Wednesday, December 2, 2009

Nik Aziz: Kalau PAS desak OK, tak akan layan Umno

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang kini berhadapan dengan siri kontroversi menegaskan, beliau sudah lali dengan desakan demi desakan supaya meletakkan jawatan dan sama sekali tidak akan tunduk kepada gesaan Umno.

Kira-kira 200 anggota kumpulan yang menggelarkan diri mereka Jemaah Prihatin Rakyat Kelantan mengadakan tunjuk perasaan di Kota Darul Naim di sini pagi semalam memprotes tindakan Nik Aziz yang mendoakan kecelakaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Umno kerana keengganan kerajaan persekutuan membayar royalti petroleum.

Dua minggu lalu Pemuda Umno Kelantan menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sambil meminta agar Nik Aziz dan menantunya, Abdul Ariffahmi Abdul Rahman yang mengetuai Perbadanan Menteri Besar Kelantan agar melepaskan jawatan masing-masing.

Nik Aziz telah meminta Ariffahmi agar melepaskan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif perbadanan itu.

Kata Nik Aziz, tindakan yang sama pernah dibuat pemimpin Umno negeri itu beberapa kali sebelum ini dan tidak perlu ia dilayan.

"Kalau sebelum ini Tan Sri Annuar Musa yang membuat desakan seperti itu dan sekarang pemimpin Umno lain pula.

"Kalau hendak diikut dengan desakan mereka tidak boleh buat kerjalah kita. Saya sudah lali dengan desakan seperti itu," kata beliau dipetik Harakah Daily ketika mengulas demonstrasi semalam.

Beliau yang juga Mursyidul Am PAS berkata, tiada sebab kenapa beliau harus tunduk kepada desakan tersebut kerana ia datang dari Umno dan bukannya dari PAS sendiri.

"Saya ini pemimpin PAS dan bagaimana pula mereka (Umno) desak saya letak jawatan.

"Lainlah kalau PAS desak saya barulah saya boleh berhenti. Ini pemimpin parti lain yang tidak ada kena-mengena," katanya lagi.

Malah kata beliau, perhimpunan mendesaknya meletak jawatan diadakan bertujuan menutup banyak kepincangan dan pergolakan dalam Umno dan Barisan Nasional sendiri.

Nik Aziz juga meminta penyokong PAS memboikot akhbar yang sengaja yang mengapi-apikan isu di Kelantan bagi menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat.

"Baik tak usah baca surat khabar terbabit yang sengaja menjadi kesalahan PAS dan kerajaan negeri," ujarnya.

Tok Guru Diserang Kerana Tolak Kerajaan Perpaduan

Mutakkhir ini kelihatan seolah-olah kerajaan Kelantan dibawah pimpinan YAB Datuk Menteri Besar Tok Guru semakin dihimpit masalah. Seluruh peluru media kerajaan pusat khususnya umno dan kuncu mereka semakin galak membawa isu-isu yang boleh menampakkan keburukan pimpinan PAS khususnya dan kerajaan negeri amnya.

Sayugia diingatkan bahawa Tok Guru diserang habis-habisan oleh juak umno adalah kerana Tok Guru telah menolak pelawaan Presiden umno bagi menubuhkan kerajaan perpaduan di Malaysia.

Program untuk menjatuhkan Tok Guru tak pernah berhenti dijalankan oleh juak umno dimana anak Tok Guru pernah ditangkap dan ditahan selama lebih 5 tahun dibawah ISA.

Kes pelajar dipukul oleh guru sekolah agama berdekatan rumah Tok Guru dibesar-besarkan oleh media cetak arus perdana, kes Air Kelantan diserbu oleh SPRM, isu menggondolkan bukit di Gua Musang dan beribu-ribu isu lain telah dimainkan secara sistematik dengan satu tujuan, satu hala, satu keperluan iaitu menjatuhkan maruah Tok Guru, mengaibkan kerjaan Kelantan kerana tak pandai memerintah negeri. Juak juak umno hampir berjaya menipu rakyat Kelantan kerana mereka berkerja siang dan malam demi mencipta kejayaan.

Umno dan juak mereka akan terus berusaha untuk mengambilalih pemerintahan Kelantan dari PAS kerana hasil minyak yang berlipat ganda. Umno amat bijak menipu dan mengkelabukan mata rakyat yang gilakan mata benda dengan membelakangi hukum Allah.

Mereka menjahilkan diri sendiri dan menyesatkan orang lain demi kepentingan politik peribadi. Juak umno dulu, kini dan selamanya sanggup menipu semua orang di Malaysia, sanggup menutup segala pintu rasuah dari diketahui umum, mereka juga sanggup bersekongkol dalam melakukan khianat terhadap bangsa Melayu atas nama Parti Melayu Bersatu. Sesungguhnya merekalah yang menanam semangat politik sempit demi untuk meneruskan kuasa yang ada.

Kelantan terus membangun walaupun geran tahun dibayar lewat, hutang tetap dibayar kepada kerajaan pusat, kakitangan awam tetap merasai bonus bila diistiharkan, pinjaman kakitangan tiada faedah dikenakan, semua rakyat layak mendapat perlindungan insuran, pengajian agama dimertabatkan kerana ada kuliah mingguan.

Pendek kata hak rakyat didahulukan, Islam diutamakan oleh pimpinan PAS Kelantan yang diterajui oleh Tok Guru. Bekas exco MCA juga didapati sentiasa memberi derma kepada Tabung Serambi Mekah dan semua bangsa dapat hidup aman tenteram dan tak pernah berlaku kekacauan sebagaimana yang diancam oleh juak umno Kelantan.

Percayalah bahawa Umno akan terus berusaha untuk merampas kuasa dinegeri yang diperintah pembangkang kerana mereka bijak tak boleh diajar, bodoh tak mahu belajar dari sejarah silam.

Kepentingan peribadi dan kroni sudah sedaging dalam diri masing-masing sehingga menyebabkan Islam diketepikan, keadilan dipinggirkan, Malaysia yang kaya raya hampir muflis dan papa kedana kerana rasuah yang berleluasa. Rakyat perlu faham semua kejadian ini.

Husam di Astro Awani malam ini

Exco kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa diundang sebagai tamu studio Agenda Awani, sebuah rancangan terbitan Astro saluran 501 malam ini.


