| Sejak merdeka hanya ada tiga orang hakim yang berani membuat keputusan yang tidak menyebelahi parti yang didokong oleh kerajaan pusat. Profesor Aziz Bari berkata, itu pun keputusan Mahkamah Tinggi dan ada yang memprovok Kerajaan Persekutuan mengisytiharkan darurat. Keputusan-keputusan yang menentang Kerajaan Pusat di buat dalam kes Stephen Kalong Ningkan di Sarawak (1966), Joseph Pairin Kitingan di Sabah (1986) dan Nizar Jamaluddin di Perak (2008). Sejak Februari lalu kebanyakan hakim memberi keputusan yang menyebelahi Umno termasuk keputusan Mahkamah Persekutuan yang bertentangan dengan peruntukan perlembagaan yakni Perkara 72(1). “Ertinya kita perlu sedar bahawa bukan semua keputusan mahkamah selaras dengan kehendak dan semangat perlembagaan,” tegasnya lagi. Aziz turut mengingatkan, meskipun Zambry diputuskan oleh Mahkamah Rayuan sebagai sah, tetapi kedudukan Speaker Ganesan tetap haram kerana cara perlantikannya melanggar peraturan dewan. Berbalik kepada keputusan Jumaat lalu Aziz berkata beliau berasa aneh mengapa Mahkamah Rayuan menyebut soal mandatori (kewajipan termesti) dalam soal undi tidak percaya. “Memang perlembagaan tidak mewajibkan begitu tetapi undi tidak percaya adalah cara yang terbaik kerana ia selamat dari manipulasi”, ujarnya. Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa perlantikan Zambry sah kerana tidak ada kemestian di dalam perlembagaan bahawa mesti ada undi tidak percaya terhadap menteri besar yang ada. Ketika mengulas perkara itu, Aziz berkata keputusan Mahkamah Rayuan tidak membantu memperkasa demokrasi. “Ia juga tidak selaras dengan kedudukan eksekutif di dalam sistem demokrasi berparlimen yang mesti mempunyai sokongan majoriti di dalam dewan”. Aziz menegaskan di dalam keadaan undi tidak percaya tidak dihalang ia perlu dilakukan. Katanya, “Mahkamah sepatutnya memperkasa keperluan undi tidak percaya ini dan bukan sebaliknya”. Aziz berkata Raus mempunyai tugas berat untuk meyakinkan mengapa beliau memutuskan bahawa menteri besar yang ada boleh disingkirkan tanpa undi tidak percaya. Katanya, keputusan Mahkamah Rayuan itu akan membawa kesan yang besar kepada perlembagaan khususnya dan demokrasi umumnya. Beliau mengakui memang ada keadaan di mana undi tidak percaya tidak perlu. “Tetapi itu di dalam keadaan menteri besar yang ada enggan atau lari darinya. Dalam kes di Perak sekarang ini jelas tidak berlaku; malahan Nizar bersedia menghadapinya,” kata Aziz. Aziz berkata umumnya keputusan Mahkamah Rayuan itu adalah berita sedih buat demokrasi di negara ini. “Di sisi perlembagaan istana dan mahkamah mempunyai tugas untuk mempastikan semak dan imbang. Raja dan hakim berperanan mempastikan keadilan dan ketelusan, bukan mengambilalih fungsi rakyat dalam memilih kerajaan”. Beliau tidak bersetuju dengan para peguam Umno yang mendakwa keputusan Mahkamah Rayuan menamatkan krisis politik di Perak. “Yang pasti Nizar akan memohon untuk membuat rayuan dan kalau ditolak ia akan menyebabkan rakyat melihat mahkamah dengan pandangan yang negatif,” ujarnya. |
Monday, May 25, 2009
Mahkamah Rayuan Tidak Memperkasakan Demokrasi : Aziz Bari
Najib harus hormati tatakrama politik dan doktrin pemisahan kuasa
| Zambry dan presiden partinya, Najib Razak tidak harus lupa mengapa mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menggerakkan kempen dan kemudian menghadkan kuasa raja hampir tiga puluh tahun lalu. Malangnya, umum masih belum mengetahui apakah teras penghujahan tiga hakim Mahkamah Rayuan Jumaat lalu. Mengapa dan bagaimana mereka membuat keputusan Sultan Perak memang berhak untuk melantik seorang Menteri Besar baru walaupun Menteri Besar sedia ada tidak atau belum meletak jawatan hanya akan diketahui apabila penghujahan bertulis mereka dikeluarkan. Apapun jua sebagai hakim yang ditauliahkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, keputusan sebulat suara mereka mesti dipatuhi dan semua pihak yang bertikai harus menunggu hingga minggu hadapan apabila ketiga-tiga mereka – Datuk Raus Sharif, Datuk Ahmad Maarof dan Datuk Zainon Ali -- mengeluarkan penghujahan bertulis masing-masing. Prosedur ini perlu dipatuhi dan kajian yang ilmiah, teknikal dan saksama boleh dibuat oleh sesiapa yang berkepentingan selepas meneliti sandaran Perlembagaan Negara, Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri dan proses keadilan yang digunapakai oleh ketiga-tiga hakim dalam membuat keputusan mereka. Yang penting, Zambry Abdul Kader sudah mendapat sokongan sistem mahkamah untuk mengesahkan kedudukannya sebagai Menteri Besar. Ini kerana kedudukan Mahkamah Rayuan adalah lebih tinggi tarafnya dari Mahkamah Tinggi. Maka apa yang diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Aziz Rahim yang mengiktiraf Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar yang sah dimansuhkan oleh Mahkamah Rayuan. Soalnya, bolehkah keputusan Mahkamah Rayuan ini dianggap penyelesaian mutlak kekusutan politik Perak? Sudah tentu di peringkat ini jawapannya tidak. Ini kerana Nizar Jamaluddin masih mempunyai pilihan untuk mengemukakan tuntutannya bahawa beliau adalah Menteri Besar yang sah pada Mahkamah Persekutuan. Soal bila dan sama ada beliau akan berjaya dalam tuntutan di mahkamah tertinggi Negara itu, adalah perkara kedua. Yang utama sekarang Zambry adalah Menteri Besar Perak. Kedudukan Zambry sebagai Menteri Besar ini adalah bersandarkan keputusan Mahkamah Rayuan yang belum ada penghujahan