Monday, February 16, 2009

Eli, jangan letak jawatan

FEB 16 – Inilah kenyataan demi kenyataan yang dibuat kepada YB Elizabeth Wong, Adun Bukit Lanjan, berikutan tersebarnya gambar beliau sedang tidur dalam keadaan kurang sopan.

Media mulai beberapa hari lalu menerima gambar-gambar ini. Yang menariknya, hanya media yang ada kaitan dengan parti-parti dalam BN yang menerima gambar ini.

Malam tadi, 15 Februari, Elizabeth membuat laporan polis di Balai Polis Petaling Jaya. Mengikut Datuk Khalid Abu Bakar, Ketua Polis Selangor, kenyataan itu ringkas sahaja dan pihaknya akan mendapatkan kenyataan lebih lanjut dari Eli selepas ini.

Sebelum akhbar The Sun menyiarkan kisah ini, orang ramai tidak mengetahuinya. Namun selepas disiarkan muka depan hari ini dan laporan polis Eli pada malam tadi, semua pihak mula memperkatakannya.

Sebagaimana dijangka (mungkin sudah ada dalam skripnya), bekas MB Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo membuat kenyataan mendesak Eli meletakkan jawatan.

“Ini adalah isu moral, samada gambar itu diambil dengan kehendaknya atau tidak, itu soal lain.

“Saya tidak boleh menerima seorang Adun yang dipertikaikan moralnya,” kata Khir sebagaimana yang dilaporkan laman web ini.

Di pejabat kerajaan negeri Selangor, Eli resah menerima tekanan ini. Beliau terkejut dan tidak sangka sampai begitu sekali usaha akan dibuat untuk menjatuhkan kerajaan negeri beliau. Eli adalah salah seorang anggota Exco kerajaan negeri Selangor.

Sebagaimana yang diketahui banyak pihak, selepas Perak, BN sedang menggoncang beberapa kerajaan negeri Pakatan yang lain termasuklah Selangor dan Kedah.

“Tetapi beliau tidak sangka sampai begitu rendah sekali moral pihak yang mahu menjatuhkan kerajaan negerinya,” kata sumber yang rapat dengan beliau.

Persoalannya senang sahaja. Gambar yang disebarkan itu adalah gambar Eli sedang tidur. Beliau tidak tahu dan tidak membenarkan gambar itu diambil apatahlagi diedarkan. Menurut sumber, bekas teman lelaki beliau yang mengambil gambar itu.

Komen-komen dalam blog menyifatkan tindakan Khir Toyo mendesak Eli meletakkan jawatan atas isu moral sesuatu yang sangat tidak wajar dibuat.

* Sejak bila, sesaorang yang telanjang dalam bilik tidur sendiri dianggap salah.

* Dia bukan ada suami, lainlah kalau dia seorang Muslim.

* Membandingkan dengan Chua Soo Lek tidak masuk akal langsung kerana Eli tidak berbuat apa-apa berbanding video Chua.

* Saya yakin, Khir akan menyalahkan anaknya jika anaknya dirogol nanti.

* Usahanya untuk menunjukkan dialah jaguh menjelang perhimpunan agung Umno.

Inilah komen-komen terhadap Khir Toyo apabila beliau membuat kenyataan yang mendesak agar Eli meletakkan jawatannya.

Persoalannya, apakah Khir sedar dengan komen-komen ini? Atau kalau dia membacanya, apakah dia akan insaf dan memperbetulkan kenyataannya?

Saya yakin, sebagaimana pemimpin BN di Perak, Khir tidak akan sedar dan tidak akan menghentikan cara berpolitik yang diambilnya kini. Selepas ini, Khir akan berarak lagi (mungkin ke Bukit Lanjan) untuk menceritakan kepada orang ramai “Elizabeth Wong tidur telanjang dalam biliknya”.

Besar kemungkinan juga beliau akan memimpin Pemuda Umno yang menyokongnya berarak ke Istana Melawati sekali lagi mendesak Sultan Selangor agar menitahkan supaya Eli meletakkan jawatan kerana memalukan baginda Sultan.

Di samping Khir Toyo, saya yakin akan ada juga para penyokong Pakatan Rakyat sendiri akan digunakan untuk menekan Eli.

Untuk itu, saya suka menyebut di sini “Eli, jangan letak jawatan”.

minyak dan ayam

hari ini harga minyak dunia berlegar di paras usd37 dan usd38 setong. tapi kerajaan masih buat lupa pada janji untuk menurun kan harga minyak jika harga di bawah paras usd39 setong.

inilah rupanya sebuah kerajaan yang mempunyai lidah bercabang. cakap tapi tak pandai tunaikan janji. janji menteri jaga minyak dan ayam pun dah lama senyap pasal nak turunkan harga barang-barang runcit. harga ayam tak turun-turun. harga barang-barang lain pun tak turun-turun juga. telur ayam makim lama makin mahal. harga ikan lagilah.....tak caya pergi pasar dan cuba intai-intai harga ikan.

betullah dengan gelaran yang diberikan pada BN....barang naik. dulu alasannya harga minyak dunia naik. sekarang bila harga minyak dunia dah turun, kenapa harga barang tak turun-turun. bila harga minyak dunia naik....punyalah cepat kita pun naikkan harga sama. tapi bila harga minyak dunia dah turun...masing-masing macam orang pekak dan bisu. macam inikah pemimpin yang mengaku membela rakyat.

Kerajaan Baru BN Perak di ambang kehancuran


" Kerajaan Kudeta BN Perak semakin menuju ke jalan mati. Perkembangan akhir-akhir ini semakin menjerut leher mereka yang memulakan drama rampasan berdasarkan nasihat undang-undang yang salah. Perasaan tamak dan ingin menguasai kerajaan Perak dengan apa cara sekalipun telah meletakkan mereka tersungkur di Perak lebih awal daripada yang dijangka.

Setelah sepuluh hari berlalu, peristiwa rampasan kuasa itu akan berakhir tidak lama lagi. Ketenangan, ketabahan dan kebergantungan DS Nizar dan penyokong yang mermunajat dan solat hajat kepada Raja segala Raja, Allah SWT telah menampakkan kesannya.

Antara perkembangan menarik ialah Speaker DUN Perak telah menghantar notis saman kepada MB baru dan exconya untuk dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Rabu ini.

Speaker juga mempunyai kuasa mengeluarkan waran tangkap kepada Menteri Besar baru Perak dan enam Exco jika mereka tidak hadir perbicaraan khas Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN

Speaker boleh mengambil tindakan ke atas Zambry dan barisan exconya seperti menggantung keahlian dewan kesemua yang terlibat tanpa gaji seperti mana yang pernah berlaku ke atas Teng Chang Khim pada April 25, 2005, dimana beliau telah digantung dari Dewan Undangan Selangor setelah dituduh bersikap biadab kepada Speaker Datuk Seri Onn Ismail waktu itu.

3 ADUN lompat pula telah dianggap meletak jawatan oleh Speaker DUN. Sudah tentu mereka tidak akan dibenarkan masuk ke dalam persidangan DUN.

Rakan Bebas MB baru iaitu YB Osman Jailu pula menghadapi masalah di mahkamah kerana menipu hakim ketika kesnya dibicarakan kononnya tidak hadir kerana dirawat di HKL, sedangkan Pengarah HKL menafikan Osman pernah dirawat di situ.