Rancangan secara langsung 30 minit itu dihoskan oleh Suhaimi Sulaiman, dan dijangka membincangkan tajuk 'Banjir dan Inovasi di negeri Kelantan'.

Rancangan tersebut akan berlangsung jam 8.15 hingga 8.45 malam ini.

Sumber memberitahu, selain hal berkaitan pembangunan di negeri Kelantan, Husam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan Dan Kebajikan Negeri akan menyentuh perkembangan terbaru berkaitan tuntutan royalti kerajaan negeri terhadap pusat.

Tuesday, December 1, 2009

Polis di Negeri PR paling "sporting"!

Sewajarnya sekalung "penghargaan" kepada anggota PDRM yang bertugas di Negeri Pakatan Rakyat. Terutama kepada Ketua Polisnya. Hari ini rakyat Malaysia dapat melihat begitu "sopan dan tertib"nya polis mengiringi Pemuda BN (ramai UMNO) yang buat demostrasi depan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.
Kita lihat bagaimana polis dengan "bangga"nya mengiringi anggota Pemuda BN melintasi jalan menuju pintu pagar DUN untuk serah memorandum kepada KM Lim Eng Guan.

Lihat! Tiada tembakan gas. Tiada pancutan air asid. Bahkan SB yang tahan orang yang bakar gambar KM sempat pula beritahu kat Pemuda Gerakan bahawa pemuda ini bukan pemudaBN tapi orang Kampung Pala. Kah! Kah! Kah!. Hebat kesopanan dan telelusan polis kita di Negeri PR weeh!

Inilah nikmatnya jadi pembangkang di Negeri PR. Benar-benar demokraksi dan telus. Bebas nak bantah, demo, nak bakar gambar pun boleh. Bahkan nak pijak kepala lembu pun boleh dan dipersilakan kerana pegawai polis yang bertugas masih muda dan tiada pengalaman!

Malangnya suasana "meriah " ini tiada dirasai di Negeri UMNO perintah. Anijing, gas pemedih, cota, air asid, lokap dan gari menunggu anda!

Sewajarnya khidmat IG Musa dipanjangkan seumur hidup. Bukankah begitu PM Najib!

PAS dan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor

Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Negeri Selangor menghampiri usia dua tahun. Tidak seperti rakannya di Perak yang tidak dapat bertahan angkara “politik pintu belakang” pihak musuh, kerajaan PR Selangor yang bertahan dengan 35 kerusi berbanding pembangkang 20 dan Bebas 1, dijangka mampu menghabiskan tempoh penggalnya.
Walaupun pihak musuh politik terus cuba mengadu-domba dan memporak-perandakan kerajaan yang setahun jagung usianya itu namun ternyata kematangan politik rakan-rakan dalam PR Selangor yang terdiri dari PKR, DAP dan PAS terus berjaya melayari persada politik dan mengatasi segala gelombang dan gelora yang ada.

Pengalaman memerintah Selangor bukan hanya baru buat PAS tetapi juga PKR dan DAP. Selangor adalah sebuah negeri maju dengan lanskap politiknya yang tersendiri dan banyaka berbeza dari negeri-negeri lain. Oleh itu ujian dan cabaran pada kerajaan ini khasnya pimpinan ketiga-tiga parti peringkat negeri sudah pastilah besar dan kemampuan terus bertahan sehingga hari ini membuktikan yang mereka komited dan mahu bersama melihat negeri ini terus menerajui agenda perubahan demi kesejahteraan negeri dan rakyatnya.

PAS Selangor menyertai pilihanraya umum ke 12 lalu dengan jentera pilihanraya yang paling besar, terlatih, tersusun dan penuh disiplin. Ia bukan sekadar menyediakan sokongan padu buat calon-calon PAS yang bertanding di 20 daripada 56 kerusi DUN malah turut menyumbang dengan penuh kesungguhan mengisi kekurangan dan kekosongan jentera rakan-rakan lain yang bertanding termasuklah PKR di 21 kerusi dan DAP di 15 kerusi.

Kerana itu walaupun PAS dengan 8 kerusi merupakan rakan kongsi yang terkecil sahamnya berbanding PKR 14 (setelah 1 melompat jadi Bebas) dan DAP 13, namun sumbangannya ke arah kemenangan besar PR pada PRU lalu perlu diakui dan diiktiraf oleh semua pihak.

Dengan kemenangan ini PAS menerobosi pengalaman baru, hakikatnya ia menang dan pernah menang di negeri-negeri majoriti Melayu seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah, tetapi peluang memerintah sebuah negeri campuran seperti Selangor adalah yang pertama buatnya.

Dalam kerajaan PR Selangor PAS diberikan 3 dari 10 kerusi EXCO, memegang portofolio penting seperti Agama Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam (Dato Dr Hasan Ali), Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan (Iskandar Abd Samad) dan Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan (Dr Halimah Ali).

Ternyata ketiga-tiga EXCO berkenaan berpengalaman dan memiliki kelayakan dan berwibawa selain 5 lagi ADUN PAS yang tidak kurang kebolehan dan kepakaran mereka masing-masing. PAS sudah pasti akan mahu mencurahkan khidmat yang terbaik buat kerajaan PR demi melihat ia kekal dan mampu menang lebih besar lagi pada PRU yang akan datang.

Selangor yang hampir setengah abad diperintah oleh parti Perikatan dan kemudiannya BN kini melihat tunggak kuasanya diterajui oleh PKR, DAP dan PAS. Parti yang berbeza fahaman dan ideologi ini kini diberi peluang dan mandat oleh rakyat Selangor untuk memimpin mereka.

Sudah pastilah semua pihak perlu bersedia untuk meneroka pengalaman baru selain PKR, DAP dan PAS, termasuklah kakitangan kerajaan, ahli-ahli perniagaan, hatta rakyat kebanyakkan semuanya akan berhadapan dengan pengalaman baru. Rakyat telah lali dengan BN sekian lama, lantaran muak dengan lenggok dan gaya kepimpinan BN kini mereka sanggup berhadapan dengan yang baru. Mereka bukan terpaksa tetapi mereka membuat perubahan itu dalam keadaan sedar dan faham.

Mungkin PKR adalah suatu parti baru, tetapi rakyat Selangor yang terdedah kepada maklumat dan pendidikan sudah kenal PKR. Apalagi PAS yang hampir seusia dengan Umno itu, dan DAP yang telah menjejak kaki ke DUN Selangor sejak 1969.

