Wednesday, February 11, 2009

Bukit Gantang bukan Kuala Terengganu, bukan Parit Buntar



 Sedih apabila mendengar berita Hj. Roslan Shahrum Ahli Parlimen Bukit Gantang meninggal dunia. Kali terakhir penulis bertemu Hj. Roslan ialah semasa majlis dialog rakyat di kampung penulis. Dialog rakyat ini adalah ikhtiar Hj. Roslan menyelami masalah penduduk di Bukit Gantang.


Hj. Roslan adalah seorang pemimpin yang lemah lembut dan mudah mesra. Allahyarham pernah bertanding kerusi Parlimen Bukit Gantang semasa pilihanraya umum tahun 1999. Walaupun tewas, Allahyarham tetap turun ke Bukit Gantang memberikan khidmat perubatan Syifa' kepada penduduk.

Allahyarham sekali lagi bertanding kerusi ini semasa pilihanraya umum ke 12 dan kali ini menang dengan majoriti 1566 kalahkan Azim Zabidi Bendahari umno Malaysia.

Allahyarham menubuhkan One Stop Centre yang melibatkan Ahli Parlimen, Adun-Adun dalam Parlimen Bukit Gantang bersama Ketua-Ketua Kampung bagi menyelesaikan masalah penduduk. Penulis ada mengambil idea ini dan mencadangkannya dilaksanakan di Parit Buntar.

Bukit Gantang akan menjadi tumpuan rakyat Malaysia berikutan pilihanraya kecil tidak lama lagi. Kawasan ini pernah ada pilihanraya kecil iaitu DUN Changkat Jering bila Dato' Razlan meninggal dunia. Cikgu Mat Isa calon umno/BN telah tewaskan Ust. Idris Ahmad calon PAS dalam pilihanraya kecil itu.

Ramai yang meramalkan Pakatan Rakyat akan mendapat kemenangan besar dalam pilihanraya kecil ini. Momentumnya sama macam PRK Permatang Pauh dan PRK Kuala Terengganu.

Tapi penulis, tidak menjangkakan sebegitu. Bukit Gantang adalah kubu umno yang tidak pernah dimenangi PAS sehingga PRU ke 12. Tidak sama dengan Permatang Pauh yang merupakan kubu PKR.

Dalam PRU Ke 12, Kuala Terenganu PAS telah menang lebih 2000 undi jika digabung undi PR bagi Dun-Dun dalam Kuala Terengganu. Cuma untuk undi Parlimen Abang Mat Sabu tewas disebabkan faktor calon luar. Maksudnya, Kuala Terengganu boleh dikatakan kubu PAS.

Bukit Gantang juga tak sama dengan Parit Buntar. Dr. Mujahid menang di Parit Buntar majoriti 7551 berbanding 1566 di Bukit Gantang. Walaupun, peratus pengundi mengikut kaum tidak
banyak bezanya.

Pengundi Melayu di Parit Buntar ialah 66.76% berbanding Bukit Gantang 63.48%. Pengundi Cina di Parit Buntar 28.06% berbanding Bukit Gantang 26.77%. Pengundi India di Parit Buntar ialah 5.14% berbanding Bukit Gantang 9.71%.

Mengapakah majoriti di Parit Buntar tinggi?. Pertama, Parit Buntar adalah kubu PAS. Hampir 80% kampung-kampung di Parit Buntar adalah kampung orang PAS. Kekalahan PAS di Parit Buntar sebelum PRU ke 12, disebabkan pengundi bukan Melayu menyokong BN.

Berbeza di Bukit Gantang, Kampung orang PAS dianggarkan tidak mencapai 60%. Pengundi PAS banyak di gugusan Bukit Gantang seperti Changkat Ibul, Sg. Petai, Kg. Senduk, Kg. Cheh dan beberapa kampung berdekatan gugusan itu. Selain itu, Kuala Trong di DUN Trong dan Matang Gelugur dalam DUN Sepetang. Malah, kawasan Markas Tarbiah PAS Perak di Air Kuning juga bukan kubu PAS.

Kedua, pengundi bukan Melayu di Parit Buntar memberi undi yang lebih tinggi kepada PAS berbanding di Bukit Gantang. Pengundi Cina di Bukit Gantang terdapat di Kuala Sepetang (Port Weld), Simpang, Pasir Hitam dan Kuala Sangga di Trong. Sepatutnya undi bukan Melayu kepada PAS di Bukit Gantang lebih tinggi berbanding Parit Buntar kerana peratus pengundi bukan Melayu di Bukit Gantang lebih tinggi dari Parit Buntar terutama pengundi India.

Semasa PRK Kuala Terengganu, Jentera Pilihanraya (JPN) PAS Terengganu telah berjaya mengerakkan kempen dengan berkesan sekali. Pengalaman JPN Terengganu dalam menghadapi pilihanraya tidak boleh disangkal.

Pengalaman Cikgu Pa, Wan Mutalib Embong, Arifin Deraman dan ramai lagi berjaya digarap untuk menghasilkan gerakan kempen tersusun dan berjaya. Adakah JPN Perak mempunyai kebolehan seperti JPN Terengganu?.

Penulis yakin pimpinan PAS Perak dapat mengerakkan jentera PAS semua peringkat. Kejayaan menganjurkan Muktamar PAS Pusat membuktikan kemampuan pimpinan PAS Perak.

Penulis berpandangan PAS boleh mencapai kemenangan di Bukit Gantang dengan mengekalkan undi Melayu serta menambah sebanyak mungkin undi bukan Melayu. Kenapa begitu?, kerana kawasan ini merupakan kubu umno dan isu rampasan kuasa di Perak menimbulkan kemarahan bukan Melayu kepada BN.

Faktor calon penting dalam PRK berbanding PRU. Penulis sependapat dengan Tok Guru Nik Aziz, Hj. Nizar perlu tumpukan sebagai MB Perak. Jadi, siapa calon yang paling layak?

Calon tempatan yang penulis rasa akan dicalonkan ialah anak Tok Guru Haji Ahmad Sg. Petai iaitu Ust. Idris Ahmad AJK PAS Pusat dan Prof. Madya Ust. Salleh Ahmad bekas Pensyarah.

Calon negeri Ust. Ahmad Awang Pesuruhjaya PAS Perak, Haji Asmuni Awi Timb. Pesuruhjaya dan Dr. Khairuddin Dato' Abdul Malik Bendahari PAS Perak.

Calon nasional tidak lain tidak bukan Abang Mat Sabu. Penulis lebih berharap Abang Mat Sabu dipilih kerana aura Abang Mat lebih kuat, tak perlu diperkenalkan lagi. Abang Mat juga senang diterima pengundi bukan Melayu. Bukit Gantang juga bukan Kuala Terengganu, tiada faktor calor luar.