Ujian terbesar menguji kesahihan kerajaan baru itu ialah kes yang telah difaikan terhadap MB baru oleh DS Nizar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. DS Nizar juga memohon perintah injunksi bagi menghalang responden daripada melaksanakan tanggungjawab dan tugas-tugas menteri besar di negeri itu.

Semua halangan dan kekusutan itu boleh dirungkai dengan pembubaran DUN. Jika tidak, rakyat akan semakin marah. Kemarahan rakyat tidak akan dapat dipadam hanya dengan gula-gula pembangunan dan sekatan oleh Polis . Pemimpin UMNO perlu keluar dari tabir Istana untuk berdepan dengan rakyat di pentas pilihanraya semula!


20 kes rasuah Khir Toyo ~ Malaysiakini



1. Meluluskan projek pembina jalan merentasi bendang termahal, di Sekinchan, sejauh 20.5 km, bernilai RM92.5 juta kepada kontraktor yang hampir disenaraihitamkan, Meram Holdings.

Menurut taksiran JKR, kos jalan itu tidak boleh melebihi RM50 juta. Subkontraktor yang menjalan semua projek berkenaan, Cabaran Wangsa, di miliki Pua Kim An, 27 tahun, tuan rumah yang pernah disewa oleh Khir, manakala seorang lagi pengarah syarikat, Ahmad Tarmizi Tajjeury adalah kroni Khir yang juga mendapat 100 ekar tanah yang memberi keuntungan minimum RM20 juta.

2. Meluluskan tanah 400 ekar di Shah Alam, pada 20 Disember 2000 kepada empat syarikat berbeza (Layar Kekal/ Tirai Gemilang, Samasys, Usahasewa Sdn Bhd), tetapi seorang nama pengarahnya (Samsuri Rahmat) hadir dalam semua syarikat tersebut, iaitu seolah-olah Khir meluluskan tanah berpontensi tinggi itu kepada seorang sahaja.

Nilai tanah di kawasan berkenaan boleh mencapai RM1 juta untuk satu ekar. Samsuri boleh untung minimum RM300 juta dari tanah tersebut.

3. Meluluskan tanah kepada kroninya secara berulang kali dalam tempoh masa singkat. Daripada hanya dua mesyuarat Exco Kerajaan Negeri yang diambil secara rawak, iaitu pada 20 Nov. 2000 dan 4 Julai 2001, sekurang-kurangnya empat nama bertindan yang mendapat 100 ekar setiap orang, Ahmad Tarmizi Tajjeury, A.Rahman Mokhtar, Suzilawani Mustaphin dan Ali Nordin. Semua mereka ada hubungan, sama ada dengan Khir ataupun Setpol, Dr Karim Mansor. Sebahagian tanah ini telah dijual, dan pemiliknya boleh mengaut keuntungan RM200,000 seekar tanpa mengeluarkan modal walaupun satu sen.

4. Meluluskan tanah seluas 50 ekar setiap seorang kepada empat pemohon yang hanya baru berusia 20 tahun (Ahmad Azmir, Noor Ashikin, Mardhiah, Azril Yusri).Salah seorang darinya adalah anak pegawai Daerah Kuala Langat, di mana lokasi tanah itu dikesan. Difahamkan sebahagian anak-anak muda ini tidak tahu pun yang mereka mendapat tanah berkenaan kerana mereka hanya penama bagi pihak yang rapat dengan Khir. Mereka ini hanya menjadi pengarah syarikat, tidak pun sampai 40 hari sebelum Exco meluluskan permohonan mereka. Beberapa syarikat terbabit dikenal pasti mempunyai pemegang syer yang sama, yang terdiri dari dua wanita yang ketika permohonan diluluskan baru berumur 24 tahun.

5. Bagaimana Khir, pada bulan Mac 2001, hanya selepas 5 bulan menjadi MB, boleh membayar semua baki pinjaman rumahnya sebanyak RM150,000 secara tunai kepada BBMB Kajang. Kalaupun beliau tidak membelanjakan langsung elaun MBnya, beliau tidak mampu membayar semua pinjamannya itu.Rumah itu juga diubahsuai dengan kos yang besar, ini belum lagi dikira kos membina rumahnya sekarang di Simpang Lima, Tanjung karang, yang menelan belanja lebih RM300,000.

6. Menggunakan kuasa dan pengaruhnya sebagai Pengerusi PKNS untuk mendapatkan sebidang tapak banglo di Lot 14, Jalan 2/1G, Seksyen 2 Tambahan, Bandar Baru Bangi dengan diskaun hebat, 50%. Khir berbohong di Dun Selangor pada 31 Oktober 2001 apabila mendakwa beliau tidak membeli tanah itu, kononnya kerana tidak mampu dan dia juga menafikan pernah menerima dua tawaran dari PKNS dengan harga yang berbeza-beza. Salinan pembayarannya telah diperolehi.

7. Khir memberi sumbangan peribadinya, berbentuk telur ayam, ayam dan peralatan sekolah kepada pengundi di kawasannya, di Sungai Panjang pada 25 Disember 2000. Nilainya hampir RM200 ribu. Apabila dipersoalkan dari mana sumber kewangannya, beliau, melalui akhbar Malay Mail pada 15 Januari 2001 mendakwa sumbangan ayam diperolehi dari Lintang Bistari Sdn Bhd sebuah syarikat bumiputera yang menurut Khir adalah syarikat ternakan ayam terbesar di Sungai Panjang. tinjauan menunjukkan bukan ayam atau reban tidak ada di kawasan berkenaan, malahan bulu dan tahi ayam pun tiada.

8. Pada 17-18 April 2001, meluluskan kawasan kayu balak Kompartment 78 Hutan Simpan Hulu Langat kepada Fungsi Mewah Sdn. Bhd, seluas lebih 1200 ekar. Fungsi Mewah dimiliki oleh Pua Kim Seng, adik Pua Kim An, yang mana rumahnya bersebelahan rumah sewa Khir di Sekinchan dahulu. Pua Kim An juga dikesan mendapat tanah 100 ekar di Shah Alam. Keluarga Pua ini menyumbangkan dana kewangan yang besar kepada Khir semasa kempen pilihan raya 1999 dahulu.

9.Projek membekal dan memasang paip air besi keluli MS1200mm, dari Semenyih ke Banting sejauh 37.3 km, bernilai RM82,385,182.mega_shok.gif. Projek ini terlalu mahal dari taksiran awal, yang tidak boleh melebihi RM40 juta. Dan jika sumber air diambil dari Pekan Dengkil kemungkinan jaraknya dapat dipendekkan menjadi hanya 20 km dan ini lebih menguntungkan. Ahli keluarga terdekat Khir didakwa mendapat imbuhan berpuluh juta daripada kontraktor LBH Engineering.

10. Meluluskan konsesi membekalkan peralatan paip air untuk jabatan Bekalan Air Selangor kepada syarikat milik Naib Ketua Umno Tanjong Karang, JAKS Sdn Bhd. Harga paip JAKS 50% lebih tinggi daripada harga kilang. Bayangkan, untuk 1 meter paip, harga JAKS adalah RM900 sedangkan harga kilang hanya RM600. Selangor mahu tukar 5,000 km paip,jadi berapa untung JAKS?