bertulis. Sekalipun ada, yang agak merisaukan ialah, adakah di segi asas politik, dan neraca moral politik rakyat, kedudukan Zambry itu sah? Berdasarkan keputusan pilihanraya umum 2008, Nizar dilantik Sultan dan direstui oleh rakyat untuk menjadi Menteri Besar. Namun pilihan rakyat ini dinafikan oleh dua Ahli Dewan Undangan Negeri yang berhijrah keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan seorang dari Parti Tindakan Demokratik (DAP). Sebenarnya, sokongan ketiga-tiga ADUN kepada Barisan Nasional (BN) ini belum diuji dan disahkan. Soal ini boleh diatasi oleh Zambry dengan mudah jika beliau tidak gopoh memanggil sidang DUN 7 Mei lalu. Seandainya beliau bersabar sehingga selepas 22 Mei lalu apabila Mahkamah Rayuan mengesahkan kedudukannya itu, sudah pasti agak mudah tiga ADUN bebas itu menyatakan sokongan mereka terhadap BN dalam undi tidak percaya terhadap Nizar. Nasi sudah menjadi bubur. Rakyat dan dunia sudah tahu dan menyaksikan sendiri bagaimana Speaker V Sivakumar diarak keluar tanpa kerelaannya dari DUN dan digantikan oleh speaker pilihan BN, R Ganeson. Episod ini akan terus mekar dalam ingatan berjuta-juta rakyat bagaimana tidak demokratiknya tindakan Zambry merampas kuasa. Sandaran bukti Zambry Menteri Besar Perak yang sah ialah keputusan Mahkamah. Bagaimana dengan keputusan rakyat, terutama pengundi Perak dalam mahkamah demokrasi dalam bentuk pilihanraya umum ke-12 pada 8 Mac tahun lalu? Adakah mereka setuju dengan keputusan tiga hakim itu? Apabila ketiga-tiga hakim berkenaan berkeyakinan Sultan Perak mempunyai kuasa penuh dan boleh mengatasi keputusan Dewan Undangan Negeri yang telahpun ditentukan oleh rakyat siapa penjawatnya, adakah ini bermakna ia akan menjadi iktibar untuk mengatakan kuasa menentukan pemerintahan di Negara ini kini telah kembali ke tangan Raja-raja? Jika begitu, bagaimana dengan adat, doktrin pemisahan kuasa dan juga tatakrama demokrasi yang saling bertaut membina proses pemerintahan di negara ini? Kuasa raja dan sultan adalah turun temurun. Kuasa rakyat ialah peti undi. Apabila keputusan Mahkmah Rayuan 22 Mei dijadikan asas undang-undang, adakah ini bermakna kini hanya Sultan yang berhak menentukan sesiapa sahaja yang dirasakan patut dilantik untuk mengetuai sesebuah kerajaan negeri? Tidakkah ruang kuasa Sultan selepas keputusan ini menyerupai pemerintahan sebuah negara monarki di mana Sultan mempunyai kuasa penuh menentukan siapa jadi Perdana Menteri atau Menteri Besar? Kebijaksanaan Sultan tidak pernah dipertikaikan. Namun pada hakikatnya menurut konvensyen atau tatakrama sistem demokrasi Raja Berperlembagaan Malaysia, Sultan akan membuat keputusan menurut nasihat Ketua Kerajaan Pusat atau Kerajaan Negeri. Dalam kes Perak, Menteri Besar telahpun menghadap sembah kepada Sultan minta dibubarkan Dewan Undangan Negeri bagi memberi peluang kepada rakyat membuat pemilihan baru siapa dan parti apa yang wajar diberi mandat mentadbir negeri Perak. Ini kerana pada peringkat ini soal kekusutan politik itu memang semakin jelas – tindakan tiga ADUN keluar parti masing-masing merobah imbangan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri. Lantas imbangan baru itu perlu diuji secara matematik. Berapa sokong dan berapa yang tidak. Ini semua boleh dilakukan di dalam DUN. Ini memang cara politik. Bagaimanapun entah mengapa BN dan Zambry enggan berbuat demikian. Adakah kemelut politik Perak ini sudah dan akan berakhir dengan keputusan Mahkmah Rayuan ini? Tentu jawapannya tidak. Nizar dan penyokongnya akan memulakan mogok lapar dan berpuasa mulai minggu depan. Betapa tegas dan kuat sekalipun Zambry berusaha untuk memerintah Perak, keabsahannya menjadi Menteri Besar hanya ditentukan oleh tiga orang hakim. Memang ini halal kerana ia menurut proses undang-undang. Bagaimanapun rakyat akan terus terkilan hak mereka untuk menentukan siapa yang patut diberi amanah memerintah negeri mereka masih terus dinafikan. Zambry dan presiden partinya, Najib Razak tidak harus lupa mengapa mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menggerakkan kempen dan kemudian menghadkan kuasa raja hampir tiga puluh tahun lalu. Ini kerana beliau bimbang doktrin pemisahan kuasa bagi membina sebuah Negara Malaysia yang demokratik tidak dapat dikekalkan jika ruang kuasa raja mengatasi kuasa rakyat di parlimen atau dewan undangan negeri. Hingga setakat ini Najib dan Zambry menang pusingan untuk mendapat kerusi Menteri Besar Perak. Bagaimana pula jika ada raja dan sultan yang berselera mahu menggunakan “kuasa yang baru diberikan oleh Mahkamah kepada mereka” ini untuk melantik hanya golongan yang bersaing dengan Barisan Nasional untuk memimpin negeri mereka? Janganlah menang sorak tetapi kampung tergadai. Adakah Najib ketika itu akan kembali ke mahkamah untuk menyelesaikan “kesukaran politik baru” itu? Tangani isu Perak dengan hemah dan bijaksana. Soal politik harus diselesaikan cara politik dan bukan oleh Mahkamah. |
Sunday, May 24, 2009
Pas sedia serah jawatan MB pada bukan Melayu
| |
| NIK Abdul Aziz Nik Mat bersalaman dengan sebahagian ahli Pas yang hadir pada sambutan Jubli Perak Kepimpinan Ulama di Taman Melewar, Kuala Lumpur, semalam. |
KUALA LUMPUR 23 Mei – Pas sedia memberikan peluang kepada kaum selain Melayu untuk menjadi Menteri Besar di negeri yang dikuasai oleh parti itu dengan syarat mesti beragama Islam, warak, bertakwa, zuhud dan berpendidikan tinggi dalam agama.
Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan, persoalan kaum tidak pernah menjadi ancaman kepada parti itu kerana agama mengajar kepentingan ketuanan Islam dan bukannya ketuanan sesuatu kaum.
Menurut beliau, Allah tidak pernah mengiktiraf kemuliaan sesuatu kaum berdasarkan kulit atau kaum tetapi secara mutlak hanya memandang kepada ketakwaan yang mematuhi apa yang disuruh dan menjauhi apa yang dilarang-Nya.
“Pas mengamalkan ketuanan Islam dan bukannya ketuanan Melayu seperti yang diagungkan oleh UMNO,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Jubli Perak Kepimpinan Ulama di Markas Tarbiyah Pas Pusat di Taman Melewar di sini hari ini.
Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan secara sinis berkata, gagasan Satu Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebenarnya sudah lama diamalkan Pas, malah parti itu sanggup menyerahkan jawatan Menteri Besar kepada kaum lain selain Melayu.
“Kita ada Islam For All, kita yang pertama jadi mana boleh UMNO mahu kita mengikut mereka yang bukannya pihak pertama membuat gagasan sebegitu. Adakah logik orang pertama kena ikut orang nombor dua,” katanya.
Sementara itu Nik Abdul Aziz memberitahu, Pas akan terus mempromosikan kepimpinan ulama di dalam parti itu yang dianggap telah berjaya mentadbir negeri Kelantan mengikut acuan yang dikehendaki Islam selama hampir 20 tahun.
Katanya, kerajaan negeri itu di bawah pimpinannya selama ini mempraktikkan Islam dari segi akidah, ibadat, ekonomi dan perjalanan politik sehingga berjaya menarik keyakinan rakyat terhadap parti itu sejak sekian lama.
“Sememangnya kami mahu mempromosikan kepimpinan ulama. Kepimpinan ulama di Kelantan selama ini telah membuktikan yang kita mampu mentadbir dengan baik.
“Menjelang pemilihan kali ini, Saya gembira apabila mendengar khabar ada antara Exco Kelantan yang dicalonkan bertanding,” katanya.
Nik Aziz tidak senang
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menempelak UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai sebuah parti yang tidak bermoral dan bertamadun kerana menguasai Perak melalui cara tidak terhormat.
Beliau turut menyifatkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sebagai 'Menteri Besar mahkamah' dan bukannya mewakili seluruh penduduk Perak.
"Kenapa pakatan pembangkang yang telah dipilih oleh rakyat secara sah melalui undi, tetapi dirampas oleh UMNO dan BN secara melarikan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri untuk menyokong mereka," katanya.
Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Jubli Perak Kepimpinan Ulama di Markaz Tarbiyah Pas Pusat di Taman Melewar di sini hari ini.
Biar rakyat tentukan keadilan
Menurut Ahli Parlimen Bukit Gantang itu, keputusan muktamad sebenarnya adalah di tangan rakyat Perak kerana mereka yang berhak membuat pemilihan yang baru, sekali gus menamatkan krisis politik terburuk dilalui negeri tersebut.
“Kami memohon Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dibubarkan untuk memenuhi kehendak rakyat. Kita tidak akan bergantung dengan keputusan mahkamah selain dari keputusan rakyat,” katanya pada sidang media selepas mahkamah ditangguhkan semalam.
Ditanya keyakinannya untuk menang, Nizar berkata: “Dari segi perundangan kita cukup yakin kerana kita sudah pun memenuhi kesemua kriteria yang dikehendaki oleh panel tiga hakim.”
Semalam, Mahkamah Rayuan mengumumkan keputusan rayuan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (BN) dan Nizar dibacakan jam 3.30 petang esok (hari ini).
Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Raus Md Shariff yang bersidang bersama Hakim Datuk Ahmad Maarop dan Hakim Datuk Zainun Ali menetapkan masa tersebut setelah selesai mendengar hujahan kedua-dua pihak.
Zambry diwakili oleh peguamnya Datuk Cecil Abraham manakala Nizar diwakili peguam Sulaiman Abdullah.
11 Mei lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Nizar adalah Menteri Besar Perak yang sah.
Zambry bagaimanapun membuat rayuan berhubung keputusan itu pada 12 Mei dan Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan keputusan Mahkamah Tinggi sehingga kes rayuan Zambry selesai.
apa akan jadi kepada 3 katak di perak
agaknya yang akan dilakukan oleh Barisan Nasional terhadap tiga orang 'Adun Lompat' di Perak itu? Persoalan ini didapati semakin hangat dibincang dan diperdebatkan di kalangan pegawai tinggi Umno/BN, di saat peristiwa rampasan kuasa di Perak itu terus menjadi topik utama di media-media utama di Malaysia yang mengaitkannya dengan pentadbiran Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun RazakPegawai-pegawai BN berkata, berdasarkan apa yang berlaku hari ini, apa yang difikirkan terbaik untuk dilakukan ialah membiarkan mahkamah memutuskan sama ada Dato' Seri Zamry Abdul Kadir atau Dato' Seri Nizar Jamaluddin menteri besar Perak yang sah, dan kemudian adakan usul undi tidak percaya kepada ahli politik PAS yang popular itu, dan kemudian terus memerintah Perak.
Akan tetapi sekiranya sentimen rakyat di negeri itu tidak dapat menerimanya meskipun ia telah diputuskan oleh mahkamah, dan sekiranya Sultan Perak mendapat tekanan daripada pembangkang, masyarakat awam serta sivil dan membubarkan dewan undangan negeri, maka karier politik 'Adun Lompat' berkaitan, yakni Hee Yit Fong (Jelapang), Osman Jailu (Changkat Jering) dan Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) akan segera berakhir.
The Malaysian Insider mendapati, beberapa orang pegawai kanan BN percaya bahawa salah satu cara untuk menyelesaikan krisis politik di Perak ini ialah dengan memujuk tiga orang 'Adun Lompat' ini supaya mengosongkan kerusi mereka dan kemudian mengadakan pilihan raya kecil di Jelapang, Changkat Jering dan Behrang.
