Tuesday, May 19, 2009

HJ NIZAR BERPELUANG MENGADAP TUANKU

YAB Dato' Seri Hj Nizar berpeluang mengadap Tuanku Raja Nazrin tengahari tadi di Istana Iskandariyyah selepas selesai Majlis Anugerah Pingat & Bintang. Demikian dinyatakan oleh Hj Nizar dalam taklimat ringkasnya di Mesyuarat Perhubungan PAS Perak tadi.

Dalam kesempatan yang singkat itu, digunakan oleh Hj Nizar bagi memohon maaf bagi pihak PR dan rakyat Perak sepanjang tiga bulan sebelum ini sekiranya apa sahaja insiden yang berlaku mengguris hati Tuanku.

Beliau juga bagi pihak PR mengucapkan takziah di atas kemangkatan Kekanda Tuanku Sultan Azlan Shah yang juga bapa saudara Raja Nazrin.

Kesempatan itu juga digunakan oleh Dato' Seri secara berterus terang dengan penuh berhimah memberi pandangan-pandangan terhadap senario dan kemelut politik di Perak. Dato' Seri merayu supaya Tuanku memberi penghormatan kepada rakyat untuk memilih semula kerajaan di negeri Perak, kerana melalui pembubaran DUN sahajalah kemelut ini akan berakhir.

Pakatan Rakyat akan menghormati pendirian dan keputusan rakyat yang samada memilih Pakatan Rakyat ataupun Barisan Nasional. Dato' Seri juga memberi pandangan supaya tidak ada sidang DUN diadakan dalam tempoh terdekat selagi kemelut politik ini belum berakhir, beliau memberi gambaran insiden sidang DUN 7 Mei yang lalu dibimbangi akan berulang semula sekiranya sidang DUN diadakan juga, dan ianya akan hanya memalukan imej Tuanku dan negeri Perak.

Sebelum ini beliau juga memberi pandangan kepada Sahibus Samahah Dato' Seri Mufti Perak tentang kemelut politik di Perak, beliau merayu supaya Dato' Mufti turut memainkan peranan dengan membantu agar penyelesaian kemelut politik melalui pembubaran DUN.

Pertemuan singkat antara YAB Dato' Seri Hj Nizar dengan DYTM Raja Nazrin merupakan pertemuan yang cukup berharga walaupun pertemuan tidak rasmi. Mesej rakyat yang mahukan DUN dibubarkan telah disampaikan oleh Hj Nizar. Kini, semuanya terserah kepada Tuanku, mesej rakyat telahpun disampaikan oleh Dato' Seri Hj Nizar. Diharap rakyat terus solat Hajat dan bermunajat mudah-mudahan dilembutkan hati Tuanku bagi memperkenan DUN Perak dibubarkan.

Umno/BN hilang maruah diteraju pemimpin dayus

Keputusan jamaah kabinet yang diterajui Pengerusi BN merangkap Perdana Menteri, Najib Razak untuk tidak menyertai Pilihanraya Kecil N.12 Penanti bukan sekadar mencipta satu sejarah sejak 63 tahun Umno bertapak dinegara ini malah menjadi penanda aras yang membuktikan umno/BN telah kehilangan kepemimpinan serta maruahnya.

Dalam dimensi yang sama, kepimpinan parti yang menerajui negara ini sejak lebih 52 tahun itu seolah-olah telah direntap oleh suatu kuasa ketakutan sehingga menghilangkan jati diri dan keperkasaannya . Ini sekali gus meletakkan segala harapan dan sandaran yang menjadi tunjang kepada keyakinan rakyat selama ini terhadap parti dan pemimpin-pemimpinnya hilang dan hancur hanya disebabkan oleh sebuah keputusan dari kepimpinan yang tidak sanggup merempuh cabaran, tidak punya semangat juang dan bersikap dayus.

Cerminan yang dapat disimpulkan dari keputusan dayus itu adalah suatu pengiktirafan yang tidak dapat disangkal lagi bahawa lawan Umno/BN iaitu Pakatan Rakyat terlalu kuat sehingga tidak sanggup ditentang oleh Umno ataupun mana-mana komponen BN pun.Pengiktirafan ini tidak pernah diperoleh oleh Pembangkang sebelum ini. Ini juga merupakan sejarah baru yang memihak kepada musuh BN itu.

Inilah yang nyata dapat disedari dan lihat oleh rakyat sejak Najib memegang tampuk kepimpinan negara dari Tun Abdullah pada Mac lalu.

Berdasarkan personalitinya, Najib adalah seorang pemimpin yang lahir dalam keluarga bangsawan yang mana perjalanan politiknya sentiasa dihampari permaidani merah.Najib tidak pernah dicabar ketika dalam Umno.Pengaruh Anwar Ibrahim yang mana Najib juga tergolong dalam team wawasan pimpinan Anwar ketika Anwar didalam Umno dahulu meletakkan beliau lebih bernasib baik dalam mencipta nama dalam Umno.

Najib yang terkenal dengan sikap ‘play safe’ yang pernah disindir oleh kebanyakan pemimpin-pemimpin Umno termasuk timbalan beliau Muhyiddin Yassin, memperlihatkan imej kepimpinan beliau hanya sekadar menumpang ‘aura’ bapa beliau, Tun Razak.

Kegagalan Najib untuk meletakkan calon BN di penanti bukan sahaja mencemarkan kredibiliti Umno/BN yang membenarkan kenyataan bahawa Umno semakin daif malah semua komponen dibawah BN juga semakin longlai walhal menang dan kalah adalah adat bertanding.

Pakatan Rakyat yang dibarisi PAS, DAP dan KeADILan telah mengalami detik-detik keperitan akibat tewas dalam pilihanraya hampir 50 tahun sebelum mencatat kebanggaan pada Pilihanraya Umum Mac tahun lalu.

Kesan dari kesabaran, keperkasaan dalam mempertahan maruah parti serta dipimpin oleh pemimpin yang berani menghadapi pelbagai halangan dan fitnah seperti Anwar Ibrahim, Lim kit Siang dan Hadi Awang serta berpulluh-puluh lagi pemimpinan yang pernah meringkuk dipenjara serta di aniaya akhirnya PR berjaya meyakinkan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Bekas Setiausaha Amerika, Hendry Kissingger berkata kekuatan sesebuah parti politik itu 85 peratusnya terletak pada ketahanan jiwa pemimpinnya, 10 peratus terletak pada orang bawahannya dan lima peratus lagi terletak pada lambang partinya.

Tindakan Najib mengaku kalah sebelum bersabung secara jangka panjangnya akan melibatkan krisis keyakinan rakyat terhadap kepimpinan beliau melebihi dari situasi parti pimpinanya sering kalah dalam pilihanraya.