11. Meluluskan kawasan balak di Kompatmen 78, Hutan Simpan Hulu Langat, seluas lebih 1,200 ekar kepada Fungsi Mewah, milik Pua Kim Seng, iaitu abang kepada Pua Kim Seng, bekas tuan rumah yang pernah disewa Khir di Sekinchan. Keluarga Pua ini juga mendapat kontrak membina jalan termahal (RM4.6 juta untuk 1km)merentasi sawah padi daripada Meram Holdings, kontraktor yang hampir disenarai-hitamkan.


12. Khir membayar RM10,000 sebulan bagi tapak banglonya, di Lot 14, Jalan 2/1G, Seksyen 2 Tambahan, Bandar Baru Bangi, yang dibelinya daripada PKNS dengan harga diskaun 50 peratus. Sumber pendapatannya dipertikai kerana sebelum ini beliau membayar tunai RM150,000 untuk selesaikan pinjaman rumahnya di Kajang, selepas lima bulan menjadi MB.

13. Beliau mengarahkan Pengarah JKR Selangor, melalui nota pensil (agar dapat dipadam jika timbul kontroversi kelak), agar menyerahkan projek yang membawa keuntungan lumayan kepada kontraktor kroni. Antara projek terbabit ialah pembinaan jalan di Sabak Bernam, masjid di Puchong Perdana, kem wataniah dan kuaters kakitangan SUK di Shah Alam.

14. Khir mempunyai hubungan rapat dengan kontraktor yang memohon projek kerajaan negeri, misalnya beliau bersama keluarga pernah bermalam di sebuah resort mewah di Janda Baik milik kroninya. Majulia Sdn. Bhd. Ini bercanggah dengan surat akujanji yang ditandatanganinya di depan Sultan Selangor.

15. Menswastakan kutipan tunggakan pembayaran ansuran bulanan rumah awam kos rendah seluruh Selangor kepada syarikat kroni, Noble Nexus Sdn Bhd melalui perjanjian konsesi pada 27 September 2001. Untung lumayan dapat dipungut secara mudah kerana tugas Nobel Nexus hanya menghantar notis saman dan 30% kutipan menjadi miliknya.

16. Meluluskan pembelian kenderaan rasmi kepada Exco Kerajaan Negeri Selangor dan Menteri Besar (dirinya sendiri) melalui mesyuarat Exco ke 25/2001 pada 26 September 2001, tanpa melalui prosedur yang lazim digunakan. Usia kereta rasmi MB belum sampai lima tahun (didaftarkan pada Jun 1997), dan tempoh Khir menjadi MB baru setahun iaitu tidak sampai lima tahun seperti sepatutnya. Beliau juga tidak merujuk kes ini kepada Perbendaharaan dan Ibu pejabat JKR di Kuala Lumpur. Meskipun menyentuh kepentingannya, di mana kereta rasminya Merc S320L, no. plat BGF7337 ditawar untuk dijual kepadanya, Khir masih mempengerusikan mesyuarat dan tidak mengisytihar kepentingannya.

17. Khir mengarahkan agar semua minit dan kertas mesyuarat exco dikutip semula selepas mesyuarat tamat, manakala segala bahan-bahan penting mesyuarat Exco yang dipengerusikannya sejak Ogos 2000 tidak dibenarkan disimpan oleh Exco lain. Selalunya kertas-kertas penting itu diedarkan kepada anggota Exco sehari sebelum mesyuarat, iaitu pada Selasa, tetapi selepas isu rasuahnya terbongkar, ia hanya diserahkan selepas setiap Exco duduk di kerusi masing-masing. Maknanya, "Exco Selangor masuk mesyuarat berlenggang, keluar pun berlenggang."

18. Meluluskan hampir 11 ekar tanah di Bandar Baru Bangi, yang diwartakan sebagai kawasan rekreasi, kepada syarikat kroni, Bestarama Sdn Bhd. Masyarakat setempat membuat bantahan kerana setakat ini banyak kawasan hijau dibangunkan demi mengejar keuntungan lumayan. Bestarama boleh untung segera lebih RM14 juta. Menariknya, pemegang syer Bestarama juga pemegang syer Noble Nexus. Kedua-dua wanita itu hanya penama bagi suku-sakat Khir.

19. Menggunakan ratusan ribu ringgit wang kerajaan negeri untuk membeli iklan dua muka penuh berwarna dalam Utusan Malaysia, sekurang-kurangnya pada 1 Feb, 16 Mac 2002, bagi menjawab serangan Lutfi Othman yang mendakwa Khir mengagihkan tanah (yang luas dan mahal), pelbagai projek besar, balak, buat kroni dan suku-sakatnya.
20. Mengeksploit mesyuarat Majlis Tindakan ekonomi Selangor (MTES), untuk meluluskan segala tanah & projek kepada sesiapa yang disukainya tanpa kehadiran Exco lain. Mesyuarat Exco esoknya (pada setiap Rabu) hanya mengesahkan saja. MTES, menurut bekas penasihat undang-undang negeri, adalah tidak sah dari segi legal kerana ia merampas kuasa mesyuarat Exco.

--------------------
Ya Allah...Berikanlah Aku Kekuatan...Pada Mu Jua Aku Berserah...

Altantuya: Sirul Sudah Mula Buka Mulut Sikit ~ Malaysiakini


Koperal Sirul Azhar Umar, salah seorang tertuduh kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu hari ini meminta dia dibebaskan ataupun sebagai alternatif, mengisytiharkan sebagai kesilapan perbicaraan bagi membolehkan ia didengar semula membabitkan kesemua tiga tertuduh.

Peguamnya, Kamarul Hisham Kamaruddin membuat penghujahan pagi ini di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Zaki Md Yasin.

Selain Sirul, turut dituduh ialah anggota Unit Tindakan Khas, Cif Inspektor Azilah Hadri.

Azilah, 33, dan Sirul Azhar, 37, diperintahkan membela diri atas tuduhan membunuh Altantuya di lokasi antara lot 12843 dan 16735 Mukim Bukit Raja, Selangor antara 10 malam, 19 Oktober hingga 1 pagi 20 Oktober 2006.

Tertuduh ketiga, Abdul Razak Baginda, penganalisis politik, sudah pun dibebaskan akhir tahun lalu.

Awal bulan ini, Sirul berkata, dia telah "menjadi kambing hitam yang harus dikorbankan untuk melindungi rancangan dan niat jahat mereka."

Sirul yang juga tertuduh kedua dalam kes pembunuhan Altantuya berkata, dia tidak mempunyai sebab untuk mencederakan apatah lagi mengambil nyawa mangsa dengan begitu kejam.

"Saya tidak pernah mengenali mangsa di dalam kes ini dan tidak pernah mempunyai sebarang urusan peribadi atau sebaliknya dengannya. Saya juga tidak mengenali Abdul Razak Abdullah Baginda dan tidak mempunyai urusan.

"Saya merayu kepada mahkamah ini untuk mengambil kira sepanjang perbicaraan kes ini, saya mengikuti prosiding dan menyaksikan bagaimana beberapa saksi penting pendakwaan terutama dari D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen yang mereka cerita, tidak bercakap benar dan sentiasa mengubah cerita apabila disoal balas," katanya.

