberi kepada kontraktor Melayu melalui tender terbuka bertambah kepada 45 syarikat dan bukan Melayu 6 Syarikat.

Menurutnya, peningkatan yang ketara ini membuktikan kerajaan Pakatan masih menghormati hak kaum Melayu dan tidak menafikan hak kaum lain.

“Keutamaan pemberian projek adalah bergantung kepada kelayakan, kemampuan dan kesungguhan yang ditunjukan oleh pemohon tanpa mengira kaum mereka.

“Inilah bukti kesungguhan, dan iltizam pembangunan yang dilaksanakan hasil dari kepercayaan rakyat dalam pilihanraya lalu,” tambahnya.

Idris berkata, Pakatan sesekali tidak akan mensia-siakan harapan dan amanah rakyat apabila mentadbir mana-mana negeri.

“PAS berharap akan kejayaan ini dapat diteruskan dan rakyat di negeri berkenaan dapat memberikan keyakinan serta mandat yang berterusan kepada Pakatan untuk penggal yang akan datang,” tambahnya.

9 Feb..Apakah akan ada RAMPASAN kali ke 3?

Definasi 9 Februari 2010 menimbulkan pelbagai spekulasi dikalangan rakyat.Ada yang mengatakan bahawa kemenangan akan berpihak kepada Pakatan Rakyat dan tak kurang juga yang mengatakan bahawa ia akan berpihak kepada UBN.
Rata-rata rakyat mengatakan dengan jelas mengapa mereka mengatakan bahawa kemenangan akan berpihak kepada UBN pertamanya kerana institusi kehakiman berpihak kepada UBN dan kebanyakan institusi kerajaan di kawal selia oleh mereka.

Keduanya tak kurang juga ada yang menyatakan bahawa kemenangan akan berpihak kepada Pakatan Rakyat.Ini jelas kerana sesetengah dari Rakyat berfikir menggunakan fakta dan undang-undang yang diadakan merujuk kepada setiap ketetapan dalam undang-undang tubuh Negeri Perak.Ia dilihat wajar kerana segala permasalahan dan juga pergolakan bermula dari pihak UBN dan sistem Pakatan Rakyat melawan mereka sama sekali tidak bertentangan dengan undang-undang yang sedia ada.

Ketiga ada juga dikalangan Rakyat menimbulkan persoalan,Apakah yang akan berlaku sekiranya kemenangan itu berpihak kepada Pakatan Rakyat??Apakah mereka UBN akan berdiam diri dan membiarkan Pakatan Rakyat mencalar kekuasaan mereka.Apakah akan ada rampasan kuasa kali ke3?

Seperti biasa Harimau yang megah dan bangga dengan kekuatan yang ada padanya sekarang tidak akan mudah mengalah kepada si Kancil yang cerdik walaupun menampakan bahawa si harimau sememangnya menggunakan Nafsu sebagai akal fikiran dan si kancil yang cerdik akhirnya tetap tumbang kerana diratah dengan taring si Harimau.Namun persoalannya apakah harimau tidak bisa MATI?

Saya suka memetik ucapan Dato Seri Nizar semalam semasa ceramah beliau yang menyatakan bahawa ` Rakyat harus bersiap sedia untuk kesedihan kali ke 3, kerana mereka yang zalim tidak akan meninggalkan kekuasaan mereka begitu sahaja-Dato Seri Ir Hj Nizar Jamaluddin

Oleh itu kepada semua kita tahu kita berhadapan dengan siapa sememangnya mereka tidak mempunyai kuasa lebih dari ALLAH swt namun sesuatu yang perlu kita ingatkan ialah apa yang berlaku itu ialah melalui keizinan ALLAH swt dan ia bisa berlaku dan kezaliman juga bisa mati dan hilang kuasanya.