Rakyat menyedari bahawa seorang pemimpin yang tulin adalah mereka yang berani dan sanggup menghadapi kesukaran, keiaban, fitnah dan pelbagai resam cabaran. Kebanyakan negara di dunia sedang bergelut menghadapi tekanan ekonomi akibat krisis ekonomi dunia tetapi Malaysia sedang berada dalam indeks yang lebih merbahawa kerana selain krisis ekonomi, krisis politik dan perlembagaan dinegara ini sedang meniti saat yang amat menakutkan.

Krisis perlembagaan di Perak telah meletakkan negara ini sebaris dengan Zimbabwe dan beberapa negara Afrika lain kata Lim Kit Siang. Institusi polis yang diamanahkan untuk menjaga keselamatan negara serta memelihara keluhuran perlembagaan di negara ini telah menodai amanah tersebut dengan menceroboh Dun Perak pada 7 Mei lalu. Pada 3 Mac lalu pula bertindak menghalang Adun dari mengadakan persidangan sehingga sejarah tercipta bila Adun terpaksa bersidang di bawah pokok.

Ketidak stabilan ekonomi yang disertai oleh kemelut perlembagaan serta salah guna pihak polis meletakkan negara dan rakyat sedang berada diambang yang terlalu takut untuk dibayangkan.Pemimpin yang tidak bermaruah dan bersikap dayus mampu dan akan bertindak melarikan diri sekiranya apa-apa berlaku terhadap negara ini. malah pemimpin dayus sebegitu akan sanggup mempergunbakan apa sahaja termasuk polis, tentera dan istana untuk dijadikan benteng pertahanan.

Ini tidak menghairankan setelah RM67 billion wang rakyat dan wang negara telah berjaya diperoleh mandat untuk dikuasai. Kuasa wang tersebut juga akan mampu dibeli untuk memujuk, menyogok dan mengugut bagi mendapatkan kuasa kembali walaupun itu bukan restu dari rakyat.

Saidina Ali berkata pemimpin atau orang yang dayus ibarat orang yang hampir karam dan akan mengapai apa sahaja yang ada untuk menyelamatkan diri. Menurut Saidina Ali lagi, pemimpin yang dayus tidak lagi mempertikaikan pertimbangan baik dan buruk serta haram dan halalnya kerana matlamatnya hanya satu aiatu untuk menyelamatkan diri.Apa yang lebih menakutkan kata Saidina Ali, Pemimpin yang dayus tidak akan mencium syurga.

Azizan tak tanding Timbalan Presiden PAS

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak hari ini menarik diri daripada merebut jawatan timbalan presiden Pas pada Muktamar Agung parti itu bulan depan.

Pesuruhjaya Pas Kedah itu berkata, keputusannya disebabkan beliau mahu menumpukan kepada kerja pembangunan negeri dan parti di peringkat negeri.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, Azizan berkata beliau akan bertanding mempertahankan jawatan anggota jawatankuasa kerja pusat yang disandangnya sejak lebih 10 tahun.

"Saya telah lama dalam parti dan jika ada orang lain yang lebih layak dan lebih muda, berilah peluang kepada mereka untuk memimpin Pas di peringkat nasional", katanya. BERNAMA

DUN S'gor: Khir Toyo digantung setahun


Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor telah menggantung ketua pembangkang dan bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo daripada menghadiri sidang DUN selama setahun.

Tindakan itu diambil ekoran kegagalan beliau menghadiri siasatan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) Selangor Mac lalu berhubung perbelanjaan dana agensi kerajaan negeri.

Jawatankuasa itu - di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor - juga mendapati beliau bersalah terhadap tiga tuduhan membuat kenyataan yang menghina legitimasi Selcat, dalam media dalam dalam blognya.

khir toyo and selangor state assemblyEkoran itu, Dr Mohd Khir yang juga ketua pembangkang di DUN Selangor digantung selama setahun daripada menghdiri sidang DUN kerana gagal menghadiri siasatan awam tersebut, dan digantung masing-masing enam bulan bagi setiap tuduhan tersebut.

Kesemua elaun dan keistimewaan yang diterima Dr Mohd Khir Toyo sebagai seorang ADUN, juga digantung.

Jawatankuasa itu juga menggantung empat lagi ADUN BN Warno Dogol (Sabak), Isa Abdul Kasim (Batang Kali), Marsum Paing (Dengkil) dan Mohamad Idris Abu Bakar (Hulu Bernam) selama enam bulan kerana mempersoalkan integriti Selcat.

Elaun dan keistimewaan mereka juga turut digantung sepanjang tempoh hukuman tersebut.

Ia diumumkan oleh Speaker DUN Selangor, Teng Chang Khim selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa hak dan keistimewaan tersebut di Shah Alalm untuk membincangkan perkara tersebut.

Bagaimanapun, Teng berkata, hukuman itu merupakan syor yang dibuat jawatankuasa tersebut.

Syor tersebut, katanya, akan dibentang di sidang DUN Julai depan untuk dibahas dan setiap wakil rakyat termasuk Dr Mohd Khir akan diberi peluang membahaskannya.

Dalam siasatan Selcat selama lapan hari Mac lalu, para saksi memberi keterangan bahawa berjuta-juta ringgit dana syarikat pelaburan kerajaan negeri, telah disalahguna oleh Balkis - Badan Kebajikan dan Amal Isteri Wakil-wakil Rakyat BN Selangor - yang dipengerusikan oleh isteri Dr Mohd Khir - Datin Zaharah Kechik - sewaktu beliau menjadi menteri besar.

Sementara itu, ketika dihubungi selepas pengumuman tersebut dibuat, Dr Mohd Khir berkata beliau belum menerima surat berhubung hukuman tersebut.

Bagaimanapun, katanya, beliau akan meminta peguamnya mengkaji perkara itu sebelum memutuskan tindakan selanjutnya.

BN cenderung bubar DUN Perak?

Kata sepakat dalam Barisan Nasional (BN) memutuskan bahawa walaupun keputusan mahkamah rayuan Khamis ini memihak kepada parti itu, Sultan Perak akan tetap dipohon membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu supaya pilihan raya semula dapat diadakan, laporkan Malaysian Insider semalam.

Jika laporan itu benar, Ketua Penerangan PAS, Haji Mahfuz Omar menyifatkan keputusan itu lebih baik dari tindakan melepaskan beban kepada Sultan Perak.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, terserah kepada Sultan Perak Sultan Azlan Shah untuk memutuskan sama ada DUN Perak harus dibubarkan atau tidak.

"Jangan bebankan Sultan untuk menanggung kesan politik gangster yang menakut-nakut serta memperalatkan orang yang menghadapi tuduhan rasuah, menyekat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di tengah jalan kononnya kerana Raja Muda hendak berjumpa dan mengumpan rasuah.

