Friday, October 23, 2009

PAS : Keperluan Muktamar Khas Luarbiasa?

Jarang sekali hati saya menjadi tidak sedap sepanjang melibatkan diri dalam kepimpinan Islam. Hati saya pernah bergolak dizaman bekas Presiden PAS yang mahsyur iaitu di zaman Allahyarham Dato’ Haji Mohamad Asri. Di peringkat itu, saya terpaksa bersuara dan menunjukkan sikap saya yang ada sebahagiannya dirakamkan melalui buku saya yang berjodol “kemuncup dalam perjuangan.” Di waktu itu, saya masih ingat betapa sukarnya saya untuk memilih antara menegur atau mendiamkan diri. Namun, setelah teringat bahawa Nabi SAW juga pernah ditegur oleh Allah SWT, maka, saya memutuskan untuk berdiri dengan santun dan saya pun katalah jua apa yang munasabah untuk dikata. Saya memilih untuk mengambil sikap ini berasaskan adanya hujah nas yang memboleh, bahkan dalam keadaan-keadaan tertentu bersifat wajib untuk berbuat demikian. Sampai ke hari inipun saya masih berpegang dengan pendirian ini.


Untuk lebih terpimpin, mari kita terlebih dahulu perhatikan tiga petikan surah dan latar peristiwa disekitar tiga kisah ini. Ia ada dirakamkan didalam kitab suci al-Quran.


i). Dalam peristiwa Badar setelah perang berakhir yang memberi kemenangan kepada tentera Islam, terdapat sejumlah 70 tawanan perang. Apabila Nabi SAW membuka perbincangan, apa yang patut dibuat dengan tawanan-tawanan perang ini, Saidina Umar berpandangan, mereka semua perlu dibunuh manakala Sadina Abu Bakar pula berpendapat lebih baik mereka dibenarkan bebas setelah diambil wang tebusan.


Ditakdirkan Allah, keputusan yang ada dilangit adalah selaras dengan syur yang dikemukakan oleh Saidina Umar. Ia berbunyi:

Tidak patut bagi seorang Nabi mempunyai tawanan sebelum ia dapat melumpuhkan musuhnya di muka bumi. Kamu menghendaki harta benda duniawiah sedangkan Allah menghendaki (pahala) akhirat (untuk mu) dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Kalau sekiranya tidak ada ketetapan yang telah terdahulu dari Allah, nescaya kamu ditimpa seksaan yang besar kerana tebusan yang kamu ambil.(Surah Al-Anfaal Ayat 67 – 68)


Dari sini, jelas bahawa tidak ada sesuatu yang pelik dalam tradisi menegur pemimpin didalam Islam.

ii). Peristiwa kedua ialah sewaktu Nabi S.A.W. bersumpah tidak akan meminum sejenis madu dari bunga tertentu kerana menerima teguran dari salah seorang dari isteri baginda S.A.W. sewaktu berada di rumah salah seorang isterinya. Dalam peristiwa ini, sekali lagi Nabi S.A.W. di tegur dengan lafaz berbunyi:

Hai Nabi, mengapa kamu mengharamkan apa yang Allah menghalalkannya bagi mu; kamu mencari kesenangan hati isteri-isteri mu? Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah At-Tahriim Ayat 1)

iii). Dalam surah ‘Abasa, sekali lagi kita dapat saksikan teguran Allah S.W.T. ke atas Nabi S.A.W. yang dilihat tidak memberikan layanan kepada seorang buta ketika Baginda didatangi oleh pemimpin Quraish yang turut berada di dalam majlis yang sama pada waktu itu. Teguran Allah S.W.T. berbunyi:

Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling, kerana telah datang seorang buta kepadanya. Tahukah kamu barangkali ia ingin membersihkan dirinya (dari dosa). Atau dia (ingin) mendapatkan pengajaran, lalu pengajaran itu memberi manafaat kepadanya. Adapun orang yang merasa dirinya serba cukup, maka kamu melayaninya.(Surah ‘Abasa Ayat 1 – 6)

Apa isunya?

Isu yang ada di hadapan kita sekarang ialah isu kepimpinan. Biar saya mulakan begini. Saya boleh bersetuju dengan sebahagian dari tulisan Dr. Aziz Bari yang ada tersiar dalam akhbar Sinar Harian pada 19 Okt. 2009 di mukasurat N16. Antara lain, beliau mengemukakan teguran dan saranan seperti berikut :

“Dalam konteks sekarang Pakatan perlu dibenarkan membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan supaya kita dapat membezakan kelainan mereka melaksanakan Perlembagaan.”

“Fungsi Dewan memantau kerajaan. Dalam sistem demokrasi berparlimen yang kita amalkan kerajaan pada hakikatnya dimiliki Dewan.”

“Dengan itu mungkin sudah sampai masanya Pas membuat langkah drastik, sama ada mendisiplinkan Exco Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamad Ali atau menyingkirkannya terus.”

“Bagaimanapun, ini tidak mudah untuk berlaku kerana Hasan dilihat mewakili golongan yang pro-Umno dalam PAS seperti Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Nasharuddin Mat Isa dan penyokong mereka.”

“Dalam kekecohan di Selangor Abdul Hadi membisu sehingga di dalam parti sudah ada yang berkata bahawa Abdul Hadi adalah watak bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam PAS. Sementara itu Nasharuddin membela tindakan Hasan itu secara terbuka.”

“Saya fikir ada beberapa tokoh tertentu dalam PAS yang boleh merubah keadaan. Beberapa bulan kebelakangan ini imej dan kemampuan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak agak menonjol dan kelihatannya beliau mempunyai kemampuan untuk memimpin parti.”

“Saya tertarik dengan kelicikan Azizan menyiku Azman Shapawi, Naib Ketua Pemuda PAS dalam isu penjualan arak beberapa bulan lalu. Dalam pada itu organisasi PAS di Kedah dikatakan lebih baik daripada apa yang ada di Terengganu.”

“Buat masa ini, hanya 32 peratus pengundi yang yakin dengan kemampuan Pakatan. Jika PAS kekal dengan kapten yang ada ini (sokongan) mungkin akan berkurangan.”


Pandangan Saya
Atas pandangan inilah saya berfikir dan terus berfikir. Setelah berfikir sambil berdoa, maka saya berpuashati untuk mengatakan begini :
Kalau Umno boleh buat sesuatu dengan mengadakan Mesyuarat Agong Khas dan MCA pun boleh mengadakan EGMnya sehingga sempat menggugurkan Presiden dan Timbalan Presidennya. Demikian juga dengan PKR yang telah membuat pindaan Perlembagaannya melalui Kongres Khas mereka. Maka kita?

Walaupun isu MCA benda lain, iaitu rasuah, kita lagilah tidak payah khuatir untuk adakan Muktamar Khas kerana kita bukan membawa isu rasuah . Isu kita ialah isu dua tiga kerat pemimpin bermasalah. Masyarakat India pun boleh menentang Samy Vellu dengan mewujudkan parti lain. Maka pelik apa, kita panggil mesyuarat parti yang tergempar misalnya; mungkin dipanggil muktamar khaslah. Kalau nak kirakan, kitalah yang sepatut buat dulu. Demi “tajdid” kita perlu buat Mesyuarat Agong Luarbiasa ini. Bila Mesyuarat Agong tak mahu tukar Presiden, misalnya maka tidak mengapalah. Kita pakat-pakat belalah. Begitu juga dengan isu-isu disekitar Hassan Ali atau Mustafa Ali yang tak habis-habis dengan nak bekerjasama PAS dengan Umno ke arah kerajaan Perpaduan atau UG. Tenggelam-tenggelam, timbul, kemudian dihidupkan. Kemudian dimatikan pula bila nampak orang marah. Apa ni?

Tidak boleh jadi ni, kita duk “ghok-ghak” (kacau) begini. Orang boleh terima atau tak boleh terima, bawa ke Muktamar Khaslah; senang cerita. Biar tentu sah, nak ikut yang mana. Kita nak kekal yang mana dan buang yang mana. Dengan Muktamar Khas yang boleh menjelaskan dan memutuskan banyak perkara ini, puak-puak atas pagar yang membuat swing votes dan mempengaruhi keputusan pilihanraya juga akan berpuas hati samada nak swing atau tak nak swing lagi kerana mereka sudah dijelaskan oleh keputusan Muktamar Khas berkenaan. Mereka jelas.

Biarlah kita ambil mandat baru sekali lagi. Mesyuarat biar ringkas;ambil sehari penuh atau dua hari penuh misalnya tetapi prosesnya mesti ringkas, dan keputusannya adil, telus, tepat, terus dan jelas. Undi perlulah sulit dan dilakukan di atas kertas .
Untuk kali ini, saya dengan kuat merasakan bahawa perlu ada perubahan dalam pemain-pemain penting yang menduduki kerusi kepimpinan PAS diperingkat pusat. Kalau nak kata ini persiapan ke arah PRU ke 13 pun, kata gi lah. Dan memang betul begitulah.


Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mursyidul Am PAS/Menteri Besar Kelantan
Bertarikh : 02 Zulkaedah 1430 / 21 Okt. 2009

Wednesday, October 21, 2009

Ibrahim Ali ingin terus kekal sebagai MP bebas, tapi hubungan dengan PAS telah berakhir...