Pihak yang menang akan mempunyai majoriti jelas di dalam dewan undangan negeri dan berupaya membentuk kerajaan negeri. Tambahan lagi, tindakan mengadakan pilihan raya kecil di tiga kawasan ini dikatakan akan dapat melunakkan hati rakyat Perak yang merasakan bahawa mereka mempunyai kata putus dalam hal tersebut selain dapat mengendurkan rasa marah mereka kepada Sultan Azlan Shah yang enggan menerima cadangan Nizar agar membubarkan dewan undangan negeri Februari lalu.
Dato' Seri Najib Tun Razak dan beberapa orang pemimpin kanan BN telah diberi taklimat mengenai "pilihan terhad" ini tetapi terdapat bangkangan terhadap pilihan ini.
Seorang pegawai kanan parti yang terlibat dengan perbincangan tersebut memberitahu The Malaysian Insider: "terdapat pandangan bahawa sekiranya BN mengorbankan ketiga-tiga "Adun Lompat" itu, maka pada masa hadapan tidak akan ada lagi wakil rakyat yang ingin melompat parti dan menyertai BN. Kami yakin kami boleh menang di Changkat Jering dan Behrang kerana majoriti pengundi Melayu bersama kami. Akan tetapi persepsi bahawa kami memaksa tiga "Adun Lompat" itu bersara tidak baik bagi BN."
Tetapi beliau mengakui bahawa jika Sultan mengambil keputusan untuk membubarkan dewan undangan negeri dan meminta diadakan pilihan raya negeri, BN akan menghadapi dilema untuk meletakkan Hee, Osman dan Jamaluddin sebagai calon BN di kawasan terbabit.
Ketiga-tiga "Adun Lompat" ini juga dijangka akan kehilangann sokongan pengundi disebabkan tindakan mereka yang dilihat lebih kepada kepentingan peribadi, bukannya kerana perbezaan ideologi parti.
Meletakkan Osman dan Jamaluddin sebagai calon juga merupakan satu hal yang tidak kena kerana kedua-dua wakil rakyat itu telah didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah. Jamaluddin memenangai kerusi Behrang pada 8 Mac 2008 dengan majoriti 1,027 undi sementara Osman memenangi kerusi Changkat Jering dengan majoriti 1,102 undi.
Namun, untuk menggugurkan ketiga-tiga "Adun Lompat" ini bererti BN menerima pendirian Pakatan Rakyat bahawa tindakan melompat parti merupakan sesuatu yang haram dan menyalahi perlembagaan.
Pegawai kanan parti itu selanjutnya berkata: "berdasarkan apa yang berlaku hari ini, pendirian BN ialah untuk membawa usul undi tidak percaya dalam dewan. Sebarang pilihan raya, sama ada terhad atau sebaliknya akan merumitkan BN."
Dan punca kerumitan itu ialah apakah yang perlu dilakukan kepada tiga orang "Adun Lompat" Hee, Osman dan Jamaluddin itu?
Saturday, May 23, 2009
MAHKAMAH RAYUAN KETEPIKAN DOKTRIN RAJA BERPERLEMBAGAAN
Alasan YDPA di dalam surat tersebut adalah ahli-ahli Dewan Rakyat khususnya dari Pakatan Rakyat ( PR ) dan beberapa ahli BN yang mula menyokong PR telah berjumpa YDPA di Istana dan menyatakan bahawa mereka tidak lagi yakin dengan Najib dan mahu orang lain sama ada Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang atau Dato Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Surat YDPA juga menyatakan bahawa jika Najib tidak meletak jawatan beliau hendaklah dipecat dari jawatannya sebagai Perdana Menteri.
Najib merengus marah manakala Rosmah berteriak macam orang yang kena histeria. Najib yang masih marah dan berang berkata : “ Macam mana Tuanku dengan sewenang-wenangnya memecat patik sedangkan Parlimen tidak mengadakan apa-apa sidang atau membawa apa-apa usul atau undi tidak percaya kepada patik. Patik tidak nampak mana –mana peruntukkan di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa kepada Tuanku untuk memecat patik sebagai Perdana Menteri. Macam mana patik boleh dengan mudah dipecat dan sebagai ganti dilantik orang lain sebagai Perdana Menteri sedangkan tidak ada sebarang undi tidak percaya diluluskan di Parlimen ke atas patik”.
Keluhan Najib didengar dengan tenang oleh YDPA . YDPA dengan senyum berkata kepada Najib : “ Adakah tuan hamba sudah lupa bahawa pada 22 hb Mei 2009 iaitu pada hari Jumaat jam 3.30 petang di tingkat bawah Palace of Justice, Putrajaya tiga orang Hakim Mahkamah Rayuan iaitu Yang Arif ( Y.A ) Dato Raus Sharif, Y.A Dato Ahmad Maarof dan Y.A Dato’ Zainon Ali telah sebulat suara memutuskan antara lain bahawa
a. Seorang Menteri Besar ( di peringkat Negeri ) atau Perdana Menteri ( PM ) di peringkat Pusat secara tersirat boleh dipecat atau diminta letak jawatan jika Sultan atau YDPA memutuskan bahawa MB atau PM tidak lagi mendapat sokongan majoriti ADUN atau Ahli-Ahli Parlimen.
b. Perkara 16 ( 6 ) Perlembagaan Perak atau Perkara 43 ( 4 ) Perlembagaan Persekutuan tidak menyebut bahawa kaedah bagi menentukan bahawa seorang MB atau PM hilang keyakinan majoriti ADUN atau ahli-ahli Parlimen adalah melalui undi tidak percaya ( votes of no confidence ).
c. Kes Stephen Kalong Ningkan ( 1966 ) iaitu kes yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi di Sarawak yang memutuskan bahawa Governor atau Sultan tidak ada kuasa memecat Ketua Menteri atau MB dan satu-satunya cara menentukan seorang MB atau PM hilang keyakinan ahli-ahli Dewan adalah melalui undi tidak percaya tidak boleh lagi dipakai.