Jika Abang Mat tak dipilih, calon yang lebih layak ialah Dr. Khairuddin kerana beliau seorang profesional yang mudah diterima pengundi Melayu dan bukan Melayu. Ust. Idris dan Ust. Salleh layak kerana anak tempatan tapi bukan untuk pilihanraya kecil ini. Faktor kecenderungan pengundi kepada calon perlu diambil kira.

Penulis tidak pun berharap cadangan dan pandangan ini diterima. Cuma pandangan ikhlas kerana bimbang kita terlalu yakin PR akan menang di Bukit Gantang, sedangkan Bukit Gantang tidak sama dengan Kuala Terengganu dan tak serupa seperti Parit Buntar.

Penting sekali kita berusaha bersungguh-sungguh berkempen kepada setiap rumah dan setiap pengundi di Bukit Gantang.

Monday, February 9, 2009

Sah Arumugam letak jawatan Adun


ALOR SETAR, 9 Feb (Hrkh) - Terkini jam 9.10 malam tadi, V arumugam telah meletakkan jawatan Adun Bukit Selambau setelah dimaklumkan meletakkan jawatan sebagai Exco Kedah petang tadi.

Demikian dilaporkan wartawan Harakah Kedah Izwan Abdul Halim kepada Harakahdaily yang kini berada di sidang media Menteri Besar Kedah Dato' Seri Azizan Abdul Razak yang memaklumkan isu tersebut.

Beliau dipercayai melakukan demikian akibat tekanan dan tuduhan yang diterima oleh beliau dan keluarganya yang dikaitkan dengan skandal moral.- azm

Bukit Gantang bakal nilai penerimaan rakyat

FEB 9 – Nampaknya apa yang dihajati para pemimpin Pakatan Rakyat di Perak untuk menilai sokongan rakyat negeri itu kepada mereka menjadi kenyataan apabila anggota Parlimen Pas Bukit Gantang, Roslan Shaharum meninggal hari ini.

Roslan dikatakan meninggal akibat komplikasi jantung selepas jatuh dari shayang dinaikinya hari ini.

Menurut maklumat, Roslan keluar dari rumahnya dengan bebasikal tanpa membawa talipon bimbit pagi ini dan terjatuh semasa mengayuh basil berdekatan dengan stesen minyak Petronas di Pekan Batu Gajah.

Dengan kematian ini, satu pilihan raya kecil terpaksa diadakan. Adalah dipercayai Speaker Dewan Rakyat secara rasmi akan memaklumkan kepada SPR berlaku kekosongan di kerusi Parlimen Bukit Gantang itu dan dalam masa 60 hari SPR dijangka akan mengadakan pilihan raya kecil.

Di Kedah, jika perletakan jawatan Adun PKR Bukit Selambau yang juga Exco kerajaan negeri, V Arumugan diterima, maka satu pilihan raya kecil juga terpaksa diadakan.

Namun sehingga kini, beliau hanya membuat pengumuman di media sahaja ekoran tekanan kuat terhadapanya. Arumugan masih belum menyerahkan surat itu kepada PKR ataupun kepada Dewan Undangan Negeri.

Namun menurut sumber PKR, beliau menerima tekanan hebat dengan pelbagai cara agar meninggalkan PKR dan menyertai BN namun situasi beliau agak sukar untuk membuatkannya menyertai BN.

Ini kerana, kebanyakan penyokong beliau yang berada di estet dan berpegang kepada prinsip makkal sakhti tidak akan mengizinkan perkara itu berlaku bahkan akan mengancam nyawa beliau jika menyertai BN.

Untuk itu, beliau dinasihatkan bercuti untuk mengelakkan tekanan itu.

Dengan kematian Roslan bermakna pilihan raya kecil akan berlaku di Perak. Ini juga bermakna, rakyat di Perak berpeluang untuk menghantar mesej mereka samada kerajaan Perak yang baru dibentuk diterima oleh mereka ataupun tidak.

Sebelum ini, ketika dua Adunnya hilang (Behrang dan Changkat Jering), kerajaan negeri Perak di bawah Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin, melalui Speaker telah memohon kepada SPR agar diadakan satu pilihan raya kecil.

Apabila sah kedua-duanya mahu menyokong BN dan ditambah seorang lagi Adunnya dari DAP keluar dari pakatan itu, Pakatan Rakyat telah memohon agar Dun Perak dibubarkan untuk membolehkan satu pilihan raya kecil diadakan.

Namun Sultan Perak telah mengambil sikap untuk tidak membubarkan Dun tetapi menyerahkan kuasa kepada BN untuk membentuk kerajaan baru.

Episod di atas menampakkan kesediaan Pakatan Perak untuk menghadapi pilihan raya. Kini, dengan takdir Allah anggota Parlimennya meninggal dunia dan pilihan raya kecil akan diadakan.

Walaupun Roslan menang dengan undi yang memberangsangkan di Bukit Gantang iaitu dengan majoriti 1,566 undi dalam pilihan raya umum lalu, Pakatan khasnya Pas tidak boleh mengambil mudah perkara ini.

Ini kerana, ketika mereka mahu menunjukkan rakyat Perak menyokong mereka, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memimpin BN Perak kini akan berbuat apa saja untuk memastikan BN menang kali ini.

Ini kerana, kemenangan bermakna sokongan untuk kerajaan negeri yang beliau bentuk dan kekalahan bermakna penolakan rakyat Perak terhadap kerjabuat beliau itu.

Kalau dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu ramai menolak ia adalah referandum untuk Najib, namun di Bukit Gantang, ia tidak boleh ditolak lagi.

Saya percaya, Dr Mahathir pun sukar untuk mengatakan ia bukan satu penilaian untuk Najib dan kerajaan baru Perak yang dibentuknya, walaupun di Kuala Terengganu dia masih lagi mengaitkan pilihan raya itu dengan Datuk Seri Abdullah dan bukan penilaian terhadap Najib sebagaimana yang dianggap oleh banyak pihak lain.

Melihat kepada cara Najib mengendalikan hal di Perak ini, BN khasnya beliau sendiri nampaknya sangat fobia dengan pilihan raya selepas menghadapi kekalahan di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu. Sebab itulah, BN sekali-kali akan mengelak dari menghadapi pilihan raya.

Ini kerana, suasana yang ada di Perak sekarang benar-benar memihak kepada Pakatan Rakyat. Walaupun berlaku sedikit kesusahan ekoran kenyataan Karpal Singh yang meminta Anwar berundur dari memimpin Pakatan, namun di akar umbi sokongan kepada Anwar dan Pakatan makin kuat.