Sambil mengesat air mata, Sirul merayu kepada mahkamah yang katanya berada dalam kedudukan serta mempunyai kuasa untuk menentukan hidup dan matinya, supaya tidak menghukumnya.

Katanya, Azilah meminta pertolongannya untuk membuat rondaan di sebuah banglo di Bukit Damansara iaitu rumah rakan Deputi Superintendan (DSP) Musa Safri yang dimaklumkan mempunyai `masalah perempuan'.

Peguam mahu tertuduh kes Altantuya dibicarakan semula

KUALA LUMPUR 16 Feb. – Peguam Kamarul Hisham Kamaruddin yang mewakili Koperal Sirul Azhar Umar membuat kejutan di Mahkamah Tinggi Shah Alam dengan mengemukakan permohonan supaya ketiga-tiga tertuduh dalam kes bunuh Altantuya termasuk penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda dibicarakan semula.

Beliau mengemukakan permohonan tersebut ketika menyampaikan hujahan di akhir kes pembelaan.

Abdullah diminta kekal jawatan PM sehingga PRU 13 - Nik Aziz


Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi diminta mengekalkan jawatan sebagai Perdana Menteri selepas perhimpunan agung Umno Mac depan bagi mengelakkan politik negara terus menjadi kalut.

Ini kerana PAS melihat Dato' Seri Najib Razak sudah terpalit dengan banyak isu dan kepemimpinannya semakin tidak dihormati rakyat di negara ini.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato'Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Abdullah usah mudah menyerah kalah kepada Najib biar pun pada perhimpunan agung Mac depan Presiden Umno sudah beralih kepada anggota parlimen Pekan itu.

"Kejadian penculikan tiga bekas Adun Pakatan Rakyat di Perak merupakan rancangan jahat Umno yang dikatakan turut melibatkan Najib. Ini kerana setelah menghilang diri beberapa hari mereka muncul bersama Timbalan Perdana Menteri di Putrajaya.

"Bagi saya sahlah Najib punca kekalutan politik di Perak. Menculik wakil rakyat adalah salah dalam Islam. Malangnya perkara itu berlaku ketika Najib bakal menduduki kerusi Perdana Menteri tidak lama lagi," katanya.

Beliau ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra ketika dalam perjalanan ke Kuala Lumpur petang semalam.

Baru-baru ini Adun Changkat Jering, Mohd Osman Jailu, Adun Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dan Adun Jelapang, Hee Yit Foong menghilangkan diri dan hanya muncul bersama Najib di Putrajaya bagi mengisytiharkan keluar dari Pakatan Rakyat.

Ekoran tindakan itu Najib mengadap Sultan Perak bagi membolehkan Menteri Besar BN dilantik.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, cara yang dilakukan Timbalan Perdana Menteri tidak kena adat orang timur dengan merampas kuasa melalui penculikan wakil rakyat.

"Saya tak dapat terima cara Najib memancing tiga Adun terbabit yang menghilangkan diri dan kemudian muncul di televisyen.

"Kalau di Kelantan perkara seperti itu kita katakan pekerjaan hantu raya yang menyembunyikan orang," katanya.

Oleh itu beliau berkata, Abdullah perlu mempertahankan jawatan sebagai Perdana Menteri sehingga menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-13 bagi mengekalkan kestabilan negara.

Menurutnya tidak sepatutnya beliau melepaskan jawatan disebabkan faktor kekalahan teruk Umno pada pilihan raya umum lalu, sebaliknya perlu terus memikul tanggungjawab tanpa mudah menyerah kalah.

"Kalau Dato' Seri Abdullah rasa tak bersalah dalam hal ini, mengapa harus ambil tindakan untuk berundur. Saya tak faham politik Umno sekarang," ujar beliau.

Katanya tidak menjadi halangan beliau terus kekal sebagai ketua kerajaan di Malaysia biar pun bukan lagi mengetuai Umno.

Ditanya mengenai tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melengah-lengahkan tarikh pilihan raya kecil Bukit Gantang dan Bukit Selambau sehingga mengambil tempoh 58 hari dianggap sebagai satu permainan politik.

"Saya tahu SPR boleh bertindak atas kuasa mereka tetapi apa yang berlaku sekarang tarikh penamaan calon dan pilihan raya ada kaitan dengan perhimpunan agung Umno Mac depan," katanya. - mj/mks. _

Tuanku Mizan: Jangan wujudkan undang-undang canggah Perlembagaan

[DIKEMAS KINI, 11.50 PAGI] KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin mengingatkan rakyat jelata supaya menghormati Perlembagaan Persekutuan dan berharap tidak ada sebarang percubaan untuk mewujudkan undang-undang lain yang bertentangan dengan keluhuran Perlembagaan. Baginda bertitah sejarah kemerdekaan dan Perlembagaan Persekutuan perlu dijelaskan kepada golongan muda supaya mereka lebih memahami asas pembentukan negara.

"Generasi muda merupakan pelapis dan harapan masa depan negara.

"Prinsip-prinsip Rukun Negara hendaklah difahami dan dihayati oleh segenap lapisan rakyat," titah baginda ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-12 di Dewan Rakyat di sini.

Tuanku Mizan turut melahirkan rasa dukacita kerana walaupun negara telah 51 tahun merdeka, isu perkauman yang sempit masih dibangkitkan oleh pihak tertentu dan menjadi perdebatan umum.

"Beta ingin menegaskan bahawa kerajaan Beta tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang cuba memecahbelahkan rakyat demi memastikan keharmonian kaum dan keamanan negara dikekalkan," titah baginda sambil menerima tepukan meja yang gemuruh daripada anggota dewan.

Baginda mengingatkan anggota Dewan supaya menunjukkan perilaku terpuji di Parlimen.

Justeru, baginda mengingatkan rasa sedih dengan perilaku yang tidak sepatutnya di kalangan wakil rakyat pada sesi lalu yang memberi imej negatif kepada ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

Mahathir, Anuar Musa dan semua penderhaka perlu dihukum


" Boleh dikatakan semua media arus perdana menyiarkan tentang Titah Murka kebawah DYMM Sultan Selangor terhadap perkembangan yang berlaku di Perak mutakhir ini. Jika dibaca dengan teliti tentang semua kandungan dalam media, kami rakyat jelata sikitpun tidak membantah tentang kebenaran artikel tersebut.

Cuma yang menjadi persoalan kami masa dan sasaran artikel tersebut. Kepada siapakah artikel tersebut ditujukan dan kenapakah ia diterbitkan sekarang.

Kami rakyat jelata yang sayangkan institusi beraja masih merasa segar tentang bagaimana kisah kebanyakan raja raja di negeri di malaysia diaibkan oleh Tun Dr mahathir. Hinggakan perbelanjaan untuk seekor kuda yang mencecah RM4 ribu sebulanpun, Mahathir dedahkan kepada rakyat. Kami juga tidak lupa bagaimana Tengku Ali di Terengganu cuba dikaitkan sebagai waris yang sepatutnya menaiki takhta kesultanan terengganu.