"Jika benar Najib dan BN bersedia berhadapan dengan rakyat dan akan memohon Sultan membubarkan DUN, ia sepatutnya dilakukan lama dahulu dan bukan bertindak memburukkan lagi krisis politik di Perak," katanya.

Menurut Malaysian Insider, krisis Perak adalah agenda utama yang dibincangkan dalam mesyuarat BN semalam.

Parti itu takut menghadapi semakin meluasnya persepsi rakyat yang melihat BN sebagai pihak yang bertindak jahat dalam krisis itu.

Jika meluasnya persepsi itu tidak ditangani, BN akan kehilangan lebih banyak kredibiliti.

Beberapa pemimpin BN memberitahu Malaysian Insider tentang betapa berkesannya tindakan Pakatan Rakyat (PR) menggambarkan BN sebagai perampas kuasa.

Kesediaan BN untuk membubarkan DUN Perak itu dilihat bertujuan mengurangkan bencana yang bakal dihadapinya di mana besar kemungkinan parti itu akan ditolak terus oleh rakyat.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyarankan supaya BN mengemukakan undi tidak percaya terhadap Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin jika mempunyai suara majoriti dalam DUN Perak.

Beliau berpendapat, BN akan kalah jika DUN dibubarkan untuk memberi laluan bagi pilihan raya baru.

"Kalau nak buat pilihan raya, kita sudah tahu apa kesudahannya.

"Pakatan akan menang jadi mengapa kita nak adakan pilihan raya, tapi itu hanya pandangan saya. Saya tak buat apa-apa survey, undian. Ia hanya pandangan saya selepas melihat perkembangan di Bukit Gantang dan juga cakap-cakap dengan orang," katanya_

Krisis Perak: Najib Main Politik

Menteri Besar Perak yang sah Datuk Seri Nizar Jamaluddin menyifatkan tawaran BN untuk berunding bagi menyelesaikan kemelut Perak terbukti tidak lebih daripada gimik politik.

“Ini adalah gimik politik Najib mempergunakan Pakatan untuk meraih kembali sokongan rakyat,” kata Nizar.

“Beliau adalah dalang krisis ini. Najib lah yang merampas kuasa dari kita dan amat tidak masuk akal tiba-tiba dia menyeru kepada pertemuan, dan saya fikir pertemuan antara kita tidak akan membawa kepada apa-apa pun.” kata Nizar.

“Ia tidak lebih dari omong kosong Najib untuk mendapatkan semula simpati rakyat. Kini, dia meletakkan segala tanggungjawab menentukan nasib Perak kepada Zambry (Kadir) dan Tuanku Sultan (Azlan Shah),” tambah beliau lagi.

“Jika Najib benar-benar ikhlas menghormati hak rakyat seperti yang beliau laung-laungkan dalam dasar 1Malaysia, maka ini adalah peluang keemasan untuk beliau menyokong pembubaran DUN Perak supaya pilihanraya negeri diadakan. Najib sepatutnya mempunyai kekuatan untuk mengotakan laungannya,” kata Nizar.

Minggu lalu, Najib mengumumkan beliau bersedia mengadakan perbincangan dengan pimpinan Pakatan Rakyat. Namun kurang 48 jam kemudian, Najib berkata rundingan itu akan diadakan pada masa sesuai kerana kononnya beliau mahu menilai keikhlasan Pakatan Rakyat.

Beliau berkata pembubaran DUN adalah dalam kuasa Sultan tetapi enggan menyatakan sama ada UMNO sanggup menyokong membuat usul sedemikian kepada Sultan.

Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat turut menolak pelawaaan Najib dan mengulangi pendirian beliau supaya Dun Perak di bubarkan bagi membuka jalan kepada pilihanraya baru.

Ketua Umum Keadilan, Anwar Ibrahim, berkata Pakatan tidak akan berganjak daripada pendirian mahu rakyat diberi hak memilih kerajaan negeri.

Beliau berkata pertemuan dengan Najib boleh diadakan jika tujuannya untuk menguatkan kembali asas-asas demokrasi di Perak.

Minggu lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Nizar adalah Menteri Besar yang sah dan bukan Zambry. Sehari selepas itu Zambry mendapatkan perintah Mahkamah Rayuan untuk menangguh keputusan berkenaan.

Pada Khamis ini , Mahkamah Rayuan akan mendengar rayuan Zambry terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dan permohonan Nizar mengenepikan penangguhan keputusan itu.

Loceng Kematian Umno-BN Menanti Di Penanti

Ketakutan Najib Razak sudah memuncak. Hari ini setelah penantian yang lama beliau membuat keputusan untuk tidak bertanding pada pilihan raya kecil N12 Penanti. Keputusan itu bukannya sesuatu yang mengejutkan dan tidak disangka.

Sedari awal Najib sudah membayangkan kemungkinan BN tidak menyertai PRK kali ini atas alasan tidak mahu membazirkan wang ringgit rakyat. Rakyat kebanyakan gelak ketawa apabila seorang Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan yang sedemikian rupa apatah lagi reaksi golongan rakyat yang berpendidikan apabila mendengar alasan sebegitu rupa.

Rakyat daripada semua lapisan umum tahu dan mengerti perkataan jimat adalah amat asing bagi Umno dan Barisan Nasional. BN mewakili projek mega, kronisma, nepotisma, pembaziran, penyelewengan, kerakusan, ketamakan dan segala sifat yang melampau. Jimat tidak ada dalam kamus Umno dan BN jadi apabila Najib kata hendak berjimat ia adalah satu pembohongan yang nyata.

Yang jelas Najib tidak sanggup lagi berhadapan dengan kekalahan demi kekalahan yang terpaksa diterima BN sejak tsunami politik pada Pilihan Raya Umum ke 12 tahun 2008. Kekalahan di Penanti bakal menunggu BN sekiranya ia bertanding tetapi hakikatnya BN sudah hilang selera untuk menerima kekalahan lagi. Walaupun Penanti adalah dalam kawasan kubu kuat Pakatan Rakyat tidak pernah dalam sejarah pilihan raya negara ini parti besar seperti BN menolak untuk masuk gelanggang bertarung denganb lawan. Tapi di Penanti BN angkat bendera putih sejak awalan lagi. Memutuskan untuk tidak bertanding samalah seperti mengaku kalah.

Najib telah menghampakan ramai pihak dalam Umno dan BN. Pertama sudah tentu mentor politik beliau yang mahu BN bertanding di Penanti. Juga yang "frust" termasuk Umno Bahagian Permatang Pauh yang mahukan kerusi tersebut untuk calonnya. Najib sanggup melukakan perasaan pendokong partinya demi menyelamatkan politik beliau.