Rakyat Selangor kenal PAS sekian lama. PAS adalah parti Islam dan kekal begitu walaupun pemimpinnya datang dan pergi. Dasar dan matlamat perjuangannya adalah Islam namun hak masyarakat bukan Islam turut dititpkan sebagai sebahagian dari perjuangan dan dasar pembelaannya. Ia telah cemerlang di Kelantan dan Terengganu. Rakyat Selangor mula berjinak dengan PAS pada tahun 1999 apabila memenangkan 4 calon PAS ke DUN Selangor. Dan kini ia memenangkan pula 8 calon PAS sekaligus memberi mereka peluang untuk membentuk kerajaan bersama PKR dan DAP.

DAP dan PKR juga kenal PAS kerana itu PAS diterima sebagai rakan. PAS sudah pasti lebih baik dari Umno dan BN kerana itu mereka boleh diterima rakyat dalam PRU lalu bukan hanya di Selangor malah seluruh negara kecuali di Sabah, Sarawak dan Melaka. Persepakatan PR unik di Selangor dimana ketiga-tiganya perlu terus bergabung untuk mengekalkan hayat kerajaan ini, mana-mana satu kelompok yang meninggalkan kerajaan ini bermakna ia akan roboh. Atas kesedaran ini semua pihak insaf akan keperluan untuk kekal berkerjasama.

Menerima PAS sebagai rakan juga bermakna perlu menerima perjuangan PAS sebagaimana PAS menerima dan menghormati dasar dan perjuangan PKR dan DAP. PAS akan terus PAS dalam erti kata memperjuangan dasar dan matlamatnya dalam ruang lingkup realiti politik semasa. Dalam kes di Kelantan dan Terengganu satu ketika dahulu, sudah pastilah gelanggang di sana berbeza dibandingkan dengan Selangor, namun dalam apa sahaja ruang yang ada PAS perlu memain pernanan agar matlamat dan nilai perjuangannya tidak hapus atau pupus dan ia terus dihormati masyarakat.

PAS Selangor tahu bahawa Selangor bukan Kelantan atau Terengganu, namun perjuangan Islam tidak boleh dikatup atau dirihatkan semata-mata kerana Selangor bukan Kelantan atau Terengganu. Islam perlu hidup dan berperanan walaupun suasananya berbeza dan terbatas.

Di sinilah seruan Almarhum Ustaz Dato Fadzil Nor dalam ucapan dasar Muktamar PAS tahun 2000 lalu perlu diberi perhatian:

Saya sedar akan tuntutan supaya PAS teguh dari segi prinsip tetapi kontemporari dari sudut perlaksanaan dan futuristic dari sudut tuntutan fiqhul syara’. Maka kita akan dapat membezakan antara perkara yang tetap (at-thawabit) daripada perkara yang boleh saja berubah-rubah (al-muthaghayirat).

Beliau menambah:

Senario politik Malaysia bersama dengan demografinya yang unik memerlukan PAS memunggah segala khazanah ilmu syarak (agama) untuk diberi jalan yang seluas-luasnya bagi menerokai satu model perlaksanaan Islam yang sentiasa berpegang kepada prinsip disamping cukup peka terhadap peredaran zaman.

Sebenarnya perkara yang sama turut diulangi dan diulas oleh Presiden PAS kini Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dalam Mukatamar PAS ke 55 lalu.

Dalam rangka dasar inilah PAS Selangor perlu dan akan berperanan. Mempertahan dan mengukuhkan akhlak, keperibadian serta aqidah umat Islam adalah tanggungjawab perjuangan PAS, selain membutikan keadilan Islam kepada masyarakat yang bukan Islam.

Forum dan perbincangan bagi mengujudkan persefahaman khasnya bersama-sama rakan-rakan dalam PR penting bagi menjamin kelangsungan perjuangan PAS di Selangor.

Memang kelihatan apa yang PAS mahu lakukan seolah boleh merugikan sokongan masyarakat bukan Islam buat PR tetapi dalam waktu yang sama apa sahaja yang PAS gagal laksanakan boleh juga merugikan sokongan masyarakat Islam buat PR. Kerana itu kematangan dan persefahaman serta kerjasama erat kepimpinan ketiga-tiga parti khasnya dalam mengharungi politik di Selangor penting.

Tohmahan dan cerita budak-budak nakal bahawa PAS Selangor mahu menyertai Umno sesungguhnya adalah sebahagian dari agenda yang mahu meruntuhkan PR jika dilihat secara serius. PAS Selangor tidak akan merongkai ikatan persahabatan bersama PR yang membentuk kerajaan di Selangor. Malah sejarah telah membuktikan apabila berkawan, PAS tidak pernah meninggalkan kawan-kawannya apalagi berpaling tadah.

Bagi PAS khasnya di Selangor, PR adalah jambatan yang paling baik untuk menzahirkan dasar dan matlamat perjuangan parti. PAS akan menggunakan segala kekuatan dan pengaruhnya untuk mempertahan dan memperteguhkan kerajaan ini. Rakan-rakan dalam PR Selangor berulang-kali telah diyakinkan akan perkara ini malah dalam Persidangan Meja Bulat antara PAS dan DAP Selangor baru-baru ini beberapa petua dan pantang larang parti telah dokongsi dengan DAP Selangor untuk meyakinkan mereka akan betapa istiqamahnya PAS dalam perjuangan.

Sesunggunya paduan tenaga antara PKR, DAP dan PAS Selangor mantap. PR Selangor mampu bertemu secara tetap setiap dua minggu sekali melalui Majlis Pakatan Rakyat Negeri dan sering pertemuan ini bermula dan berakhir dengan mesra dan semangat setiakawan.

Walaupun kadangkala kelihatan ada pergeseran dan pertelingkahan antara tokoh-tokoh tertentu dalam PR Selangor, namun ia semuanya dapat dilerai dan diselesaikan melalui
Musyawarah. Masing-masing diberi ruang dan peluang untuk bercakap khasnya apabila melibatkan prinsip dan dasar perjuangan.