YDPA seterusnya menambah : “ Bukankah keputusan Mahkamah Rayuan tersebut yang tuan hamba inginkan bagi meraih keuntungan politik jangka pendek tuan hamba dan parti tuan hamba. Bukankah tuan hamba yang berkeras tidak mahu mendengar keluhan rakyat dan pemimpin partai komponen tuan hamba sendiri supaya krisis di Perak diselesaikan secara aman dan melalui amalan demokratik iaitu dengan kembali kepada rakyat melalui Pilihanraya semula di Perak. Maaf tuan hamba, Beta terikat dengan keputusan tersebut dan tidak boleh buat apa-apa . Maka Beta dengan ini memerintahkan tuan hamba dan sekeluarga keluar dari rumah rasmi Perdana Menteri kerana tuan hamba bukan lagi Perdana Menteri Malaysia."
Najib tersentak dan lemah segala sendi manakala Rosmah pula terkaku dan jatuh pengsan. Tiba-tiba mereka sedar keputusan Mahkamah Rayuan hari ini kini telah makan diri. Jika keputusan yang paling wajar dan munasabah oleh Y.A Hakim Mahkamah Tinggi iaitu Y.A Dato’ Aziz Abdul Rahim yang memutuskan bahawa satu-satunya cara menentukan seorang MB atau PM hilang keyakinan ahli-ahli Dewan adalah melalui undi tidak percaya sekaligus mengekalkan doktrin Raja Berperlembagaan ( Constitutional Monarchy ) keputusan Mahkamah Rayuan pula ditafsirkan oleh ramai cendikiawan undang-undang telah melahirkan doktrin baru iaitu Raja Mutlak ( Absolute Monarchy ). Jika Raja Berperlembagaan melahirkan kesejahteraan sudah tentu doktrin Raja Mutlak akan melahirkan suasana yang tidak menyenangkan.
Sketsa di atas adalah , bagi saya, cara terbaik untuk memahamkan para pembaca tentang kesan keputusan Mahkamah Rayuan pada hari ini.
Sebagai seorang anggota pasukan peguam Nizar, saya menghormati keputusan Mahkamah Rayuan tersebut. Tapi saya tidak pasti keputusan tersebut akan diterima dengan baik oleh rakyat khususnya rakyat di Perak.
Dalam keadaan keyakinan rakyat kepada institusi kehakiman masih belum pulih sepenuhnya sudah tentu keputusan Mahkamah Rayuan tersebut tidak dapat lari dari cemuhan rakyat. Inilah masalahnya apabila sesebuah institusi dalam sebuah negara sudah hilang keabsahan ( legitimacy ). Di negara ini apabila BN memerintah terlalu lama dan keabsahan parti tersebut dipertikaikan turut sama terpalit adalah institusi keadilan seperti Mahkamah , Peguam Negara dan polis. Apabila rakyat hilang keyakinan kepada sistem keadilan , maka sebarang keputusan Mahkamah apatah lagi keputusan seperti keputusan Mahkamah Rayuan pada hari ini sudah tentu tidak akan mudah diterima sebagai satu keputusan yang adil dan telus.
Sejak dari awal rakyat sudah nampak macam ada sesuatu yang tidak kena kepada cara kes rayuan Zambry dikendalikan. Zambry kalah di Mahkamah Tinggi pada 11/5/2009. Mahkamah Tinggi menolak permohonan Zambry bagi menggantungkan perlaksanaan penghakiman.
Pada 12/5/2009 di sebelah pagi Zambry membuat permohonan bagi menggantungkan perlaksanaan penghakiman. Mahkamah Rayuan menetapkan tarikh pendengaran permohonan Zambry pada pagi hari yang sama . Tarikh pendengaran yang diberikan dengan tergesa-gesa sudah tentu memprejudiskan Nizar dan pasukan peguamnya bagi membuat persiapan yang teliti dan mendalam.
Pada tengah hari 12 hb Mei itu juga Y.A Hakim Dato Ramly membenarkan permohonan Zambry dan perintah diberikan tanpa sebarang syarat.
Nizar membuat permohonan bagi membatalkan perintah penggantungan yang diberikan kepada Zambry. Mulanya permohonan Nizar ditetapkan pada 18/5/2009 tetapi kemudiannya ditangguhkan pada 21/5/2009 iaitu pada hari yang sama rayuan Zambry didengar. Sudah tentu permohonan Nizar tidak lagi relevan untuk didengar atau seperti yang sering dikatakan ianya menjadi akademik.
21 hb Mei rayuan Zambry didengar dengan hujah lisan dan bertulis dikemukakan oleh pihak –pihak secara mendalam . Mahkamah hanya ambil masa satu hari sahaja untuk putuskan. Memang hebat Mahkamah boleh buat keputusan dalam masa satu hari .Tetapi cuba kita bayangkan jika kita menghantar baju untuk dijahit dan tukang jahit siapkan baju kita dalam satu hari- saudara boleh bayangkanlah tahap kualiti baju tersebut .
Suatu yang amat mengharukan kami ( pasukan peguam Nizar ) adalah meskipun Nizar kalah namun sambutan rakyat kepada kami di Mahkamah Rayuan hari ini seolah-olah menunjukkan Nizar yang menang dan bukannnya Zambry.
Untuk rakan pasukan peguam Nizar iaitu Tuan Haji Sulaiman Abdullah, Philip Khoo, Ranjit Singh, Razlan Hadri, Nga Hock Cheh, Chan Kok Keong, Mr .Leong, Edmond Bon, Amir Arshad dan Zulkarnain Lokman ingatlah keputusan hari ini tidak akan mematahkan semangat kita sebaliknya ia memberi semangat baru kepada kita untuk terus berjuang menentang kezaliman dan menegakkan keadilan . Kita jumpa lagi di Mahkamah Persekutuan insya’Allah.
Peguam Hanipa Maidin
DUN Penanti: Hanya 4 layak tanding, satu pencalonan ditolak
Pencalonan Mohd. Saberi Othman, 49, ditolak, demikian diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebentar tadi.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Roslan Yahya mengumumkan status pencalonan pada pukul 11.50 pagi tadi.
Roslan berkata, pencalonan Saberi ditolak kerana tidak cukup syarat.
Beliau tidak mengulas lanjut manakala Saberi pula terus beredar dari kawasan penamaan calon tanpa memberikan sebarang komen.
Setakat pukul 10 pagi tadi, lima orang ada menyerahkan kertas pencalonan masing-masing untuk bertanding kali ini - pilihan raya kecil keenam selepas Mac 2008.