Ayuh semua RAKYAT bangkit dan pertahankan HAK anda kerana kuasa sebenar ialah Kuasa Rakyat anugrah Khas dari ALLAH swt.Ayuh kita bangkit dan BUBAKAN DUN NEGERI PERAK..!!

Thursday, February 4, 2010

Siapa bodoh di sebalik isu royalti

Siapa yang diperbodoh atau menjadi bodoh dalam isu tuntutan royalti minyak di Kelantan sama ada mereka yang mengikut lunas undang-undang atau kumpulan melanggar peraturan.

Ini kesimpulan mudah bagi menjelaskan pendirian pengasas Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah apabila diperlekehkan pemimpin Umno setelah menjelaskan perkara sebenar di sebalik Akta Kemajuan Petroleum 1974.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latif Abdul Rahman berkata, pemuda dan wanita Umno hendaklah menjelaskan siapa sebenarnya yang menjadi bodoh apabila menjelaskan perkara sebenar di sebalik undang-undang.

“Kemukakan bukti kalau betul kenyataan Ku Li di stadium baru-baru ini hanya untuk memperbodohkan rakyat.

“Jangan hanya mudah melatah sehingga mahu mendesak Ku Li letak jawatan, sedangkan apa yang diperkatakan perkara sebenar,” katanya ketika ditemui di sini.

Sebelum ini Ketua Pemuda Umno negeri, Anuar Safian mendesak Ku Li melepaskan jawatannya sebagai ahli parlimen BN ekoran berceramah isu royalti di Stadium Sultan Mohamad IV.

Anuar menyifatkan Ku Li memperbodohkan rakyat Kelantan kerana menjelas mengenai royalti minyak yang dituntut kerajaan negeri.

Selain itu Wanita dan Pemuda Umno Gua Musang juga dilaporkan kecewa dengan tindakan Ku Li menjelaskan perkara sebenarnya di sebalik tuntutan royalti.

Abdul Latif mencabar pemimpin Umno mengambil tindakan ke atas Ku Li kerana sanggup memperkatakan perkara sebenar dalam isu tuntutan royalti.

“Menghukum perbuatan yang baik bukan sahaja manusia yang marah, bahkan Tuhan sendiri akan melaknati perbuatan begitu,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Latif juga memberitahu Pemuda PAS tidak teragak-agak membuat laporan polis terhadap kenyataan pemimpin Umno yang mahu menukar royalti menjadi wang ihsan.

Baru-baru ini Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed memberitahu wang ihsan sebanyak RM20 juta akan dibayar melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan pada Mac depan.

Wednesday, February 3, 2010

Jika pemimpin PR cakap macam Nasir, pasti kena ISA

Jika apa yang Datuk Nasir Safar lontarkan itu disebut oleh pimpinan Pakatan Rakyat, pasti mereka sudah dipenjarakan dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

Tegasnya, PAS tetap menolak ISA dan Akta Hasutan dan mahu Nasir didakwa segera di mahkamah.

Katanya, jika para blogger yang menghina institusi Beraja di negara ini boleh dibicarakan, maka Nasir juga berhak untuk menerima tindakan yang serupa walaupun beliau sudah meletakkan jawatan sebagai Pegawai Khas Perdana Menteri.

PAS juga, katanya bertegas mendesak pihak polis melakukan siasatan dan membuat pendakwaan terhadap Nasir yang terang-terangan menghina kaum India dan Cina di negara ini.

Tambahnya, PAS sesekali tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang mempertikaikan hak mana-mana kaum yang sah taraf sebagai warganegara ini.

Katanya, selagi Umno, MIC dan MCA masih wujud, isu perkauman akan sentiasa menjadi bahan pertikaian.

“PAS melihat tindakan Nasir ini sebagai natijah penglibatannya yang sekian lama bergelumang dengan parti perkauman Umno.

“Nasir perlu dibicarakan kerana jelas pandangannya itu telah menghina intitusi Perlembagaan negara ini yang menjamin hak setiap warganegara tanpa mengira kaum,” katanya.