Seorang rakan saya yang membuat tinjauan ke Perak merumuskan perkara berikut:-

Di pihak Pakatan, hujjah mereka adalah:-

1) Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin "tidak derhaka" dan Menteri Besar Pakatan Rakyat itu hanya mengikut undang-undang tubuh negeri.

2) Nizar masih lagi Menteri Besar Perak yang sah

3) Cara pembentukan kerajaan baru di Perak telah menimbulkan persoalan dan seterusnya mengenai kesahihan kerajaan negeri yang baru itu.

4)Hanya pilihan raya bebas dan adil akan dapat menyelesaikan ketidaktentuan politik di negeri Perak.

5) Pakatan Rakyat menyifatkan tindakan mengosongkan pejabat rasmi menteri besarnya sebagai "rampasan kuasa yang biadap."

6) Ekoran itu, pelbagai reaksi sedang ditunjukkan oleh rakyat sebagai reaksi spontan kepada krisis di Perak ini. Reaksi tersebut adalah untuk meluahkan rasa tidak puas hati terhadap penyalahgunaan kuasa oleh Barisan Nasional.

Di pihak BN pula, media mereka terus dengan pendekatan berikut:-

1) Nizar ingkar titah Sultan.

2) Beliau telah menderhaka padahal dia hanya melaksanakan keputusan partinya iaitu Pas dan Pakatan.

3) Dia juga difitnahkan hendak menyaman sultan padahal yang menyaman adalah Karpal Singh.

4) Dia juga didakwa menganjurkan perhimpunan haram padahal yang berlaku adalah ekoran kemarahan rakyat terhadap apa yang berlaku.

5) Sultan juga didesak menarik balik gelaran Datuk Serinya.

Dalam situasi inilah pilihan raya kecil Bukit Gantang akan diadakan. Pilihan raya ini bermakna satu referandum diadakan untuk menilai penerimaan rakyat terhadap kerajaan BN yang baru mengambil alih kerajaan negeri Perak ini

Ahli Parlimen Bukit Gantang meninggal dunia


Ahli Parlimen Bukit Gantang, Haji Roslan Shaharum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 12.00 tengah hari tadi ketika dalam perjalanan ke Hospital Batu Gajah.

Beliau yang tinggal di Changkat Larang, Batu Gajah menghadapi masalah kesihatan sekembalinya daripada luar negara, demikian menurut Pegawai Khas beliau, Shaharudin Ahmad Sani kepada Harakahdaily sebentar tadi.

Shaharudin mengendalikan Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Bukit Gantang di Markas PAS Air Kuning, Taiping.

Parlimen Bukit Gantang mempunyai tiga DUN iaitu Changkat Jering, Titi Serong dan Sepetang.

"Dalam lawatan beliau ke Taiwan sebelum ini, beliau pernah dimasukkan ke hospital Taiwan atas masalah gula yang tinggi.

"Apa-apa maklumat terkini saya akan sampaikan," kata Shaharudin ketika dihubungi semasa dalam perjalanannya ke Batu Gajah.

Difahamkan wakil rakyat berusia 50 tahun itu dikatakan telah menghantar keretanya ke sebuah pusat cucian kereta berhampiran rumahnya di Changkat Lalang dekat Batu Gajah.

Kemudian, selepas mengadu sakit dada beliau meminjam basikal milik pekerja pusat tersebut untuk ke farmasi bagi mendapatkan ubat.

Roslan, 50, ditemui terjatuh di bahu jalan oleh ramai kira-kira pukul 11.15 pagi, kata Ketua Polis Batu Gajah, ACP Najib Mohamad.

Dalam pada itu, Menteri Besar Perak, Dato' Seri Nizar Jamaluddin memberitahu kira-kira pukul 1.20 tengah hari bahawa jenazah berada di Hospital Batu Gajah.

Roslan pernah berkhidmat sebagai Pengarah Sumber Tenaga Manusia dan Pentadbiran di Perbadanan Kemajuan Negeri Perak dan pernah juga berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Putra Malaysia, Universiti Terbuka Malaysia dan Universiti Teknologi Mara di Perak.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Safiah Harun dan mempunyai 11 orang anak.

Malam tadi difahamkan semasa perhimpunan rakyat di kediaman rasmi Menteri Besar Perak, Allahyarham kelihatan seperti biasa, bergurau berjenaka bersama rakan-rakan yang lain. Beliau yang juga pengamal pengubatan Syifaq amat disenangi oleh kawan dan lawan kata seorang kenalan.

Jenazah Allahyarham dijangka akan dibawa ke rumahnya di Kampung Changkat Larang, Pengkalan Pegoh.

Pada pilihan raya unmum ke-12 8 Mac lalu, Roslan memenangi kerusi itu dengan majoriti 1,566 undi.Allahyarham memperoleh 20,015 undi manakala calon BN, Abdul Azim Mohd Zabidi (Umno) menerima 18,449 dan calon Bebas, M. Morgan mendapat 872 undi.

Sunday, February 8, 2009

Nizar MB Perak - Tengku Razaleigh

Abdul Aziz Mustafa
Sun | Feb 08, 09 | 12:23:51 am MYT

KUALA LUMPUR, 8 Feb (Hrkh) - Sambil menyifatkan kejadian di Perak memalukan, bagi veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah, Menteri Besar Perak ialah Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin.

"Menurut Perlembagaan, Datuk Seri Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar sehinggalah beliau meletak jawatan secara sukarela, atau dijatuhkan melalui undi tidak percaya di dalam sidang Dewan (Undangan Negeri) yang rasmi.

"Perlembagaan tidak membuat sebarang peruntukan untuk membolehkan beliau dijatuhkan dengan sebarang cara lain,termasuk petisyen atau arahan dari manmana pihak berkuasa yang lain," tegas Ahli Parlimen Gua Musang itu.

Tengku Razaleigh juga menekankan bahawa usaha menjatuh atau menubuhkan sesebuah kerajaan dengan apa jua cara lain dianggap pencabulan Perlembagaan Malaysia, penghakisan kedaulatan undang-undang dan menghadapi risiko menubuhkan kerajaan haram (kenyataan penuhnya di sini).

Ketika ditemui wartawan selepas mesyuarat khas Exconya, Mohammad Nizar memberitahu, Pakatan Rakyat menyerahkan kepada mahkamah untuk menentukan sama ada kerajaan negeri yang ada sekarang sah atau sebaliknya.

"Jadi kita serah sebulat-bulatnya kepada mahkamah untuk menentukan. Kalau mereka teruskan (angkat sumpah exco kerajaan negeri Barisan Nasional) sebelum mahkamah bersidang, maknanya kita akan ada dua menteri besar dan dua kerajaan.