Terdahulu laporan Bernama menyebut, bekas Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Aminah Abdullah, 56, merupakan calon pertama menyerahkan kertas pencalonannya sejurus selepas pusat penamaan calon dibuka pada pukul 9 pagi.
Berbaju kurung putih dan bertudung merah jambu, pencalonan Aminah sebagai calon Bebas itu dicadangkan oleh Yaacob Ali dan disokong Jamaliah Hashim.
Selepas Aminah, Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Mansor Othman, 56, menyerahkan kertas pencalonannya diikuti tiga lagi calon Bebas iaitu ahli perniagaan, Saberi; pengurus syarikat NaiKhan Ari Nai Keow, 41, dan pakar motivasi Kamarul Ramizu Idris, 42.
Pencalonan Mansor dicadangkan oleh Ibrahim Ahmad dan disokong Hasan Othman manakala Mohd Saberi dicadangkan oleh Talib Hamid dan disokong Rohayati Akop.
NaiKhan Ari dan Kamarul Ramizu pula masing-masing dicadang oleh Boon Sisawang Nai Choy dan Norizan Abdul Razak manakala pencalonan mereka disokong oleh masing-masing Nah Lee Boon Yoo dan Nor Halimah Ahmad.
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan peletakan jawatan wakil rakyat kawasan berkenaan, Mohammad Fairus Khairuddin pada 16 April lalu.
Barisan Nasional (BN) tidak bertanding pada pilihan raya kecil ini kerana menganggap pilihan raya itu hanyalah satu permainan politik pembangkang dan bukan disebabkan keperluan mengikut kehendak perlembagaan.
Di kalangan empat layak yang bertanding ini, Mansor merupakan calon yang sudah tiga kali bertanding iaitu pada pilihan raya umum 1999, 2004 dan 2008 di Pulau Pinang tetapi kesemua usahanya gagal.
Dalam pada itu, Kamarul Ramizu pernah bertanding atas tiket Bebas pada pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang bulan lalu.
Bagi Aminah, Saberi dan Nai Khan Ari, pilihan raya kecil DUN Penanti ini merupakan percubaan pertama mereka bertanding pada pilihan raya di negara ini.
Keputusan Tiga Hakim Mahkamah Rayuan dianggap luar biasa
| Tiga hakim Mahkamah Rayuan hanya mengambil lima minit untuk mengumumkan Zambry Kadir dari UMNO adalah Menteri Besar Perak yang sah, dan bukannya Nizar Jamaluddin dari Pakatan Rakyat. Lebih mengejutkan ketiga-tiga hakim berkenaan mengambil pendirian senada bahawa Sultan Perak mempunyai kuasa penuh untuk melantik Zambry tanpa mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri untuk mengambil undi tidak percaya terhadap Nizar. Hakim Md Raus Sharif, Zainun Ali dan Ahmad Maarop tidak memberikan hujah bertulis bagi menyokong keputusan mereka yang mempunyai implikasi mendalam terhadap sistem demokrasi berparlimen di negara ini dan kuasa-kuasa istana sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan. Mengulas keputusan mahkamah itu, peguam Nizar, Sulaiman Abdullah berkata, “negara kita mempunyai hakim-hakim luar biasa dengan kebolehan luar biasa.” Kini Nizar hanya boleh merayu kepada Mahkamah Persekutuan sebagai ruang perundangan terakhir untuk menegakkan mandat rakyat dan perlembagaan negeri Perak. Keputusan Mahkamah Rayuan hari ini tentunya sukar ditelan oleh bukan sahaja penyokong Pakatan Rakyat tetapi juga pendokong demokrasi malah di kalangan peguam sendiri. Presiden Majlis Peguam Malaysia K.Ragunath berkata keputusan mahkamah hari ini seolah-olah meletakkan kuasa-kuasa Sultan sebagai menjangkau parlimen atau dewan undangan negeri. Ragunath berkata Mahkamah Rayuan seolah-olah memberikan Sultan kuasa-kuasa yang menjangkaui daripada apa yang diperuntukan oleh perlembagaan. . Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata keputusan mahkamah tanpa penghujahan bernas adalah mengejutkan dan satu penganiayaan proses keadilan. Namun beliau menjangka keputusan itu akan menjejaskan lagi kredibiliti Perdana Menteri Najib Tun Razak. “Keputusan hari ini hanya membuatkan rakyat lebih marah dan mempercepatkan kejatuhan BN,” kata Kit Siang. Ketua Pemuda Angkatan Keadilan Pemuda Samsul Iskandar menyifatkan keputusan itu “memualkan” dan dipengaruhi oleh tekanan politik. Beliau berkata keputusan tiga hakim itu jelas begitu cetek, tanpa disokong oleh fakta bernas, bukan sebagaimana penghujahan lengkap yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengisytiharkan Nizar sebagai Menteri Besar sah sebelum ini. Pemerhati politik berpandangan bahawa keputusan ini memang sudah dijangka kerana bibit-bibit campurtangan politik ini telah diwar-warkan oleh Perdana Menteri sendiri apabila beliau berkata BN hanya akan menimbang mengadakan pertemuan dengan Pakatan Rakyat bagi mencari penyelesaian krisis politik Perak setelah selesai proses mahkamah. Umumnya penyelesaian politik tidak ada kena-mengenai dengan keputusan mahkamah dan kenyataan Najib itu menimbulkan persepsi beliau sudah tahu hala keputusan Mahkamah Rayuan sebelum membuat kenyataan itu awal minggu ini. |
Friday, May 22, 2009
Adakah wujud unsur diatur dalam keputusan mahkamah?