Tambahnya, walaupun Nasir menafikan itu pendirian Perdana Menteri, namun jelas Perdana Menteri telah gagal untuk mengajar pegawainya untuk memahami gagasan 1 Malaysia yang dicanangkannya.

Menurutnya, jika pegawai yang rapat dengan Najib boleh menganggap gagasan itu sebagai remeh, bagaimana rakyat mahu percaya keikhlasannya terhadap dasar berkenaan.

Kaji kedudukan dalam persekutuan – Ku Li

Bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah mencadang dikaji semula kedudukan negeri dalam persekutuan memandangkan berlaku ketidakadilan dalam pengagihan peruntukan sekarang.Beliau berkata, banyak cukai yang dikutip dari setiap negeri, namun pengagihan balik kepada negeri tidak berlaku secara adil.

“Kalau negeri-negeri tidak membayar cukai kepada kerajaan persekutuan apa yang kerajaan ada sekarang. Tentunya akan mendatangkan masalah besar.



“Oleh itu ada baiknya setiap negeri mengkaji balik perjanjian yang dipersetujui suatu ketika dahulu untuk membolehkan suatu keadilan berlaku,” katanya pada majlis solat hajat dan ceramah royalti di Stadium Sultan Mohammad Ke IV malam Jumaat lalu.

Ruang stadium penuh sesak dengan kehadiran orang ramai. Program bermula solat Maghrib. Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat mengimamkan solat hajat.

Program tersebut dianjurkan Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) dan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri.

Hadir sama Timbalan Menteri Besar, Dato’ Ahmad Yakob, Setiausaha Agung KeADILan, Saifuddin Nasution Ismail, wakil-wakil rakyat dan veteran Umno, Tamrin Ghaffar.

Tengku Razaleigh mencetus perkara itu kerana kecewa keengganan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diketuai Dato’ Seri Najib Razak membenarkan Petronas membayar royalti minyak kepada Kelantan.

Berdasarkan kepada carigali minyak di perairan Kelantan sejak 2004, royalti sebanyak RM2 bilion sepatutnya dibayar mengikut apa yang dipersetujui dalam perjanjian dengan Petronas pada 1975.

Oleh itu beliau berkata, dengan ada jawatankuasa Kaukus parlimen berkaitan isu royalti Kelantan pelbagai perkara boleh difikirkan bagi faedah rakyat.

“Kaukus parlimen juga boleh membincangkan kedudukan negeri dalam persekutuan memandangkan wujud ketidakadilan dalam pengagihan peruntukan bagi membangunkan negeri.

“Setiap negeri perlu dimaju bagi menjadikan negara membangun secara lebih menyeluruh. Jika kemajuan tidak seimbang ia akan menjejaskan negara juga,” ujarnya.

Beliau juga melahirkan rasa hairan Sabah ketika di bawah kerajaan pembangkang Parti Bersatu Sabah yang diketuai Pairin Kitingan, namun Petronas tetap membayar royalti 5 peratus setahun kepada negeri tersebut.

Namun dalam konteks Kelantan sekarang tiba-tiba pula royalti menjadi ihsan.

Bagaimananapun Tengku Razaleigh yang juga pengasas Petronas melahirkan rasa kagum di atas pendirian tegas bekas Ketua Menteri Sarawak, Tun Abdul Rahman Yakub yang enggan menandatangani perjanjian dengan Petronas sekiranya tiada jaminan terhadap royalti minyak.

“Saya ketika itu telah dipertanggungjawab oleh Tun Razak berunding dengan Abdul Rahman. Ketua Menteri Sarawak itu juga mahu saya dilantik sebagai pengerusi Petronas sebelum persetujuan dicapai.

“Saya balik memberitahu kepada Tun Razak dan akhirnya beliau setuju dengan syarat dikenakan Abdul Rahman. Ini secara jelas menggambarkan pemimpin terbabit bimbang kerajaan pusat mungkir janji seperti dilakukan terhadap Kelantan sekarang,” katanya.