Datuk Ibrahim Ali berkata, beliau masih ingin terus berfungsi sebagai ahli Parlimen bebas dari Pasir Mas, buat masa ini.

Bagaimanapun beliau menyatakan pendiriannya untuk menyokong Umno dan kepemimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Mengenai hubungannya dengan PAS pula, Ibrahim berkata, kerjasama yang terjalin ketika pilihan raya umum lepas dengan parti itu kini sudah berakhir.

"Pada waktu itu PAS merasakan parti itu lemah terutamanya di Kelantan maka mereka menghulur tangan untuk bekerjasama dengan saya dan menjadi lumrah bagi orang yang tidak berparti memberi kerjasama kepada mana-mana parti politik yang mandekati kita.

"Mereka minta kerjasama saya dan saya beri kerjasama, bila selesai pilihan raya selesailah kerjasama di antara saya dengan PAS dan saya tidak menyertai PAS, hanya sekadar itu," katanya.

Mengulas lanjut mengenai desas desus yang mengatakan yang beliau akan menyertai Umno, Ibrahim menjelaskan; "Saya berpendapat atas beberapa sebab, belum ada lagi keperluan bagi saya untuk menghantar borang menyertai Umno.

"Saya adalah ahli Parlimen bebas dan bersedia bekerja sama dengan mana-mana pihak tetapi kecenderungan saya sekarang ini ialah menyokong Umno iaitu kepimpinan kerajaan sekarang sebab saya tengok sudah ada tanda-tanda positif ke arah perubahan dan ini adalah perkembangan yang cukup baik," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Menurut Ibrahim, terdapat beberapa sebab beliau mengambil keputusan untuk tidak menyertai Umno dalam waktu terdekat termasuk tidak mahu dipandang serong oleh pihak-pihak tertentu yang mengatakan beliau mengambil kesempatan kerana parti itu kini semakin pulih.

"Saya membuat pendirian ini sebab saya tak mahu nanti dituduh menyertai Umno kerana Umno sudah mula bertambah kuat, kerana ada kepentingan diri dan seumpamanya," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam bahawa parti itu tidak menyekat mana-mana pihak untuk kembali kepangkuan Umno termasuk Ibrahim sekiranya ingin menyertai semula parti yang ditunjangi orang Melayu itu. Katanya, Umno sedia mengkaji kewajaran Ibrahim kembali ke pangkuan Umno jika bekas Ketua Umno Bahagian Pasir Mas itu berhasrat berbuat demikian dan sebarang permohonan menyertai Umno akan dibawa ke mesyuarat Majlis Tertinggi (MT).

Kata Ibrahim lagi, kecenderungannya untuk menyokong Umno dan BN adalah berdasarkan faktor parti itu kini lebih bersikap terbuka dan sedia dikritik.

"Satu perkara yang paling seronok saya lihat dalam Umno sekarang ia sudah jadi betul terbuka dan boleh ditegur dan dikritik malah kepimpinan parti itu juga mengatakan kritikan yang membina (akan) disambut baik," katanya.

Jelasnya perkata tersebut berbeza dengan PAS yang bersikap sukar menerima teguran dan kritikan.

"Dulu pun saya mengatakan saya akan bekerjasama dengan sesiapa termasuk PAS, tetapi saya tidak menjadi ahli PAS dan bila saya memberi teguran, pandangan dan kritikan mana yang saya rasa patut, nampaknya mereka tidak boleh terima sebaliknya mendesak saya supaya meletak jawatan.

"Di sinilah saya lihat ada perbezaan... saya adalah ahli Parlimen Bebas dan bersedia bekerjasmaa dengan mana-mana pihak tetapi kecenderungan saya sekarang ini ialah menyokong Umno iaitu kepimpinan kerajaan sekarang sebab saya tengok sudah ada tanda-tanda positif yang cukup baik.

"Jadi kalau ada perkara-perkara positif yang cukup baik kita kenalah memberi sokongan tanpa mengira kepentingan kita," katanya.

Ditanya mengenai hubungannya dengan pemimpin Umno Kelantan, Ibrahim berkata: "Saya mempunyai hubungan yang baik dengan semua pemimpin Umno Kelantan kerana mereka juga rakan-rakan saya dulu dan jika mereka minta memberi sokongan dan bantuan, apa yang boleh saya bantu saya akan bantu, apatah lagi untuk kebaikan rakyat Kelantan."

Rosmah Ganti Khairy

Dulu Khairy, sekarang Rosmah menjadi kepala "Tingkat 4" pejabat Perdana Menteri.

Pegawai kanan Kementerian Kewangan dikatakan semakin gusar dengan campurtangan Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri, dalam urusan Perbendaharaan Negara, termasuk penyediaan Belanjawan 2010 dan pemberian kontrak dan tender kerajaan.

sumber-sumber kerajaan berkata campurtangan itu sudah di "tahap kritikal' dengan Rosmah mempertikaikan keputusan tertentu Timbalan Perdana Menteri Muhyyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Campurtangan Rosmah itu tidak menerima sebarang teguran daripada Najib walaupun beliau adalah juga Menteri Kewangan.

Sumber-sumber memberitahu Suara Keadilan, Rosmah menaruh minat yang amat mendalam terhadap penyediaan Bajet 2010 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri di Parlimen pada sesi Persidangan Dewan Rakyat 23 Oktober depan.

Isteri kedua Najib itu dikatakan mempunyai akses kepada semua bahan-bahan serta dokumen yang berkaitan dengan belanjawan tersebut sehinggakan menimbulkan rasa gelisah dan tidak senang hati di kalangan pegawai tinggi kementerian.

Campurtangan Rosmah dalam keputusan pada peringkat tertinggi kerajaan meletakkan pengurusan negara dalam keadaan bahaya dan kewibawaannya di kompromi.

Sumber juga memberitahu Rosmah memperlihatkan keghairahan beliau terhadap semua aspek perbelanjaan setiap kementerian terutama yang berkaitan dengan pembelian atau "procurement" serta pemberian kontrak-kontrak.

"Rosmah memberi perhatian mendalam kepada aspek penyediaan Bajet 2010 terutamanya yang berkenaan dengan pembelian dan kontrak-kontrak kementerian yang penting," kata sumber itu.

Walaupun tidak memegang sebarang jawatan rasmi Rosmah mempunyai sebuah pejabat di Pejabat Perdana Menteri dan mempunyai beberapa kakitangan bagi membantu beliau.

Malah pelancaran laman website beliau, www.pmo.gov.my/datinrosmah telah mengundang kritikan kerana didakwa menggunakan dana awam dan salahguna kuasa untuk menyenggara laman web peribadinya.

Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamarudin berkata sebagai isteri Perdana Menteri beliau sepatutnya menjadi pemanis dan penyokong kepada suaminya bukan mencampuri urusan pentadbiran kerajaan.

"Saya meletakkan kelemahan perjuangan pembudayaan dan agenda wanita dan remaja di negara ini di atas bahu Shahrizat (Jalil) selaku menteri yang bertanggungjawab.

"Disebabkan menteri gagal maka Rosmah pun mengambil kesempatan ini untuk menonjolkan diri sebagai juara wanita di negara ini.

"Saya tidak lihat kerjasama yang tulen antara Rosmah dan Shahrizat untuk memajukan golongan wanita malah mereka kelihatan bersaing. Kalau Shahrizat sekadar menjadi penghias kabinet lebih elok biar Rosmah bertanding," cabar Ketua Wanita KEADILAN itu.

Zuraida mendakwa Rosmah juga masuk campur semasa kempen pilihan raya kecil Bagan Pinang baru-baru ini dengan menghadiahkan tiga buah rumah teres kepada kampung Bagan Pinang untuk dijadikan pusat remaja. Gula-gula politik itu diberikan atas nama program Permata Negara di bawah naungan beliau.

Rosmah juga dikatakan telah campurtangan membuat keputusan-keputusan penting bersabit bantuan untuk pelarian Palestin dengan membelakangkan ahli jawatankuasa Penaung Tabung Kemanusiaan Palestin yang mempunyai baki dana RM11 juta.

Di kalangan kenalan dan mereka yang mengenal beliau secara rapat, Rosmah diketahui mempunyai cita-cita yang tinggi.

Malah seorang kenalan sekolah beliau semasa belajar di Kolej Tunku Kursiah mengatakan Rosmah pernah mendabik dada bahawa beliau pasti akan berkahwin dengan seorang Perdana Menteri pada satu hari kelak.

Pemangku Raja Kelantan minta Petronas bayar royalti petroleum

Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra menyokong usaha kerajaan Kelantan untuk menuntut bayaran royalti petroleum seperti perjanjian yang telah termaktub antara kerajaan negeri dan Petronas pada 1975.

Baginda bertitah berasaskan data daripada Jabatan Perangkaan yang diedarkan Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri, sumbangan Kelantan kepada pengeluaran petroleum seluruh negara bagi tahun 2005 hingga 2008 adalah lebih tinggi daripada pengeluaran negeri Sabah.

"Pengeluarannya adalah sebanyak 5.4 peratus setahun dan mengikut catatan itu pengeluaran petroleum dari perairan Kelantan telah bermula sejak 2005.