"Belum pernah ada dalam dunia begini," katanya kepada pemberita di kediaman rasmi Menteri Besar Perak di Ipoh tengah hari semalam.

Beliau mengulas kerumitan yang bakal timbul sekiranya majlis angkat sumpah barisan exco kerajaan negeri BN dilangsungkan Selasa ini selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir selamat mengangkat sumpah di Istana Iskandariah sebagai menteri besar baru Jumaat lalu.

Mengulas mengenai mesyuarat khas exco yang dijalankan tanpa mengadap Sultan Perak sebagaimana kebiasaan mesyuarat exco, Nizar berkata, perkara itu "dibolehkan" kerana itu mesyuarat khas.

Lidah tak bertulang

FEB 7 — Dengan lompatan dua bekas exco Parti Keadilan Rakyat yang sedang menghadapi tuduhan rasuah, seorang Ahli Dewan Undangan Negeri yang keluar masuk Umno dalam masa 10 hari dan seorang timbalan speaker yang keluar DAP kerana marah tidak diberi jawatan exco serta tidak mendapat kereta rasmi Toyota Camry 2.4, maka kerajaan negeri Barisan Nasional kini mengambil alih pentadbiran Perak tanpa mandat rakyat.

Kerajaan negeri yang 90 peratus dikuasai oleh Umno dengan dua wakil kaum Cina akan memerintah Perak dengan majoriti tiga kerusi yang diwakili "Adun bebas yang menyokong BN". Setakat ini BN dan Pakatan Rakyat masing-masing mempunyai 28 kerusi dalam DUN yang berjumlah 59 kerusi. Setakat ini juga Pakatan enggan mengiktiraf kerajaan negeri yang disifatkan sebagai "haram" oleh Mursyidul Am Pas Datuk Nik Aziz Nik Mat kerana merampas kuasa secara tidak demokratik.

Kes rasuah dua bekas exco PKR, iaitu Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Insan, dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Kapten (B) Mohd Osman Jailu dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak Jamaludin Mohd. Radzi akan didengar di Mahkamah Sesyen pada Selasa ini. Mereka dituduh terbabit dalam kes mempercepatkan kelulusan permohonan membangunkan tanah di Seri Iskandar, Ipoh di Perak.

Apabila kes rasuah itu dibongkar tahun lalu, Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin telah mendesak kerajaan negeri Pakatan pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin supaya menggantung kedua-dua exco itu.

Khairy yang juga salah seorang calon Ketua Pemuda Umno yang akan ditentukan dalam pemilihan di Perhimpunan Agung Umno bulan depan telah dipetik oleh media massa pada September tahun lalu sebagai berkata: "Bagi saya, pakatan pembangkang di Perak sebenarnya sedang bermasalah. Saya telah mendesak agar dua Exco daripada Parti Keadilan Rakyat itu digantung tugas setelah didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah tetapi sampai sekarang tiada apa-apa tindakan."

Tidak habis cerita rasuah pemimpin politik negeri Perak, timbul pula kisah lompat-melompat parti. Adun Bota Datuk Nasarudin Hashim yang memulakan langkah pertama dengan meninggalkan Umno pada Januari lalu untuk melompat menyertai PKR (sebelum melompat semua kepada Umno 10 hari kemudian).

Maka teramat marah Ketua Penerangan Umno Johor Dr Mohd Puad Zarkashi yang menganggap lompat-melompat di kalangan wakil rakyat sebagai perbuatan khianat kepada pengundi yang akan mencemarkan imej negara.

"Saya sedia memperjuangkan penggubalan undang-undang (anti-lompat) di Parlimen. Saya terdorong untuk berbuat demikian kerana saya juga adalah antara Ahli Parlimen yang cuba dipengaruhi oleh (Ketua Umum PKR Datuk Seri) Anwar Ibrahim," katanya kepada salah sebuah akhbar milik Umno yang disiarkan pada 27 Januari lalu.

Beberapa hari kemudian beliau mengulangi pendiriannya yang turut menyifatkan pemimpin Umno yang melompat parti sebagai individu yang tidak ada nilai kemanusiaan, tidak bermaruah dan seperti seekor katak.

"Mereka juga seperti penjenayah kerana mengkhianati kepercayaan yang diberikan pengundi sedangkan kerusi yang dimenanginya pada pilihan raya lalu atas tiket BN," ujarnya.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang juga Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan pula menyifatkan Nasarudin yang melompat menyertai PKR sebagai telah mencemarkan proses demokrasi yang diamalkan di Malaysia.

"Kepercayaan orang yang mengundi dia, bukan kerana diri dia sendiri, tetapi kerana kapasiti dia dalam parti yang diwakilinya yang menyebabkan dia menang. Manusia bukan seperti barangan yang boleh dijual beli," katanya di Kota Kinabalu pada bulan lalu.

Seorang lagi Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Dr Rais Yatim yang juga Menteri Luar mahu Nasarudin yang menang atas tiket BN meletak jawatan kerana ia melibatkan soal kepercayaan rakyat kepada calon pilihan mereka.

Pada masa itu beliau mendesak wakil rakyat yang melompat parti supaya mengosongkan kerusi yang dimenanginya.

Malah pemimpin parti yang mereka sayangi Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pun turut mengutuk pemimpin Umno yang melompat parti dengan menyifatkan mereka sebagai orang yang gagal dalam perjuangan parti dan bangsa.

"Orang yang melompat parti pada saya dia telah mengenepikan perjuangan. Kalau orang kuat perjuangan , dia akan menghadapi apa juga keadaan. Orang yang begini memang lemah, satu contoh bukti kelemahan dan kegagalan dalam perjuangan," katanya.

Tetapi tak sampai seminggu kemudian, suara-suara garang anti-lompat dalam Umno lenyap sama sekali. Mungkin bagi mereka, apa payahnya jika sekadar menggoyang lidah yang tak bertulang.

Perdana Menteri pun mengubah nada apabila Nasarudin dan Adun-Adun pihak lawan pula yang melompat menyertai Umno (walaupun sebagai "Adun bebas yang menyokong BN"). Kini Abdullah menasihatkan Pakatan Rakyat supaya, "Terima sajalah. Dulu semasa pilihan raya yang lepas parti pembangkang telah menang, (kita dapat terimanya)," katanya kepada pemberita di Slim River, Perak pada Khamis lalu.

Malah, beliau memberi tafsiran untuk menghalalkan lompat parti itu dengan menyatakan bahawa: "Saya percaya ini bukan sesuatu yang akan dibantah, yang penting kita mahu kerajaan yang akan dibentuk itu mengikut undang-undang dan menjalankan pentadbiran dengan penuh tanggung-jawab serta memberi khidmat kepada rakyat." Berpuluh ribu rakyat Malaysia berkumpul di Kuala Kangsar, Perak semalam untuk membantah majlis angkat sumpah Menteri Besar BN.