Kekentalan dan keakraban hubungan inilah yang menghantui BN di Selangor. Harapan untuk menang dan kembali berkuasa di Selangor semkain tipis dan jauh. Tohmahan dan apa sahaja cerita budak-budak nakal akan hanya menghiburkan BN yang selamanya akan meratap tangis lantaran mantapnya kepimpinan PR Selangor. Kerana itu bagi para pejuang PAS bersamalah kita timbul dan berenang dengan arus perdana parti, jangan bergayut pada dahan yang reput dan buruk, kepentingan jemaah mengatasi kepentingan individu, berjuanglah ikhlas dan yakin kerana Allah swt.

Yakinlah saf kepimpinan yang ada di bawah bimbingan para ulamak yang tidak putus-putus memberi nasihat akan terus berpedomankan nas yang nyata dan jelas. Gabungan pengalaman, ilmu dan ketajaman politik pimpinan jangan dipandang murah lantaran tembakan liar merekayang jauh dan tidak bertanggungjawab.

PAS insyallah akan kekal bersama menerajui PR di Selangor.

Monday, November 30, 2009

Haram BTN: Mengapa Pusat terkejut dan tergamam?

Pemerintahan Pusat yang diketuai oleh Barisan Nasional ternyata terkejut dan tergaman dengan tindakan luar jangkaa kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang mengharamkan program Biro Tata Negara (BTN) daripada dilaksanakan di negeri itu.

Ahli Dewan Negeri Selangor (ADUN) Bangi, Dr Syafie Abu Bakar, menegaskan dalam blog beliau bahawa tindakan ini amat mengejutkan kerajaan pusat.
Ini dapat dibuktikan dengan kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Menteri Pertahanan, Zahid Hamidi yang terkejut dengan isu ini, katanya.

Menurut beliau yang menganggap tindakan ini adalah tepat kerana BTN merupakan satu cara mekanisme doktrinasi BN, digunakan untuk melemahkan kerajaan Pakatan Rakyat di negeri ini.

"Jika pegawai, kakitangan dan mahasiswa di selangor mengikuti program ini, mereka akan menjadi duri dan racun bagi kerajaan negeri.

"Kerajaan negeri juga telah bersedia dengan program membina modal insan yang dikenali sebagai Spiritual, Physical, Intelektual, Emotional dan Social (SPIES) untuk mengantikan program BTN," katanya.

Justeru, beliau mencadangkan supaya SPEIS dipertingkatkan dan diperkasakan untuk dilaksanakan di semua negeri yang di perintah oleh kerajaan Pakatan Rakyat dengan menyepadukan sistem kokurikulum dan latihan.

"Tindakan selanjutnya hendaklah diharamkan pula pusat-pusat BTN yang berada di negeri-negeri Pakatan Rakyat supaya tidak berlaku pertindihan dan pertembungan.

"Kita berpendapat tindakan yang diambil, bukan merupakan niat untuk membalas dendam, tetapi lebih kepada tindakan menyelamat yang seharusnya dibuat lama dahulu, tetapi apa yang dibaut masih belum terlambat," katanya.

MB Kelantan: Siapa berhak tentukannya?

Segala dasar dan perjalanan parti adalah berdasarkan Sistem Syura yang dinamakan Majlis Syura. Begitulah amalan Gerakan Islam di seluruh dunia. Sebarang keputusan dibuat berdasarkan amalan syura. Ini kerana setiap Gerakan Islam bukan hak milik individu, kawasan, negeri maupun hak pemimpin. Gerakan Islam adalah satu Gerakan Ummah dan milik Ummah.

Mereka yang menganggotai Majlis Syura adalah yang telah ditapis dari segi kredibiliti dan bersih dari dosa besar. Begitu detail dan halus ciri-ciri anggota Syura dipilih.

Persoalan siapakah ganti MB Kelantan selepas TG Nik Aziz. Langkah TG Nik Aziz tidak menamakan penggantinya adalah betul dan tepat. TG Nik Aziz tahu beliau tiada hak untuk namakan penggantinya kerana beliau tahu itu bukan haknya. Beliau hanya sekadar mencadangkannya sahaja. Itupun jika beliau mahu cadangkan.

Jadi, siapakah yang mempunyai hak menentukan pengganti MB Kelantan selepas TG Nik Aziz?

Oh ya...inilah yang selalu kita lupa. Sebenarnya Majlis Syuralah yang menentukan siapakah yang boleh menjadi MB bukan sahaja di Kelantan bahkan di negeri-negeri yang dapat diperintah PAS.

Sebenarnya yang melantik TG Nik Aziz sebagai MB Kelantan selepas kemenangan bergaya PAS tahun 1990 adalah Majlis Syura. Badan Perhubungan PAS Kelantan hanya mencadangkan dan yang memutuskannya adalah Majlis Syura. Majlis Syura berhak menerima atau menolaknya.

Inilah amalan PAS yang bezakan dengan parti sekular di Malaysia.

Jadinya, tidak perlulah menunjukkan-nunjuk siapa yang layak ataupun yang peliknya ada yang awal-awal tidak mahu jawatan itu !

Sunday, November 29, 2009

Nik Aziz Pertahan Isu Doanya, Tidak Salah Daripada Aspek Islam

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetap mempertahankan bahawa tidak salah daripada segi agama Islam jika mendoakan seseorang itu dilaknat Tuhan jika mereka mempunyai niat jahat terhadap seseorang lain.

Menteri Besar Kelantan itu berkata beliau sanggup berhadapan dengan ulama yang membidas serta mengkritik kenyataannya itu dan mengingatkan beliau bahawa perbuatan sedemikian adalah haram di sisi Islam.

Jumaat lepas, Nik Abdul Aziz berkata beliau akan berdoa kepada Allah supaya memusnahkan masa depan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Umno jika kerajaan pusat enggan memberi royalti minyak kepada Kelantan, yang disifatkan sebagai sesuatu yang tidak betul.

Menteri Besar Kelantan itu turut menjelaskan kenyataannya itu.

"Doa yang dimaksudkan itu (kepada Perdana Menteri) hanya meminta Allah memperbetulkan fikiran Perdana Menteri,(Datuk Seri Najib Tun Razak) iaitu beri (royalti) gas dan petrol kepada Kelantan, kalu tak beri juga, bermakna beliau berniat tak baik.

"Niat tak baik itulah yang saya minta dilaknatkan Tuhan tu...," katanya.

Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria, dalam laporan media hari ini dipetik sebagai berkata umat Islam sepatutnya berdoa dan memohon kepada Allah supaya memberikan hidayah, kesejahteraan serta keselamatan terhadap orang lain, terutama saudara seagama, bahkan kepada orang kafir

Thursday, November 26, 2009

Tok Guru Dan Husam Di Serang Untuk Alih Isu

Satu demi satu berita fitnah, tohmah dan bohong dihidangkan oleh media BN semata-mata untuk memburuk-buruk Pakatan Rakyat(PR) dan pimpinannyadi mata rakyat. Ianya tidak lain tidak bukan bertujuan untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa PR adalah parti bermasalah, pimpinannya bermasalah dan perpaduan dalam PR juga bermasalah.

Sebab itulah berita-berita fitnah ini bertali arus tanpa dibuktikan fakta dan kesahihannya. Kini PR dan pimpinannya sibuk mempertahankan diri dari serangan fitnah yang tidak mengenal dosa dan pahala. Asal ada sedikit ruang dan maklumat yang mereka dapat maka ianya digunakan semahunya untuk 'menelanjangkan 'PR dan pimpinannya.
Seperti biasa pimpinan-pimpinan utama PR akan menjadi sasaran. Tentunya 'figure' seperti Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tuan Guru Dato Seri Haji Abdul Hadi Awang, YAB Lim Guan Eng, YAB Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin, YAB Dato Seri Azizan, YB Azmin Ali, YB Dato Haji Husam Musa dan lain-lain menjadi bahan tohmahan dan fitnah.
Pelbagai isu dan masalah diutarakan antaranya rasuah, kronisme, penyelewengan, tajaan, salah laku, penipuan, persengketaan, pertentangan pendapat dan lain-lain menjadi siulan media jahat ini

Seminggu dua Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Dato Husam Musa menjadi sasaran media. Bermula dengan kisah Pejabat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) di'serang' 2 kali oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merebak kepada isu kronisme yang didakwa dilakukan oleh Tok Guru Nik Abdul Aziz yang melantik menantu Ir Abdul Ariffahmi Abdul Rahman menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PMBK. Arif dikaitkan dengan rasuah dan penyelewengan, namun sehingga kini tiada sebarang bukti untuk mendakwanya.

Tok Guru Nik Aziz atas sifat tawaddhuk dan zuhudnya meminta menantunya itu melepaskan jawatannya di PMBK. Suatu tindakan yang disifatkan amat berat untuk dilakukan oleh seseorang yang tidak punya prinsip. Berapa ramai pemimpin Umno/BN boleh melakukan perkara ini sebagaimana yang dilakukan oleh Tok Guru Nik Aziz. Boleh dibilang dengan jari, yang ramainya ialah mereka yang berlumba-lumba menggunakan kuasanya untuk meletakkan saudara-mara terdekat menduduki jawatan itu dan ini, mendapat projek besar dan kecil.

Ramai pemerhati dan ahli politik menyifatkan t9ndakan Tok Guru Nik Aziz ini mencerminkan keterbukaan dan integriti beliau. Sebagai Mursyidul Am PAS dan Menteri Besar Kelantan beliau menerima saranan dan pandangan parti dan pimpinan partinya.

Tok Guru sebagai Menteri Besar mempunyai kuasa untuk tidak menasihati Ariffahmi yang juga menantunya supaya tidak meletakkan jawatan. Namun oleh kerana sifat terbuka dan ikhlas beliau Tok Guru bersedia melakukan perkara tersebut.
Kalau pimpinan Umno/BN sudah tentu tidak akan tunduk kepada nasihat dan saranan orang bawahannya. Tetapi inilah sikap pemimpin PAS yang bersedia melakukan apa juga kebaikan hatta tindakan itu sukar dan memberikan yang tidak kurang besarnya.
Kini bersediakah pemimpin Umno/BN melakukan apa yang dilakukan oleh Tok Guru. Berani dan sanggupkah pemimpin Umno menasihatkan anak, adik, saudara dan kawan mereka meletakkan jawatan di mana-mana agensi kerajaan dan pejabat kerajaan yang ada kaitan dengan mereka. Kalau berani sila buat!

Tindakannya menutup mulut musuh-musuh PAS yang sentiasa mengintai peluang untuk menyerang dalam isu ini.
Tok Guru juga diserang dengan isu tajaan naik haji bersama keluarga beliau berjumlah RM65,000. Ruih rendah 1Malaysia membesar-besarkan isu ini, sedangkan pemimpin-pemimpin Umno berbelanja ratusan ribu malahan jutaan ringgit menaja perwakilan Umno pelbagai peringkat makan angin tidak pula dibisingkan. Tok Guru dikatakan mungkin akan terdorong melakukan rasuah dan penyalahgunaan kuasa jika orang yang menaja meminta sesuatu.
Ada juga yang mendakwa kalau tidak ada apa-apa kepentingan takkanlah penaja sanggup menaja puluhan ribu ringgit untuk Tok Guru dan keluarga naik haji. Isu ini padam begitu sahaja apabila Tok Guru membatalkan hasratnya untuk menunaikan fardhu haji atas 'package' tajaan tersebut.

Minggu lalu orang kuat Tok Guru iaitu Exco Kerajaan Kelantan, Dato' Haji Husam Musa pula diserang dan difitnah kononnya beliau akan meletakkan jawatan dalam kerajaan negeri dan PAS. Ianya suatu laporan yang paling tidak bertanggungjawab. Husam dan Tok Guru Nik Aziz menafikan berita itu.

Husam menafikan laporan tersebut dalam kenyataan yang disiarkan melalui blog peribadinya cetusan-hati.blogspot.com. Husam berkata beliau mengambil cuti sakit untuk melakukan pembedahan kecil bukannya mengambil cuti sebelum meletakkan jawatan dalam kerajaan dan parti. Besar sungguh fitnah dan tohmah yang dilakukan oleh media pengampu ini.