"Kerajaan negeri hendaklah meneruskan usahausaha bagi mendapatkan royalti berkenaan seperti kehendak perjanjian yang telah termaktub antara kerajaan negeri dan Petronas," titah baginda ketika menyempurnakan Majlis Pembukaan Rasmi Persidangan Ketiga (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Kedua Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-12 di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Baginda bagaimanapun yakin di bawah prinsip dan semangat persekutuan, Petronas akan melaksanakan kehendak perjanjian berkenaan yang mengkehendaki bayaran tunai dilunaskan sebanyak dua kali setiap tahun.

Titahnya pembayaran royalti itu nanti, baik tunggakan mahupun bayaran semasa akan meningkatkan pendapatan bagi Kelantan dan jika perkara itu terlaksana, kerajaan negeri dinasihatkan supaya membelanjakan royalti tersebut dengan sebaik mungkin.

"Beta difahamkan kawasan pengeluaran gas dan minyak bagi beberapa kawasan pelantar yang paling hampir adalah dengan negeri ini.

"Beta juga berharap Petronas dan kerajaan Pusat dapat memikirkan penempatan aktiviti keperluan pelantar, pembaikian dan penyelenggaraan kapal-kapal ini berada di bumi Kelantan berdasarkan ia paling hampir," titahnya.

Menurut baginda, jika pembangunan berkaitan aktiviti pengeluaran minyak di perairan Kelantan dapat dikembangkan sudah tentu ia dapat menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara dan dapat menarik pelaburan luar negara ke Malaysia.

Isu royalti minyak ini timbul apabila Kelantan menuntut sebanyak RM1 bilion kepada kerajaan pusat berdasarkan pelantar minyak itu dibina di perairan Kelantan.

Kerajaan pusat bagaimanapun sedang meneliti tuntutan Kelantan itu dan kini masih di peringkat kajian secara menyeluruh sama ada Kelantan berhak menerimanya.

Tuesday, October 20, 2009

Speaker Halal Vs Speaker Haram

UANG IKLAN MASIH KOSONG

OLEH : MOHAMED HANIPA MAIDIN

Motto 1 Malaysia yang dicanangkan oleh Najib nampaknya tidak berlaku di Perak. Di Perak rakyat disajikan dengan dua Menteri Besar iaitu MB halal ( Nizar ) dan MB haram ( siapa lagi kalau bukan Zambry ) Seterusnya Speaker halal ( V.Sivakumar ) dan Speaker haram ( R. Ganesan ).

Kewujudan dua MB dan dua Speaker di Perak adalah hasil kraftangan Najib sendiri. Beliaulah yang tanpa segan silu merompak Kerajaan sah Perak yang diterajui oleh Pakatan Rakyat ( PR ) .

Dari segi undang-undang dan Perlembagaan, Najib dan Umno sedar bahawa mereka tidak mampu berhujah untuk melawan V. Sivakumar. Kuasa Sivakumar sebagai speaker DUN Perak yang sah adalah terlalu jelas dan luas. Tetapi memandangkan Najib dan Umno bukanlah spesis yang ada maruah dan harga diri mereka menggunakan ( baca salah guna ) apa sahaja kuasa yang ada untuk menjatuhkan Sivakumar

Apa yang Najib dan Umno tidak lakukan untuk menjatuhkan Sivakumar.

Mula-mula Umno guna SPR untuk mengenepikan keputusan Sivakumar yang memutuskan kerusi tiga “katak” telah kosong. Apabila Sivakumar menggantung Zambry dan enam exconya yang haram Umno guna pula polis untuk soal siasat Sivakumar. Tidak cukup polis , Umno guna pula SPRM untuk soal siasat Sivakumar. Apabila polis dan SPRM tak jalan, Umno guna pula Mahkamah . Kita tentu tidak lupa usaha Umno yang menghalang Sivakumar untuk guna khidmat peguamnya sendiri bagi mewakili beliau. Malahan apabila Sivakumar mahu mewakili diri sendiri peguam Umno juga membantah.

Tidak cukup guna SPR, Polis , SPRM dan Mahkamah untuk mengenepikan Sivakumar sebagai speaker yang sah dan halal , Umno tanpa rasa malu dan bermaruah tergamak menggunakan cara yang paling kurang ajar dan paling tidak bertamadun melucutkan kuasa Sivakumar sebagai speaker DUN Perak yang sah pada 7 Mei 2009 yang lalu.

Demi kuasa Umno tergamak salahguna polis untuk mengangkat Sivakumar ( dengan kerusinya sekali ) dan mengurung beliau dalam stor. Kerana kuasa Umno lupa bahawa jika sekalipun mereka ingin melucutkan kuasa Sivakumar sebagai speaker , Umno tidak boleh sama sekali megusir Sivakumar dari dewan persidangan DUN Perak . Sivakumar adalah wakil rakyat atau ADUN yang sah , justeru itu beliau layak berada di dalam dewan persidangan.

Tanpa segan silu Umno tergamak langgar Perlembagaan dan amalan Perlembagaan ( constitutional convention ) apabila melantik V. Ganesan sebagai speaker yang haram pada 7 hb Mei 2009 yang lalu.

Dari sudut undang-undang dan amalan Perlembagaan segala urusan rasmi sidang DUN Perak ( order of business ) hanya boleh dibuat setelah persidangan DUN Perak dengan secara sah membuka urusan rasmi tersebut ( had lawfully opened for business ).

Jika dilihat kepada Standing Orders bagi DUN Perak tiada peruntukkan secara jelas berkaitan dengan persidangan DUN Perak pada 7 Mei tersebut. Oleh itu berdasarkan Standing Order No 90 amalan-amalan di Parlimen di Negara-Negara Komenwealth boleh digunapakai sekiranya Standing Orders tidak mempunyai peruntukkan yang jelas .

Buku Erskine May’s Treatise on the Law, Privileges, Proceedings and Usage of Parliament adalah satu buku yang selalu dirujuk dalam isu-isu yang berkaitan dengan prosedur Parlimen di negara-negara Komenwealth. Di dalam buku tersebut pengarang telah menyatakan

“ Dalam mana sessi Parlimen kecuali sessi Pertama ( Pembukaan ) Parlimen , sessi dikira bermula dengan ucapan Raja England ( Queen ) . Sehingga sidang diisytiharkan mula oleh Raja kedua-dua Dewan tidak boleh mulakan sebarang urusan awam yang rasmi. Amalan ini diikuti kerana tiada mana-mana urusan di Parlimen boleh dijalankan sehingga Parlimen itu sendiri dibuka secara rasmi oleh Raja ( no business can be transacted until Parliament has been opened by the Crown)"

Selanjutnya di dalam buku Halsbury’s Laws of England di bawah tajuk (v) Proceedings at the Opening of Parliament ... 713 The Queen’speech dinyatakan seperti berikut

“ Tiada mana-mana Dewan boleh meneruskan apa-apa urusan awam sehinggalah sesuatu sessi itu telah dibuka oleh Raja secara sendiri atau melalui Pesuruhjaya Lord yang bertindak bagi pihak Raja ( Queen ).”


Di dalam buku Griffith and Ryle on Parliament : Functions, Practice & Procedures.” (2nd Ed. 2003) pengarang tersebut juga menyatakan perkara yang sama

Di England, apabila Raja telah mula membuka sessi Parlimen ( di sebelah pagi ) maka urusan awam dan rasmi Dewan Rakyat ( House of Commons ) akan hanya dimulakan jam 2.30 petang.

Dalam konteks kes Perak pula adalah jelas pada 7 hb Mei 2009 ucapan Sultan Perak hanya dibuat pada jam 3.16 petang sehingga jam 3.47 petang. Maka dari segi undang-undang apa sahaja urusan rasmi DUN Perak ( termasuk usul untuk memecat Sivakumar dan melantik Ganesan ) hanya boleh dibuat selepas jam 3.47 petang.

Namun Umno dengan kesombongan dan kebodohan mereka telah mengangkat dan mengusir Sivakumar dan seterusnya melantik Ganesan sebagai speaker haram sebelum sessi DUN Perak bermula iaitu sebelum ucapan Raja Perak dimulakan pada jam 3.16 petang

Oleh itu sebarang resolusi atau usul yang diluluskan oleh Umno pada sidang DUN Perak pada 7 Mei 2009 termasuklah usul memecat speaker yang sah dan halal dan melantik speaker yang haram adalah tidak sah.

Tidak cukup Ganesan telah dilantik secara tidak sah, Umno sekali lagi melakukan kesilapan bodoh apabila gagal memastikan Ganesan meletakkan jawatan sebagai peguambela dan peguamcara dalam masa 3 bulan daripada tarikh beliau dilantik sebagai speaker yang haram iaitu pada 7 Mei 2009.

Ganesan hanya memfailkan Notis Pemberhentian sebagai peguam dan menghantar Surat Akuan Sumpah pada Majlis Peguam pada 17 Ogos 2009 sedangkan di dalam Perlembagaan Perak beliau sepatutnya berhenti menjadi peguam sebelum 7 hb Ogos 2009.

Memandangkan Ganesan adalah speaker yang haram maka tindakan beliau memanggil sidang DUN Perak pada 28 Oktober 2009 ini adalah satu tindakan yang tidak sah dan tiada sebarang nilai di sisi undang-undang. Tapi jenis spesis Umno ni dia orang kisah ke pada benda-benda haram !!!