Di kelantan pula kami tidak lupa bagaimana Anuar musa cuba mengadakan majlis pertabalan sultan di 'pade tere'. Yang paling terbaru orang orang Idris Jusuh mempamirkan sepanduk 'natang' terhadap DYMM sultan terengganu. Semua ini mengguriskan hati kami rakyat jelata yang sangat cintakan raja raja kami. Namun hingga ke hari ini, orang orang yang terlibat masih bergerak bebas tanpa ada hukuman yang mereka terima

Jadi sudah nyatalah mereka semua inilah yang memberi tunjuk ajar kepada mereka mereka yang lain. Kami cadangkan kita semua ambil tindakan terlebih dahulu terhadap mereka. Masa masih belum terlambat untuk kita kuatkan kembali institusi beraja. Tunjukkan bahawa jangan ada sesiapapun tak kira siapa, yang dapat menghina raja raja.

Kami rakyat jelata telah membuktikan, disaat mahathir ingin menggugurkan kuasa raja raja, kamilah yang menjadi benteng terakhir membela dan membantah. Moga moga semua raja raja tidak tersilap pandang terhadap kami semua

Akhirnya PM terpaksa "cuci najis" timbalannya....


" PM akan mengadap sembah kepada semua Raja yang ada bagi menjelaskan kemelut yang berlaku di Perak. Misi beliau hanyalah satu supaya semua Raja mendengar 'titah' BN akan tindak-tanduknya adalah betul, tidak ada yang tidak betul melainkan betul belaka.

Apa saja penjelasan yang diberikan oleh PM diharapkan akan diterima oleh Raja sama ada suka atau tidak suka. Semuanya telah berlaku gara-gara tindakan bodoh timbalannya yang gelojoh dan gopoh untuk melihat kerajaan PR di Perak runtuh.

Sikap dan pendirian PM terhadap 2 ekor yang melompat (tambah 1 ekor lagi) seolah-olah terpaksa disenanginya kerana dia juga mungkin sedar akan kesan akibatnya. Tetapi dasar PM sejak akhir-akhir (kerana nak pencen) ini jelas nampak akan kemalasan yang amat sangat sehingga apa yang berlaku di sekililingnya dia buat tak kisah.

Tetapi isu di Perak yang diburaikan oleh Najib telah membangkitkannya dari malasnya untuk tampil 'mencuci najis' secara terpaksa. PM tak sanggup untuk menghidu sama akan betapa busuk najis yang diburai timbalanya selama ini sehingga boleh naik muntah kepada dirinya dan seluruh rakyat Malaysia keseluruhannya.

Kebangkitan rakyat kali ini terhadap BN cukup hebat sehingga membabitkan pihak istana juga. PM baru tersedar dari lenanya mungkin, kalau Najib tak buat hal di Perak mungkin tak begini jadinya.

Tapi apakan daya, benda teleh lepas terpaksa ditelan juga pahit manisnya. Sama jugalah kalau orang dah melepas, terpaksa dihidu jugalah akan baunya walau busuk sebusuk-busuknya. Mau tak mau PM kena cuci jugalah najis yang dibuat timbalannya, sebab Raja-raja pun telah mulai sedar bahawa rakannya di Perak telah 'terpijak' juga kerana mata dah kabur, rambut dah gugur, tenaga dan kendur, rambut dah luntur, datang isyarat nak masuk....(sambung sendiri)

Sesi Parlimen masuk tahun kedua, dirasmi pagi ini

[DIKEMAS KINI] PETALING JAYA: Sidang Parlimen selepas pilihan raya umum ke-12 masuk tahun kedua hari ini dengan dijangkakan ia akan "lebih panas" berbanding penggal lalu.

Parlimen bersidang di sebalik perkembangan krisis politik di Perak dan ketika pilihan raya kecil diadakan membabitkan kerusi Bukit Gantang.

Mesyuarat penggal kedua Parlimen ke-12 akan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin sebentar lagi.

Mesyuarat pertama Dewan Rakyat akan berlangsung selama 19 hari bermula hari ini.

Sementara itu, mesyuarat kedua Dewan Rakyat akan bermula selama 10 hari bermula 15 Jun dan Dewan Negara selama enam hari bermula 6 Julai.

Bagi mesyuarat ketiga, Dewan Rakyat akan bersidang selama 35 hari bermula 19 Oktober dan Dewan Negara selama lapan hari bermula 9 Disember.

Bajet 2010 pula dijadualkan dibentang pada 23 Oktober.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak akan membentangkan bajet mini pada 10 Mac ini.

Dewan Rakyat akan menerima seorang ahli Parlimen baru bagi kerusi Kuala Terengganu apabila Mohd Abdul Wahid Endut daripada PAS dijadualkan mengangkat sumpah esok.

Beliau memenangi pilihan raya kecil bagi kawasan itu pada 17 Januari lalu, sekali gus merampas kerusi Parlimen tersebut yang sebelum ini diwakili Barisan Nasional (BN).

Kerusi Parlimen tersebut sebelum ini disandang oleh Allahyarham Datuk Razali Ismail yang meninggal dunia pada 28 November lalu akibat serangan jantung.

Di sebalik kemasukan anggota baru itu. kerusi Parlimen Bukit Gantang kini kosong berikutan kematian ahli Parlimennya, Roslan Shaharum daripada PAS pada 9 Februari lalu akibat serangan jantung.

Pilihan raya kecil kawasan tersebut akan diadakan pada 7 April depan.

Dengan perkembangan itu, Dewan Rakyat kini mempunyai 221 ahli Parlimen yang terdiri daripada 139 ahli daripada BN, 82 daripada pembangkang termasuk tiga daripada Bebas.

Sementara itu, Dewan Negara kini kekurangan seorang ahli berikutan peletakan jawatan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Senator disebabkan beliau bertanding mewakili BN dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu, Januari lalu.

Beliau yang tewas dalam pilihan raya kecil itu telah hilang kelayakan untuk dilantik kembali menjadi Senator.

Pembukaan sesi penggal kedua ini juga bakal mencatatkan sejarah. Ia merupakan yang terakhir bagi Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang akan melepaskan jawatan Perdana Menteri, dijangka awal April ini.

Beberapa akta baru juga dijadual dibentangkan pada sesi kali ini termasuk yang berkaitan dengan perkhidmatan polis.

Pembangkang dijangka membawa beberapa isu semasa antara kematian suspek dalam tahanan baru-baru ini.

7 sebab Nizar disokong Majlis Peguam tapi dibenci UMNO dan proksinya!


" Sebagai peguam Muslim, saya terus terang bahawa saya selalu menyampah dengan Majlis Peguam dalam pelbagai isu. Tapi, ada isu-isu seperti penentangan terhadap ISA yang saya turut setuju. Terbaru, Majlis Peguam menyatakan sokongan kepada Nizar dan menggariskan 7 jasa besar Nizar yang sangat dihargai oleh Majlis Peguam TETAPI mungkin mengundang kemarahan parti politik dan institusi tertentu. Mari kita lihat bersama.

"From Nut Graph, 11 February 2009-

I write this piece to put on record what I believe to be the most significant events from a human rights perspective: events that members of the Malaysian Bar and other non-governmental organisations (NGOs) were pleased to be part of. Issues that had remained outstanding for many years saw quick resolution in the last 10 months in Perak under Nizar's administration.


