Tuesday, March 6, 2012

Kejatuhan Umno sudah dekat...

HANYA Umno-BN mampu buat itu dan ini. Hanya Umno-BN mampu perintah negara - demkian antara lain kita disogokkan dengan slogan berbentuk indoktrinasi.
Sejak kecil sehingga dewasa dan seterusnya tua, kita menerima apa saja yang disogokkan tanpa kita berusaha menyelidiki kebenaran atau hakikat sesuatu perkara itu.
Sebagai contoh ramai daripada kita diajar hal ehwal agama semasa kecil tanpa memahami apa yang sebenar kita pelajari. Ramai orang mengaji (membaca al-Quran) tetapi sangat sedikit daripadanya memahami maksud ayat yang dibaca apatah lagi mengamalkannya. Orang dewasa menyuruh kita sembahyang tetapi ramai daripada kita tidak faham apakah tujuan kita berbuat demikian dan pengertian ayat yang kita baca ketika solat.

Ketika kecil, ramai daripada kita dipaksa menyerap dan menanam fahaman dan ajaran ke dalam diri kita secara bulat-bulat tanpa dapat mempersoalkan apa yang kita lakukan. Ini termasuklah bab hantu. Apabila dewasa dan tiada lagi pihak berkuasa (ibu bapa sudah jauh dari mata) mengawasi dan memaksa kita melakukan ibadat tersebut (seperti sembahyang), sebahagian daripada kita secara perlahan-lahan meninggalkan atau melakukannya hanya sebagai satu kebiasaan saja.
Mereka yang melakukan ibadat tersebut, sebahagiannya hanya mengharapkan pahala (balasan baik) dan dijauhkan daripada seksaan api neraka. Hal yang sama berlaku tatkala kita dewasa. Kita dipaksa menerima fahaman-fahaman yang ternyata kita sendiri tidak faham tetapi kita juga tidak mempunyai hak mempersoalkannya. Orang lain cuba mengambil kesempatan daripada kelemahan kita untuk menanamkan fahaman-fahaman dan kepercayaan ini.
Berdasarkan Perhimpunan Agung Umno terbaru di ibu kota, kita dapat saksikan betapa indoktrinasi parti tua ini sudah sampai ke kemuncaknya. Ambil saja ucapan berapi-api Ketua Wanitanya, Dato' Seri Shahrizat Jalil. Sebahagian ucapannya tiada 'substance', hanya mengekspoitasi serta memain-mainkan perasaan perwakilan. Lihatlah betapa bijak Shahrizat mengalihkan serangan musuh dalam isu 'lembu' terhadap dirinya kepada Wanita Umno pula. Kononnya kejituan Wanita Umno dicabar dan uji, hakikatnya serangan ditujukan kepada dirinya sehingga ahli Parlimen Kinabatangan (BN), Datuk Bung Moktar Radin juga meminta dia meletakkan jawatan.
Kenapa Shahrizat berlindung di belakang Wanita Umno dan majoriti perwakilan Wanita beriya-iya bersorak menyokongnya? Persoalan ini begitu kompleks; jadi marilah kita teliti kisah 'The Emperor's New Clothes' (Pakaian Baru Raja) yang sudah sudah baca di sekolah rendah dulu tetapi tidak kita aplikasikan dalam kehidupan. 'The Emperor's New Clothes' menceritakan bagaimana seseorang yang berkuasa itu sentiasa dikatakan betul sekalipun dia tidak betul (raja berbogel tetapi dikatakan berpakaian paling cantik dan hebat). Hanya kebijaksanaan seorang budak dapat mengalahkan raja; memang raja bersalah (berbogel tetapi dikatakan berpakiaan paling mewah dan cantik) dan tidaklah payah untuk diselindungkan keaiban raja seperti dilakukan menteri-menterinya.
Ringkasnya pemimpin benar kerana dia berkuasa. Yang penting di sini bukannya lojik sesuatu perkara itu tetapi siapa yang mengutarakan pendapat atau kata-kata tersebut. Kata-kata seorang pengemis atau tukang sapu sampah mengenai politik sudah tentu tidak akan dipandang dengan sebelah mata walaupun apa yang mereka katakan itu ada kebenaran dan lojiknya. Keadaan sebaliknya akan berlaku jika seorang raja atau mengemukakan pandangan. Walaupun kadang-kadang hal itu tidak masuk akal, disebabkan begitu berpengaruhnya orang tersebut, maka hal itu diterima juga orang awam (perwakilan) kerana masing-masing terpaksa atau dipaksa mengakuinya. Lebih-lebih lagi masing-masing ada kepentingan tersendiri.
Kenapa perwakilan bersorak, menyatakan sokongan tanpa menyelidik sama ada yang dikatakan itu fakta atau suatu manipulasi? Ilmuan psikologi dan sosiologi mengaitkan perlakuan manusia ini sebagai ‘collective behaviour’ (tindak-tanduk bersama). Kelakuan manusia berbeza sama sekali apabila di bersendirian atau berada dalam sesebuah kumpulan (beramai). Kelakuan beramai mempunyai ciri tertentu yang membolehkan kita mengenal pasti dan mengkaji tingkah-laku manusia dalam situasi itu.Individu yang termasuk dalam keramaian, bertindak kepada sesuatu perangsang (stimulus) yang berupa orang, peristiwa atau apa-apa saja yang boleh menimbulkan emosi rancak.
 ‘Collective behaviour’ telah menyebabkan perwakilan Wanita Umno (sebagai contoh) begitu berani. Berani kerana ramai, bukan kerana benar. Apabila bersendirian seseorang adalah lemah dan penakut – ibarat seekor tikus yang sentiasa takut akan bayang-bayang kemampuannya, jauh daripada takutkan bayangkan kucing. Sebenarnya kucing tidak wujud, tikus hanya takut pada dirinya saja. Namun apabila berkumpulan, barulah manusia berani dan lantang. Berani bercakap berapi-api dan lantang bersuara termasuk untuk ‘menyelak kain’ kerana dia yakin mendapat sokongan dan akan dibela oleh ribuan bahkan jutaan pak turut di belakangnya.
Indoktrinasi begitu berkesan pada jangka pendek, tetapi dari segi jangka panjang pula terutama pada era teknologi maklumat kini, amalan jenis ini tidak dapat diterima kerana manusia mempunyai naluri untuk memikirkan fahaman serta ajaran apa yang mereka fikirkan baik apabila mereka diberi kebebasan dan ruang untuk berfikir dan menambah maklumat.
Ambillah iktibar indoktrinasi fahaman komunis yang selama 70 tahun membelenggu rakyat SovietUnion dan negara Eropah Timur, akhirnya hancur saja. Setiap perkara (benda) yang sudah sampai di kemuncaknya akan jatuh. Lemparlah batu ke udara, selepas ia mencapai kemuncak ketinggian, ia akan jatuh. Apabila Umno sudah sampai ke kemuncak indoktrinasinya, percayalah ia juga akan hancur!

No comments:

Post a Comment