Monday, October 19, 2009

Dun Perak Semakin Hampir DiBubarkan?

Jika sebelum ini tanpa hujan dan ribut SPR menggeluarkan notis semakan daftar pemilih hanya di Perak, malam ini pula sedang berlangsung majlis perasmian 1Malaysia oleh Datuk Seri najib Tun Razak di Stadium Perak.

Siang tadi najib mengadakan pertemuan tertutup dengan pemimpin Umno Perak dan kemudian mengadap Sultan Perak di Istana Kinta.

Apa maknanya tu? Semua ini jelas bahawa Dun Perak sudah semakin pasti untuk dibubarkan. Saya menjangkakan DUN Perak akan dibubarkan sebelum Mahkamah Persekutuan membuat keputusan mutlak siapa Menteri Besar Perak yang sah pada 5 November ini.

Sunday, October 18, 2009

Pilihanraya Perak Tidak Lama Lagi ?

Tidak semena-mena Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Perak memaklumkan bahawa pihaknya akan mempamerkan nama-nama mereka yang telah mendaftar sebagai pemilih baru dan pertukaran alamat tempat mengundi bermula dari 1 Julai 2009 hingga 30 September 2009.SPR di negeri-negeri lain tidak pula membuat pengumuman rasmi seperti ini.


Adakah ini petanda baru DUN Perak akan dibubarkan untuk memberi laluan kepada SPR mengadakan pilihanraya negeri bagi menyelesaikan kemelut politik di negeri itu yang berlanjutan sehingga sekarang.
Pelbagai pihak berpendapat tidak mustahil pilihanraya negeri akan diadakan pada masa terdekat jika BN yakin mereka akan menang mutlak di Perak. Mungkin BN mengambil kira kemenangan mereka di Bagan Pinang sebagai indikator bahawa rakyat sudah kembali menyokong mereka dan inilah masanya untuk mendapat mandat baru dari rakyat.
Bagi pihak Pakatan Rakyat mereka mesti bersedia dari sekarang untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Sila semak daftar pemilih terbaru tersebut untuk memastikan ianya bersih dan telus.
Sementara itu Timbalan Pengarah Pilihan Raya Negeri Perak, Che Wan Muhammed Salleh Wan Adnan dalam satu kenyataan hari ini berkata, mereka yang telah mendaftar pada tarikh tersebut diminta untuk menyemak nama di tempat-tempat berikut iaitu pejabat SPR Perak, pejabat Pos, pejabat penghulu dan pejabat-pejabat daerah.
Tempoh pameran selama seminggu bermula 20 hingga 26 Oktober, katanya.Katanya sebarang pertanyaan boleh menghubungi pejabat-pejabat pilihan raya negeri Perak di nombor telefon 05-24 94 113, 05-24 94 120 dan 05-24 94 121

Saturday, October 17, 2009

Sudah diduga, SPRM tutup kes Radzhi

Akhirnya seperti yang ramalkan oleh ramai pemerhati politik, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri telah menutup siasatan ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri Lunas (ADUN), Mohammad Radzhi Salleh berhubung dakwaan beliau membuat tuntutan tidak munasabah ketika memegang jawatan Exco kerajaan negeri.

Razhi yang telah mengisytihar diri keluar PKR dipercayai telah diperalatkan oleh BN dengan menggunakan SPRM untuk memberi tekanan terhadapnya supaya meninggalkan PKR dan mengisytiharkan dirinya sebagai wakil bebas sebelum nama beliau “dibersihkan” oleh SPRM untuk melompat terus sebagai ahli UMNO.

Namun, dakwaan bahawa Umno mendapat talian hayat baru dengan pengisytiharan tersebut adalah meleset sama sekali apabila satu persatu pekong Radzhi mula didedahkan oleh mereka yang mengenali diri beliau khususnya dalam media internet.

“Saya tak fikir, dengan menggunakan Adun yang bermasalah ini, Umno BN boleh mendapat undi. Calon mereka sendiri (Rohaizat) pun bermasalah, itu memperbodoh pengundi namanya. Tapi ianya tidak pelik, sebab pada saya Umno memang tengah desprate (terdesak) sekarang,” ujar Lateefa Koya, Ketua Penerangan PKR.

Mohd Radzhi dikatakan mempunyai beberapa rekod buruk sebelum menjadi Adun lagi termasuk semasa dia bertugas di Pejabat Pos Universiti Utara Malaysia (UUM).

Dia juga dikatakan mengalami masalah rumahtangga serius.

Sepanjang bergelar wakil rakyat pula, dia dikatakan jarang berada dikawasan dan sering mengabaikan masyarakat di kawasannya.

Prestasinya yang lemah semasa menjawat jawatan dalam kerajaan negeri itu juga turut diadu masyarakat setempat sehingga beberapa amaran diberikan kerajaan negeri kepadanya agar meningkatkan prestasi kerja.

Hairannya, dalam keadaan gagal menjalankan tugasnya sebagai wakil rakyat dan juga exco, beliau masih mengemukakan tuntutan perbelanjaan melampau kepada kerajaan negeri sehingga membawa dirinya disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia SPRM, namun kini SPRM mengambil sikap membersihkan nama beliau kerana ada perancangan lain di belakang tindakan SPRM itu.

Sebenarnya, jawatan Exco Pelancongan, Pembangunan Masyarakat dan Sumber Tenaga Manusia yang disandangnya juga didakwa digunakan lebih kepada dirinya sendiri berbanding untuk berkhidmat kepada rakyat.

Semasa menjawat jawatan itu, dia didakwa telah membeli harta, memiliki kilang dan kedai makan.

Ramai yang berpendapat, beberapa masalah termasuk masalah disiplin dengan kerajaan pakatan Kedah, masalah perkahwinannya di Thailand dan masalah berdepan siasatan SPRM berhubung tuntutan melampau telah menyebabkan dirinya dalam keadaan tersepit.

Ruang tersebut telah digunakan Umno bagi “memanfaatkan” Adun Lunas ini sebagaimana yang dilakukan terhadap dua Adun PKR di Perak sebelum ini.

Tindakannya meletakkan sebab ‘tidak percaya kepada pucuk pimpinan parti’ untuk keluar PKR dilihat sebagai alasan semata-mata.

“Yang saya hairan kenapa SPRM yang sebelum ini kata akan siasat kes itu tetapi tiba-tiba kata tiada kes lepas dia (Radzhi) umum keluar PKR, semacam ada perundingan dan tawaran tertentu bagi menutup kes ini pula,” ujar Lateefa.

Seperti yang didedahkan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media malam tadi, bahawa pihaknya telah lama mengesan wujud cubaan menggunakan Radzhi untuk menarik beberapa lagi Adun pakatan lain supaya menyertai BN tetapi gagal.

Beberapa bulan lalu katanya, dia mendapat aduan dari beberpa orang Adun mengatakan dipujuk oleh Radzhi supaya berpindah kepada Umno dan akan dibayar dengan jumlah yang tinggi.

Dengan rekod yang dimiliki Radzhi, ternyata Umno tidak mudah menggunakan bekas Adun PKR itu sebagai peluru kempen memburukkan kepimpinan Pakatan Rakyat.

Pakatan Rakyat khasnya PKR gambira dengan tindakan bekas Adun mereka itu dari terus menjadi duri dalam dagung dan memburukkan imej parti dengan sikap dan rekod yang dimilikinya

Friday, October 16, 2009

GANESAN SPEAKER HARAM NEGERI PERAK

Dato' R Ganesan a/l Retasam yang mengisytiharkan diri sebagai Tuan Yang Di Pertua Dewan Negeri Perak bercakap bohong dan beliau tidak layak menjadi Speaker mengikut Peruntukan Perlembagaan Negeri Perak.

Majlis Peguam Malaysia pada 24/8/2009 melalui Setiausahanya, George Varughes mengesahkan bahawa Ganesan hanya mengemukakan surat akuan sumpah meletakkan jawatan pada 17/8/2009. Tarikh tersebut telahpun melepasi tempoh 3 bulan sebagaimana yang ditetapkan oleh Undang-undang Tubuh kerajaan Negeri Perak.

Perkara 36A(5) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak menyebut bahawa sesiapa yang menjawat jawatan Speaker mesti melucutkan atau meletakkan jawatan profession dalam tempoh 3 bulan dari tarikh memegang jawatan. Ganesan mendakwa beliau dipilih sebagai Speaker dalam persidangan Dewan pada 7/5/2009. Berdasarkan peruntukan undang-undang tersebut, beliau wajib meletakan jawatan pada atau sebelum 7/8/2009.

Dalam rekod rasmi Majlis Peguam Malaysia pada 11/8/2009 menunjukkan Ganesan telah gagal meletakkan jawatan dan masih aktif sebagai pengamal undang-undang.

Ganesan pula telah cuba menyembunyikan fakta tersebut dengan menghantar notis kepada Majlis Peguam hanya pada 13/8/2009 dan mendakwa telah letak jawatan sebagai peguam pada 6/8/2009, iaitu sehari sebelum habis tempoh 3 bulan yang ditetapkan oleh Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri. Persoalannya bagaimana seorang boleh letak jawatan pada 13/8/2009 tetapi berkesan mulai 6/8/2009.