Ketua Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula dengan bangga menyifatkan rampasan kuasa di Perak melalui lompatan itu sebagai kejayaan BN.

Menteri Pelajaran itu yang bertanggungjawab mendidik kira-kira 6 juta pelajar sekolah di Malaysia menganggap kejayaan BN di Perak sebagai bukti "keyakinan anggota Umno terhadap perjuangan parti yang tidak pernah luntur walaupun tewas dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh dan Kuala Terengganu baru-baru ini".

Datuk Seri Najib Razak pula sebagai bakal Perdana Menteri sememangnya bangga dengan kejayaan Umno itu kerana ia menebus kembali kekalahan dalam pertandingan secara sah di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu. Kejayaan ini mencerminkan betapa cemerlang, gemilang dan terbilangnya Umno dan BN dalam soal membeli wakil rakyat, menggunakan segala aparatus milik negara dan mengetepikan mandat rakyat semata-mata untuk menang.

Yang tidak kedengaran lagi ialah soal mahu mengharamkan lompat-melompat yang sebelum ini dikatakan oleh pemimpin BN sebagai pengkhianatan terhadap rakyat dan jenayah yang mencemari politik negara.

Saturday, February 7, 2009

Nizar derhaka atau Sultan yang abaikan rakyat!!!!

 Budaya Melayu menghormati Raja seperti dalam Sejarah Melayu adalah jauh menyimpang dari budaya Islam. Titah Raja dijunjung , titah sendiri dikelek satu pepatah yang jelas berlawanan dengan Islam.

Apakah asal usul Sistem beraja dan adalah mereka jauh lebih mulia daripada rakyat, berperkerti tinggi, menjaga kebajikan rakyat, serta perlu ditaati seperti zaman Tun Ali (Seluruh keluarga Tun Kudu dibunuh kerana fitnah derhaka) serta memiliki “TULAH” yang mampu menjadi golongan derhaka terkena sumpahan ataupun dilaknat.



Apakah juga raja jauh lebih mulia berbanding peraturan serta amalan Islam. Wajarkah mereka disembah membuta tuli bahkan lebih ditaati serta diikuti dari ajaran Nabi Muhammad SAW.

Sistem beraja adalah warisan dari ajaran hindu yang mana terdapatnya kasta serta kelompok tertentu iaitu Raja, Brahman, Kesatria serta Paria. Diketika juga rakyat akan menyembah raja hatta seluruh nyawa adalah taruhan untuk memperhambakan diri kepada raja. Raja berkuasa mutlak bahkan mengadap raja sahaja perlu menyembah hina, membongkok, mengesut, berguling hatta ada yang meletakkan nyawa dihadapan raja adalah taruhan sekiranya raja murka. Namun demikian, kedatangan Islam memberi nafas baru dalam hubungan raja dan rakyat. Ketaatan kepada raja wajar diterjemahkan dalam peraturan Islam bahkan adab untuk tunduk kepada raja tidak boleh melebihi kedudukan rukuk dalam sembahyang. Adakah Islam sahaja yang mengajar demikian sedangkan ajaran sebenar dari ALLAH SWT bermula sejak Adam lagi. Justeru ajaran Islam telah wujud dengan mengesakan ALLAH bukannya menyembah manusia seperti yang disesatkan oleh Syaitan Laknatullah...

Adakah kini rakyat bawahan selain dari golongan elit UMNO tergolong dalam golongan paria dalam konteks hubungan Raja dan rakyat??? Raja tidak akan wujud atau hidup tanpa rakyat tetapi rakyat tetap ada walaupun tiada raja. Kenapakah British dalam tanah jajahannya mengekalkan sistem beraja kerana mereka juga taat dan hormatkan raja melayu??? Jawapannya ialah British mahukan sistem beraja disebabkan senang untuk ditunggangi hanya dengan menyogok raja maka seluruh hak dan milik raja memjadi hak British. Bahkan sejarah Perak yang menjulang Datuk Maharaja Lela membunuh Birch adalah perjuangan yang berlaku kerana rajanya tidak memiliki keberanian atau bersikap dua muka.

Apa yang berlaku di Perak bakal menjadi lambang kejatuhan sistem beraja yang kini dijulang melebihi ajaran Islam itu sendiri. Elaun kerabat yang bermula RM 500.00 sebulan hatta mencecah RM 70,000.00 sebulan ( Perbelanjaan Tahunan mencecah jutaan) adalah sama sekali bertentangan dengan Islam kerana keturunan Nabi Muhammad SAW perlu berkerja untuk mendapat wang sejak zaman Rasulllah hingga sekarang. Apakah darah kerabat adalah mulia mengakibatkan mereka tidak perlu bekerja hanya kerana kebetulan keturunan yang mulia... Apakah beza mereka dengan manusia lain yang cacat terpaksa merayu dan merangkak untuk untuk mendapatkan sesuap nasi???


Justeru , ketaatan kepada raja akan menjadi syirik seandainya bercanggah atau bertentangan dengan ajaran Islam......BACA DULU SISTEM RAJA BERPELEMBAGAAN, raja adalah hanya ibarat amalan bacaan doa dalam sesuatu upacara majlis .....

"

Nizar tidak derhaka - Nik Aziz


KOTA BHARU 6 Feb. - Tindakan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin mencabar keputusan Sultan Perak dalam penyelesaian kemelut politik di negeri itu bukan suatu bentuk penderhakaan.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, atas nama Islam, setiap manusia adalah sama di sisi Tuhan dan mereka bertanggungjawab terhadap apa yang dilakukan di akhirat kelak.

"Ini bukan soal Melayu (menderhaka) tetapi dalam Islam, raja atau rakyat, orang bandar, orang kampung, tak kira raja, tok guru, setaraf semuanya dan mereka bertanggungjawab kepada Allah di akhirat kelak,'' katanya.

Terdahulu, dalam kuliah mingguannya di sini pagi ini, beliau menegaskan, Pas tidak mengiktiraf kerajaan baru Perak yang dibentuk oleh BN dengan anggapan ia adalah kerajaan haram.

Katanya, ini berasaskan kerajaan itu muncul dengan tiba-tiba mengambil alih kerajaan yang sah setelah dipilih oleh rakyat melalui proses pilihan raya lalu.

Menurut Nik Abdul Aziz, beliau tidak kisah jika sesiapa hendak lompat parti disebabkan rasa tidak puas hati tetapi menimbulkan persoalan apabila mereka hilang dan muncul dengan tiba-tiba.