They include the following:

  • As menteri besar, Nizar cancelled all logging and plantation activities in Orang Asli settlements around Gopeng that affected more than 2,000 Orang Asli. (SELAMATKAN TANAH 2,000 ORANG ASLI DARI PEMBALAKAN)
  • State exco and assemblyperson A Sivanesan announced the return of approximately 400 acres of Orang Asli ancestral land to the Orang Asli that had been earmarked for logging activities by the previous government in Mukim Teja near Gopeng. (PEMULANGAN 400 EKAR TANAH ORANG ASLI MUKIM TEJA)
  • The state government announced the return of approximately 500 acres of Orang Asli ancestral land to the Orang Asli of Kampung Chang, Sungai Gepai in Bidor, which had been earmarked for a Botanical Garden by the previous government. (PEMULANGAN 500 EKAR TANAH ORANG ASLI KAMPUNG CHANG)
  • A special task force on Orang Asli land rights was set up to formally recognise all Orang Asli customary land in Perak. The task force committee comprised two tiers. The second tier was exclusively managed by the Orang Asli communities themselves, and meeting halls in the state secretariat building were provided to the Orang Asli for their use. (PENUBUHAN JAWATANKUASA MENGIKTIRAF JAK ORG ASLI)
  • The administration commissioned a special Orang Asli officer for the state of Perak whose function was to resolve all problems of the Orang Asli within the state. (PELANTIKAN PEGAWAI ORG ASLI)
  • A series of consultations with the public and NGOs on development activities in Ipoh was held. For example, public opinion was sought in relation to the proposed development of Yau Tet Shin Market. (SURVET PENDAPAT MASYARAKAT SEBELUM PENUBUHAN YAU TET SHIN MARKET)
  • Both Malay and Chinese [Malaysian] residents of new villages and Kampung Tersusun are now being granted permanent land titles in stages. (PEMBERIAN HAK MILIK KEKAL KEPADA MELAYU DAN CINA DI KAMPUNG TERSUSUN)

The Malaysian Bar must put these events on record as we have worked for years on some of these issues and were happy to see positive results achieved in a short span of time.

We hope that the same importance will be given to these matters and that they will continue to progress without delay. In fact, we call on all state governments to be proactive in relation to issues that concern the Orang Asli, the marginalised and the underprivileged.

Datuk Ambiga Sreenevasan
President
Malaysian Bar
11 Feb 2009"

Sunday, February 15, 2009

Nama Zambry tidak disebut dalam senarai pembesar yang masuk ke Dewan Santapan

KUALA KANGSAR , 14 Feb.:- Nama Zambry Abdul Kadir atas kapasitinya sebagai Menteri Besar rampasan kuasa tidak disebut oleh pengacara dalam senarai orang kenamaan yang masuk ke dewan Santapan Sempena Jubli Perak DYMM Sultan Perak dan yang keluar dari dewan sesudah habis santapan Diraja pada malam ini.

Walaupun kedudukan YAB Menteri Perak yang sah, DS. Muhammad Nizar Jamaluddin tidak ditempat yang sepatutnya saya beranggapan kemungkinan nama Zambry yang ke hulu dan ke hilir menamakan dia sebagai Menteri Besar mengambil tempat tersebut. Rupanya dia tidak mendapat pengiktirafan di majlis santapan pada malam ini.

DS. Nizar diletakkan bersama dengan orang kenamaan di meja kawasan tengah Balai Santapan dan ADUN Pakatan Rakyat diletakkan di meja bahagian belakang berdekatan dengan pentas nyanyian.

Tempat yang sama di meja yang berlainan ditempatkan Ahli Yang Berhormat ADUN BN.

Mereka yang dinamakan sebagai Exco kudeta ditempatkan di meja lebih ke hadapan berdekatan dengan meja Santapan Diraja.

Majlis Santapan Sempena Sambutan Jubli Perak DYMM Sultan Perak telah dihadiri oleh DYMM Sultan Perak dan seluruh ahli kerabatnya,DYMM Yang Di Pertuan Agong dan Permaisuri Agong, Sultan Brunai dan Permaisuri, Raja-Raja seluruh negara serta wakilnya, Yang Dipertua negeri,Perdana Menteri, Timbalan Perdana menteri, Menteri-Menteri Besar dan orang kenamaan yang lain.

Umno runtuh dalam masa dua bulan!

Feb 15th, 2009 | By Webmaster | Category: Isi I

Petang tadi, aku ambil time-off sekejap untuk meninjau Bukit Gantang. Kami berempat, aku, Sya, Perisik Rakyat dan Albanjari menyusuri jalan lama Kuala Kangsar-Taiping untuk belajar selok-belok Bukit Gantang.

Kawasan Parlimen Bukit Gantang bermula sebaik saja menuruni Bukit Berapit, selepas kilang simen YTL. Kalau sebelum terbinanya lebuhraya PLUS, Bukit Berapit merupakan tempat persinggahan bagi mereka yang melalui jalan Kuala Kangsar-Taiping.

Kami singgah di gerai Laksa Buyung, dan kalau sapa-sapa nak try laksa pulas, boleh singgah disini. Sambil makan, aku mendengar cerita orang dimeja sebelah. Mungkin betul…mungkin hanya fiksyen, tapi menarik untuk dikongsi maklumat tersebut.

“BN tak boleh bertahan lama diPerak…paling tinggi dua bulan, lepas tu lingkup!.” Bila aku dengar cakap macam tu, aku ambil recorder, masuk dalam kotak tisu…letak dekat meja depa. Sejak bercampur dengan geng bloggers yang macam-macam jenis ni…dah boleh buat A-Team.

Tapi depa punya cakap…tak peduli orang keliling. Cara cakap macam pengarah pilihanraya, mungkin orang PKR…geng Osman Jailu, tapi dah fed-up dengan bos depa.

Depa punya kutuk Osman Jailu…punya la teruk. Kalau aku la jadi Osman…ambil passport, cabut pi Papua New Guinea lagi baik. Sejak melompat keluar dari PKR hari tu, tak tau mana Osman pi. Orang lain angkat sumpah, ada yang jadi EXCO..tapi Osman Jailu masuk hospital…cari MC supaya tak payah pi mahkamah.

Kenduri kendara kat Cangkat Jering pun muka dia tak nampak…tak berani nak balik kampong. Hari ni, semua ADUN makan bersama Sultan di istana. Osman Jailu tak dijemput. Nizar dan Ngeh yang dikatakan derhaka pun dijemput dan makan bersama Sultan dalam Istana, tapi katak tiga ekoq tu tak nampak muka. Nak jadi apa? Adik beradik dah tak mengaku sedara, orang kampong dah tak mengaku qariah, orang Umno tak peduli bila depa dah dapat apa yang depa mau, nak jadi apa? Kalau aku la….tak tau la mana nak taruk muka.

Bukan takat Osman…Jamaludin pun macam tu jugak. Hee lagi teruk! Bukan takat dia saja…habis adik beradik, sedara mara dia kena pulau! Tak percaya..pi tengok kat sini dan sini. Datuk Nasa pun dah menung macam ayam berak kapor. Menyesal tak sudah. Kalau sampai tahap bini dia pun dok maki dia…kalau aku…buat border pass, pi duduk diam-diam kat Betong.

Belah sini tak suka, belah sana buat tak peduli…akhirnya Tuhan nak tunjuk jalan. Semalam, sebelum Anwar Ibrahim bertolak ke Qatar, ada utusan Jamal dan Osman berjumpa Anwar, minta berunding…kot-kot Anwar boleh terima depa balik. Tapi Anwar kata, “hangpa umumkan letak jawatan dulu, baru aku mau jumpa.” Terkedu utusan Jamal dan Osman. Tak tau la..apa keputusan Jamal dan Osman nanti, tapi tak mustahil…depa akan letak jawatan. Depa nak mati kat mana? Sapa nak sembahyang depa?