Selain itu, tatacara perlantikan beliau juga tidak sah. Perlu diingat bahawa Ganesan bukan seorang Ahli Dewan Negeri, beliu didapati menceroboh masuk ke dalam bangunan Dewan Negeri pada 7/5/2009. Sebelum DYTM Raja Muda Perak merasmikan persidangan Dewan Negeri pada hari tersebut, beliau telah mengisytiharkan diri sebagai Tuan Yang Dipertua Dewan menggantikan Tuan Yang Dipertua Dewan yang sah, YB Sivakumar yang ketika itu masih berada di tempat duduk Speaker dalam Dewan.

Pada hari dan waktu yang sama, YB Sivakumar selaku Speaker yang sah telah diheret keluar dengan kasar dan biadab oleh segerombolan lelaki yang dipercayai anggota polis, sebahagiannya didapati bersenjata pistol. Sivakumar diseret keluar dan dikurung dalam stor lebih dari satu jam. Ketika itulah Ganesan mengisytiharkan dirinya sebagai Speaker Dewan.

Berdasarkan ini, Ganesan tetap bukan Spesker yang sah dan beliau tidak layak memanggil sidang DUN Perak pada 28/10/2009 ini. Kalau sidang tersebut tetap dijalankan menjadikan sidang tersebut juga tidak sah.

Kenyataan ini dikeluarkan oleh semua adun-adun PR negeri Perak yang tidak mengiktiraf Ganesan sebagai Speaker Dewan Negeri Perak yang sah.

Thursday, October 15, 2009

Bagan Pinang: Analisis Awal

BN menang dengan memperolehi 8013 undi manakala Zulkifli Mohd Omar mendapat 2578 undi dengan majoritI 5435, undi rosak 223 undi. Ini adalah adat perlawanan ada kalah dan ada menang.. Pas menerima kekalahan dengan hati terbuka, kerana itulah kehendak pengundi di Bagan Pinang dalam PRK 11/10/2009. Kemenangan umno adalah fenomena sementara, untuk kerugian masa depan politik mereka. Sejarah tidak akan boleh dipadamkan umno adalah parti hipokrit dalam soal integriti dan moral.

Mereka sanggup mengenepikan apa sahaja , semata-mata untuk menang, walaupun tahu risiko jangka panjang. Sudah amalan lazim pemimpin umno bertindak banyak merugikan politik negara untuk jangka panjang walaupun untung jangka pendek. Sejarah sahaja yang akan membuktikan.

-Kemenangan ini adalah faktor Tan Sri Isa Samad. Selama 22 tahun beliau menjadi Menteri Besar adalah satu kelebihan, sudah lama pengundi makan air tangan beliau

-Demografi penduduk Bagan Pinang, walaupun dalam masyarakat yang tidak jauh daripada bandar tetapi pemikiran dan otak mereka jauh kebelakang macam masyarakat yang berada di pendalaman.

-Suasana malapnya masjid dan surau adalah satu kelebihan kepada umno. Contohnya Masjid Bagan Pinang sendiri suasana jamaah maghrib tidak sampai 20 orang. Tidak ada satu pun masjid dan surau yang dianggap boleh mengajar gambaran Islam yang sebenar. Cuma ada sebuah masjid lama di Teluk Kemang.

-Masyarakat dan anak muda yang lekang dari agama adalah kelebihan kepada umno.

-Masyarakat yang bergantung kepada industri pelancongan kebiasaannya lebih terpengaruh dengan kebendaan tanpa memperdulikan kepentingan ummah.

-Undi pos yang tidak di pos adalah simpanan tetap umno dalam pilihanraya

-Di dalam DUN Bagan Pinang, ada 4 cawangan Pas sahaja dengan bilangan ahli kira-kira 100 orang berbanding dengan ahli umno 3017 orang.

-Masyarakat India yang tinggal di estet yang hanya gaji RM11 sehari adalah satu kelebihan kepada umno. Selalunya orang miskin akan menjadi makanan umno dalam pilihanraya.

-Masyarakat India tidak celik maklumat sehingga isu pijak kepala lembu dan demo anti kuil mereka tidak mengetahui. Mereka hanya mendapat maklumat daripada propaganda televisyen sahaja. Keadaan ini merupakan sambal ulam umno untuk membodohkan rakyat.

-Pengundi India yang terpengaruh dengan janji Timbalan Perdana Menteri projek rumah mesra rakyat sebanyak 150 buah rumah dengan perbelanjaan RM25 juta dan tapak kuil di Port Dicson seluas 0.6 hektar.

- Budaya takut di kalangan pengundi melayu, kerana ia dikelilingi oleh masyarakat yang karat dengan umno. Buktinya ketika kita berkempen rumah ke rumah mereka mengaku sudah lama mengundi Pas, tetapi takut menzahirkan diri.

-Budaya politik kenduri, sakit dan mati masih kuat. Kebetulan yang dominasinya ialah umno, contohnya seorang imam masjid di di dalam dewan negeri Bagan Pinang menjadi ketua cawangan umno. Oleh kerana takut mayat tidak terurus nasi kenduri menjadi basi maka mereka tidak berani membuat sokongan terbuka kepada Pas.

-Kegigihan rakan-rakan Pakatan Rakyat seperti DAP, PKR memang boleh dipuji, seolah-olah mereka bertanding dalam PRK di Bagan Pinang.

-Sokongan Kelab Penyokong Pas yang begitu gigih dengan memakai baju dan memegang panji Pas adalah satu penerusan keraja yang emreka lakuakan sejak PRK 12 2008

-Usaha gigih ahli-ahli Pas di seluruh negara yang bertungkus lumus dan memberi sokongan, terutama selepas beberapa petugas Pas dibelasah oleh samsing Umno. Rupa-rupanya samsing umno seperti Sarip Dol kampung dusun sahaja. Berani ketika mereka ramai, tetapi pengecut ketika penyokong Pas sama ramai.

-Apa yang berlaku semuanya ada hikmah yang Allah maha mengetahui untuk mentarbiah pimpinan dan ahli Pas. Sunnah Allah akan memberi kemenangan apabila kita mencukupkan syaratnya seperti, ahli, cawangan , jentera, kewangan, ukhwah, starategi dan tawakkal kepada Allah. Tidak boleh mengharapakan hasil hanya dengan “Kun fayakun” atau gelombang rakyat sahaja tanpa pengorbanan dan usaha jihad yang lebih.

Wednesday, October 14, 2009

Apa yang rakyat mahu

Terdapat pelbagai analisa dan telahan berikutan dengan kejayaan besar Barisan Nasional dan UMNO mengekalkan kerusi DUN Bagan Pinang. Selain daripada kejayaan memperoleh kemenangan di semua peti undi, sokongan pengundi muda, sokongan pengundi Cina dan India, faktor yang paling jelas dalam keputusan itu adalah kerana calonnya.

Meskipun mempunyai rekod yang tercalar, para pengundi masih memilih Tan Seri Isa Samad. Peribadi calon yang amat dikenali dan dekat di hati telah membuatkan beliau terpilih untuk memenangi kerusi itu. Dalam konteks itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga, walaupun penuh kontroversi, beliau tetap memenangi kerusinya di Permatang Pauh kerana beliau amat dikenali oleh penduduk tempatan.

Sebenarnya, inilah salah satu trend mengundi yang semakin menyerlah. Rakyat semakin bersedia untuk memilih personaliti dan bukannya parti. Pemikiran ini mula terbentuk dalam fikiran mereka setelah PRU-12. Keputusan pilihanraya itu, tanpa disedari telah membuat rakyat untuk melihat di luar kotak.

Buat kali pertama, BN kurang dua pertiga majoriti, lima negeri (kini empat) dikuasai oleh Pakatan Rakyat, ramai tokoh-tokoh politik telah gugur dan ramai calon-calon yang tidak dikenali langsung telah terpilih mewakili mereka.

Dalam bulan-bulan berikutnya, rakyat telah melihat bagaimana Pakatan Rakyat memerintah negeri-negeri yang dimenangi, drama air liur tumbangnya kerajaan pemerintah, menghadapi kekerapan pilihanraya kecil serta melihat kerenah dan pertelingkahan di antara kesemua parti-parti politik sama ada BN mahupun PR.

Pada waktu yang sama, rakyat mula menyedari bahawa di sebalik semua ketidakpastian ini, kehidupan seharian mereka masih terurus. Lampu masih bernyala, air paip masih mengalir, anak masih boleh bersekolah, saman tetap kena bayar dan kerja masih bergaji. Maknanya, negara masih terurus melalui prasarana kerajaan persekutuan mahupun negeri. Tidak lumpuh seperti yang ditakuti.

Semakin masa berlalu, mereka melihat parti-parti politik masih parah dengan drama dalaman politik masing-masing. Hari ini bertelingkah, esok sudah bersalaman dan berpeluk. Ketua yang dipilih hari ini boleh diturunkan dengan undi tidak percaya. Ada yang membuat mesyuarat agung untuk memilih diri sendiri dan ada juga pemimpin yang diasak hingga terpaksa mengundur diri.