Selain takut kalah faktor utama yang mencorakkan keputusan BN menarik diri dari Penanti ialah krisis politik Perak yang terus menerus menghantui Najib. Rampasan kuasa yang dirancang oleh Najib boleh diandaikan sebagai satu raksasa yang sudah terputus talinya dan kini berada diluar kawalan tuannya. Najib sudah kehabisan ide untuk mencari jalan menghalalkan kerajaan haram yang dibentuknya di bawah budak suruhan beliau, Zambry Abd Kadir. Najib masih tercari-cari dalam kegelapan satu bentuk penyelesaian yang menguntungkan Umno dan BN tanpa mendahulukan kepentingan rakyat dan negeri Perak. Berapa lama lagikah Najib boleh bertahan dan menolak desakan rakyat supaya Dewan Undangan Negeri dibubarkan? Isu Perak telah memeningkan kepala Najib dan BN sehingga mendesak mereka untuk mengabaikan PRK Penanti.

Sekiranya tidak ada calon bebas yang mahu bertanding menentang calon Pakatan Rakyat, Dr Mansor Othman sudah tentu PRK Penanti akan menjadi "walkover" bagi Pakatan Rakyat dan tidak payah Suruhanjaya Pilihan Raya mengguna dana awam untuk menguruskan PRK ini. Tetapi inilah realiti sebuah sistem pemerintahan yang berteraskan demokrasi, suara rakyat berkuasa menentukan siapa pemimpin yang mereka mahu. Umno dan BN cuba mematikan api demokrasi yang hidup dalam sanubari rakyat dengan memperlecehkan pilihan raya bila mana peluang kemenangan tidak memihak kepada mereka.

Pilihan raya hanya penting kepada Bn sekiranya ia boleh dimanipulasi semaksima mungkin dengan menggunakan SPR. SPR sebagai budak suruhan Umno dan BN akan bertindak bagai lembu yang dicucuk hidungnya, mengikut apa saja yang diingini oleh tuannya.

Lihat saja di Penanti; belum apa-apa SPR sudah mengeluarkan arahan-arahan pelik yang ia sendiri tahu melanggar undang-undang pilihan raya sedia ada. Larangan mendirikan pondok panas dan menghadkan jumlah penyokong yang mengiringi calon pada hari penamaan calon dikhaskan kepada PRK Penanti. Di Bukit Selambau dan Bukit Gantang pula Kementerian Dalam Negeridiperkudakan Umno dan BN dengan melarang menimbulkan isu pembunuhan Altantuya Shaariibuu dan mempersoalkan keputusan dibuat institusi Raja. Apa pun kekangan yang cuba diimplementasi oleh BN rakyat akan tetap menang.

Kuasa rakyat tidak boleh diperkecilkan lagi. Apa yang BN mampu buat hanya melambatkan sedikit saat kematiannya ditangan rakyat dengan menyalahgunakan semua institusi demokrasi.Meskipun demikian putaran jam takdir Umno dan BN semakin laju mengejarnya dan loceng kematiannya akan berbunyi sedikit masa lagi.

PRK DUN PENANTI : UMNO TIDAK MAHU DIMALUKAN SEKALI LAGI

Najib boleh cakap apa sahaja alasan untuk tidak bertanding. Rakyat tetap percaya, UMNO BN tidak berani bertanding kerana tidak mahu dimalukan sekali lagi. Alasan pembaziran tidak boleh diterima. Siapa yang membazir duit rakyat kalau bukan BN. BN boleh bertanding macam PR bertanding.

Perbelanjaan yang BN keluar sama juga macam PR keluar, deposit calon dan poster, perbelanjaan sepanjang tempoh kempen. Jangan rasuah pengundi dengan duit, jangan buat projek mee segera yang menelan belanja berjuta-juta, polis tidak perlu kerah seluruh anggota sehingga berbelas juta hangus untuk perbelanjaan polis, FRU, SB dan sebagainya.

Jangan upah petugas dengan bayaran tinggi, jangan upah samseng, jangan beli pengundi, jangan buat jamuan makan besar-besar, jangan libatkan jentera kerajaan, agensi kerajaan dan sebagainya untuk menganjurkan program sempena pilihanraya, jangan luluskan apa sahaja projek atau peruntukan sepanjang kempen.

Insya Allah kalau UMNO BN tidak buat semua itu, perbelanjaan pilihanraya tidak membazir. Biar SPR sahaja yang boleh guna peruntukkan untuk pilihanraya, cetak kertas undi, perbelanjaan pegawai dan petugas-petugas SPR sahaja.

UMNO tidak akan berbuat demikian, pasti kalah lagi teruk, berbuat demikian pun kalah juga di Permatang Pauh, Kuala Terenggganu, Bukit Selambau dan Bukit Gantang.

Pengalaman PAS bertanding dalam pilihanraya peringkat DUN paling tinggi pun tak sampai mencecah RM 100 ribu. Jadi, yang membazir adalah UMNO BN. Duit kerajaan diguna untuk kepentingan UMNO BN. Pilihanraya kecil yang lain sekalipun sebab kematian atau sebab hilang kelayakan sebagai ADUN seperti bangkrap dan disabitkan kesalahan jenayah, UMNO BN tetap akan membazirkan wang rakyat juga.

Kesimpulannya UMNO BN tidak letak calon sebab tidak mahu sekali lagi dimalukan oleh rakyat dan Pakatan Rakyat. Kali ini giliran UMNO BN akan kalah berterusan dalam pilihanraya kecil sehinggalah ke pilihanraya umum. Itu sebab UMNO BN begitu takut kalau DUN Perak dibubarkan.

Mahkamah Tinggi: Sultan tidak boleh pecat MB

Sultan Perak Sultan Azlan Shah tidak boleh memecat Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dari jawatannya kerana beliau (menteri besar) tidak memegang jawatan itu atas perkenan baginda.

Ini keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim pada 11 Mei lalu, bila beliau mengisytiharkan Nizar sebagai menteri besar Perak yang sah.

Dalam penghakiman 78-muka yang dikeluarkan kepada media hari ini, Abdul Aziz berkata sebaik saja menteri besar dilantik, beliau dan majlis exconya bertanggungjawab kepada Dewan Undangan Negeri dan tiada siapa lain.

Beliau berkata ini menurut fasal (2), (5), (6) dan (7) Artikel 16 Undang-undang Tubuh Negeri Perak, lapor Bernama.

"Sebaik saja menteri besar dilantik, menteri besar mentadbir negeri menerusi Majlis Eksekutif dan menasihatkan Sultan mengenai hal ehwal negeri sebagaimana diperuntukkan di bawah Artikel 18 (1) Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

Hakim Abdul Aziz berkata Sultan bertindak atas nasihat kecuali dalam perkara di mana Undang-undang Tubuh Negeri Perak memperuntukkan bahawa Baginda boleh bertindak atas budibicara baginda semata-mata.