Beliau juga menceritakan bukan mudah proses untuk menubuh syarikat Petroleum Negara (Petronas) pada 1974 memandangkan ketika itu syarikat asing menguasai industri minyak di negara ini.

Tengku Razaleigh juga mendedahkan ada orang tidak berkenan beliau datang mendedahkan perkara sebenar pada ceramah tersebut.

“Ada orang tidak suka saya datang, namun saya menjawab pedulikan mereka,” katanya mendapat tepukan gemuruh orang ramai.

Pengerusi bersama Gegar, Dr Abdul Halim Yusoff berkata, selepas ini pihaknya akan mengadakan program serupa di Kuala Terengganu pada Febuari depan.

Selain itu debat royalti minyak antara pihak pro dan antiroyalti akan diadakan di Balai Islam, Lundang. Manakala konvensyen royalti petroleum di Kuala Lumpur Mac depan.

“Usaha-usaha untuk menarik NGO-NGO dari Sabah dan Sarawak telah giat diadakan, InsyaAllah kami akan himpunkan rakyat Malaysia di Putrajaya dalam masa terdekat sekiranya pusat masih berkeras menafikan hak kerajaan negeri,” katanya.

Pensyarah kanan Jabatan Pengajian Media UM, Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbulah bertindak sebagai moderator program terbabit.

Tuesday, February 2, 2010

Saya Tak Layak Kritik Tengku Razaleigh - Dr. M

Tun Dr Mahathir Mohamad menganggap bahawa beliau tidak layak untuk mengkritik tindakan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang menggunakan pentas pembangkang dalam isu royalti minyak Kelantan kerana bekas Perdana Menteri itu sendiri pernah melakukan perkara sama sebelum ini.

"Saya tak fikir tindakan menggunakan pentas pembangkang perbuatan yang diterima tetapi saya juga pernah bercakap dalam kumpulan kecil mengkritik kerajaan.

"Saya tidak layak untuk mengkritik," katanya kepada pemberita selepas diminta mengulas tindakan Tengku Razaleigh yang menggunakan pentas pembangkang mengeluarkan kenyataan bahawa negeri itu layak menerima lima peratus royalti minyak daripada Kerajaan Pusat.

Terdahulu beliau menyampaikan ucaptama pada Persidangan Logik Asean di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini hari ini.

Khamis lalu, bekas Menteri Kewangan itu dalam satu perhimpunan anjuran Kerajaan Negeri Kelantan berkata bahawa negeri itu layak memperoleh royalti berkenaan. Sedangkan kenyataannya itu bercanggah dengan pendirian Kerajaan Pusat yang mahu menyumbangkan wang ihsan.

Ekoran itu, Pergerakan Pemuda Umno melahirkan rasa kesal dengan tindak-tanduk Ketua Umno Bahagian Gua Musang itu yang berkongsi pentas dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat semasa perhimpunan di Stadium Sultan Mohammed IV, Kota Baru.

Semasa pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi, Dr. Mahathir mengkritik keras kerana tidak bersetuju dengan beberapa tindakan penggantinya itu menguruskan negara.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir berpendapat, Tengku Razaleigh mengeluarkan kenyataan itu kerana mengutamakan negerinya berbanding Kerajaan Pusat.

“Saya fikir sebagai anak jati Kelantan, beliau mahu melihat negerinya itu mendapat wang. Itu saya rasa. Saya belum bercakap dengannya," ujar beliau.

Ditanya sama ada tindakan itu akan menjejaskan keyakinan pengundi terhadap Umno berikutan kejadian itu, Dr. Mahathir berkata: "Mungkin, mungkin.

“Tetapi apa sahaja yang kita lakukan, kita tidak akan dapat rampas balik Kelantan. Orang Kelantan ada cara tersendiri berfikir."