Tidak kira sama ada mereka daripada parti pemerintah mahupun pembangkang, sikap over-politiking sudah menguasai dan menghantui. Pihak manakah yang hendak dipercaya? Seolah-olah, kerajaan yang memerintah sudah tak boleh dipakai, yang hendak memerintah pun tak boleh diharap. Kalau kita rajin menyelusuri celah-celah blog dan laman marhaen yang tidak terkenal, kita akan menemui suara-suara hati yang meluat dengan apa yang berlaku kini.

Mengapa ini terjadi? Mengapa rakyat mula kurang senang dengan apa yang para pemimpin politik mereka lakukan? Ia terjadi kerana kita terlalu bergantung harap dan nasib kepada orang-orang politik. Sama ada mengenai budaya, bahasa, sosial, psikologi, akademik, ekonomi, kejuruteraan malah agama, kita membiarkan orang-orang politik menguasai pentas pendapat untuk mengeluarkan formula-formula yang hanya molek di bibir, tetapi tidak praktikal bila dilaksanakan.

Silap juga pakar-pakar budaya, bahasa, sosial, psikologi, akademik, ekonomi, kejuruteraan dan agama yang begitu ramai kerana membiarkan orang-orang politik bercakap di pentas mereka. Mana mungkin orang politik tahu semua perkara dan menyelesai semua masalah yang kita hadapi? Seharusnya pakar-pakar ini perlu berani dan aktif untuk tampil memberi pandangan bersandarkan kepakaran masing-masing.

Dari sehari ke sehari, selain daripada bercakaran merebut kerusi, orang-orang politik masih banyak bercakap mengenai penyediaan kemudahan asas dan hal-hal keselamatan. Di dalam negara yang sudah lebih 50 tahun merdeka, kalaulah masalah kemudahan asas dan keselamatan masih menjadi lagu yang digulakan, bila lagi hal-hal mengenai nilai-nilai kasih sayang, kekitaan, penghormatan, toleransi dan kendiri hendak diperkatakan?

Teori Maslow yang terkenal menggariskan lima keperluan-keperluan daripada fisiologikal, keselamatan, kekitaan, keyakinan dan kendiri. Di tahap yang rendah adalah keperluan fisiologikal seperti keperluan makanan dan air sementara keperluan keselamatan adalah berkehendak kepada rumah, kesihatan dan pekerjaan.

Selagi kita asyik bercakap mengenai keperluan fisiologikal dan keselamatan, bila pula kita hendak bercakap mengenai tiga lagi hal-hal yang lebih tinggi tahapnya? Apakah kita patut bercakap mengenai pembangunan negara dan bukannya membina tamaddun?

Meskipun perkara asas harus menjadi perhatian, tetapi ia sudah tidak perlu lagi menjadi perkara yang diulang-ulang. Rakyat sudah sedia dan dahaga hendak sama-sama bercakap mengenai hal-hal membina minda, menakluki langit, bumi dan dasar laut, bersaing di peringkat dunia dan memimpin dunia.

Kerana itulah, apabila PRU-13 nanti, trend memilih calon, tidak kira daripada parti mana akan menjadi keutamaan. Sama ada ia akan menyebabkan kerajaan BN tumbang, ataupun kerajaan PR berdiri, ia sudah tidak menjadi isu lagi. Yang menjadi penting ialah kewibawaan calon-calon yang terpilih.

Jika rakyat, secara tidak sengaja telah menyebabkan peralihan kuasa yang lebih besar kepada PR, tidak mustahil, pada PRU-13, rakyat akan sengaja memilih siapa yang mereka hendak bukan parti mana yang mereka mahu.

Baik BN mahupun PR, mereka tidak boleh lagi bersandar pada retorik. Calon-calon mereka perlu lebih hebat dari parti. Bila ia terjadi, fusion di antara calon-calonlah yang akan menjadi dinamika di Dewan Rakyat. Undi akan berdasarkan merit, hujah akan berdasarkan fakta dan debat akan berdasarkan kebenaran. Ia bukan utopia. Tunggu sahajalah.

Tuesday, October 13, 2009

WUJUDKAH PILIHAN RAYA DI DUN BAGAN PINANG ?

Oleh : Mohamed Hanipa Maidin

Beberapa tahun yang lalu semasa saya mengendalikan kes petisyen pilihan raya bagi DUN Bangi saya dan Peguam Negara , Tan Sri Abdul Ghani Patail bertelagah tentang makna demokrasi.

Peguam Negara yang memohon Mahkamah membatalkan petisyen yang dikemukakan oleh PAS berhujah bahawa calon BN di Bangi , Amran Kasimin ( pada masa itu ) telah menang dengan majoriti yang besar sekaligus mengalahkan calon PAS iaitu Dr Shafie Abu Bakar. Ghani Patail berhujah bahawa Mahkamah perlu menghormati pilihan rakyat di Bangi kerana majoriti besar dari pengundi di situ mahukan calon BN. Demokrasi, hujah Ghani Patail, adalah tentang suara majoriti iaitu pihak yang menang secara majoriti adalah pihak yang layak dilantik sebagai wakil rakyat.

Ketika menjawab hujah Ghani tersebut saya berhujah bahawa demokrasi bukan soal majoriti semata-mata. Pilihanraya yang bersih , bebas dan adil adalah sine qua non ( ciri utama ) demokrasi. Mana-mana pilihan raya yang tidak bersih, tidak bebas dan tidak adil ia bukanlah satu pilihan raya meskipun diadakan lima tahun sekali kerana pilihan raya sebegitu melanggar ruh dan prinsip demokrasi.

Saya hujahkan bahawa bagaimanakah pilihanraya di Bangi itu boleh dikatakan adil, bersih dan bebas sedangkan banyak peraturan yang BN langgar .Misalnya calon BN secara jelas menipu dengan menggunakan title Profesor di poster beliau meskipun beliau bukan seorang Profesor. Daftar pemilih yang digunakan di hari pengundian berbeza dengan daftar yang dibekalkan oleh SPR pada calon pada hari penamaan sedangkan undang-undang pilihanraya menyatakan secara jelas hanya daftar pemilih yang dibekalkan oleh SPR pada calon pada hari penamaan yang boleh diterima sebagai daftar pemilih yang sahih pada hari pengundian. Saya selanjutnya berhujah “ Yang Arif, BN menang besar kerana mereka adalah penipu/pembohong besar !!!”. Ghani Patail melenting apabila saya menyatakan BN pembohong besar.

Melihat apa yang berlaku di dalam pilihan raya kecil DUN N.31 Bagan Pinang saya tertanya-tanya wujudkah pilihan raya di DUN tersebut ?

Apa yang dikatakan Pilihan raya di Bagan Pinang menyaksikan siri pencabulan undang-undang yang amat ketara yang dilakukan oleh BN dan ejen-ejen BN yang tidak rasmi iaitu pihak SPR dan pihak tertentu di dalam Pasukan Angkatan Tentera Malaysia. SPR sepatutnya berfungsi sebagai pengawal pilihan raya tetapi seperti yang dinyatakan dalam pepatah latin “ quis custodiet ipsos custodes” ( “ siapa yang mengawal pengawal ? )

Semua tahu bahawa undi pos adalah talian hayat Umno di Bagan Pinang. Semua juga tahu proses pengundian pos diselaputi dengan pelbagai misteri dan kebal dari radar ketelusan. Penghapusan undi pos adalah salah satu tuntutan besar BERSIH. Perlaksanaan undi pos di Bagan Pinang bukan sahaja tidak telus malahan terang-terang melanggar undang-undang. Oleh itu tidak pelik jika calon BN Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad memperoleh 3,521 undi pos berbanding calon PAS, Zulkifly Mohamad Omar yang hanya memperoleh 601 undi sahaja.

Perkara pertama yang dilanggar oleh SPR adalah kewujudan dua nama yang sama lebih kurang 250 pengundi tentera di daftar pemilih di DUN Bagan Pinang dan di beberapa daftar pemilih di daerah-daerah mengundi di seluruh negara. Misalnya nama Ahmad bin Ali wujud di daftar pemilih DUN Bagan Pinang dengan menggunakan No pengenalan tentera , dan nama yang sama juga wujud di daftar pemilih di Daerah mengundi di Kelantan dengan menggunakan No Kad Pengenalan biasa. Apabila hal ini dibangkitkan oleh PAS , SPR meskipun mengakui hal tersebut berlaku dan juga mengakui bahawa ia adalah menyalahi undang-undang hanya memberikan alasan yang sama dulu, kini dan selamanya : “ Oleh kerana terlalu ramai pengundi di negara ini, kesilapan tidak boleh dielakkan dan kami tidak boleh buat apa-apa ! Kami jamin tiada pengundi tentera yang mengundi dua kali di Dun Bagan Pinang ! Lihatlah betapa mudahnya SPR meremehkan tuntutan pilihan raya yang bersih dan adil.

Tidak cukup dengan perlanggaran tersebut, SPR sekali lagi membiarkan sahaja penggunaan daftar pemilih yang berbeza di pusat pengundi pos dengan daftar pemilih yang dibekalkan kepada calon. Kali ini alasan SPR mesipun daftar pemilih berbeza nama-nama pengundi masih ada di kedua-dua daftar pemilih yang berbeza tersebut. Pengarah Pilihan Raya SPR Negeri Sembilan, Abdul Latif Baba berkata, senarai pemilih yang dipamerkan oleh pihak tentera di papan pameran dewan pusat mengundi semasa proses pengundian berlangsung di situ adalah diatur oleh pihak tentera secara pentadbiran.