"Saya berharap apa yang berlaku di Perak tidak akan berjangkit ke Kelantan atau negeri-negeri lain. Sekiranya hendak tubuh kerajaan, hendaklah dipilih oleh rakyat, bukannya main 'tangkap' saja seseorang itu," katanya.

Friday, February 6, 2009

Menang secupak, rugi segantang

FEB 6 — Ketika para pemimpin Barisan Nasional (BN) yang diketuai Datuk Seri Najib Razak berkonvoi ke Istana Bukit Chandan di Kuala Kangsar, polis melepaskan berpuluh-puluh das tembakan gas pemedih mata bagi menyuraikan mereka yang berkumpul di perkarangan masjid Ubudiah.

Kesannya, orang ramai lari bertempiaran setelah gas pemedih mata berkepul-kepul asapnya di sekitar masjid Ubudiah yang. Kebanyakan mereka lari dan berlindung di dalam masjid yang terkenal itu.

Ada antara mereka melawan kembali dengan membalingkan botol air mineral dan batu ke arah polis. Mereka yang dikejar lari bertempiaran tetapi selepas itu mereka berkumpul kembali.

Sambil mengawal penunjuk perasaan, polis juga terpaksa mengawal lalulintas bagi membolehkan konvoi Najib melepasi beribu-ribu kenderaan yang berada di atas jalan raya menuju istana.

Inilah kesannya apabila keputusan kontroversi dibuat untuk menobatkan Datuk Dr Zambry Abdul Kadir, bekas tahanan ISA bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Besar baru kerajaan negeri Perak.

Keputusan ini dikatakan kontroversi kerana Menteri Besar Perak dari Pakatan Rakyat, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaludin masih ada disitu. Walaupun diperintahkan meletakkan jawatan bersama para Exconya, beliau memohon derhaka iaitu menolak titah Sultan Perak itu.

Dia berbuat demikian kerana merasakan dia tidak berhak dipecat sebegitu rupa. Inilah juga keputusan semua pemimpin beliau dari Pakatan Rakyat. Bagi Nizar, dia boleh meletakkan jawatan tetapi biarlah melalui undang-undang yang jelas bukan pakai titah begitu sahaja.

Menurut Tun Mohamad Salleh Abas, bekas Ketua Hakim Negara, jalan yang betul untuk menabalkan menteri besar baru adalah dengan menjatuhkan dulu menteri besar yang ada melalui undi tidak percaya di dalam sidang Dewan Undangan Negeri.

Setelah jatuh dan kumpulan yang baru mendapat undi percaya barulah dia sah untuk mendapat perkenan Sultan dan dilantik sebagai menteri besar.

Pandangan Tun Salleh sentiasa begitu walaupun ketika ura-ura Pakatan Rakyat pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu mengambil alih kerajaan Pusat 16 September lalu. Atas dasar pandangan inilah, Anwar dan pimpinan Pakatan beberapa kali meminta Abdullah mengadakan sidang Parlimen ketika itu.

Pandangan beliau berbeza dengan Profesor Dr Aziz Bari dari UIA yang mengatakan cukup dengan Yang Dipertuan Agung atau sultan berpuashati bahawa kumpulan berkenaan mempunyai majoriti yang cukup.

Dalam keadaan ada pandangan begitu pun, MB Perak, Mohd Nizar berpendapat, Sultan Perak tidak boleh membuat kesimpulan itu kerana bilangan Adun antara Pakatan dan BN kini sama banyak iaitu 28 - 28 di samping tiga Adun Bebas. Bagi Nizar, tiga Adun bebas itu pula kini sudah dipertikaikan keahliannya kerana Speaker Dun telah menerima perletakan jawatan mereka dan kes mereka kini ke mahkamah selepas SPR menolak diadakan pilihan raya semula di kerusi yang dikosongkan itu.

Oleh itu, dalam suratnya kepada Sultan Perak, beliau memohon perkenan baginda agar membubarkan Dun Perak dan mandat diberikan kepada rakyat untuk menentukan siapakah yang berhak mentadbir negeri Perak.

Namun, apabila Sultan kekal dengan keputusannya dan melantik Dr Zambry sebagai MB, rakyat tidak akan berpuashati. Maka berlakulah apa yang berlaku di Bukit Chandan hari ini. Benar, Dr Zambry berjaya mengangkat sumpah sebagai MB, namun kesetiaan rakyat tercalar.

Yang terlebih penting, apakah yang berlaku kepada Umno, BN dan khasnya Najib selepas ini.

Di Kuala Terengganu, pilihan raya yang dianggap referandum untuk beliau telah berakhir dengan keputusan menolak beliau. Bahkan dengan majoriti yang sangat besar. Sebelum itu, dia dimalukan di Permatang Pauh.

Ekoran pilihan raya Kuala Terengganu, semua pihak mengaku Umno dan BN perlu membuat perubahan besar-besaran. Najib sendiri mengaku tentang keperluan itu. Apakah perubahan itu? Bagi saya, berubah dari persepsi buruk rakyat kepada yang baik di mata rakyat.

Apakah masalah paling besar kepada Umno di mata rakyat. Bagi saya, amalan korupnya. Dari pemimpin tertinggi sehinggalah ke pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dinilai sebagai korup.

Najib boleh berkata, apa yang dibuat Umno, iaitu mendapatkan Adun Pakatan adalah sama sahaja dengan apa yang cuba dibuat Pakatan pimpinan Anwar Ibrahim dari projek 16 September hinggalah penyertaan Datuk Nasarudin Hashim ke dalam PKR.

“Jika Pakatan buat boleh, bila Umno buat korup?” Najib boleh kata begitu.

Tetapi, jika dilihat kepada nature kes-kes itu jelas. Misalnya kes Jamaludin Mat Radzi dan Osman Jailu. Kedua-duanya sedang didakwa kerana rasuah. Menjelang beberapa hari sebelum kesnya disebut lagi untuk dibicarakan iaitu pada 10 Februari, kedua-duanya hilang. Timbul semula hanya di Putrajaya dan mengiytiharkan keluar dari PKR menjadi calon bebas. Kemudian membuat pengakuan kepada Sultan Perak menyokong BN untuk membentuk kerajaan baru.

Saya yakin, jika Gerak masih lagi badan bebas, kumpulan NGO anak buah Ezam Mohd Noor ini akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Gerak akan mendakwa terdapat unsur-unsur rasuah yang jelas bagaimana Jamaludin dan Osman ini boleh menyokong BN hatta untuk menjatuhkan bekas kerajaannya.

Antaranya, jika didapati bersalah Jamaludin dan Osman akan hilang segala-galanya; jawatan Exco, Adun bahkan boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun. Dari kehilangan semua ini, baik sokong BN.