Beliau berkata berdasarkan peruntukan dalam Artikel 16, ia mensyaratkan bahawa dewan undangan adalah pihak yang menentukan sama ada ia menaruh keyakinan terhadap menteri besar selaku ketua majlis eksekutif menerusi undi tidak percaya terhadap menteri besar.

"Saya berpendapat bahawa pemecatan menteri besar oleh Baginda atau oleh sesiapa lain tidak sekali-kali dipertimbangkan di bawah Artikel 16 (6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak," katanya.

Beliau berkata fasal 7 Artikel 16 undang-undang tubuh itu memperuntukkan bahawa kecuali menteri besar, anggota-anggota lain Majlis Eksekutif memegang jawatan atas perkenan Sultan dan mereka (anggota eksekutif) boleh dipecat dari jawatan oleh Sultan yang bertindak atas nasihat menteri besar.

Abdul Aziz berkata Sultan Perak telah menemui dan menginterbiu tiga anggota dewan negeri yang menjadi anggota bebas dan seorang lagi anggota dewan yang sebelumnya keluar dari Barisan Nasional (BN) tetapi kemudian menyertai semula parti itu dan mereka memberitahu Sultan tentang sokongan mereka kepada BN secara sukarela tanpa dipaksa oleh mana-mana pihak.

Abdul Aziz, bagaimanapun berkata, walaupun menerusi pertanyaan Sultan, Baginda berpendapat Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mendapat sokongan majoriti anggota dewan undangan negeri, ini tidak bermakna Baginda boleh membuat keputusan bahawa Mohammad Nizar tidak lagi mendapat keyakinan majoriti dewan berkenaan.

Beliau berkata pendapat peribadi atau keputusan Sultan tidak relevan kepada maksud Artikel 16 (6) yang memperuntukkan bahawa "jika menteri besar tidak lagi mendapat keyakinan majoriti anggota dewan undangan, maka, kecuali atas permintaannya, Baginda membubarkan dewan, beliau dikehendaki mengemukakan peletakan jawatan majlis eksekutif".

Abdul Aziz mendengar prosiding semakan kehakiman yang dibawa oleh Nizar, 52, memohon writ "quo warranto" dikeluarkan terhadap Zambry untuk memberi sebab atas asas apa atau kuasa apa beliau adalah menteri besar yang sah.

Abdul Aziz kemudian mengisytiharkan Nizar sebagai menteri besar yang sah selepas memutuskan bahawa beliau (Nizar) tidak pernah melepaskan jawatan menteri besar oleh kerana beliau tidak kehilangan keyakinan majoriti dewan undangan negeri.

Nizar, dilantik sebagai menteri besar pada 17 Mac tahun lepas selepas pakatan DAP-PKR-PAS memenangi 31 kerusi dalam plihanraya umum ke-12.

Kedua-dua pihak, bagaimanapun, mempunyai 28 kerusi masing-masing, selepas tiga anggota dewan dari pakatan itu keluar parti untuk menjadi anggota bebas dan yang keempat melompat semula dari PKR kepada Umno.

Sultan kemudian meminta Nizar meletak jawatan menteri besar dan Zambry mengangkat sumpah selepas mengisytiharkan bahawa BN mempunyai majoriti di dewan undangan negeri.

Mahkamah Rayuan, pada 12 Mei, membenarkan perintah penangguhan keputusan itu kepada Zambry dan menetapkan Khamis ini untuk mendengar bersama permohonan Nizar mengetepikan perintah penangguhan.

Dalam penghakimannya, Hakim Abdul Aziz juga berkata beliau tidak meragui bahawa Sultan mempunyai budibicara mutlak berhubung pelantikan menteri besar dan tidak memperkenan permintaan bagi pembubaran dewan undangan negeri.

"Saya tidak pernah meragui tentang pelaksanaan prerogatif diraja untuk melantik seorang menteri besar mengikut Artikel 16 (2) Undang-undang Tubuh Negeri Perak semata-mata berdasarkan pendapat peribadi Baginda.

"Dan bahawa Baginda boleh memilih apa carapun bagi memuaskan hati dan membuat keputusan sewajarnya tentang siapa yang mendapat keyakinan majoriti dewan undangan negeri hingga beliau boleh dilantik sebagai menteri besar untuk memimpin majlis eksekutif," katanya.

Abdul Aziz bagaimanapun berkata perkara yang sama tidak boleh dilakukan berhubung Artikel 16 (6) dalam memutuskan sama ada menteri besar tidak lagi mendapat keyakinan majoriti anggota dewan undangan.

Monday, May 18, 2009

DUN Penanti: BN tidak bertanding

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) memutuskan untuk tidak meletakkan calon pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti yang dijadual 31 Mei ini.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang dipengerusikan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Pilihan raya kecil DUN Penanti diadakan berikutan penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti 16 April lalu.

Malah PKR juga telah mengumumkan calon mereka untuk bertanding di Penanti iaitu Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Mansor Othman, 56.

Selain PKR, calon bebas, Aminah Abdullah, 56, bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, turut menyatakan hasrat untuk bertanding.

Najib bagaimanapun sebelum ini pernah membayangkan bahawa BN mungkin tidak akan meletakkan calon pada pilihan raya kecil Penanti yang dijadual pada 31 Mei ini.

Syabas diatas keputusan tersebut..Memang jelas BN mengutamakan kepentingan rakyat..Adalah di syorkan juga di PRU akan datang BN jangan bertanding lansung..Dengan ini sudah tentu banyak wang RAKYAT dan NEGARA tidak membazir.

Nizar mohon kesnya didengar lima hakim Mahkamah Rayuan

PUTRAJAYA: Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini mengemukakan permohonan bagi mendapatkan panel lima hakim Mahkamah Rayuan untuk mendengar permohonannya mengetepikan keputusan mahkamah itu minggu lepas yang membenarkan penangguhan pengisytiharan Mahkamah Tinggi bahawa beliau adalah Menteri Besar Perak yang sah.

Peguam Leong Cheok Keng, yang mewakili Mohammad Nizar, ketika dihubungi berkata, surat permohonan itu telah dihantar melalui faks ke pejabat Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan di sini, pada pukul 4 petang tadi.

Alasan permohonan itu ialah kerana kes tersebut, yang ditetapkan pendengarannya Khamis ini, membabitkan kepentingan awam, selain melibatkan isu dan persoalan perlembagaan, katanya.

Pada 11 Mei, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Aziz Ab Rahim mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah kerana mendapati Mohammad Nizar tidak pernah mengosongkan jawatan sebagai Menteri Besar kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota Dewan Undangan Negeri.

Berikutan keputusan itu, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengemukakan permohonan penangguhan pelaksanaan pengisytiharan itu yang telah didengar dan dibenarkan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Ramly Ali.