Nampak sangat SPR sengaja memejam mata melihat perlanggaran undang-undang. Undang-undangnya adalah kesemua pihak sama ada SPR, tentera atau parti-parti yang bertanding hendakah menggunakan daftar pemilih yang sama iaitu yang dibekalkan kepada calon semasa hari penamanaan calon.

Baik SPR ataupun tentera tidak diberi kuasa mengubah hal tersebut walau dengan tujuan dan niat apa sekalipun. Apabila tentera mengubah daftar pemilih tersebut ia mendatangkan kesusahan kepada petugas parti yang bertanding untuk menyemak dan mengenal pasti nama-nama pengundi yang datang membuang undi.

Apa yang lebih malang lagi para petugas parti yang bertugas memantau perjalanan pengundian pos tersebut tidak sama sekali berpeluang untuk memastikan bahawa hanya para pengundi yang namanya ada di daftar pemilih DUN Bagan Pinang yang benar-benar mengundi di situ .

Hal ini berlaku kerana tidak seperti proses pengundian biasa di mana pihak Ketua Tempat Mengundi ( KTM ) akan meneriak nama para pengundi yang hadir untuk mengundi sekaligus memudahkan para polling agent parti yang bertanding menyemak nama pengundi tersebut di daftar pemilih , hal yang sama tidak berlaku di dalam proses pengundian pos khususnya di DUN Bagan Pinang.

Oleh itu tiada mekanisme untuk petugas parti yang bertanding mengetahui dengan jelas siapa yang datang mengundi dan pengundi itu mengundi bagi pihak siapa ? Bolehkah kaedah pemilihan sebegini yang penuh dengan misteri didefinisikan sebagai pilihan raya ? Hantu raya bolehlah !!!

Isu keganasan tidak perlulah saya sentuh kerana ianya satu amalan rutin oleh BN di Bagan Pinang. Para petugas BN ibarat drakula yang kehausan darah . Pilihan raya telah bertukar seperti perlawanan gusti di Bagan Pinang –perlawanan penggusti yang jahat dan tidak ikut undang-undang membelasah penggusti yang baik yang ikut undang-undang. Penggusti yang jahat dalam banyak keadaan dibela pula oleh pengadil yang lemah dan tidak berdaya !!!

Seksyen 2 Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 menafsirkan perkataan pilihan raya seperti berikut “ pilihan raya ertinya sesuatu pilihanraya yang diadakan mengikut peruntukkan mana-mana undang-undang bertulis yang berhubungan dengan pemilihan orang sebagai ahli Dewan Rakyat , Dewan Undangan Negeri atau pihak berkuasa tempatan.

Berdasarkan tafsiran tersebut adalah jelas bahawa apa yang berlaku di Bagan Pinang bukanlah satu pilihan raya kerana ianya gagal diadakan mengikut peruntukkan undang-undang pilihan raya.

Mungkin BN berhujah jika PAS tidak puas hati , PAS seharusnya memfailkan petisyen pilihan raya di bawah sekyen 32 Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 bagi membatalkan pilihan raya tersebut.

Persoalannya bagaimanakah PAS boleh memohon membatalkan pilihan raya tersebut jika pilihan raya tersebut sendiri tidak wujud menurut undang-undang. Bolehkah kita batalkan sesuatu perjanjian jika perjanjian itu sendiri tidak wujud. Menyuruh seseorang membatalkan sesuatu yang tidak wujud samalah seperti menyuruh orang itu membuat sesuatu yang mustahil.

Bn, Mana Kemenangan Besarnya ?

Pilihanraya Kecil Bagan Pinang sudah berlalu. Pilihanraya yang paling pintar lagi terkedepan “advanced” dalam sirinya semenjak post-PRU 12. Walaupun tarikh (hari) mengundi sebenar telah ditetapkan pada 11hb Oktober sejumlah besar pengundi sudah MENGUNDI DULU pada 8hb & 9hb Oktober.

Hasil dari Undi Cara Pos iaitu sebanyak 30.00 % daripada keseluruhan undi telah dibolot oleh UMNO/BN. Jadi pada hari mengundi sebenar (proper) UMNO/BN hanya memerlukan 21.10 % sahaja lagi dari baki 70 % keseluruhan pengundi berdaftar untuk mencapai kemenangan mudah.

Para pengundi Atas Pagar memahami cara formula diatas dimana tanpa undi dari merekapun UMNO/BN boleh mencapai kemenangan juga. Mereka mengambil keputusan untuk sama-sama menyokong pemenang buat kali ini. Sesungguhnya apabila UMNO/BN mencapai kemenangan begini besar mereka tidak akan mengambil kira lagi untuk mengkaji sokongan terhadap mereka. Mereka akan terus menerus “celebrate” kejayaan tersebut . Sebagai contoh media massa mereka Radio/TV masih lagi memperkatakan perihal kemenangan tersebut macam orang yang ta` pernah menang. Berdasarkan pandangan diatas dimana duduknya perkataan “Menang Besar” itu?

Kepada penyokong Pakatan Rakyat khususnya Parti PAS janganlah merasa gusar. DiPRK Bagan Pinang ini Parti PAS tidak kalah cuma tidak berjaya merampasnya saja. Kejayaan UMNO/BN adalah ibarat “salin tikar” saja. Kita misti optimis pada PRU ke 13 nanti keseluruhan kerusi DUN dalam Parlimen Telok Kemang akan jatuh kepada Pakatan Rakyat. Untuk makluman pada masa sekarang inipun Pakatan sudah memiliki 3/5 Kerusi Dewan Undangan Negeri dalam Parlimen Telok Kemang.

Kepada para petugas yang telah kembali ketempat masing – masing ucapan terima kasih dari Blog ini diatas kesungguhan yang diberi semasa diPort Dickson

Monday, October 12, 2009

Empat perkara untuk pulihkan pilihanraya - NIEI

Institut Intergriti Pengundi Kebangsaan (NIEI) mencadangkan empat perkara bagi memulihkan pilihan raya di negara ini kerana apa yang ada sekarang mencemarkan pilihanraya.

Ini kerana, pilihan raya yang berlaku di Bagan Pinang telah tercemar. Ia sepatutnya telus, bebas dan adil.

Apa yang berlaku adalah, 1) ketidak telusan pengundian pos; 2) rasuah politik, penyalahgunaan jentera kerajaan dan politik janji, 3) Perayu undi, tukang sorak dan pengangkutan yang disediakan oleh parti politik pada hari mengundi; dan 4) Perbelanjaan berkempen.

Demikian kenyataan yang dibuat NIEI dalam satu kenyataan medianya berdasarkan pemerhatian mereka dalam pilihan raya kecil itu baru-baru ini.

Berikut adalah kenyataan penuh NIEI:

National Institute for Electoral Integrity (NIEI) telah memantau perjalanan pilihanraya kecil (PRK) bagi kerusi DUN Bagan Pinang (N 31) bermula dari hari penamaan calon pada 3 Oktober sehinggalah berakhirnya proses pengundian pada 11 Oktober 2009.

Didalam pemantauan pilihanraya, terdapat dua kaedah yakni stationary monitoring (pemantau ditugaskan untuk tunggu disetiap tempat mengundi) dan mobile monitoring (pemantau bergerak).

ImageNIEI menggunakan kaedah mobile monitoring dimana pemantau-pemantau NIEI bergerak untuk memantau perjalanan pilihanraya di dalam kawasan N 31 bermula dari proses penamaan calon, tempoh berkempen dan hari mengundi.

Di dalam pemantauan NIEI di kerusi N 31, terdapat beberapa perkara yang telah mencemarkan PRK yang seharusnya telus, bebas dan adil.

Diantaranya ialah:

1) Ketidak telusan pengundian pos

Terdapat dakwaan bahawa senarai pengundi pos tentera yang diwartakan dan diberikan kepada calon-calon yang bertanding berbeza dari senarai pengundi pos tentera yang dipaparkan pada hari mengundi pos 8 dan 9 Oktober 2009. Selain daripada itu, terdapat juga dakwaan bahawa terdapat pengundi-pengundi pos yang didaftarkan lebih dari satu kem serta persara-persara tentera masih lagi terdapat dalam daftar pengundi pos.

Yang lebih menyedihkan lagi, SPR langsung tidak mengendahkan syak wasangka ini dan tidak membersihkan nama mereka dan maruah sebagai badan penggendali pilihanraya tidak dipertahankan.

Oleh yang demikian, bagi memastikan proses pengundian pos tidak lagi dipertikaikan pada masa akan datang, NIEI mencadangkan agar kaedah dan prosedur pengundian pos hendaklah dikaji semula dan diubah supaya ianya telus dan diyakini oleh rakyat. Image

Dari pengalaman pemerhatian NIEI di luar negara, Thailand dan Filipina yang mengalami konflik ganas, pengundian secara normal digunakan bagi anggota tentera mereka. Pusat pengundian yang dikendali sepenuhnya oleh SPR � serta hak-hak yang sama bagi agen parti, pemantau tempatan dan pemerhati antrabangsa � dibuka di dalam kem-kem tentera.