Datuk Nasa dah bercakap sorang..menyesal kerana dipergunakan untuk kepentingan orang lain.yang untung, Hamidah dan Hamdi. Hamidah ni…ramai wanita Umno tak suka. Dan bila dia jadi EXCO kanan, lagi la orang meluat.

Dan orang yang paling marah ialah Raja Ahmad dan Ahmad Pakeh Adam. Depa dua orang ni la yang banyak memainkan peranan memperdayakan Anwar. Ahmad Pakeh Adam ada bersama Datuk Nasa semasa Datuk Nasa mengumumkan dia masuk kedalam PKR. Dia ni talam dua muka, kat Anwar janji satu macam, kat Umno dia kata satu macam. Bila dia sesak…dia jumpa Anwar dan kata nak masuk PKR, tapi bila dijanjikan macam-macam kalau dapat meruntuhkan PR Perak, dia lompat kesana. Bila tak dapat apa-apa, dia cuba jumpa Anwar balik. Dan Anwar kata..”mampuih pi!” La ni terkatong-katong sorang -sorang. Orang Umno tak suka dia, orang PR lagi la meluat.

Ooops!! Bukan dia sorang-sorang…ada lagi sorang yang nak melompat keluar dari Umno sebab tak dapat-apa-apa.Raja Ahmad merupakan orang yang memujuk Datuk Nasa supaya belot dan lompat balik kedalam Umno. Dia la yang datang berjumpa Datuk Nasa dan bagi tau Raja Muda nak jumpa. Sebaliknya di angkut ke Putrajaya bertemu Najib. Tapi bila senarai EXCO diumumkan, Raja Ahmad melepas. Sebab orang Umno pun tak percaya kat dia! Tu pasai dia marah sangat masa ditemuramah di Astro Awani.

Dua-dua Raja Ahmad dan Ahmad Pakeh Adam menghantar utusan untuk berjumpa dengan kepimpinan PKR Perak untuk berunding. Nasib baik kepimpinan PKR Perak pun ikut macam Anwar…”mampuih pi!”

Mampuih pi la kat depa. Depa punya pasai, semua orang susah. La ni..mampuih pi la kat depa..bagi depa rasa sikit macam mana hidup susah.

Enam orang dah hidup macam kera sumbang, nak keluar tak berani..pi masjid pun takut…nak jadi apa? Letak jawatan la…itu cara yang paling terhormat.

Hee Yit Foong pulak…tunggu masa saja. Mana boleh tahan maa! Dia punya bapak mau beli sayor pun olang tak mau juai! Lu pikir la sendiri. Dia punya culai dekat Beruas pun sudah banyak malah ooo! Dia punya kedai satu olang pun tak masuk ma!!! Ciak beh liao!

Lepas pekena laksa buyung, kami pi tengok satu majlis kat Cangkat Jering.

Tempoh menunggu yang panjang – siapa untung?

FEB 15 - Tempoh menanti kempen pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang di Perak dan Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau di Kedah adalah antara yang paling panjang sejak Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengendalikan pilihan raya terakhirnya pada tahun 1969.

Apabila Suruhanjaya Pilihanraya pada 13 Februari lalu menetapkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi bagi kedua-dua PRK itu, ia membuka ruang berkempen hampir dua bulan lamanya. Penamaan calon adalah pada 29 Mac manakala hari mengundi 7 April depan.

Walaupun begitu, tempoh hampir dua bulan ini hanya bersifat tidak rasmi kerana kempen sebenar tetap pendek. Hanya lapan hari bermula dari penamaan calon hingga tengah malam sebelum hari mengundi.

Hanya selepas penamaan calon, pengundi dapat mengetahui siapa calon-calon yang bertanding. Bagi parti-parti pula, hanya pada masa itu poster-poster gambar calon dapat dipasang.

Jadi siapa yang akan untung melalui tempoh menunggu yang lama ini?

Di segi tempoh untuk memujuk dan mempengaruhi pengundi, buat masa ini kelebihan ada pada Pakatan Rakyat. Itu pun dengan syarat bahawa DAP, Pas dan Parti Keadilan Rakyat dapat mengambil kesempatan ini untuk bersetuju sebulat suara berhubung parti mana yang akan bertanding dan siapa calonnya.

Jika tempoh ini disia-siakan dengan pertelingkahan siapa kuat dan siapa layak, ia akan memberi ruang kepada Umno dan BN untuk menyerang balas kemudian. Sekarang Umno tidak ada masa untuk menumpukan kepada kedua-dua PRK itu kerana agenda memilih barisan kepimpinan baru mereka pada akhir Mac ini dianggap lebih penting.

Tidak silap dakwaan para pemimpin Pakatan bahawa SPR telah tunduk kepada Umno untuk membolehkan kedua-dua PRK itu diadakan selepas perhimpunan dan pemilihan parti Umno. Lazimnya SPR akan menetapkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi dalam masa tidak lebih 20 hari selepas kerusi dikosongkan.

Satu lagi sumbangan SPR kepada Umno dan BN ialah menetapkan hari mengundi pada Selasa, iaitu hari bekerja yang sememangnya akan mengurangkan peratus keluar mengundi terutama menyusahkan mereka yang tinggal atau bekerja di luar kawasan kedua-dua PRK berkenaan.

Ini akan terus menjadi cabaran kepada Pakatan kerana bukan hanya mereka terpaksa berhadapan dengan media pro-BN dan penggunaan jentera kerajaan, kini SPR dilihat kembali menyokong Umno dan BN.

Oleh itu peluang keemasan untuk Pakatan Rakyat berkempen lebih awal walaupun secara tidak rasmi bergantung kepada kebulatan suara mereka. Jika terus bergaduh soal parti apa yang mahu bertanding di mana dan siapa calonnya, masa akan terbuang begitu sahaja.

Selama ini tempoh berkempen yang singkat banyak memberi manfaat kepada BN. Tempoh kempen yang pendek menjelma apabila Tun Dr Mahathir Mohamad memegang tampok pemerintahan negara. Dengan menggunakan alasan keselamatan, beliau memulakan kempen pilihan raya umum pertamanya sebagai perdana menteri pada 1982 dengan membenarkan hanya 15 hari; ini diikuti dengan 10 hari pada 1986, 1990 dan 1995, dan dipendekkan lagi kepada 9 hari pada 1999.

Penggantinya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi turut mengikut jejak langkahnya dengan mengurangkan lagi kepada 8 hari pada 2004. Hanya dalam pilihan raya umum 8 Mac tahun lalu, tempoh kempen ditingkatkan kepada 13 hari.

Sedangkan pada era di mana ancaman komunis sangat membimbangkan dan hubungan kaum amat rapuh sepanjang 1950-an hingga akhir 1960-an, tempoh kempen begitu lama sekali. Sebelum Merdeka, kempen pilihan raya persekutuan adalah 42 hari manakala pilihan raya umum 1959 hingga 1969 adalah 35 hari.

Apabila Tun Abdul Razak Hussein mengambil alih pemerintahan selepas tragedi 13 Mei 1969, beliau memendekkan tempoh kempen kepada 16 hari dan ini turut diteruskan oleh penggantinya Tun Hussein Onn.