Mohammad Nizar kemudian memfailkan permohonan Rabu lalu untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan itu.

TERKINI : Kenyataan mengenai pembubaran DUN Perak

Khalil Idham Lim
ADUn Titi Serong

Setakat makluman yang saya ketahui bahawa memang telah berlaku satu pertemuan dengan pihak Istana di Kuala Lumpur pada petang kelmarin di mana Dr. Zambry Abdul Kadir dan rombongan antaranya Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Kerajaan Negeri telah diterima mengadap di Istana Changkat di Kuala Lumpur.

Namun tidak ada pengesahan apakah yang dibincang dan apakah keputusan dari perbincangan itu.

Oleh itu saya memohon dari semua pihak khususnya para penyokong Pakatan Rakyat supaya tetap bersabar dengan keadaan sekarang ini. Segala andaian dan pengumuman yang tidak ada asas dan sumber yang tidak jelas saya harap diabaikan bagi mengelakkan kembimbangan dan penyebaran berita yang tidak benar dan meresahkan masyarakat.


Apabila yang haram jadi Menteri Besar

Semua pihak sudah sepakat supaya Dun dibubarkan. Pemimpin MCA dan Gerakan sudah membuat pendirian, Tengku Razaleigh juga telah memberi pandangan. Suhakam dan pengamal undang-undang juga mahukan Dun dibubarkan sebagai jalan keluar. Yang tidak mahu kerana percaya BN akan kalah hanyalah Tun Dr Mahathir.

MINGGU lepas suasana politik negara kita agak aneh. Dalam suasana tegang kerana penyalahgunaan pasukan keselamatan untuk menjaga 'keselamatan' kuasa politik Umno/BN, tiba-tiba 13 tahanan ISA dibebaskan.

Saya amat kesal sekali dengan kejadian pencerobohan oleh satu kumpulan yang dikatakan 'pasukan keselamatan' ke atas Dun Perak, sedangkan di luar pejabat SUK Perak, sejumlah polis sedang menyekat kebebasan rakyat untuk bergerak, berhimpun dan berpendirian politik.

Saya rasa ini kali pertama dalam sejarah negara kita sidang Dun dicemari oleh penceroboh yang bersenjata. Hal ini tidak akan berlaku sekiranya BN tidak melakukan rampasan kuasa pada Februari 2009 lalu. Rampasan kuasa ini walaupun kelihatan seperti mendapat restu istana, tetapi rakyat telah membuat penghakiman bahawa ia adalah sesuatu yang tidak baik.

Kerana pendirian tegas rakyat di Bukit Gantang dan Bukit Selambau yang menolak politik ugut, culik, paksa dan rasuah yang diamalkan oleh Umno/BN, maka ketika bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Mohd Fairuz Khairuddin meletakkan jawatan sebagai Adun Penanti, pemimpin BN mempertikaikannya. Bahkan, Najib Razak awal-awal sudah membayangkan kemungkinan BN tidak bertanding. Sebabnya hanya satu... takut kalah lagi.

Dalam keadaan politik ketakutan ini, nampaknya M Manoharan, Adun Kota Alam Shah lebih licik apabila beliau membuat ugutan untuk meletakkan jawatan jika tidak dibebaskan daripada tahanan ISA. Kerana terlalu takutkan pilihan raya kecil, Najib Razak tidak ada pilihan melain membebaskan Manoharan. Duabelas yang lain mendapat durian runtuh daripada pembebasan ini. Cerita tentang Penanti dan ISA ini menyinggung hidup saya kerana saya pernah ditahan ISA dan pernah juga bertanding di Parlimen Permatang Pauh yang Dun Penanti terletak di dalamnya.

Kerana sindrom takutkan pilihan raya atau lebih tepat lagi takutkan penghakiman rakyat, BN melakukan taktik kotor untuk mendapatkan kuasa. Dulu mereka merampas kerajaan Perak, baru-baru ini mereka melakukan rampasan jawatan Speaker Dun Perak secara tidak berperlembagaan. Keadaan sudah menjadi kecoh kerana Dun Perak tidak dapat bersidang dengan baik dan sempurna, bahkan dianggap tidak sah.

Umno/BN terpaksa mengadakan sidang tegesa-gesa ini untuk mengelakkan Dun terbubar dengan sendiri kerana sudah hampir enam bulan tidak bersidang. Dan mereka berusaha dengan cara yang jahat untuk menlantik Speaker haram, R Ganesan dengan tujuan membolehkan mereka mengemukakan undi tidak percaya kepada Datuk Seri Nizar Jamaluddin.

Telahan mereka memang tepat kerana selepas sidang tersebut, mahkamah telah mengisytiharkan Nizar adalah Menteri Besar yang sah. Maknanya Zambry Abdul Kadir adalah Menteri Besar haram!

Kini Umno tidak ada jalan lain kecuali memperalatkan mahkamah untuk menjatuhkan Nizar. Masalahnya kedudukan Speaker Dun masih tidak jelas. Jika Dun brsidang juga, ia akan menimbulkan keadaan politik yang lebih kecoh terutama sekiranya undi tidak percaya dibuat. Bukan soal Speaker, tetapi tentang kedudukan Zambry Abdul Kadir.

Jika BN membuat usul undi tidak percaya kepada Nizar, maka dengan sendirinya mereka memperakui bahawa tindakan mereka merampas kuasa dan melantik Zambry sebagai Menteri Besar adalah tidak sah dan haram di sisi undang-undang. Kerja buat Zambry sebagai Menteri Besar semenjak 6 Februari 2009 adalah haram juga. Gaji yang diambil oleh Zambry juga haram. Di mana maruah dan air muka Zambry sebagai Menteri Besar haram dalam isu ini. Ia bukan soal pandangan rakyat atau pendirian mahkamah, tetapi pengakuan Umno/BN sendiri yang akan dibuat melalui undi tidak percaya itu.

Undi tidak percaya hanya dibuat kepada Menteri Besar yang sah. Tidak pernah berlaku undi tidak percaya dikemukakan kepada bekas Menteri Besar atau kepada orang lain yang bukan Menteri Besar. Ini bermakna usul undi tidak percaya jika berlaku adalah satu pengiktirafan bahawa Nizar adalah Menteri Besar yang sebenar.

Dan sekiranya Nizar berjaya disingkirkan melalui undi tidak percaya, ini bermakna Zambry kena mengangkat sumpah semula kerana sumpah yang lama itu tidak sah hukumnya. Mana mungkin seseorang Menteri Besar itu dikenakan undi tidak percaya selepas Menteri Besar baru dilantik, melainkan dilantik Menteri Besar baru sesudah Menteri Besar lama dijatuhkan. Sumpah yang lama itu tidak laku, tidak sah dan haram. Walaupun Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Zambry untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi, namun kedudukan Zambry tetap haram.