| Dengan mengemukakan maklumat yang diterimanya sebelum ini, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa mempersoalkan adakah wujud unsur 'pre-arranged' dalam keputusan Mahkamah Rayuan hari ini. Mahkamah rayuan petang ini mengumumkan Datuk Seri Zambry Abd Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah. Keputusan itu membatalkan penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lalu yang mengesahkan kedudukan asal Haji Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar. Menurut Husam, posting beliau dalam blognya tiga hari lalu telah 'meramalkan' Mahkamah Rayuan akan memihak kepada Zambry dan ia menjadi kenyataan hari ini. "Ia sebenarnya bukan ramalan tetapi maklumat. Maklumat selanjutnya ialah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dalam masa terdekat, selepas Mesyuarat Majlis Barisan Nasional (BN) sekali lagi Isnin atau Selasa ini. "Isu di sini ialah, jika maklumat ini terbukti tepat, adakah ujud unsur 'pre-arranged' dalam keputusan ini? "Ia bukan tugas kita semua untuk membuktikannya tetapi ia tugas pihak berkuasa. Sudah tentu kita tidak dapat mengharapkan apa-apa pada hari ini," katanya. Kepada Husam, keputusan mahkamah rayuan hari ini memberi kesan besar. "Baik di Parlimen mahu pun di DUN yang lain, Agong atau Sultan boleh melantik Perdana Menteri atau Menteri Besar yang baru tanpa Perdana Menteri atau Menteri Besar berkenaan terlebih dahulu dilucutkan jawatan mereka melalui usul undi tidak percaya. "Adakah negara kita sudah bersedia menerima hakikat kemungkinan perubahan teraju kepimpinan melalui proses tabung uji di luar rahim iatu Dewan Rakyat atau DUN seperti yang difahami sebelum ini? "Khususnya (Datuk Seri) Najib (Tun Razak), sudahkah bersedia untuk Ahli Dewan Rakyat mengumpulkan senarai bahawa mereka sudah hilang kepercayaan kepada beliau dan Agung boleh dengan itu melantik Perdana Menteri yang baru tanpa proses Dewan Rakyat?" Ahli Exco Kerajaan Kelantan itu seterusnya menyatakan,tiga atau lima atau tujuh hakim yang bersidang, bukan lagi ukuran untuk rakyat yakin dengan integriti dan kebebasan kehakiman kita, melainkan keputusan mereka dilihat wajar. "Apa lagi keputusan Mahkamah ke atas krisis politik, memerlukan lebih ketelitian dan kebebasan". Husam seterusnya "meramalkan" Majlis BN akan bersidang dan kemudian Zambry kononnya bersetuju menyerahkan mandat kepada rakyat dengan mengadap Sultan Perak untuk pembubaran. Memang itu yang dihasratkan oleh Pakatan Rakyat (PR), katanya, "tetapi proses mahkamah yang dianggap tidak selari dengan prinsip keadilan tetap menjadi satu medan yang tidak akan berakhir dengan pembubaran itu kelak |
Zambry MB sah Perak
| kemaskini 3.52pm Mahkamah Rayuan hari ini mengumumkan Datuk Seri Zambry Abd Kadir sebagai menteri besar Perak yang sah. Keputusan itu membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lalu yang mengesahkan kedudukan asal Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin. Panel tiga hakim itu - yang telah mendengar hujah kedua-dua pihak di Putrajaya seharian semalam - sebulat suara menerima rayuan Zambry. Pada 11 Mei lalu, mahkamah tinggi mengumumkan Mohamad Nizar sebagai menteri besar sah setelah digugurkan jawatan tersebut, awal Februari lalu. Hakim Datuk Abdul Aziz Abd Rahim memutuskan bahawa wakil rakyat PAS itu tidak pernah mengosongkan jawatannya itu kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota DUN Perak. Dalam kes ini, Abdul Aziz berkata tiada undi tidak percaya telah diusulkan terhadap Nizar. Tetapi kegembiraan menteri besar Pakatan Rakyat itu tidak kekal apabila Mahkamah Rayuan keesokannya membenarkan permohonan Zambry untuk menangguhkan keputusan mahkamah tersebut. Penangguhan keputusan mahkamah itu diberikan sementara menunggu selesai rayuan berhubung perkara tersebut hari ini. |
MENANTI PENUH DEBAR
Kawalan keselamatan ketat, menanti keputusan Mahkamah Rayuan
| Mahkamah Rayuan hari ini bakal memberi keputusan berhubung rayuan Dato' Seri Dr Zambry Abdul Kadir terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan bahawa Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah. Ketika ini, kawalan keselamatan mula diperketatkan bilamana, orang ramai dan penyokong dilarang untuk menghampiri sekitar ruang depan kamar 3 Mahkamah Rayuan, tempat berlangsungnya perbicaraan. Berlaku kekecohan apabila beberapa media daripada daripada dalam dan luar negara dilarang masuk. Malah Adun Titi Serong Drs Khalil Idham Lim dan Adun BN, Dato' Ahmad Pakeh yang hadir tidak dapat memasuki mahkamah. Kelihatan orang ramai dan penyokong kedua-dua pihak Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional (BN) hampir 200 orang mula memenuhi ruang mahkamah manakala dua buah stesen televisyen Malaysia sedang dalam persiapan membuat lintas langsung, berhubung keputusan yang bakal didengar jam 3.30 petang ini. Keputusan itu bakal dibacakan oleh Hakim Dato' Md Raus Shariff, yang bersidang bersama Hakim Dato' Zainun Ali dan Hakim Dato' Ahmad Maarop berhubung keputusan perintah Mahkamah Tinggi bahawa Mohammad Nizar Jamaluddin daripada PAS adalah Menteri Besar yang sah. Semalam, panel tiga hakim itu mendengar selama tujuh jam penghujahan oleh tiga pihak yang terlibat terdiri Zambry, Mohammad Nizar dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail selaku pencelah. Permohonan Mohammad Nizar agar rayuan itu didengar oleh panel lima hakim telah ditolak. |
Malu kalah PRK, BN dinasihat tidak letak calon