DUN PERAK YANG WAJIB BUBAR BUKAN 28 KERUSI PR

Dalam wawancara Setahun Melayari Arus di Perak FM hari ini, Zambry telah mencabar PR membubarkan 28 kerusi yang dimemangi secara sah dalam pilihanraya yang lalu. Kenyataan ini bukan sahaja sombong tapi paling bodoh dan dangkal seorang Menteri Besar haram Perak. Mengapa 28 kerusi PR yang dibubarkan, pembubaran 28 kerusi tidak akan berlaku, melainkan mengosongkan kerusi melalui perletakan jawatan beramai-ramai, bila kerusi dikosongkan dalam tempoh 5 tahun semua calon PR tidak boleh bertanding semula.

Pembubaran hanya boleh berlaku pada DUN Perak, pembubaran DUN membolehkan pilihanraya semula diadakan bagi memilih kerajaan yang baru. PR dipilih oleh rakyat melalui suara demokrasi yang sah, sedangkan pembentukan kerajaan BN dibuat dengan cara rampas kuasa melalui pengkhianatan rakyat oleh 3 orang ADUN PKR dan DAP. Rakyat tidak merestui pengkhianatan ini.

Sepatutnya DUN Peraklah yang wajib dibubarkan, rakyat akan mengundi sekali lagi bagi memilih kerajaan yang baru, atau 3 orang pengkhianat inilah yang wajib kosongkan kerusi untuk membolehkan pilihanraya diadakan di tiga-tiga kerusi tersebut.

Rakyat Perak sangat malu mempunyai MB yang sangat sombong, bodoh lagi dangkal. Kalau memang benar rakyat bersama mereka, sepatutnya Zambry mengadap Tuanku bagi memohon supaya DUN Perak dibubarkan.

Saya juga mencabar Zambry berdebat dengan Nizar bagi membuktikan keupayaan masing-masing dalam tempoh setahun PR memerintah dengan setahun BN merampas. Siarkan debat tersebut secara live di media arus perdana. Selepas berdebat, esok bubarkan DUN bagi membolehkan rakyat menjadi hakim yang adil dalam menilai pencapaian kerajaan masing-masing. Harap ada mana-mana stesyen TV berani menganjurkan debat ini.

Saya rasa kalau setakat berdebat dengan Zambry tak payah Hj Nizar, pegawai-pegawai khasnya juga mampu berdebat dengan Zambry.

Walau bagaimanapun saya selaku Setiausaha Perhubungan PAS Perak merangkap mantan Setiausha Politik Hj Nizar akan mengutus surat supaya Zambry menyahut cabaran debat dengan Nizar.

Saturday, January 30, 2010

Zambry adalah MB mahkamah pada 9 Feb ini?

Kelmarin saya dihubungi oleh wartawan dari Konsep Era Pakatan bertanyakan apakah rumus terakhir mengenai kemungkinan yang akan berlaku di Perak dengan dikaitkan dengan pengumuman Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari akan datang.


Sesuatu yang baru saya katakan kepada wartawan itu. maklumlah apapun kita semua boleh jangkakan dan itulah suasana sekarang, macam macam ada.

Saya katakan bahawa antara yang saya jangka selain jangkaan DUN dibubarkan sebelum 9 Februari, namun kita juga kena fikir bahawa Mahkamah juga kemungkinan akan mengumumkan Zambry adalah Menteri Besar yang mewakilinya di Malaysia, maksud saya satu-satunya MB di malaysia yang naik cara mahkamah hanyalah Zambry.

Sesudah itu demi maruah Zambry akan ke Istana dan memohon perkenan DYMM Sultan Perak untuk pembubaran DUN Perak. Yang jelas kerajaan sementara Perak ditangannya dan dia seperti biasa akan pergunakan semua badan dan agensi untuk jadi komponen UMNO dan BN bagi menentang Pakatan Rakyat.