Dalam blognya Husam menulis bahawa "Apa kena mengena sakit belakang saya dengan letak jawatan? Letak semua pulak tu?
Mana perjuangan saya? Mana parti dan kerajaan yang saya membantu menjayakannya sekian lama? Di hujung jalan kami akan berpisah? Membuka ruang pada lawan menerobos masuk dalam detik yang kritikal ini?
Tok Guru telah cuba dimalukan. Cuba dipinggirkan kerana pendiriannya yang tegas dan hasratnya yang jelas untuk membawa negara kita menuju perubahan.
Saya sebagai murid dan 'budak' Tok Guru, mengangkat bendera putih semata-mata kerana Utusan cuba meng-agendakan kami?
Sakit adalah lumrah insan. Letak jawatan tidak boleh diikat dengan satu dua hari di hospital - maka ia bukti Husam letak jawatan.
Kepada teman dan rakan, sahabat dekat dan jauh, saya ucapkan terima kasih atas ingatan anda semua. Ustaz Aziz menalipon pagi hari dari Mekah kerana terbangun dari mimpi, saya hargai erti persahabatan.
Bolehkah media kita diajar erti kredibiliti? cetus Husam.
Dalam isu ini sepatutnya Utusan bukan sahaja menyiarkan penafian tersebut malah memohon maaf kepada Husam, Tok Guru Nik Aziz, pimpinan PAS, ahli PAS serta rakyat Kelantan kerana pemfitnah Husam dalam isu perletakkan jawatannya dalam kerajaan negeri dan parti.
Namun seperti biasa memohon maaf tiada dalam kamus hidup Utusan yang tugasnya hanya memfitnah, mentohmah, berbohong dan adu domba. Hanya Allah yang akan membalas semua kejahatan Utusan selagi fitnah tersebut terlekat pada kepala pembaca. Sebelum terlambat pohonlah kemaafan segera.

Selasa Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula menyerang Tok Guru dengan menyatakan Mursyidul Am PAS itu sebagai tidak hala dalam membuat sesuatu keputusan dalam pentadbirannya. Muhyiddin berkata peletakan jawatan Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) mencerminkan ketidaktentuan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam membuat keputusan dan pendirian.

Muhyiddin Yassin juga berkata, Mursyidul Am Pas itu juga sering bersikap memilih dalam membuat keputusan yang berhubung kait kepentingan peribadinya. Tuduhan Muhyiddin ternyata tidak tepat kerana Tok Guru melantik Ir Ariffahmi atas dasar pengalaman dan kelayakannya bukannya atas dasar kepentingan peribadi. Malah Tok Guru bersedia pula mengarahkan menantunya itu meletakkan jawatan selepas beberapa isu kecil berkaitan dengan tuduhan tidak berasas pelbagai pihak.

Ramai pemerhati melihat serangan media kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Husam ini adalah senjata serampang dua mata BN. Pertama BN cuba memburuk-burukkan PAS dan kerajaan Kelantan di mata rakyat dan kedua mereka cuba mengalih tumpuan rakyat khasnya rakyat Kelantan dari terlalu memberi perhatian kepada isu royalti minyak Kelantan yang sedang hangat diperkatakan.
Kita semua sedar bahawa BN berada dalam keadaan tersepit dalam isu royalti minyak dan masalah dalaman MCA. Maka cara untuk mengalihkan tumpuan rakyat ialah membesar-besarkan isu kecil yang dikatakan sensasi.

Jadi sebagai rakyat yang bermaruah kita jangan mudah terpedaya dengan mainan media jahat dan menyesatkan ini.

Wednesday, November 25, 2009

Pembinaan Istana Negara, satu lagi penyelewengan

Sewaktu reformasi Iran dahulu, orang memperkatakan tentang kemewahan Istana Shahan Shah yang begitu membazir membelanjakan wang khazanah negara.

Begitu juga takala kejatuhan Iraq, dunia mengutuk Sadam kerana membina banyak istana untuk dirinya.Termasuklah negara kita sendiri mengutuk Sadam – membazir wang sedangkan rakyatnya sengsara miskin kebuluran.

Dan kini kerajaan UBN sedang menyiapkan sebuah lagi Istana Negara untuk Yang DiPertuan Agong.

Kita kini sudah mempunyai dua istana – di Jalan Syed Putra and di Putrajaya . Baginda yang DiPertuan Agong sendiri tidak pernah meminta untuk dibinakan sebuah istana baru.

Kita tidak tahu kenapa perlu sebuah lagi istana di Jalan Duta.Kenapa kita perlu ada 3 buah istana dalam sebuah negeri bernama Selangor yang jarak perjalanan dengan iringan polis hanya mengambil masa kurang satu jam?

Dibawah Rancangan Malaysia Ke-9, semua projek istana diwajibkan dikelolakan melalui tender terbuka.

Mahfuz Omar mendakwa projek pembinaan Istana Negara ini berlaku penyelewengan dan tidak melalui tender terbuka yang akibatnya dari harga asal RM400 juta kini sudah menjadi RM1.1billion!

Oh! Ini tentu projek penyelewengan perampok bagi tujuan untuk mendapatkan komisyen yang besar.Lagi mahal, lagi besar komisyen yang boleh diperolehi.

Sebab itu harga asalnya RM400 juta; tapi kerana Umno boleh, kini sudah mencecah RM1.1billion!

Hoi Ceupacs! Kenapa mudah diperbodohkan oleh si Najib? Ingat apa kata PM Najib apabila Ceupacs minta bonus ? Najib kata :

"...adalah salah di segi moral untuk meminta mendapatkan bonus kerana negara ini masih bergelut untuk keluar dari kemelesetan ekonomi dan ramai pekerja di sektor swasta dibuang kerja." Ingat tu... salah di segi moral!

Adakah kerajaan kita lebih bermoral dengan membina satu lagi istana yang bernilai RM1.1billion?

Itu belum lagi kos penyelenggaraan yang akan melibatkan RM juta-juta sebulan.

RM1.1billion! Bayangkanlah…berapa banyak sekolah dan hospital dapat dibina ? Berapa banyak jambatan untuk kampung-kampung yang mundur ? Bayangkanlah ….komisyen Istana Negara…komisyen kapal selam.

Tuesday, November 24, 2009

Nik Aziz, ARiff Fahmi Dan Husam Musnahkan Impian Musuh PAS

ALHAMDULILLAH, kemelut di Kelantan boleh dikatakan berakhir. Cuma, yang masih belum berakhir adalah kisah Kickdefella. Biarkan beliau dengan cerita-ceritanya, begitu juga biarkan SPRM dengan siasatannya. Tumpuan kita adalah ingin melihat PAS terus kuat di Kelantan. Umno pula tentunya ingin melihat PAS menjadi semakin lemah di Kelantan kerana jika PAS lemah di Kelantan, maka lemah jugalah PAS di Malaysia. Itu hakikatnya.