| Bagi mengelakkan Barisan Nasional (BN) dari terus malu dengan siri kekalahan pilihan raya kecil, Pengarah Pilihan raya PAS Pusat, Dato' Mustafa Ali mencadangkan parti itu tidak meletakkan calon dalam pilihan raya kecil di Dewan Undangan Negeri (Dun) Manik Urai nanti. Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Pejabat Agung tengah hari tadi berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Manik Urai, Ismail Yaacob pagi tadi. Mustafa juga berkata, sekalipun BN menyertai pilihan raya kecil itu dan ditakdirkan menang ianya tidak boleh mengubah kerajaan PAS Kelantan. " Oleh kerana senario BN yang kini berfikir soal duit yang tidak ada dan membazir (jika buat pilihan raya). Saya cadangkan Umno tak payah masuk dalam pilihan raya kecil. Saya yakin BN akan kalah. Duit habis, malu lagi," katanya. Jelasnya, PAS akan mengikut perlembagaan yang ditetapkan, dengan meletakkan calon dalam pilihan raya Dun Manik Urai nanti. Allahyarham yang lebih dikenali dengan panggilan Paksu Mail menghembuskan nafas terakhir di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II selepas dirawat sejak 26 April. Seminggu selepas dimasukkan ke wad beliau dipotong sebelah kakinya memandangkan keadaan penyakitnya semakin menular. Beliau menderita penyakit gaot sejak kembali dari Makkah setahun lalu |
ADUN PAS meninggal dunia
| ADUN Manik Urai, Ismail Yaacob meninggal dunia kira-kira subuh hari ini di hospital Kota Bharu dan PAS memanggil satu sidang media di Kuala Lumpur berhubung perkara tersebut. Difahamkan Ismail, 60, dimasukkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II pada 26 April lalu kerana menghadapi masalah di bahagian kakinya sehingga menyebabkan kesihatannya sering kali terganggu. Allahyarham antara ADUN yang paling lama berkhidmat di Kelantan sejak memenanginya pada pilihanraya umum 1986. Kecuali pada 2004, allahyarham sudah lima penggal dipilih mewakili kawasan tersebut. Pengarah pilihanraya PAS Datuk Mustafa Ali dijadual mengadakan satu sidang media di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur jam 11 pagi ini. Keputusan pilihanraya umum 2008 bagi N41 Manik Urai Jumlah pengundi: 12,292 prang Peratusan kaum: Melayu 99.25%, Cina 0.44%, India 26%, Lain-lain 0.02% 1. Ismail Yaacob (PAS) 5,746 2. Mohamed Zulkifli Omar (BN) 4,394 Majoriti: 1,352 Jumlah undi: 10,332 Peratus mengundi: 84.05% Undi rosak: 192 |
Keadilan Islam: Melayu Umno tolak, kaum lain terima
| Ketika orang Melayu dalam Umno memperlekehkan keadilan Islam, sebaliknya orang bukan Melayu pula kini semakin terpesona dengan kesyumulan Islam. Tidakkah ia sesuatu yang ganjil. Namun ia menjadi tidak pelik apabila perjuangan berteras kebendaan berada di hadapan pemimpin Umno sekarang. Pengerusi Kelab Penyokong PAS, Hu Pang Chaw berkata, mungkin sesuatu yang agak jangal apabila orang Melayu dalam Umno kurang berminat bercakap tentang politik Islam. "Tidakkah mereka merasa malu dengan perkembangan yang berlaku sekarang, sedangkan orang bukan Melayu semakin ramai yang berminat mendekati Islam. "Hairan sungguh. Orang Cina, India dan kaum-kaum lain boleh sokong perjuangan Islam tetapi kenapa pemimpin Melayu dari Umno menolak pula," katanya pada satu program di sini, baru-baru ini. Menurutnya orang bukan Melayu tidak takut lagi untuk mendekati perjuangan Islam yang dibawa PAS kerana keadilan pentadbiran di bawah ulama dibuktikan di Kelantan. Katanya, PAS merupakan sebuah parti yang mendokong keadilan kepada semua kaum dan tidak mengutamakan orang Melayu semata-mata. "Islam tidak membeza-bezakan antara bangsa kerana apa yang dinilaikan ialah tahap ketakwaan dan kejujuran seseorang itu. "Sebab itulah konsep sebenarnya yang dimahukan rakyat ialah Satu Islam dan bukannya Satu Malaysia seperti yang menjadi citra kepada Perdana Menteri baru sekarang," katanya. Oleh itu beliau berkeyakinan mesej perjuangan yang dibawa PAS akan terus mendapat sokongan semua pihak kerana keadilan yang diperjuangkan. Beliau yang juga bekas pendidik dan wartawan berkata, di antara perjuangan dibawa pemimpin PAS dan Umno amat jauh berbeza. "Bukankah Islam melarang perbuatan mungkar. Saya menyeru kepada Umno, MIC, MCA kembalilah ke pangkal jalan dengan penuh keinsafan bersama-sama memartabatkan keadilan. "Kemungkaran adalah satu dosa dan balasannya neraka. Jangan sampai terhumbang ke dalam neraka dengan sebab memetingkan periuk nasi semata-mata," katanya. Sementara itu, di PASIR PUTEH, Timbalan Speaker Dun Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim berkata, Umno kini mengharapkan bantuan institusi kerajaan bagi meneruskan kelangsungan hidup parti tersebut. Harapkan bantuan media Katanya, sekarang mereka begitu mengharapkan bantuan media konvensional bagi menggelirukan rakyat terutamanya krisis politik yang berlaku di Perak sekarang. "Umno juga menjadikan undang-undang alat tunggangan mereka. Krisis di Perak sudah cukup membuktikan kepada orang ramai wajah Umno di bawah presiden sekarang. "Tapi peliknya biar pun mereka rempuh undang-undang, hari-hari dalam media, mereka menuduh Pakatan Rakyat tidak menghormati undang-undang. Saya tidak faham teori rimba mana yang dipakai. "Malangnya mereka lupa rakyat tidak bodoh dengan tipu daya mereka," katanya pada majlis ceramah di padang Majlis Daerah Pasir Puteh malam tadi. Hadir sama Adun Titi Serong, Khalil Idham Lim Abdullah, anggota Parlimen Pasir Puteh, Ustaz Mohamad Hussin dan pimpinan PAS kawasan terbabit. Mohd Zaki yang juga Adun Kelaboran berkata, pemimpin Umno terpaksa mencipta pelbagai alasan bagi mengelakkan berdepan dengan hakim sebenar dalam sistem demokrasi iaitu rakyat pada pilihan raya kecil Dun Penanti, 31 Mei ini. "Walaupun tidak bertanding namun proses pilihan raya tetap berjalan. Alasan membazir dan tidak menepati perlembagaan langsung tidak boleh diterima. "Sedangkan penyelewengan wang rakyat yang berlaku di mana-mana oleh pemimpin Umno tidak pernah pula mereka mahu bercakap," katanya. Khalil Idham berkata, krisis politik di Perak sekarang sudah menghampiri krisis perlembagaan yang hanya dapat diselesaikan melalui mahkamah rakyat. |