Jika terdapat undi pos tentera, ianya akan dikendalikan sepenuhnya oleh SPR negara tersebut. Tidak timbul langsung kontraversi senarai nama pengundi anggota tentera di sana.

2) Rasuah politik, penyalahgunaan jentera kerajaan dan politik janji

Rasuah politik, penyalahgunaan jentera kerajaan dan politik janji masih lagi berleluasa dalam PRK N 31 Bagan Pinang. Pemberiaan projek-projek kerajaan kepada penduduk Bagan Pinang semasa tempoh berkempen dilakukan secara berleluasa. Banyak kementerian-kementerian seperti Kementerian Penerangan, Kementerian Pertanian dan Asas Tani, Kementerian Pendidikan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna digunakan untuk memberikan �rasuah politik� kepada pengundi Bagan Pinang secara terbuka.

Selain daripada itu, penyalahgunaan jentera kerajaan turut dilakukan secara berleluasa. Kedua-dua pihak yang bertanding dilihat menyalahgunakan harta rakyat terutama kenderaan milik kerajaan Persekutuan, Negeri dan Tempatan. Manakala UMNO-BN memonopoli dewan orang ramai, sekolah, KEMAS dan JKKK sebagai markas parti.

Amalan ini adalah satu kesalahan besar kerana seharusnya harta milik kementerian, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan tidak boleh digunakan bagi parti-parti politik yang bertanding semasa berkempen dalam pilihanraya.

Untuk memastikan pilihanraya akan datang adil kepada semua pihak yang bertanding, NIEI mencadangkan agar politik wang, janji peruntukan projek, projek kilat, salahguna jentera negara dan salahguna kemudahan awam hendaklah dihapuskan.

Di negara-negara jiran, terutamanya Thailand, Nepal dan Taiwan amalan ini diharamkan. Kesalahan bersabit dengannya akan diambil tindakan keras, iaitu SPRnya akan membatalkan calon bersalah daripada bertanding, atau dibatalkan kemenangan mereka.

Untuk menghapuskan amalan ini, undang-undang anti rasuah politik dan penyalahgunaan harta awam hendaklah digubal seperti yang dilaksanakan di Thailand dan Taiwan.

3) Perayu undi, tukang sorak dan pengangkutan yang disediakan oleh parti politik pada hari mengundi

Amalan merayu undi dan tukang sorak telah menyebabkan ketegangan berlaku pada hari mengundi. Apabila perayu-perayu undi dari kedua-dua parti politik bersaing untuk merayu undi berhampiran dengan tempat pembuangan undi, ianya menggangu pengundi-pengundi untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.

ImageSelain daripada itu kemudahan pengangkutan yang disediakan oleh parti politik untuk mengangkut pengundi turut menyesakkan keadaan dihadapan tempat pembuangan undi yang biasanya dilaksanakan di sekolah.

Bagi memastikan pengundi-pengundi dapat berfikir dengan tenang sebelum masuk ke tempat pembuangan undi, NIEI menyarankan agar amalan merayu undi, tukang sorak dan penyediaan kemudahan pengangkutan untuk mengangkut pengundi dihapuskan.

Sebagai ganti, tempoh berkempen bolehlah diperpanjang seperti dua minggu bagi pilihanraya kecil dan sebulan bagi pilihanraya umum. Parti-parti politik bukan kerajaan yang sering tidak mendapat tempat di media arus perdana aktif berkempen pada hari mengundi oleh kerana tidak mendapat liputan yang adil oleh media arus perdana dan tempoh berkempen yang singkat, jika tempoh berkempen diperpanjangkan, semua pihak akan mendapat masa yang cukup untuk berkempen.

Selain daripada itu, SPR bolehlah menyediakan kenderaan untuk mengangkut pengundi seperti van, kereta dan motosikal sebagai alternatif kepada kenderaan-kenderaan yang disediakan oleh parti politik.

4) Perbelanjaan berkempen

ImageDalam PRK Bagan Pinang, dapat disimpulkan bahawa perbelanjaan yang digunakan untuk berkempen bagi calon BN, Tan Sri Isa Samad telahpun melebihi had yang ditetapkan iaitu RM 100,000 bagi calon DUN. Menurut Seksyen 19(1) (a) dan (b) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, calon-calon yang bertanding dalam pilihan raya umum hendaklah berbelanja tidak melebihi had yang ditetapkan iaitu untuk calon Parlimen RM200,000 dan calon DUN RM100,000.

Akta ini harus digubal semula dan harus menyatakan bahawa ianya termasuklah kepada parti politik yang menyokong sesuatu calon tersebut. Kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (MACC) bolehlah dilakukan untuk memperketatkan lagi pemantauan perbelanjaan kempen.

NIEI berharap agar isu-isu yang dibangkitan akan diambil perhatian serius oleh SPR agar perjalanan pilihanraya di Malaysia dapat menjadi lebih baik pada masa akan datang.

Semua parti politik yang bertanding diseru agar bekerjasama bagi memastikan proses perjalanan pilihanraya di Malaysia menjadi lebih adil, telus dan saksama. Pilihanraya yang berkredibiliti akan meyakinkan lagi rakyat dengan amalan demokrasi di Malaysia.

BN dicabar bubar DUN Perak, jika yakin sudah kembali disokong rakyat

Pakatan Rakyat Perak mencabar Barisan Nasional membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu jika parti pemerintah tersebut yakin telah mendapat kembali sokongan rakyat berikutan kemenangan di Bagan Pinang semalam.

Pengerusi Kelab Penyokong kerajaan PR Perak, Drs. Khalil Idham Lim dalam satu kenyataan memberitahu, sekiranya benar dakwaan pemimpin BN bahawa rakyat kembali yakin dengan mereka, BN seharusnya tidak perlu takut membubarkan DUN Perak dan mengambilnya melalui proses pilihan raya negeri.

"Jika Bagan Pinang sebagai mana yang didakwa oleh BN sebagai petunjuk bahawa rakyat telah menyokong BN, dengan ini saya mecabar kepimpinan BN di Perak untuk segerakan pembubaran DUN Perak dan memberi laluan kepada rakyat untuk memilih siapakah kerajaan yang akan meneruskan teraju kerajaan di Perak," kenyataannya dipetik.

ImageDia yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN Titi Serong memberitahu, jika BN menang pada pilihanraya itu, Pakatan Rakyat akan menerimanya atas semangat demokrasi.

Kekalahan PAS mahupun Pakatan katanya bukan sesuatu yang luar biasa malah berlaku sejak merdeka sehinggalah di Bagan Pinang.

Namun lebih penting ujarnya, kepentingan rakyat negeri itu yang juga mahukan pembubaran DUN agar hak mereka dikembalikan untuk memilih kepimpinan yang akan menerajui negeri mereka.

"Desakan ini sudah bermula sejak 5 Februsri 2009 dan tidak jemu-jemu kami suarkan kerana melihat kepada kepentingan rakyat Perak sebagaimana slogan BN 'rakyat didahulukan'.

Makanya inilah masa untuk mendahulukan rakyat dengan bubarkan DUN Perak," tulisnya.

Dalam PRK Bagan Pinang semalam, calon PAS Zulkefly Mohamad Omar tewas kepada calon BN Tan Sri Mohd Isa dengan jumlah majoriti sebanyak 5,435 undi.

Mohd Isa memperolehi 8,013 undi manakala Zulkefly, Pesuruhanjaya PAS Negeri, mendapat 2,578 undi.

Jumlah itu lebih besar daripada majoriti 2,333 undi yang diperolehi oleh BN pada pilihan raya umum 8 Mac tahun lepas.

Ekoran kemenangan itu, kepimpinan BN mendakwa parti itu kini sudah mula diterima kembali oleh rakyat selepas ditolak pada Pilihan Raya Umum ke-12, Mac tahun lalu dan tujuh siri pilihan raya kecil sebelum ini.

Mereka juga mendakwa, pembaharuan dibawa Datuk Seri Najib melalui slogan '1 Malaysia, Rakyat di dahulukan, pencapaian di utamakan', antara faktor besar penyumbang kepada kemenangan tersebut. _

Anwar desak SPRM siasat Musa, pemimpin BN


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyiasat Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hasan dan semua pemimpin Barisan Nasional (BN) yang menyimpan aset atau harta yang melampau.

Penasihat Parti keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, arahan Musa agar siasatan dijalankan terhadap simpanan ‘master account’ beliau yang didakwa berjumlah RM3 bilion adalah semata-mata bermotifkan dendam.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, Musa sengaja mencari peluang untuk membalas terhadap apa saja siasatan berat yang dikenakan.

“Beliau (Musa) tidak boleh menjadikan perkara ini sebagai dendam peribadi dan sepatutnya beliau juga perlu disiasat oleh SPRM kerana sebelum ini terlibat dengan banyak kontrak,” katanya kepada Sinar Harian selepas menghadiri majlis Public Talk 'Islam in Africa' di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) di sini, semalam.

Ditanya mengenai gesaan beliau mahu Suruhanjaya Bebas ditubuhkan bagi menyiasat aset pemimpin BN, disangkal oleh pemimpin UMNO, Anwar berkata, ia membuktikan mereka terlibat dengan gejala rasuah.

“Kalau mereka tidak takut, kenapa tolak cadangan supaya Suruhanjaya Bebas ditubuhkan,” katanya.

Search This Blog