Jika sebelum ini dikatakan Ariff Fahmi selaku CEO PMBK bakal membuatkan imej PAS tercalar dan memburukkan nama Mursyidul Am PAS iaitu bapa mertuanya sendiri, nah, kini Ariff Fahmi akan berkorban agar tidak berlaku sedemikian rupa. Ariff Fahmi akan meletakkan jawatan bukan kerana beliau disabitkan dengan rasuah mahupun penyelewengan atau pun gagal melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya, tetapi kerana beliau sayangkan PAS. Tok Guru Nik Aziz pula bukan tidak sayangkan menantunya, tetapi beliau lebih sayangkan PAS. Husam Musa pula, beliau tidak meletakkan jawatan sepertimana kehendak Umno atau beberapa orang di dalam PAS termasuk penulis MSO, bukan kerana beliau sayangkan jawatan yang dipegangnya sekarang tetapi kerana beliau lebih sayangkan PAS.

Tetapi, adakah mereka yang ingin melihat Ariff Fahmi atau Husam meletakkan jawatan itu terlalu sayang pada PAS melebihi sayangnya Tok Guru Nik Aziz pada PAS? Wallahu Aklam, Allah jua yang mengetahui niat mereka. Tidak kiralah samada ada yang suka atau duka melihat perkembangan yang berlaku di Kelantan saat ini, yang penting ketiga-tiga insan ini iaitu Tok Guru Nik Aziz, Husam dan Ariff Fahmi telah membuatkan Umno kehilangan `senjata' yang baru hendak diasahnya itu. Pedulikan jika ada ahli-ahli PAS yang lain juga se`mazhab' dengan Umno yang mahu Umno memerintah Kelantan.

Apa pengajaran dari peristiwa ini? Pengajarannya mudah, iaitu tiada yang lebih tinggi nilainya melainkan pengorbanan untuk parti dan jemaah. Tok Guru telah lakukan itu, Husam dan Ariff Fahmi juga telah melakukan itu semua. Kini, kita masih menunggu ada atau tidak pemimpin PAS samada di Selangor atau di mana jua yang sanggup melakukan sepertimana yang telah dilakukan oleh Mursyidul Am PAS atau setidak-tidaknya seperti Ariff Fahmi. Setakat ini kelihatannya tiada. Berdayakah mereka yang pernah `berunding dalam kelambu' bersama Umno di Selangor suatu ketika dahulu untuk berbuat seperti ketiga-tiga insan itu tadi? Rasanya jauh panggang dari api. Siasatan terhadap mereka oleh Jawatankuasa Disiplin PAS pun kita tidak tahu perkembangannya. Sepi tanpa berita.

Apa yang berlaku di Kelantan menunjukkan Mursyidul Am PAS tidak bertolak ansur jika imej PAS tercalar. Oleh sebab itulah beliau amat marah jika ada mana-mana pemimpin PAS yang bertindak seperti ingin menghancurkan PAS. Secara peribadi, tahniah buat Tok Guru Nik Aziz, Ariff Fahmi dan Husam kerana ketiga-tiga mereka ini telah bertanggungjawab `menyapu' najis ke `wajah Umno dan yang se`mazhab' dengannya. Umno pasti tumbang bersama sekutunya, InsyaAllah./Kembali ke laman asal.

Kota Siputeh: Mahkamah tangguh DUN kosong

Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan penangguhan perintah Mahkamah Tinggi yang mengarahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya mengadakan pilihan raya kecil DUN Kota Siputeh.

Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin menolak permohonan SPR untuk menangguhkan perintah tersebut.

Keputusan hari ini dibuat sebulat suara oleh panel hakim yang diketuai oleh Datuk Sulong Matjeraie. Dua lagi hakim ialah Datuk Kang Hwee Gee dan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abd Aziz Abdul Rahim.

Ekoran keputusan tersebut, SPR tidak perlu mengadakan mesyuarat esok - hari terakhir untuk suruhanjaya itu mengeluarkan writ pilihanraya kecil di bawah Akta Suruhanjaya Pilihan Raya 1958 serta mengumumkan hari penamaan calon dan hari pengundian.

Sebaik sahaja writ itu dikeluarkan, ianya tidak boleh dibatalkan.

Monday, November 23, 2009

SPR Gagal Dapat Perintah Tangguh Keputusan Kosongkan Kerusi Kota Siputeh

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) gagal mendapat perintah untuk menangguhkan keputusan mengisytiharkan kerusi Dewan Undangan Negeri Kedah kawasan Kota Siputeh sebagai kosong.

Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasakuasa Khas) hari ini menolak permohonan SPR bagi mendapatkan perintah penangguhan itu tetapi suruhanjaya itu telah merujuk perkara berkenaan kepada Mahkamah Rayuan dengan mengemukakan satu lagi permohonan untuk perintah penangguhan.

Jika ia tidak mendapat perintah itu, SPR perlu mengeluarkan writ menjelang Rabu ini bagi mengadakan satu pilihan raya kecil di situ.

Hakim Alizatul Khair Osman Khairuddin berkata beliau bersetuju dengan Sulaiman Abdullah, peguam utama bagi Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail, bahawa SPR gagal menyakinkan mahkamah berhubung isu keadaan luar biasa bagi mewajarkan permohonan itu dibenarkan.

Katanya alasan mengenai implikasi kewangan yang dinyatakan oleh Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Kamaruddin Md Said yang mewakili SPR, tidak boleh ditakrif sebagai satu keadaan luar biasa.

"Mengikut undangundang, menguruskan pilihan raya merupakan tanggungjawab biasa SPR dan suruhanjaya ini tidak merujuk mana-mana undang-undang kes untuk menyokong hujahnya," kata Alizatul.

Pada 17 November lepas, SPR mengemukakan permohonan itu setelah Alizatul membuat keputusan sehari sebelum itu bahawa kerusi berkenaan kosong kerana mendapati penyandangnya Datuk Abu Hassan Sharif daripada Barisan Nasional (BN) gagal menghadiri dua mesyuarat dewan itu berturut-turut tanpa mendapat cuti.

Mahkamah membuat keputusan itu ekoran tindakan Speaker DUN Kedah memfailkan semakan perundangan setelah SPR menerima sijil sakit Abu Hassan dan mengisytiharkan tidak berlaku kekosongan dan beliau masih mewakili kerusi itu.