Sekiranya Zambry memilih untuk menjatuhkan Nizar melalui undi tidak percaya dan dia mengangkat sumpah semula, ini bermakna Zambry memilih untuk memalukan Tuanku Sultan Perak. Baginda sudah tentu berasa malu kerana tindakan baginda memanggil Zambry mengangkat sumpah dahulu dianggap tidak sah, sedangkan baginda adalah bekas Ketua Hakim Negara.

Proses mengenakan undi tidak percaya ini dalam apa keadaan pun akan memalukan Sultan Perak. Pertama, baginda akan tercemar kerana telah melantik Zambry secara haram; kedua, baginda mendapat malu kerana mahkamah telah memutuskan Nizar yang dipecat oleh baginda sebagai Menteri Besar yang sah; dan ketiga baginda akan dimalukan lagi apabila Dun tidak mengiktiraf keputusan baginda dengan membuat usul tidak percaya kepada Nizar.

Dalam apa keadaan pun, baginda akan tercemar kerana permainan politik kotor BN yang didalangi sendiri oleh Najib Razak.

Tuanku Sultan Perak hanya ada satu pilihan untuk membersihkan nama baginda dan memulihkan keyakinan rakyat kepada istana, sekali gus menamatkan krisis politik ini iaitu dengan memperkenankan permohonan membubarkan Dun.

Semua pihak sudah sepakat supaya Dun dibubarkan. Pemimpin MCA dan Gerakan sudah membuat pendirian, Tengku Razaleigh juga telah memberi pandangan. Suhakam dan pengamal undang-undang juga mahukan Dun dibubarkan sebagai jalan keluar. Yang tidak mahu kerana percaya BN akan kalah hanyalah Tun Dr Mahathir.

Pemangku Sultan Perak sudah memberitahu bahawa istana berada di atas politik. Maknanya baginda tidak memihak. Sebagai ketua negeri, sudah tentu baginda mengutamakan rakyat Perak. BN berkata mereka mendahulukan rakyat juga dan inilah masa untuk membuktikannya. Jika Sultan Perak mengikut pendapat Mahathir yang tidak mahu pilihan raya, baginda akan dilihat memihak. Tetapi jika baginda membubarkan Dun semua rakyat akan berpuas hati kerana hak memilihkan kerajaan dikembalikan kepada rakyat, bukannya dengan membeli wakil rakyat.

Adakah BN tidak akan tanding DUN Penanti?

Adakah Barisan Nasional (BN) akan bertanding, atau ia akan memutuskan untuk tidak terbabit dalam pilihan raya kecil Penanti pada 31 M

Ia nampaknya menjadi topik perbualan yang hangat diperkatakan di kalangan pemimpin-pemimpin parti komponen BN semasa mereka menimbangkan pelbagai pilihan sebelum membuat sebarang keputusan muktamad pada mesyuarat Majlis Tertinggi di Putrajaya hari ini.

Kemungkinan BN tidak akan bertanding timbul selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dilaporkan berkata pilihan raya kecil yang tidak perlu adalah sesuatu yang membuang masa dan wang awam.

Penganalisis politik dan sumber dalaman parti melihat kenyataan ini sebagai tanda bahawa kepimpinan tertinggi BN mungkin menimbangkan untuk tidak bertanding kerana ia juga perlu mengambil kira kejerihan orang ramai terhadap perbalahan politik dalam negara.

Sejak pilihan raya pada Mac tahun lepas sehingga kini, Malaysia menyaksikan lima pilihan raya kecil.

"Saya secara peribadi bersetuju dengan langkah untuk tidak bertanding kerana pilihan raya kecil akan hanya melencongkan perhatian dan masa, yang seharusnya ditumpukan kepada perkara yang lebih mendesak seperti isu berkaitan ekonomi.

"Dengan tidak bertanding, BN dapat mengelak daripada terjerumus dalam perangkap (Datuk Seri) Anwar Ibrahim, kerana semua tahu bahawa dia memang merancang untuk mengadakan banyak pilihan raya kecil," kata Timbalan Presiden parti Gerakan Datuk Chang Ko Youn.

Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Dr Teng Hock Nan pula berpendapat bahawa BN tidak seharusnya bertanding "kerana kalah atau menang BN tidak akan membawa banyak perbezaan kepada lanskap politik negeri".

Beliau berkata, pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu juga tidak menjelaskan mengapa Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan itu Mohamad Fairus Khairuddin, meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang dan kemudiannya mengundur diri sebagai wakil rakyat.

Memandangkan Penanti adalah kubu kuat PKR, Teng merasakan bahawa perletakan jawatan Fairuz adalah sebahagian daripada strategi kempen politik oleh PKR bagi meraih lebih banyak perhatian.

Bagaimanapun Setiausaha Agung Gerakan, Teng Chang Yeow pula merasakan bahawa soal sama ada BN harus bertanding atau tidak, banyak bergantung kepada sentimen di peringkat kawasan setempat terlebih dahulu.

Menurutnya sentimen di peringkat tempatan mungkin "berbeza daripada apa yang disangka".

"Ia adalah soal sekiranya tiada peluang untuk menang, mengapa perlu dikerah satu batalion yang cukup besar untuk ke medan perjuangan? Jimat tenaga, menangi hati dan minda rakyat serta tunggu pertempuran berikutnya adalah lebih penting," katanya.

Teng berkata sekiranya sentimen tempatan menunjukkan bahawa BN tidak seharusnya mengecewakan penyokongnya pula, ia perlu menyusun semula strategi, namun ia masih tidak perlu mengerah tenaga yang cukup besar untuk membantu pilihan raya kecil itu.

Pengerusi Bahagian MCA Permatang Pauh, Datuk Ma Kok Ben pula berkata tidak ada salahnya jika BN tidak bertanding pada pilihan raya kecil Penanti, dan ia masih boleh menyalurkan dana yang perlu, terus kepada penduduk di kawasan itu.

"Sekiranya anda sampaikan peruntukan semasa pilihan raya kecil, orang ramai mungkin mendakwa ia bertujuan membeli undi dan macammacam lagi," katanya.

Penganalisis politik James Wong pula percaya bahawa sekiranya BN memutuskan untuk tidak bertanding, ia masih membawa implikasi yang baik terhadap Najib apabila beliau akan dilihat sebagai lebih arif dan bijak dalam proses membuat keputusan.

"Sekiranya BN memutuskan untuk tidak bertanding, satu-satunya masalah yang perlu ditanganinya ialah di peringkat akar umbi, terutama membabitkan penyokong yang ingin sangat untuk bertanding apabila ada saja pilihan raya kecil," katanya.

Wong berkata Najib akan perlu meyakinkan penyokong BN bahawa keputusan untuk tidak bertanding adalah langkah yang bijak dan terbaik.