Itu semua tempoh kempen rasmi. Ruang kempen secara tidak rasmi yang bermula sebaik sahaja parlimen dan DUN dibubarkan pula adalah hampir dua bulan di sepanjang era Tunku. Ia berkurangan kepada 25 hari pada zaman Tun Razak dan Tun Hussein. Sejak itu hingga hari ini hanya beberapa belas hari sahaja.

Mengapa pembangkang marah dengan tempoh kempen yang singkat?

Sejak berpuluh tahun lamanya bekas Ketua Pembangkang Lim Kit Siang telah menyimpulkan dengan ungkapan 3M iaitu money, media and machinery (wang, media dan jentera kerajaan) yang telah disalahgunakan oleh Barisan Nasional untuk memenangi pilihan raya.

Sehingga hari ini amalan itu diteruskan. Kempen pilihan raya yang singkat sudah pasti melupuskan peluang pembangkang untuk menjangkau lebih ramai pengundi sedangkan BN, sebagaimana yang diketahui umum, mempunyai tukang kempen seperti RTM, Jabatan Penerangan dan Bernama serta media arus perdana yang taat setia kepada para pemimpin Umno dan BN yang dapat menyusup jauh ke ulu dan pedalaman.

Politik wang yang melanda Umno sekarang sebenarnya berpunca dari pemberian rasuah politik dalam bentuk janji pembangunan dan kelulusan segera projek kampung di samping hadiah-hadiah tunai untuk pengundi memilih BN sewaktu PRU dan PRK. Beratus-ratus laporan polis dan laporan kepada SPR telah dibuat tetapi amat jarang tindakan diambil.

Jentera kerajaan, bukan sekadar Jabatan Penerangan dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) yang dibiayai sepenuhnya oleh wang cukai rakyat, tetapi juga agensi-agensi lain hampir kesemuanya berkempen untuk BN.

Keadaan itu sering menyulitkan pembangkang untuk membuat sebarang impak kerana kempen pilihan raya yang amat berat sebelah. Sehinggakan pengamal media arus perdana yang memberi ruang liputan berita dan rencana 90% untuk BN dan 10% untuk pembangkang dengan bangganya menganggap ia sebagai sesuatu yang adil.

Begitu juga tindakan pihak berkuasa merampas puluhan ribu naskah akhbar terbitan parti-parti komponen Pakatan Rakyat baru-baru ini yang turut dilihat sebagai usaha menekan dan menindas hak kebebasan bersuara, terutamanya dalam menghadapi dua PRK ini.

Jika Pakatan dapat menyelesaikan masalah siapa yang bertanding di mana dalam masa beberapa hari ini, ia sudah pasti memberi kelebihan besar kerana mereka mampu menemui seramai mungkin pengundi dalam tempoh yang ada sekarang.

Jika tidak, ia sekali lagi terpaksa berhadapan dengan jentera BN yang masih menyalahgunakan wang dan mandat rakyat untuk meraih kuasa dengan cara-cara yang tidak bermoral dan jijik.

Walaupun secara tidak rasminya penantian yang lama untuk kedua-dua PRK itu dilihat menguntungkan Pakatan, ia tidak memberi apa-apa makna jika kesempatan tidak diambil dari sekarang.

Pakatan cabar BN letak Zambry di Bukit Gantang


PETALING JAYA: Pakatan Rakyat mahu Barisan Nasional (BN) meletakkan Menteri Besar Perak, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai calonnya di kerusi Parlimen Bukit Gantang bagi menguji populariti penerimaan rakyat dalam krisis politik yang melanda negeri itu.

Jika BN meletakkan Zambry, Pakatan mahu meletakkan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin bertanding pilihan raya kecil kerusi Bukit Gantang.

Kini kedua-dua mereka merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Perak.

"Kita cadangkan sahaja... tapi kalau benar beliau akan bertanding, maka secara automatik kita dah tahu siapa yang akan kita letakkan sebagai calon PAS.

"Sudah pasti PAS akan turunkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin... baru kena regunya," kata Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa di sini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 7 April ini sebagai hari pengundian bagi kerusi Bukit Gantang dan Bukit Selambau di Kedah.

Penamaan calon pula dijadualkan 29 Mac.

Mengulas lanjut, Husam berkata, Pakatan Rakyat telah bersetuju supaya Pas dan PKR meletakkan calon masing-masing seperti pembahagian yang dilakukan pada pilihan raya umum yang lalu di Bukit Gantang dan Bukit Selambau.

"Soal calon kita ada banyak senarai, kita akan pertimbangkan dan perhalusi satu persatu.

"Saya kira masih terlalu awal untuk kita umumkan sekarang kerana kita ada terlalu banyak masa sebelum hari penamaan calon," kata beliau ketika ditemui selepas majlis perasmian Bengkel Memperkasakan Gabungan Pakatan Rakyat di sini pagi ini.

Dalam pada itu, bengkel khas tersebut tidak membincangkan sama ada akan membawa usul undi percaya kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Parlimen apabila Dewan Rakyat kembali bersidang esok.

Isu membawa usul percaya tersebut mula dibangkitkan selepas Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang manyatakan bahawa Pakatan Rakyat mahu Abdullah kekal sebagai Perdana Menteri bagi meneruskan agenda pembaharuan.

Bagaimanapun Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Syed Husin Ali berkata soal mahukan Abdullah kekal sebagai Perdana Menteri bukan menjadi pendirian Pakatan Rakyat ketika ini.

"Hal ini bukan pendirian Pakatan Rakyat kerana ia belum dibincangkan di peringkat Pakatan.

"Perkara itu hanya disuarakan oleh pemimpin dalam PAS, tapi saya percaya perkara ini akan dibincangkan juga nanti tapi bukan kali ini," katanya.

Husam pula menyifatkan pandangan yang diberikan oleh Presiden partinya selepas kemenangan calon mereka dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu bulan lalu disifatkan sebagai 'permintaan sinis'.

"Itu hanya satu cadangan yang sinis kerana sampai hari ini tidak ada pentanda Datuk Seri Abdullah akan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

"Sebab itulah sehingga ke hari ini tarikhnya masih belum ditentukan, kalau betul dia mahu letak jawatan, sekarang tinggal lagi sebulan sepatutnya sudah ada majlis perpisahan dan sebagainya," katanya.

Sidang media itu turut dihadiri Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Tunku Abdul Aziz Ibrahim.

Abdullah dijadual melepaskan jawatannya hujung bulan depan iaitu selepas berakhirnya Perhimpunan Agung Tahunan Umno.

Bengkel hari ini tidak dihadiri oleh mana-mana Presiden parti dalam Pakatan Rakyat yang dianggotai PKR, Pas dan DAP.

Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga tidak hadir kerana berada di luar negara.

Mengulas mengenai sama ada bengkel ini juga akan membincangkan mengenai pembentukan barisan 'Kabinet Bayangan' serta pembahagian portfolio dalam Pakatan Rakyat, Husam turut menafikannya.

"Perbincangan hari ini memfokuskan kepada kumpulan pertengahan parti dengan memberikan pendedahan kepada tiap-tiap parti supaya persefahaman yang lebih jelas dapat diwujudkan," katanya.

Search This Blog