Namun, kini Gerak tidak bergerak. Mereka sudah kenyang dengan isu 46 ekor lembu korban di Bandar Tun Razak sahaja.

Kesimpulannya, walaupun Umno dilihat menang dalam kes ini iaitu mendapat kerajaan Perak tetapi ia umpama pepatah Melayu sahaja, menang secumpak, rugi segantang. Berjaya rampas negeri Perak tetapi besar kemungkinan akan hilang selama-lamanya di mata rakyat kerana Umno sememangnya gagal bahkan sememangnya tidak mahu berubah.

PAS dapat manafaat dari krisis Perak?



"
 Akhirnya BN dapat menguasai semula Perak walau apapun cara yang digunakan ianya tidak penting bagi mereka kerana umpan telah mengena. Strategi umpan-mengumpan, culik menculik dan sebagainya telah digunakan oleh Pakatan Rakyat dan BN untuk menguasai kerajaan Negeri Perak.

Akhirnya hari ini BN akan menubuhkan kerajaan negeri yang baru. Apa yang ingin saya perkatakan disini betapa UMNO berjaya memanupulasi akan keadaan di Perak dibawah pentadbiran PR hanya kerana ADUN ADUN dari PKR dan DAP yang tidak berprinsip dan bermaruah.


Walau apa cara sekalipun yang digunakan oleh UMNO untuk memancing mereka ini, nampaknya hanya ADUN dari PAS saja yang nampak lebih istiqamah dan berprinsip. Walaupun YB Nizar dari PAS sebagai MB Perak, namun tiada apa yang boleh dilakukan oleh beliau untuk menyekat strategi UMNO (Najib) untuk mendapatkan ADUN dari DAP dan PKR dan seterusnya membentuk kerajaan negeri yang baru.

Rakyat negeri Perak memerhatikan senario politik yang berlaku sekarang ini dan sudah mula kenal yang mana intan dan yang mana kaca dalam memilih wakil rakyat dan pemimpin. Sebenarnya dalam pemilihan untuk memilih pemimpin orang islam perlu takut dosa dan pahala. Jangan main hentam saja pilih wakil rakyat dan kesudahannya sudah dapat dilihat. Jangan timbulkan soal Sultan Perak telah membuat keputusan yang silap dalam perkara ini. Yang silap adalah rakyat, terutama orang melayu islam , kerana tidak pernah takut dosa pahala dalam memilih pemimpin yang tidak memenuhi kriteria yang dimahukan dalam islam.

Saya pasti mulai sekarang rakyat Perak khususnya orang melayu melihat bagaimana berprinsipnya pemimpin PAS dalam berpolitik. Kepentingan agama dan rakyat menjadi keutamaan kepada wakil rakyat PAS dan tidak mudah dijual beli oleh pemimpin UMNO, walaupun ada ura-ura untuk memujuk PAS bersatu dengan UMNO untuk penubuhan kerajaan campuran di Perak selepas PRU 12 dulu. UMNO telah dikenali dengan kehandalan menerima rasuah baik diperingkat parti mahupun kerajaan. Tetapi calon atau wakil rakyat PKR juga sebahagaian besarnya berasal dari UMNO masih mempunyai ciri-ciri untuk menerima dan memberikan rasuah untuk mendapat kesenangan dalam dunia politik . Semua ini berlaku kerana mereka tidak dipilih dikalangan yang berprinsip dan takut akan Allah. Sebab itu bila berlaku kes seperti di Perak ini, tidak menghairankan bahawa wakil rakyat PKR masih mempunyai ciri-ciri buruk yang di warisi dari UMNO.

Suhakam: Cara bentuk k'jaan baru timbulkan persoalan






Align Left





Feb 6, 09 7:19pm





Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berkata cara pembentukan kerajaan baru di Perak telah menimbulkan persoalan dan seterusnya mengenai kesahihan kerajaan negeri yang baru itu.

Sehubungan itu, Suhakam mengulangi bahawa ia pilihanraya yang bebas dan adil merupakan satu hak asasi manusia.

Dalam satu kenyataannya, Suhakam berkata, ia merupakan hak asasi rakyat untuk memilih kerajaan yang adil pilihan mereka.

Menurutnya, Sultan Perak tidak memperkenankan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Suhakam berpandangan bahawa pilihanraya yang baru bagi Dewan Undangan Negeri - selaras dengan prinsip-prinsip hak asasi manusia - akan menyelesaikan ketidaktentuan politik berhubung kedudukan kerajaan negeri, terutama di mana kesahihan surat peletakan ahli dewan undangan negeri (Adun) diragui," tambahnya.

Mohammad Nizar akan saman Sultan Perak


KUALA LUMPUR 6 Feb. - Bekas Menteri Besar Perak Mohammad Nizar Jamaluddin akan memfailkan saman terhadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di Mahkamah Tinggi Ipoh pada Selasa ini.

Pengerusi DAP Karpal Singh berkata, langkah itu akan dilakukan berikutan Sultan Perak bertindak melampaui bidang kuasanya untuk mengisytiharkan kerajaan pakatan pembangkang di negeri itu sebagai tidak sah.

Pada sidang akhbar di pejabatnya di sini Karpal berkata, di dalam saman tersebut Sultan Perak akan dinamakan sebagai defendan pertama dan kerajaan negeri Barisan Nasional yang baru di negeri itu sebagai defendan kedua. - Utusan

perak...sultan dan adun

apakah kerajaan baru BN yang akan memerintah negeri Perak benar-benar kukuh? dengan 28 adun dan 3 adun bebas apakah ianya akan dapat bertahan hingga ke PRU 13 nanti. atau najib telah menyakinkan sultan azlan akan ada lagi yang akan melompat selepas ini. kerana dari segi logiknya, pada masa akan datang kemungkinan untuk adun-adun melompat semula kepada PR tidak boleh dinafikan. PR hanya perlu 3 adun dari BN untuk berhijrah maka akan tumbang lah kerajaan mereka.

kesimpulannya disini, kerajaan yang akan ditubuhkan oleh BN dengan sokongan adun bebas yang nyata tidak mempunyai prinsip perjuangan tidak lah benar-benar kukuh seperti yang di heboh-hebohkan. sultan azlan sepatutnya telah memikirkan perkara ini sebelum berkenan untuk membenarkan BN menubuhkan kerajaan. pembubaran DUN adalah jalan yang lebih praktikal dengan mengembalikan kuasa memilih kepada rakyat untuk menentukan kerajaan pilihan mereka.