Apa pun hari 9 Februari semakin menghampiri kita, sehari yang berlalu makin dekat sehari dengan tarikh keramat itu.

Namun manakah rumus yang benar, kita tunggu dan lihat.

Drs Khalil Idham Lim,
Adun Titi Serong.

Friday, January 29, 2010

Nik Aziz dakwah rakan-rakan pakatan untuk terima Islam

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan terus berdakwah kepada rakan-rakannya dalam pakatan pembangkang sehingga mereka menerima dasar Islam yang diperjuangkan parti itu.

Beliau berkata, masih terlalu awal untuk menilai sejauh mana penerimaan sekutunya terutama Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana pakatan yang dibentuk itu masih terlalu awal.

“Bila Pas ada bersama Insya-Allah kita akan berdakwah, Pas sebagai orang tua akan menyampaikan kerana kami bawa Islam, kami bertanggungjawab, pandai-pandai lah kita buat... tidak boleh buat tidak tentu pasal.

“Berjaya atau tidak berjaya nanti dulu, ini baru setahun jagung mana boleh tahu berjaya atau tidak... pandailah kami buatnya, Nabi Muhammad perlu masa 23 tahun, usahkan Nik Aziz,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Mahabbah Kerajaan Negeri bersama Ketua-Ketua Agama di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Persekutuan Kristian Malaysia, Biskop Ng Moon Hing; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi, Dr. Mohd. Fadhli Hassan.

Majlis tersebut dihadiri kira-kira 300 ketua agama Buddha, Kristian, Hindu dan Tao dari seluruh negara. Ia diadakan bagi memupuk semangat harmoni di antara kerajaan negeri dengan penganut-penganut agama tersebut.

Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, sepatutnya tidak perlu parti politik melibatkan orang Melayu dan Islam di negara ini kerana agama itu telah meliputi semua aspek.

HADAPI 9HB FEBRUARI DENGAN TENANG, SABAR DAN TAWAKKAL

Menjelang penghakiman siapa MB Perak yang sah oleh Mahkamah Federal pada 9 Februari ini, PAS Perak akan menghadapinya dengan tenang, sabar dan bertawakkal kepada Allah swt. Justeru itu ahli-ahli dan para penyokong PAS seluruh Perak hendaklah memberi tumpuan untuk solat Hajat dan Munajat setiap malam kepada Allah swt supaya Hj Nizar diberi kemenangan dalam kes ini.


Kemenangan Hj Nizar nanti merupakan kemenangan rakyat dan demokrasi di Perak. Hj Nizar dan Pakatan Rakyat bukan gila kuasa, tetapi mahu mengembalikan semula kuasa kepada rakyat yang pada pilihanraya 2008 lalu memberi mandat kepada PR menerajui Perak. Namun Mandat rakyat 2008 hanya bertahan 11 bulan sahaja apabila 3 orang wakil rakyat dari PKR dan DAP telah menodai amanah rakyat melalui perbuatan khianat yang dilakukan oleh mereka. Dan UMNO BNlah konspirator utamanya. Perbuatan khianat merekalah penyebab jatuhnya kerajaan PR, mereka perlu diajar melalui demokrasi dengan pembubaran DUN. Hj Nizar tidak perlu menunggu lama dan tidak pula pula tergopoh gapah bagi mengadap Tuanku Sultan Perak bagi memohon perkenan pembubaran DUN.

Yang penting kemenangan Hj Nizar sebagai MB Perak yang sah, Insya Allah melalui kemenangan ini, keadilan demokrasi akan dipulihkan. Rakyat merupakan hakim yang paling sah dan adil dalam menentukan kerajaan yang sah di Perak.