Beberapa pemimpin BN berkata sekiranya BN tidak bertanding dalam pilihan raya kecil ini, ia bukanlah kali pertama dalam sejarah bagi BN berbuat demikian.

Pada tahun 1975, BN tidak bertanding dalam pilihan raya kecil Menglembu.

Pilihan raya itu diadakan selepas Anggota Parlimen Fan Yew Teng dari DAP disabit dengan kesalahan berkaitan Akta Hasutan pada 13 Januari di Mahkamah Tinggi, di mana selain didenda RM2,000 atau enam bulan penjara, Fan turut dilucut daripada status beliau sebagai Anggota Parlimen.

Pilihan raya kecil kemudiannya diadakan namun BN memutuskan untuk tidak bertanding, dan akhirnya pilihan raya kecil tidak diadakan apabila Fan berjaya mendapatkan perintah mahkamah bagi menghalang pilihan raya kecil itu.

Biar apa pun keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi BN hari ini, Umno Pulau Pinang sudah bersedia.

Ia sudahpun menghantar senarai kemungkinan calon kepada kepimpinan parti untuk membuat keputusan.

"Kami akan menerima sebarang keputusan oleh Umno dan kepimpinan BN, tapi Umno Negeri sudah bersedia untuk pilihan raya kecil," kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman.

Sunday, May 17, 2009

MAJORITI RAKYAT MAHU DUN PERAK BUBAR

Media UMNO/BN Kata Najib Perlu Bubarkan DUN dan Pilihanraya Perlu Diadakan Di Perak!!

Dua hari lepas, DS Najib PM Satu Malaysia telah menobatkan dirinya sebagai PM Rakyat. Antara lain beliau mendefinisikan PM Rakyat sebagai PM yang dapat merasai denyut nadi rakyat dan mendengar suara rakyat. Dengan kata-kata lain, Najib berjanji untuk melaksanakan apa kehendak rakyat.

Antara topik popular yang dibincangkan rakyat kini tidak kira di kedai kopi, di warung teh tarik, di kopitiam, di ruang menunggu pesakit hospital, di rumah kenduri, di surau dan masjid malah ketika menziarahi mayat ialah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak. Rata-rata berkata: bubarkan DUN, kembalikan hak kepada rakyat memilih kerajaan yang sah.

Tapi tentu Najib PM Satu Malaysia dan barisan kabinetnya kata itu cakap tepi jalan, mana boleh pakai. O.k, kalau begitu, kita lihat pula cakap tidak tepi jalan, cakap dalam rumah, cakap yang sedikit boleh dipertanggung jawabkan. Kita lihat pula undian di dalam media kita mengenai isu yang sama. Tapi jangan ambil undian dari media alternatif, dari blog pro-PR. Kalau ambil dari situ, pasti keputusannya sudah boleh dibaca, sudah boleh diramal.

Jadi kita ambil undian dalam media pro-BN. Dan lihatlah keputusannya di sini:

Keputusan Undian SMS Dalam NTV7 (Edisi Bahasa Inggeris) Jam 8.00 Malam 14.5.2009

Pilihanraya baru diadakan di Perak bagi menyelesaikan kekalutan politik Perak

Ya: 99%
Tidak: 1%

Keputusan undian Berita Harian Online pada hari ini (16.5.2009)



Wajarkah Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dibubar bagi membolehkan pilihanraya negeri diadakan?

Ya 87.7%
Tidak 10.6%
Berkecuali 1.7%

Keputusan undian MStar Online pada hari ini (16.5.2009)


Siapakah yang layak menjadi Menteri Besar Perak?

Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir 34.2%

Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin 65.8%

Najib sudah mengisytiharkan dia adalah PM Rakyat yang akan merasai denyut nadi rakyat dan mendengar suara hati rakyat. Dan tinjauan pendapat di atas adalah salah satu dari suara hati rakyat. Suara hati rakyat yang meminta DUN Perak dibubarkan. Suara hati rakyat yang lebih meyakini Nizar dari Zambry sebagai Menteri Besar.

Apa lagi yang Najib tunggu? Buktikan anda adalah PM Rakyat sebagaimana yang anda sendiri mengisytiharkannya!! Nasihatkan Sultan Perak untuk bubarkan DUN!!!!

Najib punca kemelut Perak!

Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak tidak boleh menafikan bahawa beliau merupakan punca kemelut politik di Perak kerana seluruh dunia telah melihat bagaimana beliau mengetuai rampasan kuasa di Perak pada 5 Februari lalu.

Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang menegaskan sewaktu rampasan kuasa itu dilakukan, Najib merupakan Pengerusi Umno Perak yang mana pada waktu itu juga beliau masih Timbalan Perdana Menteri.

Ahmad dalam kenyataanya sebelum ini menegaskan kecamukan serta kemelut politik yang berlaku hari ini di Perak berpunca daripada tindakan Najib .

Bagaimanapun Najib dalam kenyataannya pada 15 Mei lalu menafikan beliau punca kemelut politik di Perak dan meminta rakyat tidak menyalahkan Sultan Perak kerana pelantikan Dato' Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar mematuhi undang-undang.

"Krisis perlembagaan di Perak berpunca apabila Najib sendiri mengenepikan undang-undang. Jika betul beliau mengatakan Barisan Nasional berhak berkuasa di Perak dan mempunyai majoriti, sidang Dun harus diadakan dan perkara tersebut harus dibawa ke dewan dan adakan undi tidak percaya.

"Namun beliau menyembunyikan tiga orang Adun tersebut. Sebab itu saya mengatakan Najib seorang yang rakus dan tamak. Beliau tidak boleh menafikan penyebab krisis di Perak kerana berlaku pengambilan kuasa di Perak yang dipilih oleh rakyat,"tegasnya sewaktu dihubungi Harakahdaily baru-baru ini.

Jelas Ahmad, Najib cuba mengelirukan rakyat dengan menyatakan tiga orang Adun yang telah keluar daripada Pakatan Rakyat yang berstatus sebagai Adun Bebas adalah Adun BN.

"Apabila diadakan undi tidak percaya di dalam dewan nanti, kita boleh tunjukkan surat janji ketiga-tiga mereka yang menyokong kerajaan campuran tiga parti ini dan menyokong Dato' Seri Nizar sebagai Menteri Besar. Perjanjian ini secara bertulis. Dan sudah tentu ketiga-tiga mereka tidak berani mengangkat tangan menyokong pada pihak BN.

"Ini kerana jelas mereka akan mungkir janji kepada Sultan. Dan dengan sendiri mereka boleh dikaitkan menderhaka kepada Sultan. Jadi implikasinya banyak," katanya.

Sehubungan itu beliau tetap berpendirian Najib yang memulakan serta punca kemelut yang berlaku di negeri Perak itu

Search This Blog