tuanku pula akan dilihat lebih adil kepada kedua-dua belah pihak. tambahan pula isu ini dari mula lagi telah menampakkan muslihat yang terselindung apabila SPR telah menolak untuk mengadakan pilihanraya kecil apabila speaker mengumumkan kekosongan kerusi changkat jering dan behrang. SPR telah melangkaui batas kuasanya apabila membuat keputusan meragui kesahihan surat perletakan jawatan kedua-dua adun tersebut. Tan Sri rashid sendiri telah menyatakan bahawa bukan kuasa SPR untuk menentukan kesahihan surat tersebut. hanya mahkamah yang boleh berbuat demikian. tugas SPR hanyalah menjalankan pilihanraya bila ada kekosongan atau pembubaran dewan.

punca kedua-dua adun yang sedang menghadapi tuduhan rasuah ini bertindak keluar untuk menjadi bebas dan menyatakan sokongan kepada BN juga perlu di perhalusi sebab musababnya. sejak dari awal kehilangan mereka berdua, telah meninggalkan bermacam-macam keraguan. kemana mereka menghilang dengan tidak menghubungi MB untuk memaklumkan masalah yang mereka hadapi. alasan cuti sakit selepas beberapa hari menghilang amatlah tidak munasabah. maknanya memang mereka menghilangkan diri untuk membuat perundingan untuk melompat. apa pula tawaran yang dijanjikan sebagai balasannya. apakah penyelesaian kepada kes rasuah tadi. jika benar, (kita lihat selepas ini) maka mahkamah akan diguna pakai untuk tujuan politik. atau ganjaran kewangan dan projek. mungkin SPRM boleh menyiasat untuk mencari kebenarannya? atau mungkin polis pun boleh sama-sama membantu?

jika andaian ini benar-benar wujud, siapakah yang akan bertindak untuk menghalangnya dari terus merosakkan kesucian mahkamah dan sistem keadilan di negara ini. nak bergantung harap pada raja dan sultan.....perak telah membuktikannya. jadi rakyat lah kuasa terakhir. berfikirlah rakyat seluruhnya, mari kita sama-sama bertekad untuk membuat perubahan besar-besaran pada PRU 13 nanti.

Thursday, February 5, 2009

DUN tidak dibubar, Nizar diminta letak jawatan


IPOH: Sultan Perak, Sultan Azlan Shah hari ini tidak berkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri Perak, menurut kenyataan Pejabat Sultan Perak hari ini.

Sebaliknya, baginda telah menitahkan Datuk Seri MohaMmad Nizar Jamaluddin supaya meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak berkuatkuasa serta merta dan jika tidak, jawatan itu dianggap dikosongkan.

prinsip perjuangan

inilah yang akan terjadi apabila wakil rakyat yang dipilih tidak mempunyai asas perjuangan. tidak tahu apakah yang nak diperjuangankan. sepatutnya, apabila telah memilih untuk melibatkan diri kedalam kancah politik, kita mesti mempunyai wawasan dan idea perjuangan yang akan di bawa dan mesti kekal sampai bila-bila. setelah pasti asas perjuangan baru lah memilih parti yang sealiran dengan apa yang nak diperjuangkan.

PAS misalnya, memperjuangkan supaya islam ditegakkan dan pemerintahan menurut al-quran dan hadis di malaysia. dan sampai bila-bila pun ia akan kekal begitu. dan mereka yang mengaku islam dan mahu sama-sama melaksanakan perintah yang telah diperintahkan oleh allah ini akan bersama-sama PAS sebagai wadah kearah itu. setelah kita mengaku tiada tuhan yang disembah melainkan allah, maka wajiblah keatas kita untuk melaksanakan perintahnya. bukan menentangnya dan perjalanan ke arah itu dilalui tanpa meletakkan kepentingan diri demi untuk mendapatkan kemewahan dan pangkat. berjuang hanyalah kerana allah taala. itu adalah wajib untuk dilaksanakan. inilah yang telah berlaku dan dibuktikan oleh pemimpin-pemimpin yang telah memerintah kerajaan kelantan selama hampir 20 tahun. tanpa amalan rasuah atau masalah wakil rakyat yang ingin menukar prinsip perjuangan.

wahai orang-orang islam di malaysia, ingatlah bahawa menentang orang yang hendak menegakkan hukum allah di muka bumi ini samalah seperti menentang allah. dan kita semua tahu apa hukumnya. jadi berfikirlah sendiri.

Najib bertindak, umum terburu-buru tanpa dapat perkenan Sultan

Azamin Amin
Thu | Feb 05, 09 | 9:59:13 am MYT

IPOH, 5 Feb (Hrkh) - Sepatutnya Ahli Dewan Undangan Negeri Perak yang mendapat sokongan majoriti Dewan, dan bukannya Pengerusi Umno Negeri Dato' Seri Najib Tun Razak yang mengadap Sultan Perak Raja Azlan Shah bagi proses pembetukan sebuah kerajaan negeri yang baru yang kononnya akan berada di bawah Barisan Nasional (BN).

Dari segi proses dan prosedur, Najib jelas mencabuli urusan undang-undang tubuh negeri dan institusi rara-raja melayu apabila tanpa sebarang kapisiti terus bertemu Raja Azlan sedangkan beliau tiada sebarang kaitan dengan urusan Dewan undangan Negeri.

Demikian ulas Ketua Penerangan PAS Pusat Dato' Mahfuz Omar berhubung situasi mutakhir yang berlaku di Perak ketika menghubungi Harakahdaily sebentar tadi.

Katanya beliau merasa sangsi dengan tindakan tergesa-gesa Najib mengumumkan secara terbuka bahawa kerajaan Perak dikuasai BN tanpa menunggu terlebih dahulu restu dan perkenan Sultan Perak.

"Apa muslihat Najib yang tidak mengikut proses undang-undang malah mempunyai agenda tersendiri untuk membelakang perlembagaan dan undang-undang tubuh negeri Perak.

"Yang layak bertemu Sultan ialah Adun yang mewakili majoriti dewan bukannya seorang ahli parlimen yang tiada kaitannya dengan kerajaan negeri ini," katanya.

Katanya insiden ini tidak pernah berlaku dalam sejarah dan amat memalukan bagi seorang yang dicanang sebagai calon Perdana Menteri bahkan Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Pengerusi BN sendiri pun tidak 'mencampuri' urusan istana dan negeri Perak.

"Tindakan Najib ini menunjukkan Adun-adun yang kononya akan kuasai Perak tidak mendapat sokongan Dewan, apatah lagi daripada majoriti rakyat negeri Perak.

"Cara terbaik untuk memastikan mendapat sokongan baru, sewajarnya Dun dibubarkan dan serahkan kembali mandat kepada rakyat untuk memilih pemimpin yang benar-benar bersih dan berwibawa di samping membentuk kestabilan politik yang lebih utuh," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.- azm _

Search This Blog