Sementara menunggu penghakiman pada 9hb Februari ini, semua pihak terutama UMNO BN jangan cuba mempengaruhi para hakim dalam membuat keputusan. Penghakiman hendaklah bebas dari mana-mana unsur yang boleh menjatuhkan kredibiliti sistem kehakiman. Rakyat sebelum ini hilang kepercayaan kepada sistem penghakiman selepas peristiwa Tun Salleh Abbas dipecat daripada Ketua Hakim Negara dan pendedahan video Linggam yang jelas menjejaskan kredibiliti para hakim.

Kempen kemenangan Hj Nizar akan terus dijalankan oleh PR melalui berbagai program. Antaranya solat Hajat Perdana peringkat negeri akan di buat di Taman Meru pada 1 Februari ini, PAS seluruh kawasan pula akan menganjurkan solat Hajat di markaz-markaz setiap malam.

Ahli-ahli PAS terutama para alim ulamanya diharap dapat menghidupkan malam dengan munjat kepada Allah swt.

Kelantan Berhak Terima Royalti 5 Peratus

Sambil menegaskan kehadirannya pada sesi penerangan malam ini mendapat perkenan Istana Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah (gambar) berkata, negeri itu berhak menerima royalti petroleum lima peratus.

“Saya maklum kepada tuanku perkara ini, tuanku perkenan. Pemangku Raja kata bagus tok li, bagus,” kata beliau pada program penerangan isu tuntutan royalti di sini.Justeru Pengasas Petronas itu mengesahkan Kelantan berhak menerima bayaran wang royalti sebanyak lima peratus.

Pada masa yang sama Tengku Razaleigh juga berkata beliau tidak mempedulikan apa jua tomahan orang berhubung kehadirannya malam ini.

“Kalau ada orang kata, jawapan saya, peduli apa...,” kata beliau sambil menambah, kehadirannya adalah demi rakyat.

Pada sidang media, Tengku Razaleigh menyifatkan Pengerusi Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed sebagai pengampu manakala Utusan pula akhbar dongeng.

“Jangan sebut nama itu depan saya. Mustapa pengampu Utusan dongeng,” katanya diminta mengulas kenyataan Mustapa bahawa kerajaan pusat hanya akan bayar wang ihsan pada kerajaan negeri.

Ditanya konflik antara wang ihsan dan royalti beliau berkata, “royalti bukan wang ihsan, wang ihsan bukan royalti.”

Bagaimanapun beliau menyerahkan kepada kerajaan negeri untuk menolak atau menerima bayaran royalti atau wang ehsan.

Terdahulu Tengku Razaleigh tiba di Stadium Sultan Mohd IV di sini kira-kira 9.30 malam tadi dengan diarak 50 beca sebagai simbolik 'usaha' kerajaan negeri itu membawa pertikaian bayaran royalti.

Kehadiran beliau untuk memberi penerangan mengenai isu berkenaan diiringi oleh Exco Kerajaan Negeri Datuk Husam Musa.

Difahamkan iringan beca adalah kehendak penarik beca Kelantan sendiri untuk membawa Tengku Razaleigh sebagai tanda sokongan penerangan beliau terhadap tuntutan royalti negeri.

Menjelang program penerangan isu tuntutan royalti malam ini, Stadium Sultan Mohd IV mula dibanjiri orang ramai sejak pukul 6 petang tadi.

Tengku Razaleigh akan berucap memberi penerangan mengenai isu itu.

Pengerusi bersama program Gegar ini, Dr Abdul Halim Yusof menjangkakan tidak kurang 50,000 orang akan mengikuti program tersebut.

“Tengok pada keadaan sekarang saya rasa lebih dari 50,000 akan hadir,” kata beliau ketika ditemui di kawasan stadium kira-kira 6.30 petang tadi.

Difahamkan program akan dimulakan dengan solat maghrib berjemaah, solat hajat dan kuliah royalti.

Kira-kira 7 petang tadi, Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hadir dengan diiringi timbalannya dan exco-exco kerajaan, wakil rakyat serta pegawai kerajaan negeri

Search This Blog