Dalam penghakimannya hari ini, Alizatul berkata tanpa unsur keadaan luar biasa, mahkamah tidak dapat membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan keputusan itu.

Isu PMBK: Nik Aziz Umum Ariffahmi Letak Jawatan CEO

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengumumkan menantunya Abdul Ariffahmi Abdul Rahman dilucutkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) berkuat-kuasa hari ini.

Husam: Saya tak akan tinggalkan PAS

Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa turut menafikan yang beliau telah meletakkan jawatan dalam kerajaan dan PAS, sambil menyifatkan agenda menamatkan kerjaya politiknya oleh pihak luar “belum berakhir”

Justeru, Husam menegaskan, beliau sama sekali tidak akan meninggalkan PAS di pertengahan jalan dan “sebagai murid dan ‘budak’ Tok Guru tidak akan mengangkat bendera putih” semata-mata kerana agenda Utusan.

Penafian serupa juga dibuat oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Mursyidul Am PAS itu juga menolak dakwaan perkembangan terbaru itu sebagai berlaku episod terbaru perpecahan dan kekusutan dalam parti itu.

Kelmarin, Husam memberitahu The Malaysian Insider bahawa wujud konspirasi untuk menjatuhkan beliau dari kerajaan negeri.

“Mingguan Malaysia sekali lagi ‘memandang tinggi’ pada saya dengan berita provokatif muka depan.

“Beratus SMS, kegelisahan begitu ramai orang dan deringan telefon sejak awal pagi adalah bukti ‘berita’ yang sengaja dimasak sebegitu rupa telah mencetuskan kesan negatif yang bukan sedikit,” kata Husam yang juga Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan dalam blognya hari ini.

Husam juga menambah, beliau lega dengan penjelasan Nik Aziz yang menafikan laporan media hari ini.

“Saya amat terharu dengan penjelasan segera bos, guru, rakan dan bapa saya — Tok Guru Nik Aziz,” ujar Husam.

Dalam tulisannya, Husam juga menjelaskan bahawa beliau kini mengalami sakit belakang dan doktor menasihatkannya agar kurangkan aktiviti.

“Saya sakit belakang. Jumpa doktor dan doktor minta saya dapatkan rawatan, rehatkan tulang belakang saya dan kurangkan aktiviti.

“Bila saya nak masuk wad untuk rawatan itu saya boleh tentukan sendiri ikut kelapangan saya, tetapi jangan kurang dari lima hari penuh. Jangan lambat, kata doktor.

“Saya maklumkan pada bos saya (Nik Aziz). Lima hari sebelum raya haji amat sesuai. Tetapi program saya kena tangguh dan mana mesyuarat yang saya ditugaskan wakili Tok Guru kena tukar kepada rakan yang lain,” katanya.

Husam mengakui telah mengadakan pertemuan Nik Aziz pada Khamis lalu, yang meminta agar beliau tidak menangguhkan rawatan.

“Saya bercadang masuk hospital hari Isnin. Keluar petang Khamis. Apa kena-mengena sakit belakang saya dengan letak jawatan?

“Letak semua pulak tu?” soal beliau.

Bagi memperkukuhkan hujahnya, Husam yang tewas dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden PAS pada Jun lalu menjelaskan: “Mana perjuangan saya? Mana parti dan kerajaan yang saya membantu menjayakannya sekian lama?

Sunday, November 22, 2009

kota siputih..bakal dihitamkan

TINDAKAN Bekas ADUN Kota Siputeh dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) membuat rayuan ke mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar amat membimbangkan akan menambah parah penghormatan rakyat dan dunia terhadap institusi kehakiman Malaysia.

Keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar telah mengesahkan kerusi DUN Kota Siputeh kosong berikutan ADUNnya, Abu Hasan Sharif hilang kelayakan sebagai ADUN setelah gagal hadir ke ersidangan DUN dua kali bertutur-turut tanpa memaklumkan dan kebenaran speaker.

Memperdebatkan perkara berkaitan keputusan speaker DUN dan Parlimen di mahkamah adalah tindakan yang mencabul demokrasi berparlimen ala westen Master dan boleh menggugat kepercayaan awam terhadap mahkamah.

Ini kerana mahkamah sebagai badan kehakiman tidak boleh mencampuri urusan badan eksekutif, begitulah sebaliknya. Kedua badan ini dalam kuasa berbeza. Demikian ditegaskan oleh Ahli MPT KeADILan juga bekas Ketua Perhubungan KeADILan Sabah, Hj Ansari Abdullah yang telah 30 tahun lebih terlibat sebagai pengamal undang-undang.

Menurut Hj Ansari, apabila badan eksekutif seperti DUN atau Parlimen membuat keputusan, maka SPR kena akur dan hormati keputusan yang telah dibuat oleh Speaker Dewan yang melaksana kuasa di bawah arahan tetap standing order.

Beliau kecewa apabila melihat Speaker DUN Perak dan Kedah terpaksa turun naik mahkamah untuk mempertahankan keputusan mereka. Sepatutnya perkara ini tidak akan berlaku sekiranya semua pihak terutama SPR menghormati bidang kuasa masing-masing.

Namun demikian, beliau menganggap keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar tepat kerana mengembalikan kuasa pemutus kepada speaker DUN dan mengikut undang-undang sedia ada. Hj Ansari juga menyokong penuh kenyataan Tengku Razaleigh Hamzah berhubung tindakan-tindakan yang mencemar institusi kehakiman.

Institusi kehakiman kita terus merudum semenjak pemecatan Tun Salleh Abas pada tahun 1988 dan telah mendapat teguran pedas Bapa kemerdekaan Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra yang menyatakan tahun 1988 merupakan tahun terburuk dalam institusi kehakiman semenjak merdeka. Keputusan-keputusan mutakhir ini juga menunjukan bagaikan ada campurtangan dalam membuat keputusan.

Kes Video Linggam, Menteri Besar Perak, ADUN katak Perak dan Persiangan memperlihatkan keputusan akan menyebelahi BN sekiranya kes dibawa ke mahkamah Rayuan. Tidak mustahil kes Kota Siputeh akan menjadi seperti kes Persiangan dan akan menambah hitamkan lagi institusi kehakiman.

Search This Blog